31 Januari 2009

Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Dilancarkan

Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) dilancarkan di hadapan Pusat Perniagaan Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur petang ini.

Pengerusi GMP, Dato' Dr. Hassan Ahmad, mengadakan sidang media pada 2.50 petang. Kenyataan media beliau dan perkembangan lain terdapat di blog ini.

Antara pejuang bahasa yang hadir ialah Sasterawan Negara A. Samad Said, Dato' Dr. Anwar Ridhwan, Prof. Dr. Awang Sariyan, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Prof. Dr. Shahril Mohd Zain dan Puan Ainon Mohd.

Kemas Kini
Lihat gambar di blog Pengarah Institut Peradaban Melayu, UPSI.

30 Januari 2009

Pelancaran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)


Kemas kini 31 Januari 2009
Perlancaran Gerakan Mansuhkan PPSMI Berjaya

Hormati Bahasa Kita

Pedoman Bahasa (JPEG) 014. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.

Mutiara Kota

“Carilah mutiara itu
sinarnya terpancar di celah timbunan batu
jangan biarkan mutiara itu
menjadi milik warga pendatang kota ini
jangan biarkan mutiara itu
carilah bertongkatkan kesabaran
intailah dengan mata
fikirkan ….”

video

Sajak karya Nadin Haji Saleh
Lagu puisi oleh Rablin Haji Nordin
Klip video oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Puisi Mampu Mengentalkan Semangat Patriotisme
“Kecintaan terhadap puisi Melayu mampu membangkitkan semangat patriotisme yang kental dalam diri setiap individu. Antara caranya adalah dengan menjadikan puisi sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Hal ini hendaklah diberi perhatian yang serius oleh pelajar, khususnya pelajar major Bahasa Melayu.” Tuan Jame Alip, ucapan pada Malam Senandung Puisi, 3 April 2007.

Klip Video 002, Deklamasi Puisi

Kembali kepada Bahasa Ibunda

"Kita tahu dalam sejarah ketamadunan manusia bahawa tidak ada bangsa di dunia yang membentuk budaya dan tamadunnya, seninya, kesusasteraannya, falsafah hidupnya, mitosnya dan pandangan kosmologi dan ilmu dunianya melalui bahasa orang lain." Dato' Dr. Haji Hassan Ahmad, Pengerusi Gabungan Membasmi PPSMI (GMP). Baca artikel: "Nasionalisme dan Perjuangan Bahasa".

Pedoman Bahasa (JPEG) 013. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.

29 Januari 2009

Perihal Mengembek dan Menguak

Persekitaran memang mempengaruhi tingkah laku kita. Namun kadar pengaruh itu berbeza-beza.

Kesan pengaruh itu mungkin positif dan mungkin negatif. Kadang-kadang, positif dan negatif bercampur aduk. Untuk memastikan yang mana positif dan yang mana negatif itu pun sukar. Banyak sudut pandangannya.

Positif atau negatif kesan pengaruh persekitaran itu dapat dilihat dari sudut pandangan agama, nilai negara, nilai bangsa, nilai komuniti, nilai kelompok dan sebagainya. Agama dan lain-lain itu pula berbeza-beza lagi.

Ada satu kisah di satu institusi. Seseorang berpendirian solat penting. Apabila tiba waktu solat, dia meninggalkan mesyuarat untuk bersolat. Pengerusi mesyuarat dan beberapa orang yang lain terus serius bermesyuarat sehingga masuklah waktu Maghrib. Maka mereka pun tertinggallah waktu Asar.

Ada seseorang yang lain. Seseorang itu baru menjadi warga institusi itu. Persekitaran institusi mempengaruhinya. Dikhabarkan, di tempat lama solatnya terjaga. Tiba di tempat baharu, lain pula halnya. Pada hari itu dia terikut-ikut tingkah laku pengerusi mesyuarat.

Seseorang pernah menyaksikan berbagai-bagai peristiwa. Antaranya, dia berada dalam kelompok yang suka “menginum”. “Ah, minum tapai sedikit-sedikit sahaja, bah,” kata seseorang itu. Maka adalah beberapa orang terikut “minum-minum” waktu “aramaiti”.

Nampaknya, penggunaan peribahasa “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak”* perlu direnungi semua. "Pandai menyesuaikan diri dengan keadaan” belum tentu tepat dalam semua keadaan.

Peribahasa ini kelihatan kurang serasi dengan konsep guru agen perubahan. Jikalau guru ikut mengembek dan menguak dalam semua keadaan, susahlah.

Begitulah, ada orang mengembek di lembah Mat Saleh, tercabut ketayapnya. Ada orang menguak di bumi Kenyalang, patah giginya.

Persoalannya, guru ialah agen perubahan. Kalau guru pun ikut mengembek di sana dan menguak di sini, susahlah.

Jikalau begitu, boleh kita minta guru menjadi harimau? Ya, harimau mati meninggalkan belang.

Fikir-fikir, ada juga masalahnya. Apabila sekandang, harimau dapat membaham kambing atau kerbau. Nampaknya, ada sahaja masalahnya jikalau berbicara menggunakan peribahasa. Hendak berkata terus terang, eh nahas nanti.

Kini, apabila bergelar mantan, kita hanya boleh “menggunakan lidah” yang tarafnya baik sedikit daripada “menggunakan hati". Jadi, sebelum bergelar mantan, gunakanlah “tangan” dan “lidah”, jangan menggunakan “hati” sahaja.

Wallahuaklam.

*Ditulis seperti peribahasa asal yang sudah mantap – sendi nama “ke” digugurkan.

Selamat Mempelajari Tulisan Jawi

Saya mengucapkan selamat mempelajari tulisan Jawi kepada semua pelajar semester pertama Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PPISMP) di semua institut pendidikan guru (IPG) yang mengambil kursus Bahasa Melayu Akademik (BMA). Manfaatkanlah ruang dan peluang yang disediakan oleh IPG untuk melengkapkan diri anda sebagai guru, khususnya sebagai guru Bahasa Melayu, Pemulihan atau Prasekolah.

Gambar: Ketua Metor, Sdr. Muhamad Iqbal menyemak latihan menteenya.

Kepada pensyarah BMA yang mengajarkan tulisan Jawi, saya menganggap tuan beruntung melaksanakan tugas ini. Jikalau kena caranya, tuan dapat menjadikan tugas ini sebagai ibadah. Paling tidak, tuan akan menjadi ingatan para pelajar kerana tuan memperkenalkan kepada mereka warisan kita yang mendukung dan memperkembang bahasa Melayu selama hampir tujuh abad.

Dari segi penguasaan tulisan Jawi dalam kursus BMA, ada empat golongan pelajar.

Golongan yang pertama ialah pelajar yang mahir menggunakan tulisan Jawi. Dalam golongan ini termasuklah pelajar yang mampu menghasilkan tulisan Jawi yang cantik dengan beberapa gaya tulisan (khat). Pensyarah perlu memanfaatkan kebolehan golongan ini dengan menjadikan mereka sebagai mentor golongan yang ketiga dan keempat.

Golongan kedua ialah pelajar yang mempunyai asas Jawi. Mereka boleh membaca bahan bertulisan Jawi walaupun kurang lancar. Mereka juga boleh menulis dengan menggunakan tulisan Jawi walaupun kurang kemas. Pensyarah wajar memanfaatkan kebolehan golongan ini dengan menjadikan mereka pembantu mentor. Golongan ketiga ialah mereka yang “tahu sedikit” tulisan Jawi. Pelajar dalam golongan ini kenal alif-ba-ta dan boleh membaca bahan Jawi yang mudah. Umumnya, mereka “tidak berani” menulis dengan menggunakan tulisan Jawi. Rata-rata golongan ini remaja Melayu yang dapat membaca juz Amma. Golongan ini wajar menjadi mentee.

Golongan keempat ialah mereka yang buta Jawi. Umumnya, mereka ialah pelajar bukan Melayu, termasuk suku kaum di Sabah dan Sarawak. Mereka menjadi mentee.

Sebaik-baiknya mereka belajar dalam kumpulan tetap. Pensyarah dapat memanfaatkan campuran golongan mentor-mentee di atas dan kriteria pembentukan kumpulan berdasarkan kaedah pembelajaran koperatif. Seorang pelajar wajar menjadi ketua mentor.

Selamat mempelajari tulisan Jawi dalam kumpulan. Jikalau tuan (pensyarah) dan anda (pelajar) IPG ada kemusykilan tentang tulisan Jawi, nyatakan kemusykilan itu di Grup_PM atau di blog ini. Manalah tahu kalau-kalau saya dapat membantu meleraikan yang kusut dan menjernihkan yang keruh.

Dalam pada itu, bantuan pensyarah BMA, ketua mentor dan mentor memang saya harapkan. Saya sendiri pernah belajar daripada ketua mentor yang bernama Muhamad Iqbal. Terima kasih, Muhamad Iqbal.

Mohd Isa bin Abd Razak
Pembimbing Kursus Tulisan Jawi 2006 - 2007

Abjad Jawi Bentuk Tunggal Terkini


Huruf lam-alif ialah huruf gabungan alif dengan lam. Jadi, lam alif tidak sesuai disenaraikan dalam carta huruf Jawi bentuk tunggal. Hal ini pernah menjadi isu dalam kalangan peminat tulisan Jawi.

Ada pendapat mengatakan, apabila sesuatu carta menggunakan tajuk “Huruf Jawi”, huruf lam alif perlu disenaraikan. Jumlah huruf Jawi akan menjadi 38. Apakah pandangan tuan?

Huruf ha tunggal (abjad ke-33) adalah seperti yang disenaraikan. Ha simpul ialah huruf terbitan apabila dirangkaikan dengan huruf lain. Jikalau tuan memasukkan ha simpul dalam carta huruf Jawi, jumlah huruf Jawi akan menjadi 39!

Ada pihak berpendapat jumlah huruf Jawi kini ialah 35 atau 36 huruf . Pihak yang mengatakan jumlah huruf Jawi itu hanya 35 huruf tidak memasukkan ta marbutah (ta simpul) sebagai satu huruf. Pihak yang berpendapat jumlah huruf Jawi hanya 36 juga tidak memasukkan ta marbutah sebagai satu huruf tetapi memasukkan pula lam-alif sebagai satu huruf.
Pedoman Bahasa (JPEG) 012. Jawi: Abjad.

Nota 19 April 2011

1. Rujuk perbincangan di Facebook, April 2011.

2. Sila rujuk pautan ini: http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/04/abjad-jawi-2008.html. Gambar pada pautan ini dilampirkan untuk rujukan segera.


Citra ini menggantikan citra yang di atas. Harap maklum. Klik citra ini untuk melihat paparan yang lebih besar.
 Pautan yang berkaitan:
1. Selamat Mempelajari Tulisan Jawi
2. Beberapa Perkara Tentang Huruf Jawi
3. Ejaan Jawi untuk Pandai Ialah Pa-Nun-Dal-Alif-Ya
4. Jawi: Sekadar Percubaan
5. Memasang Fon Jawi
6. Huruf Tunggal Jawi Beranimasi
7. Sekarang, Tandas Ada Alif
8. Carta Jawi Silap dan Tidak Kemas Kini
9. Tulisan Jawi sebagai Jiwa Bahasa Melayu
10. Cerpen “Papan Tanda Jawi”
11. Jawi Menewaskan Pallava, Kawi dan Rencong
12. Isu Huruf Arab dan Huruf Jawi

28 Januari 2009

Kalau Bukan Kita, Siapa Lagi?

Kalau bukan kita, siapa lagi
kita tanamkan semangat berani bersaing
semangat ini harus mengalir dalam jiwa setiap kita
agenda perjuangan ini
kita sandarkan di puncak harapan
kita nobatkan di puncak kejayaan
dengan penuh tekad dan nekad
kerana kitalah yang mencorak mewarna-warnikan halaman ini
halaman perguruan, halaman pendidikan.

video
Deklamasi sajak oleh Cikgu Dulamit Rudin (Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Sabah dan Peringkat Kebangsaan 2006). Sajak “Kalau Bukan Kita, Siapakah Lagi” karya bersama Cikgu Dulamit Rudin dan Tuan Jame Alip dideklamasikan bersama-sama Encik Ali Hassan. Klip video oleh Mohd Isa bin Abd Razak.

Klip Video 001, Deklamasi Puisi

Wajar Sombong Bahasa


Pedoman Bahasa (JPEG) 011. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu. Refleksi KKBI

27 Januari 2009

Refleksi Kaedah Pembelajaran Koperatif

Refleksi Pelaksanaan SPK Meja Bulat dan Kembara Galeri
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Selepas interaksi berakhir, saya kembali ke pejabat dan terus mengakses e-mel yang mengandungi refleksi pelajar. Hanya empat kelompok berjaya mengirim refleksi kepada e-grup. Refleksi kumpulan dua masih belum diterima. Mungkin mereka sudah menyiapkan refleksi tetapi ada masalah teknikal dari segi penghantaran kepada e-grup.

Sari refleksi pelajar adalah seperti yang di bawah.

Kelompok 1 yang diketuai oleh Iffah Syamimi menulis, “Kumpulan kami mendapat perkataan bulan. Kami memberikan beberapa makna yang tersirat dan tersurat. Kami mendapati sesuatu perkataan mempunyai banyak makna. Kita dapat memberi makna sesuatu perkataan melalui intuisi iaitu naluri diri. Selepas itu kami bertukar-tukar pendapat dengan ahli kumpulan lain. Kami menerima beberapa komen positif daripada rakan-rakan kami.”

Kelompok 3 yang diketuai oleh Jamilah Amir menyatakan bahawa mereka berasa seronok kerana dapat bertukar pendapat dengan ahli kumpulan yang lain. Kini mereka menyedari bahawa sesuatu perkataan tidak hanya membawa satu makna, tetapi luas maknanya. Ahli kelompok 3 ini, Wong Shau Foon, berkata, dia dapat menerokai makna lima patah perkataan (buku, ayam, batu, kayu, bulan) dengan lebih mendalam. Dia berasa seronok mempelajari bahasa Melayu dan berasa bertuah kerana dapat mengomen hasil kerja rakan-rakannya.

Kelompok 4 yang diketuai oleh Iffahzuleha mendapati satu perkataan mempunyai banyak makna yang tersirat dan tersurat. Makna sesuatu perkataan tidak semestinya terdapat dalam kamus.

Kelompok 5 yang diketuai oleh Reccyka menyatakan mereka sungguh gembira menjalankan aktiviti yang disediakan. Menurut mereka, mengomen hasil kerja kelompok lain juga merupakan aktiviti yang sangat menarik. “Kami memberi komen bukan untuk melemahkan semangat kawan tetapi untuk memberi semangat kepada rakan-rakan yang lain,” kata mereka. Mereka berharap aktiviti seperti yang dilaksanakan semasa interaksi kelima itu dapat diteruskan.

Refleksi mereka padat dan bernas. Walaupun pada interaksi ini baru kali kedua mereka menulis refleksi hasil interaksi dengan saya, walaupun masa yang diperuntukkan sedikit, mereka tetap dapat melakukan refleksi yang sangat bermakna pada diri saya.

Saya berasa puas dapat menggunakan struktur pembelajaran koperatif dalam interaksi saya. Saya berasa puas dapat menyaksikan pelajar-pelajar saya asyik membaca e-mel dari e-grup. Saya berasa puas dapat menggalakkan mereka menggunakan kamus elektronik.

Seperti interaksi-interaksi sebelum ini, tiada tingkah laku lencongan semasa sesi pembelajaran di bilik kuliah mahupun di makmal komputer. Tiada pelajar yang mempersoalkan mengapa aktiviti itu dinamakan meja bulat sedangkan meja yang digunakan ialah meja segi empat.

Penutup

Ketika merancang interaksi kelima ini saya ada memikirkan keperluan arahan bertulis untuk menjadi panduan pelajar semasa beraktiviti di makmal komputer. Sayangnya, saya kesuntukan masa untuk mengolah draf bahan itu agar lebih kemas. Jadi saya hanya dapat memberikan arahan lisan untuk aktiviti di makmal komputer. Saya akan berusaha menyediakan arahan bertulis dalam sesi interaksi yang akan datang.

Selain itu saya juga perlu mencipta borang refleksi. Saya percaya, penggunaan borang refleksi akan memudahkan pelajar mencatat refleksi secara lebih menyeluruh dan mendalam. Soalan-soalan yang disediakan dalam borang itu dapat membantu pelajar melakukan penilaian kendiri. Setakat ini refleksi mereka bersifat umum.

Saya yakin bahawa institut bukan sekadar melahirkan pelajar yang menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Institut perlu menyediakan mereka dengan kemahiran berkomunikasi dan kemahiran sosial.

Berbanding dengan organisasi bilik kuliah biasa yang mementingkan unsur individualistik dan pertandingan, amalan pembelajaran koperatif bukan sahaja bertumpu pada aktiviti kelompok bahkan berasaskan aktiviti yang mudah tetapi bermakna. mereka.

SPK Meja Bulat

Kaedah Pembelajaran Koperatif: Catatan Pelaksanaan SPK Meja Bulat
Oleh Mohd. Isa bin Abd. Razak

Induksi Set

Pelaksanaan induksi set bermula dengan paparan yang bertajuk “Apakah Maknanya”. Pada slaid itu tercatat ungkapan “tidak ada maknanya”. Saya bertanya, “Apakah makna tidak ada maknanya”? Beberapa orang pelajar kehairanan. Beberapa orang pelajar lagi tersenyum. Ada juga pelajar kelihatan mengangguk-angguk.

Kemudian saya menayangkan slaid kedua yang mengandungi gambar gadis berbaju merah dalam aksi bertenggong dan merenung tajam ke arah para pelajar. Saya bertanya, “Apakah makna gambar ini?” Beberapa jawapan diterima dan saya memberikan pengukuhan kepada seorang pelajar yang menyebut perkataan “menggoda”.
Seterusnya, sambil merujuk slaid ketiga, saya bertanya, “Apakah pula makna pakej? Apakah makna cair? Untuk perkataan “pakej” jawapan pelajar tepat. Untuk perkataan “cair” jawapan mereka di luar dugaan. Pada mereka, “cair” dalam konteks petikan itu dikaitkan dengan semangat atau keghairahan. Kedua-kedua makna perkataan itu tidak dicatatkan dalam masukan kamus yang ditayangkan kemudian.


Saya menayangkan slaid keempat yang mengandungi makna “pakej” dan “cair” yang dipetik daripada Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Perbincangan meleret-leret apabila seorang pelajar menyatakan “pakej” ialah pelbagai jenis penyakit yang dihidapi dalam satu masa, khususnya oleh orang berada atau orang yang sudah berumur.

Akhirnya soalan keempat saya kemukakan, “Apakah maka keseluruhan perkataan ini?” Rumusan jawapan pelajar ialah makna kedua-dua patah perkataan itu sudah melampaui makna yang terdapat dalam kamus. Dengan perkataan lain, maknanya perkataan-perkataan itu sudah diperluas. Hal ini amat berkaitan dengan “Hubungan Perkataan dari Segi Makna” yang dipelajari hari ini.

Pelaksanaan SPK Meja Bulat

Seterusnya diadakan sesi meja bulat. Saya meminta pelajar berada dalam kelompok tetap yang telah diwujudkan. Setiap kelompok diberi kertas tugasan dan empat batang pen penanda yang berbeza warnanya. Kertas tugasan itu ialah kertas mahjong yang sudah dipotong dua. Di belakang kertas tugasan itu tercatat sepatah perkataan sama ada batu, ayam, kayu, bulan, atau buku.

Setiap kelompok dikehendaki mencatatkan makna perkataan itu. Mereka bebas menggunakan perkataan, frasa atau ayat. Mereka juga boleh menggunakan grafik seperti peta minda dan carta alir. Mereka boleh merujuk cakera padat Kamus Dewan Edisi Ketiga yang terpasang di komputer riba saya.

Ketua kelompok memulakan catatan diikuti oleh anggota lain secara bergilir-gilir. Setiap anggota boleh menambah respons yang tercatat di atas kertas itu. Akhirnya, anggota kelompok bersama-sama membuat rumusan. Rumusan boleh mengandungi sepatah perkataan, satu frasa atau satu ayat. Aktiviti ini hanya tamat apabila semua anggota akur dengan rumusan yang diperoleh.

Semasa aktiviti meja bulat ini berlangsung, keadaan kelas agak bising. Ada hilai tawa daripada kelompok satu. Seorang anggota kelompok lima menegur anggota kelompok satu dan meminta mereka mengurangkan kebisingan. Saya menyatakan mereka boleh bising dan ketawa secara terkawal semasa beraktiviti. Keseronokan memang sebahagian dariada keistimewaan aktiviti ini. Yang dilarang ialah bercakap-cakap ketika saya menyampaikan maklumat lisan di hadapan kelas.

Kepantasan melaksanakan aktiviti berbeza-beza antara satu kelompok dengan kelompok yang lain. Saya menunggu semua kelompok menyiapkan tugasan itu. Akhirnya semua kelompok berjaya menyiapkan tugasan yang diberikan dalam tempoh lebih kurang 10 minit. Saya memberikan peneguhan kepada meraka kerana hasil kerja mereka mencapai objektif yang saya tetapkan.

Ralat: miliki dalam slaid 2 sepatutnya memiliki.

SPK Kembara Galeri

Hasil kerja pasukan dalam SPK meja bulat dibiarkan di atas meja. Semua ahli sesuatu kelompok bergerak ke meja kelompok lain. Kelompok pelawat dikehendaki membaca hasil kerja kelompok yang dilawati. Mereka mesti menambah catatan atau memberikan komen/pengukuhan di atas kertas mahjong kelompok yang dilawati itu.

Dari semasa ke semasa, saya memberikan isyarat agar kelompok bergerak ke meja seterusnya. Mereka bergerak mengikut pusingan jarum jam. Ada beberapa orang pelajar semacam ingin “melekat” pada meja yang dilawati. Setelah setiap kompok berada di meja masing-masing mereka diberi masa membaca catatan/komen pelawat.

Sesi ini memakan masa lebih kurang 10 minit. Saya memberikan peneguhan atas kejayaan mereka melaksanakan aktiviti meja bulat dan kembara galeri dengan berkesan dan pantas.

Seterusnya nota semantik “Hubungan Perkataan dari Segi Makna” yang mengandungi subtajuk “Segi Tiga Semiotik” dan “Nama, Benda dan Maksud” diedarkan. Mereka diberi peluang membaca nota itu dan mengemukakan pertanyaan kepada saya.

Setelah beberapa minit, oleh sebab tiada pertanyaan, saya mendapatkan perhatian mereka dan menyatakan bahawa arahan tentang perkara yang perlu dilakukan di makmal komputer saya berikan di kelas ini, bukan di makmal komputer. Saya menyatakan kepada mereka, jika arahan diberikan di makmal komputer, mereka kurang memberikan perhatian. Di makmal komputer nanti mereka mesti berada bersebelahan dengan ahli kelompok masing-masing.

Dalam kelompok masing-masing mereka perlu menyediakan refleksi pembelajaran hari ini. Refleksi itu mesti dihantar kepada e-grup sebelum interaksi tamat. Jika ada masa lagi, mereka perlu membaca semua mesej berkaitan dengan semantik yang telah saya kirimkan. Jika masih ada masa, mereka dikehendaki mengemas kini peti mel masing-masing dan kemudian menggunakan arkib e-grup.

Enam Orang Pelupa

Saya mendorongnya agar terus menulis coretan. Jikalau dia memerlukannya, saya bersedia menyunting tulisan itu.

Dia dapat menghantar coretan itu kepada e-grup. Mudah-mudahan ada ahli yang suka memberikan ulasan. Ulasan rakan dapat mendorongnya untuk terus menulis.

Sebagai permulaan, saya mendorongnya memurnikan coretan “Sekadar Perkongsian” yang dihantarnya kepada e-grup. Saya mengemukakan sedikit cadangan untuk memudahkannya melakukan pemurnian.

Antaranya, saya mencadangkan agar dia memberikan tajuk yang menarik untuk coretan itu. Tajuk “Enam Orang Pelupa” mungkin menarik tetapi ada kemungkinan tidak sesuai. Jadi, dia perlu mencari tajuk lain yang lebih sesuai.

Jikalau dia suka, tulisan yang bersunting dapat diterbitkan di blog ini. Tulisan itu boleh juga diterbitkan oleh wadah lain. Tulisan bermutu di blog ini atau di wadah lain dapat menjadi bukti untuk memperoleh markah maksimum 5% dalam penilaian prestasi tahunan.

Saya percaya dia sedar bahawa coretan pun dapat dijadikan buku. Sudah ada buku coretan guru di pasaran. Ada pembelinya. Sebuah buku coretan sudah terbit sebagai edisi kedua.

Coretan pun dapat dikembangkan menjadi novel.

Yang masih terkial-kial menyiapkan buku untuk bacaan umum dan warga institut pendidikan guru ialah seorang pesara yang pernah berkampung di Bukit Punai.

26 Januari 2009

Tidur di Dalam Laci


Baku
Ular itu tidur di dalam laci meja murid SK Abuan, Sabah.
Sylvie berasa dirinya bagaikan burung di dalam sangkar.
Ketika kami datang, mereka masih bersembunyi di dalam bilik itu.

Tidak Baku
tidur dalam laci
burung dalam sangkar
bersembunyi dalam bilik

Gambar oleh Mohd Firdaus bin Haji Abd Salam
(Penyelia Guru Pemulihan Khas Sekolah Kurang Murid [SKM])

Pedoman Bahasa (JPEG) 010. Kata Arah "dalam".

SPK Lakarkan Saya (2)

Kaedah Pembelajaran Koperatif: Catatan Selepas Pelaksanaan SPK Lakarkan Saya
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Pelaksanaan sesi lakarkan saya mengambil masa lebih kurang 20 minit. Gangguan hanya berlaku pada subsesi pertama.

Perjalanan subsesi kedua sangat lancar dan pantas. Saya mengagak, pelajar ingin segera ke makmal komputer. Saya memang telah memberitahu mereka bahawa peruntukan masa di makmal komputer pada hari ini cuma 35 minit. Sekiranya mereka dapat menyelesaikan aktiviti yang dirancangkan lebih awal, masa mereka di makmal komputer akan bertambah.

Pelajar mengirim refleksi kepada e-grup kami. Empat kelompok pelajar berjaya menghantar refleksi sebelum interaksi tamat. Refleksi yang kelima saya terima keesokan harinya.

Dua kelompok memberikan respons ringkas. Mereka menyatakan aktiviti dalam subsesi pertama berkaitan dengan medan makna sepatah perkataan. Aktiviti dalam subsesi kedua pula berkaitan dengan medan makna dua patah perkataan. Kedua-dua aktiviti itu relevan dengan tajuk pelajaran dan nota yang diedarkan. Itulah pandangan mereka.

Satu kelompok memberikan respons yang lebih reflektif. Mereka menyatakan bahawa banyak pengetahuan baharu yang diperoleh dalam sesi ini. Pengetahuan itu dapat dipraktikkan dalam pengajaran Bahasa Melayu apabila mereka menjadi guru nanti.

Dua kelompok lagi mengemukakan catatan positif dan reflektif. Kelompok Elizabeth berpendapat, aktiviti yang dialami itu perlu diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kelompok Reccyka pula menyatakan aktiviti itu berkesan dan mampu menjana fikiran mereka untuk mendalami makna sesuatu perkara dengan lebih teliti.

Seterusnya, kelompok Elizabeth berpendapat bahawa kemahiran berkomunikasi seperti yang telah dialami itu penting dalam kehidupan seharian. Kelompok Reccyka pula menulis, “Kami juga dapat meningkatkan interaksi antara ahli dalam kumpulan kami.”

Penutup

Saya berasa lega apabila interaksi keempat ini berakhir. Refleksi pelajar menunjukkan usaha saya menggunakan SPK di dalam dan di luar bulatan dan lakarkan saya dapat mencapai matlamat kaedah pembelajaran koperatif.

Setelah melaksanakan sendiri strategi ini, saya dapat merumuskan bahawa strategi ini berkesan apabila ada kefahaman terhadap teori, keyakinan diri, kerelaan menggunakan masa yang banyak untuk perancangan dan kesungguhan melaksanakannya. Berkesan di sini bermaksud pelajar mendapat pengetahuan dengan cara yang menyeronokkan. Mereka juga dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi, kemahiran belajar dan kemahiran berfikir. Selain itu, mereka dapat meningkatkan kemahiran sosial dan menyerap nilai murni.

Dengan perkataan lain, strategi ini dapat membantu guru membentuk murid agar menjadi insan simbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi sebagaimana yang tercatat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Secara keseluruhan pula, strategi ini berupaya menyuburkan perpaduan dalam kalangan pelajar. Perpaduan ialah hala tuju sistem pendidikan negara kita.

SPK Lakarkan Saya (1)

Kaedah Pembelajaran Koperatif: Catatan Pelaksanaan SPK Lakarkan Saya
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Aktiviti ini ialah sambungan aktiviti pertama. Saya memberitahu pelajar bahawa aktiviti seterusnya ialah aktiviti dalam kelompok dan kelompok baharu dibina. Aktiviti pembinaan kelompok inilah sebagai langkah pertama dan menggunakan masa lima minit.

Seorang pelajar mengedarkan senarai kelompok kepada setiap individu. Terdapat lima kelompok. Empat kelompok mempunyai anggota empat orang sekelompok dan satu kelompok anggotanya tiga orang.

Kelompok-kelompok itu saya bentuk berdasarkan empat kriteria. Kriteria pertama ialah prestasi mereka dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Petunjuk prestasi dikira berdasarkan jumlah gred A1 dan A2. Setiap kelompok mempunyai anggota yang mendapat lima hingga tujuh A1 dan A2 dalam SPM.

Kriteria kedua ialah kemahiran dalam tulisan Jawi berdasarkan tinjauan yang telah dilakukan pada masa interaksi pertama. Setiap kelompok mempunyai sekurang-kurangnya seorang yang sangat mahir dalam tulisan Jawi dan seorang yang buta Jawi. Kriteria kedua ini penting kerana kelompok ini akan terus wujud pada semester hadapan, sekurang-kuangnya semasa pembelajaran tulisan Jawi.

Kriteria ketiga ialah tempat asal (wilayah, negeri, daerah) dan kriteria keempat ialah perbezaan jantina.

Saya memberitahu pelajar bahawa kelompok yang dibina merupakan kelompok tetap berdasarkan kriteria tertentu. Saya juga memberitahu mereka bahawa kelompok ad hoc dalam tiga interaksi terdahulu diteruskan untuk tujuan menyelesaikan tugasan lembar bahasa.

Seterusnya, mereka memilih ketua kelompok masing-masing. Sesi suai kenal yang asas tidak diperlukan lagi kerana mereka sedia kenal-mengenali dalam tempoh hampir dua bulan, termasuk mengalami sesi khas semasa Minggu Pengurusan Pelajar Baharu.

Walau bagaimanapun, saya ada memikirkan bahawa sesi berkenalan secara lebih lanjut perlu diteruskan dari semasa ke semasa. Antara aktiviti yang dapat mencapai tujuan itu ialah selingan (yang dapat menyerlahkan peribadi), brain breaks dan muat naik fail profil ke laman e-grup Grup_PM.

Seterusnya, pelajar memilih ketua kelompok masing-masing. Kemudian mereka berpasangan dalam kelompok sendiri. Seorang pelajar wanita yang tidak mempunyai pasangan, menjadi pembantu fasilitator.

Langkah kedua ialah pelaksanaan SPK lakarkan saya yang dirancang dapat disempurnakan dalam tempoh 10 minit. Seorang anggota (dinamakan pelajar 1) dalam setiap pasangan datang ke hadapan untuk mengambil kad grafik 1 (Rajah 2) dan kertas A4.

Fasilitator memberi arahan kepada pelajar 1 berpandukan kad grafik (Rajah 3). Pelajar 1 dibenarkan membawa rakannya ke satu tempat yang sesuai untuk melakukan aktiviti tetapi semua pasangan tetap berada di meja kelompok masing-masing. Fasilitator menghargai pilihan mereka.

Seterusnya fasilitator menjelaskan prosedur pelaksanaan aktiviti. Ringkasnya, pelajar 1 memberikan gambaran, pelajar 2 melukis gambaran itu. Kemudian, pelajar 1 melihat gambaran yang telah dilukis oleh pelajar 2. Mereka kukuh-mengukuh.

Mereka terus memulakan aktiviti sebaik-baik fasilitator selesai memberikan penjelasan.

Terdapat sembilan pasangan. Ada tiga pasangan keliru dengan arahan. Fasilitator mengulangi arahan itu kepada pasangan yang berkenaan. Satu pasangan menghadapi kesukaran yang berterusan. Fasilitator mengulangi arahan yang sama dengan susunan kata-kata yang berlainan.

Akhirnya pusingan pertama selesai. Kad grafik 1 dikutip oleh pembantu fasilitator. Semua pelajar 2 menyerahkan lakaran kepada fasilitator. Hasil kerja mereka menunjukkan objektif subsesi ini tercapai.

Prosedur pusingan kedua sama dengan prosedur pusingan pertama. Yang berbeza ialah kad grafiknya.

Dalam pusingan kedua, pembantu fasilitator bertindak aktif. Dia membacakan arahan yang terdapat dalam kertas persediaan mengajar. Dia juga memberikan kad grafik 2 dan menyerahkan kertas kosong A4 kepada pelajar 2 yang kini berperanan sebagai pemberi arahan kepada pasangannya pula. Arahan untuk mereka bertukar peranan itu juga diberikan oleh pembantu fasilitator. Kemudian mereka melakukan prosedur seperti pusingan pertama.

Selepas lebih kurang lapan minit, semua pasangan berjaya menyempurnakan aktiviti itu. Pembantu fasilitator mengutip kad grafik 2. Semua pelajar 1 menyerahkan lakaran mereka kepada fasilitator. Hasil kerja mereka menunjukkan objektif subsesi ini tercapai sepenuhnya. Fasilitator memberikan peneguhan kepada semua pelajar.

Langkah ketiga saya anggap sebagai aktiviti lanjutan dan dirancang menggunakan masa lima minit. Nota “Medan Makna” diedarkan kepada semua pelajar. Dalam kelompok masing-masing, pelajar membaca nota secara bersendirian. Kemudian mereka berbincang sesama sendiri tentang kaitan kandungan nota dengan aktiviti yang telah dialami. Mereka dikehendaki mencatat butiran perbincangan. Catatan itu perlu dihantar kepada e-grup Grup_PM.

Sebagai penutup ringkas sesi ini, dua orang pelajar melaporkan hasil perbincangan kelompok masing-masing.

25 Januari 2009

SPK di Dalam dan di Luar Bulatan

Kaedah Pembelajaran Koperatif: Catatan Pelaksanaan SPK di Dalam dan di Luar Bulatan
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Pendahuluan

Saya sudah berinteraksi sebanyak tiga kali dengan kumpulan ini. Saya mendapati mereka cerdik, mendengar kata, dan berkemampuan menghadapi gaya pembelajaran yang mencabar. Keadaan ini mendorong saya mencuba kaedah pembelajaran koperatif sepenuhnya semasa interaksi keempat.

Interaksi keempat ada dua jam. Saya membahagikan interaksi ini kepada dua sesi, iaitu satu jam setiap sesi.

Dalam sesi pertama saya menggunakan struktur pembelajaran koperatif (SPK) di dalam dan di luar bulatan. Sesi ini bertujuan mengukuhkan pemahaman pelajar terhadap konsep semantik yang dipelajari dalam interaksi kedua dan empat teori semantik yang dipelajari dalam interaksi ketiga.

Dalam sesi kedua, saya mendedahkan tajuk baharu, iaitu “Medan Makna”. Saya menggunakan SPK lakarkan saya.

Catatan Pelaksanaan SPK di Dalam dan di Luar Bulatan

Induksi set sesi ini ialah paparan melalui LCD wajah empat orang remaja. Beberapa orang pelajar menyatakan makna gambar itu. Saya (fasilitator) mengemukakan beberapa soalan. Kemudian fasilitator mengaitkan jawapan pelajar dengan keluasan makna.

Seterusnya beberapa orang pelajar menyatakan makna “bunga seroja”. Berlaku soal jawab antara fasilitator dengan pelajar tentang keluasan dan pertambahan makna bagi sesuatu perkataan seperti bunga seroja dan bunga raya. Pelaksanaan induksi set menggunakan masa lima minit.

Langkah pertama dirancangkan menggunakan masa 10 minit. Langkah ini merupakan sesi persediaan untuk SPK di dalam di luar bulatan. Fasilitator memberitahu pelajar bahawa aktiviti pengukuhan untuk konsep semantik dan empat teori semantik akan diadakan di luar bilik darjah. Oleh sebab aktiviti pengukuhan itu ialah sejenis ujian, mereka diberi masa lima minit untuk membaca nota. Mereka hendaklah berusaha mengingat fakta-fakta penting.

Ada tanda kehairanan pada wajah pelajar. Seorang pelajar bertanya sama ada ujian itu ada markah atau tidak. Fasilitator menyatakan bahawa sesuatu ujian tidak semestinya ada markah. Apabila selesai membaca nota, fasilitator memuji kepantasan mereka membaca. Mungkin juga mereka sudah membaca nota itu bekali-kali sebelum sesi pelajaran ini.

Dalam keadaan berdiri berpasangan, arahan membentuk dua bulatan diberikan dengan bantuan rajah yang dipaparkan melalui LCD (Rajah1A, 1B dan 1C). Fasilitator memberitahu pelajar prosedur yang akan mereka alami. Fasilitator juga memberi mereka peluang untuk mengemukakan soalan.

Setelah berpuas hati bahawa mereka faham akan arahan fasilitator dan tiada lagi soalan yang dikemukakan, seorang anggota daripada setiap pasangan keluar dari bilik kuliah dan membentuk bulatan kecil. Bulatan itu dinamakan bulatan di dalam.

Setelah bulatan pertama terbentuk, anggota pasangan yang seorang lagi membentuk bulatan kedua di belakang pasangan mereka. Bulatan ini dinamakan bulatan di luar. Kedudukan mereka adalah seperti dalam Rajah 1A.

Aktiviti membentuk dua bulatan ini termasuk dalam langkah kedua yang dirancang menggunakan masa 20 minit dan dilakukan di luar bilik kuliah. Seorang pelajar wanita yang tidak mempunyai pasangan menjadi pembantu fasilitator.

Fasilitator menegaskan prosedur yang akan mereka alami. Pelajar dalam bulatan di dalam akan diberi kad soalan 1. Pemegang kad soalan dinamakan penyoal. Penyoal hendaklah mengemukakan soalan kepada pasangannya.

Pelajar yang akan memberikan jawapan dinamakan penjawab. Penjawab hendaklah menjawab soalan itu. Penyoal hendaklah memberikan pengukuhan bukan lisan kepada penjawab semasa dia menjawab dan pengukuhan lisan dan bukan lisan setelah dia selesai memberikan jawapan. Mereka diberi peluang mengemukakan soalan.

Apabila mereka bersedia, pembantu fasilitator mengedarkan kad soalan 1 kepada pelajar dalam bulatan 1 (penyoal). Pusingan pertama dimulakan.

Proses yang dirancangkan berjalan dengan lancar. Dalam masa kurang daripada tiga minit pusingan pertama selesai. Fasilitator memberikan peneguhan lisan atas kerjasama dan kejayaan mereka.

Pada masa yang sama, pembantu fasilitator mengutip kad soalan 1 sambil memberikan kad soalan 2 kepada pelajar yang membentuk bulatan di luar. Pusingan kedua (Rajah 1B) berjalan lancar dan diikuti pusingan ketiga (Rajah 1C) yang juga berjalan licin. Masa yang digunakan lebih kurang 12 minit.

Langkah ketiga dirancangkan menggunakan masa tujuh minit dan dilangsungkan di dalam bilik kuliah. Langkah ini berupa sesi rumusan dan refleksi. Dua orang pelajar diminta memberikan faedah aktiviti tadi. Dua orang pelajar yang lain mengemukakan komen (perasaan, keistimewaan, perjalanan aktiviti).

Fasilitator mengemukakan soalan bonus: Apakah anda fikir hanya ada empat teori semantik sahaja? Sila beri sebab terhadap pendirian anda.

Penutup, sekali gus sesi rehat minda (brain breaks), dirancang lima minit. Seni kata lagu “Seroja” ditayangkan melalui LCD. Fasilitator menyanyikan sebahagian daripada lagu itu. Kemudian seorang pelajar lelaki mengetuai rakan-rakannya menyanyikan lagu itu.

Catatan Selepas Pelaksanaan SPK di Dalam dan di Luar Bulatan

Penggunaan masa sesi ini ialah 55 minit. Jikalau persediaan dilakukan lebih rapi, aktiviti seperti ini dijangka dapat disempurnakan dalam masa kurang daripada 50 minit. Jadi rehat antara sesi dapat diadakan.

Pelaksanaan aktiviti di dalam dan di luar bulatan ini lancar. Saya menghormati pilihan pelajar untuk mengadakan aktiviti di kawasan redup walaupun kawasan itu agak sempit. Pelajar terpaksa berdiri rapat dengan rakan-rakannya. Akibatnya mereka kurang selesa memberikan jawapan kerana dapat didengar oleh rakan-rakan di sebelah-menyebelah mereka. Kekurangan ini perlu diberi perhatian jikalau aktiviti seperti ini diadakan lagi.

Pelajar menyatakan mereka dapat melakukan ulang kaji melalui aktiviti ini. Kefahaman mereka terhadap teori semantik meningkat. Ini bermakna matlamat saya untuk melakukan ulang kaji dalam bentuk aktiviti tercapai.

Namun, pelajar menganggap ada juga kelemahannya, iaitu mereka tidak pasti sama ada jawapan yang diberi itu betul atau salah. Kelemahan ini ditampung dengan perbincangan di e-grup.

Pelajar menyatakan mereka berasa seronok mengikuti aktiviti ini. Seorang pelajar wanita berkata, dia akan cuba menggunakan aktiviti ini apabila menjadi guru nanti.

Saya berterima kasih kepada mereka kerana mematuhi arahan saya. Sebenarnya, sebelum aktiviti bermula saya berasa cemas juga takut-takut pelajar kurang mengendahkan arahan saya.

Tahun Baru atau Tahun Baharu?

Yang berikut ialah hasil carian dengan menggunakan enjin carian Google:

Results 1 - 10 of about 419,000 for "Tahun Baru Cina". (0.22 seconds)
Results 1 - 10 of about 3,850 for "Tahun Baharu Cina". (0.27 seconds)
***
Results 1 - 10 of about 80,500 for "Selamat Tahun Baru Cina". (0.30 seconds)
Results 1 - 10 of about 115 for "Selamat Tahun Baharu Cina". (0.16 seconds)

Hasil carian ini menunjukkan ungkapan “tahun baru” sangat tinggi penggunaannya berbanding dengan ungkapan “tahun baharu”.

Antara penulis blog yang menggunakan ungkapan “Tahun Baru Cina” ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam. Antara penulis blog yang menggunakan ungkapan “Tahun Baharu Cina” pula ialah Cikgu Tan C L, Cikgu Abdul Ghalib Yunus dan Cikgu Musri Kadir.

Manakah ungkapan yang terkini dan persis?

***

Penulis blog ini mengucapkan "Selamat Tahun Baharu Cina" kepada para pengunjung yang menyambut Tahun Baharu Cina.

Lampiran
Antara “Baru” dengan “Baharu”
Klik DBP, 2005.

Saudara Ketua Editor,

Apakah perbezaan antara baru dengan baharu dan bagaimanakah contoh penggunaannya?

Kiriman: Nur Atiqah Saadon, Taman Sri Lalang, Kota Tinggi, Johor.

Saudara,

Kami mengucapkan terima kasih atas pertanyaan saudara. Antara baru dengan baharu, kedua-duanya membawa maksud yang berbeza.

Baru ialah kata bantu manakala baharu ialah kata adjektif. Baru kalau diterjemahkan ke bahasa Inggeris membawa maksud just, manakala baharu pula membawa maksud new . Dalam erti kata lain, baru berkaitan dengan tempoh masa yang belum lama berlalu seperti dalam contoh berikut:

i. Mereka baru sahaja berkenalan.
ii. Dia baru tiba dari Pulau Pinang.
iii. Mesyuarat itu baru sahaja selesai.

Manakala baharu (new) pula merupakan kata adjektif yang menerangkan keadaan sesuatu yang berlawanan sifatnya dengan lama atau buruk seperti yang terdapat dalam contoh berikut: kereta baharu, baju baharu, majalah baharu, pelajar baharu, guru baharu, kaedah baharu, teknologi baharu dan sebagainya.

Dari segi morfologi, kata baru tidak boleh menerima imbuhan tetapi boleh menerima bentuk gandaan, iaitu “baru-baru” seperti dalam ayat: Baru-baru ini dia memenangi Hadiah Sastera Remaja. Manakala kata baharu boleh menerima awalan teR- menjadi “terbaharu”, awalan mempeR- menjadi “memperbaharu dan apitan meN-...-i menjadi “membaharui”.

Dari segi semantik, baharu juga boleh bermaksud moden. Kadang-kadang baharu juga dipendekkan menjadi baru dalam penggunaan harian. Bagaimanapun, ini tidak digalakkan.

Berhujah dalam Mesyuarat

Baku
Ada dua tuntutan dalam kes itu.
Dia akan berhujah dalam mesyuarat itu.
Pedoman Bahasa (JPEG) 009. Kata Sendi Nama "dalam".

24 Januari 2009

Kaedah Pembelajaran Koperatif: Catatan Permulaan

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Kita sering mendengar rungutan bahawa pengajaran guru kurang menarik atau membosankan. Jikalau sekadar kurang menarik kenyataan itu mungkin dapat kita telan. Sebaliknya, jikalau penat lelah kita dicap sebagai membosankan, sesiapapun akan berasa bagai dihiris dengan sembilu.

Adakah sesiapa bertujuan mewujudkan kebosanan dalam kalangan pelajar? Sudah pasti tidak. Namun, hakikatnya perkara itu pernah terjadi. Bukankah kita menjadi murid pada suatu masa dahulu? Sebagai murid, rasanya biasa sangat kita berhadapan dengan situasi yang membosankan itu.

Guru bestari yang dipilih untuk menggerakkan sekolah bestari, pasti tidak mahu pengajarannya dilabelkan sebagai membosankan. Guru dalam latihan (GDL) yang dipilih untuk menceriakan pengajaran dan pembelajaran Jawi, al-Quran, bahasa Arab, dan Fardu Ain (j-QAF); sudah tentu tidak rela pengajarannya dicap sebagai membosankan.

Apatah lagi pelajar cemerlang yang terpilih untuk mengikuti kursus persediaan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP). Jikalau suatu masa nanti mereka dicap begitu, akan luluhlah hati anda. Terkulai tengkuk pensyarah mereka.

Tidak kira siapa kita: guru kawakan, guru bestari, guru cemerlang, guru muda yang memiliki diploma perguruan, guru yang terlatih melalui program Kursus Latihan Perguruan Lepas Ijazah (KPLI), guru separuh umur merangkap pelajar Universiti Terbuka Malaysia (OUM), GDL dalam program Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS), atau remaja cemerlang yang sedang mengikuti kursus persediaan PISMP; sudah pasti kita semua mengimpikan pengajaran yang dilabel oleh murid sebagai cemerlang dan istimewa; bukan kurang menarik, apatah lagi membosankan.

Ada banyak cara untuk menjadikan pengajaran kita dapat dianggap cemerlang dan istimewa. Satu daripada caranya adalah dengan menggunakan kaedah pembelajaran koperatif.

Spencer Kagan ialah orang utama yang mempopularkan kaedah ini. Dia menyusun dan mengadaptasi pelbagai aktiviti yang dapat dilaksanakan dengan cara yang menarik. Koleksi aktiviti itu dinamakan struktur pembelajaran koperatif (SPK) termuat dalam buku Modul Latihan Struktur Pembelajaran Koperatif terbitan Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia (tanpa tarikh).

Buku itu diedarkan kepada peserta kursus yang berkenaan sahaja. Namun, sedutan dan ringkasan buku itu dapat dibaca daripada beberapa sumber di Internet. Untuk mengakses sumber itu, gunakan frasa "pembelajaran koperatif” atau “kaedah pembelajaran koperatif”. Cubalah.

23 Januari 2009

Masih dalam Perjalanan

Baku
Abdullah aktif dalam bidang sukan.
Mereka masih dalam perjalanan ke sini.

Pedoman Bahasa (JPEG) 008. Kata Sendi Nama "dalam".

22 Januari 2009

Amalan Refleksi Semasa Praktikum

Oleh Mohd Firdaus bin Haji Abd Salam
Institut Perguruan Keningau, Sabah

Satu daripada komponen yang dinilai semasa praktikum ialah amalan refleksi. Amalan refleksi terbahagi pula kepada tiga aspek iaitu pemikiran reflektif, catatan reflektif dan pembinaan portfolio. Kertas ini membincangkan pemikiran reflektif dan catatan reflektif sahaja.

Secara mudah, refleksi ialah proses mengingat dan merenung kembali aktiviti pendidikan yang difikirkan atau dialami. Perkara yang difikirkan atau dialami itu dianalisis dan dinilai kesannya, termasuk memikirkan cara penambahbaikan demi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Catatan refleksi praktikum guru pelatih (GP) perlu memperlihatkan kematangan. Antaranya ialah mereka perlu menulis ulasan secara kritikal. Mereka perlu menyerlahkan kebolehan membuat tindakan susulan. Refleksi mereka juga sepatutnya memperlihatkan perkembangan dan peningkatan kualiti diri.

Pemikiran reflektif pula perlu memperlihatkan kemampuan mereka mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri, menghubungkaitkan sebab dan akibat terhadap sesuatu tindakan, mengaitkan sebab dan akibat untuk membuat inferens, meramal kesan sesuatu tindakan berlandaskan bukti, dan seterusnya merancang langkah susulan dengan mengambil kira unsur kajian masa depan (KMD).

Jelasnya, pemikiran reflektif ditandai oleh tindakan guru yang dapat mengenal pasti serta menilai kekuatan dan kelemahan diri dengan jelas, dapat menghubungkaitkan sebab dan akibat tindakan yang diambil berasaskan bukti. Justeru, meningkatkan pemikiran reflektif dalam kalangan GP sangat penting. Amalan ini diyakini mampu merangsang minat dan usaha untuk mereka meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Persoalannya sejauh mana amalan refleksi dilaksanakan oleh GP dan mampu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Berdasarkan pengalaman, penulis mendapati kebanyakan GP masih kurang faham tentang aspek ini. Misalnya, catatan mereka bersifat laporan atau deskriptif. Mereka hanya menyatakan kekuatan dan kelemahan pengajaran dan pembelajaran tanpa cadangan penambahbaikan. Kebanyakannya hanya menjawab persoalan apa yang berlaku dan bukannya mengapa atau bagaimana sesuatu itu berlaku; jauh sekali mengaitkannya dengan teori-teori pembelajaran.

Natijahnya, masalah-masalah yang sama dihadapi oleh GP setiap kali masuk kelas dan kandungan catatan refleksi juga seakan-akan serupa. Tiada catatan cadangan untuk menambah baik kelemahan-kelemahan yang lepas dan tiada aspek penilaian untuk menambah baik atau meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Tindakan-tindakan tersebut kurang mencerminkan pemikiran reflektif yang seperti yang dihasratkan.

Ada ketikanya GP memberi alasan kurangnya masalah yang dihadapi semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh sebab itu, tiada lagi masalah yang perlu diketengahkan kerana proses pengajaran dan pembelajaran pula telah dilaksanakan dengan baik. Situasi ini juga menyebabkan catatan refleksi mereka bersifat laporan dan tidak memperlihatkan ciri-ciri penilaian kembali kekuatan dan kelemahan proses pengajaran dan pembelajaran.

Segelintir pensyarah pembimbing pernah mengutarakan ketidakpuasan terhadap kematangan GP membuat refleksi kritikal dan ulasan kendiri, kebolehan membuat tindakan susulan serta memperlihatkan perkembangan dan peningkatan kualiti diri. Perkara ini perlu dibincangkan lebih lanjut dan penyelesaiannya mesti diusahakan. Selain itu, kita juga patut membincangkan amalan refleksi selepas guru pelatih GP ditempatkan di sekolah.

Jangan Nafikan Kepentingan Bahasa Kebangsaan

Pedoman Bahasa (JPEG) 007. Resolusi Kongres Bahasa Utama Dunia, 2004.

Mencari Kamus Dewan Terbitan Tahun 1970

Saya ingin memiliki Kamus Dewan terbitan tahun 1970. Jika tuan memiliki kamus itu dan sudi memberikannya kepada saya, sila nyatakan kesudian tuan itu melalui e-mel mohdisa_abdrazak@yahoo.com.

Jika tuan memberikan kamus itu kepada saya secara percuma, alhamdulillah dan terima kasih. Jika tuan perlukan sedikit sagu hati, insya-Allah akan saya usahakan. Jumlah sagu hati yang mampu saya berikan tidak banyak. Dengan sagu hati itu, tuan hanya dapat membeli dua buah Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) atau dua buah buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008). Belanja pos saya tanggung.

Saya pernah memiliki dua buah Kamus Dewan terbitan tahun 1970. Apabila Kamus Dewan Edisi Baru terbit pada tahun 1984, kamus lama itu saya keluarkan daripada rak buku. Sebuah kamus itu saya berikan kepada rakan dan sebuah lagi saya jual dengan harga RM5.00.

Sejak beberapa tahun lalu saya menyesali perbuatan saya itu. Rupa-rupa kamus lama masih ada gunanya. Antaranya, dari semasa ke semasa saya membandingkan masukan tertentu antara kamus edisi lama dengan kamus edisi seterusnya.

Saya berpesan pada diri sendiri: “Jangan tergesa-gesa membuang yang lama kerana mendapat yang baharu. Hargailah yang lama kerana yang lama itu masih ada gunanya.”

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Insya-Allah, tanduk tetap berguna sampai bila-bila.

21 Januari 2009

Format RPH Bahasa Melayu

Lajur 1, 2, 3 dan 4 sebenarnya bersambung. Pemecahan dilakukan untuk menyesuaikan penyiarannya di blog ini.

Format RPH ini dicipta berdasarkan contoh yang dikemukakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Untuk keperluan praktikum, beberapa ubah suaian dilakukan. Antaranya ialah lajur khas untuk langkah dan masa diwujudkan dan ruangan refleksi diadakan. Format yang diberikan di sini ialah bahagian badan sahaja. Pembaca boleh merujuki buku Panduan Penyeliaan Praktikum Institut Perguruan Keningau (2007) untuk memperoleh contoh lengkap.

Kemas kini pada 27 September 2009. Masukan yang berkaitan dengan catatan ini:
1. Latar Kurikulum Bahasa Melayu
2. Panduan Praktikum Sekolah Rendah
3. Rancangan Pengajaran Tahunan/Semester
4. Format RPH Bahasa Melayu
5. Format RPH dan Penggunaan Lajur Catatan
6. Empat Kejanggalan dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH)
7. Aktiviti Pemulihan Semasa Praktikum
8. Rancangan Pengajaran Harian (RPH) Contoh
9. Pengisian Kurikulum BM: Nilai Murni
10. Pengisian Kurikulum BM (KBT1): Kemahiran Berfikir

Nota pada 9 Julai 2012

Saya mendapati masukan ini tergolong dalam lima catatan popular dan sudah dicapai 1062 kali.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pengunjung yang sudi singgah di sini. Di samping itu, saya berharap pengunjung hendaklah menganggap masukan ini sebagai panduan sahaja. Ubah suaian perlu dilakukan dengan berdasarkan kehendak institusi dan keperluan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Jikalau pengunjung ada idea tentang ubah suaian, sudilah kiranya dicatatkan idea itu dalam ruangan ulasan.

Format RPH dan Penggunaan Lajur Catatan

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Tulisan ini ialah sambungan masukan pada 13 Januari 2009 yang bertajuk “Latar Kurikulum Bahasa Melayu”.

Jabatan Pengajian Melayu pernah menerima pakai format RPH seperti dalam masukan di atas. (Klik di sini jika tidak kelihatan.)

Sekurang-kurangnya satu aspek sistem bahasa dan empat aspek pengisian kurikulum mesti diajarkan atau diserapkan dalam setiap sesi pengajaran.

Bagi elemen pengisian kurikulum, nilai dan kemahiran berfikir mesti ada dalam setiap sesi pengajaran. Dua aspek lagi boleh dipilih sendiri oleh guru pelatih dengan syarat satu daripadanya hendaklah daripada kumpulan kemahiran bernilai tambah.

Tiga perkara mesti dicatatkan dalam lajur ini.

Catatan pertama dan terpenting adalah tentang pencapaian objektif. Catatkan frasa pencapaian objektif 1, pencapaian objektif 2 dan sebagainya dalam langkah yang berkenaan. Catatan ini akan memudahkan guru pelatih, pensyarah penyelia dan guru pembimbing mengesan bahagian RPH yang bertujuan mengesan objektif pembelajaran.

Catatan kedua adalah tentang pelaksanaan sistem bahasa. Catatkan aspek sistem bahasa yang dilaksanakan secara ringkas. Contohnya, imbuhan beR- dan ayat majmuk gabungan.

Catatan ketiga adalah tentang pengisian kurikulum. Catatkan aspek pengisian kurikulum yang berkenaan secara jelas tetapi ringkas. Contohnya,

Nilai: Kebersihan mental dan fizikal.
Kemahiran Berfikir: Membandingkan dan membezakan sekolah yang bersih dengan yang kotor.
Ilmu: Sains: Kepentingan menjaga kebersihan untuk mengelak merebaknya penyakit.
Kemahiran Masa Depan: Pelajar dapat membuat ramalan akibat bersih dan kotor.

Ketiga-tiga catatan ini menepati penekanan kurikulum dan kandungan kurikulum.

Catatan tentang perkara yang lain ialah pilihan. Pilih perkara yang penting dan istimewa sahaja untuk dicatatkan dalam lajur ini agar tumpuan semua pihak tidak tersasar daripada tiga perkara tadi.

Contoh perkara tambahan yang dapat dianggap penting dan istimewa untuk dicatatkan ialah penggunaan kaedah seperti kaedah stesen, penggunaan teknik seperti kerusi panas, dan penggunaan bahan pembelajaran seperti klip video dalam Power Point.

Rumusannya, guru pelatih perlu menjelmakan kehendak kurikulum dalam RPH. Guru pelatih juga perlu mengutamakan perkara penting seperti objektif.

Nota
Tulisan ini dipetik daripada kertas kerja yang dibentangkan dalam satu seminar di Kota Kinabalu pada 31 Oktober 2007.

Hujan

I
Sudah seminggu engkau menggugu
seminggu pula ladang kami tidak bertunggu!

Sudah, sudah, engkau berhentilah
kasihanilah kami
petani dan penoreh getah
lihat dapur kami tidak berapi.

Tuhan
hujan sudah cukup sekarang
kami tunggu mentarimu menjelang.

II
Kami di laut selalu takut
kerana ribut bawa maut
pada siapa mahu berpaut
pada-Mu juga kami sujud.

Pabila hujan padi kami dibanjiri
mahu makan tiada nasi
anak-anak tidak peduli
kasihan-Mu jua pintaan kami.

Pada kami penoreh getah
pabila hujan kami kalah
apa-apa dimamah semua mentah
pada-Mu juga kami berserah.

III
Tuhan,
hujan sudah cukup di sini
besok boleh berbakti lagi
kami tunggu cahaya mentari.

MOHD ISA BIN ABD RAZAK
Tingkatan IV
Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Durah
Seremban
(Persada Pelajar, Utusan Malaysia, 1968)

Mengharapkan Respons Pelajar

Baku
Guru memang mengharapkan respons pelajar.
Harga rumah itu belum termasuk insurans nyawa dan insurans kebakaran.

Pedoman Bahasa (JPEG) 006. Ejaan Kata Pinjaman Inggeris.

20 Januari 2009

KKP Meningkatkan Pengetahuan dan Kemahiran

Ini ialah refleksi Kerja Kursus Pendek (KKP) Bahasa Melayu Minor, Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) Pemulihan Khas oleh Sarina binti Ismail. Refleksi ini sudah disunting.

Pencarian maklumat untuk tugasan ini bermula semenjak cuti persekolahan. Pada masa cuti itu saya sempat membuat rujukan di perpustakaan Kota Kinabalu, Tawau, Semporna dan Institut Perguruan Keningau.

Semasa cuti itu juga saya berhubung dengan guru-guru terlatih untuk mengumpul contoh rancangan pengajaran tahunan (RPT) dan rancangan pengajaran harian (RPH). Selain itu, mereka membantu saya memilih kaedah mengajar yang berkesan. Saya juga berjaya memperoleh bahan bantu belajar daripada mereka.

Pembinaan RPT dan RPH bertemakan permainan dengan tajuk “Permainan Kegemaranku” ini dapat dikaitkan dengan Mazhab Humanis. Mazhab ini berpendapat pembelajaran manusia bergantung pada emosi dan perasaan. Oleh itu, strategi pengajaran dan pembelajaran saya atur mengikut kehendak dan perkembangan emosi pelajar. Pembelajaran yang berlaku ialah hasil latihan atau pengalaman.

Selain itu, pembelajaran ini dapat dikaitkan dengan pandangan Birch, iaitu ahli psikologi Mazhab Kognitif. Dia menyatakan celik akal berlaku bergantung pada pengalaman sedia ada. Berasaskan teorinya, pengajaran dan pembelajaran ialah perkaitan pengalaman yang sedia ada dengan pembelajaran baharu.

Berdasarkan pandangan Birch, tumpuan pada topik “Permainan Kegemaranku” akan memudahkan proses ingatan murid sekali gus menarik minat mereka. Hal ini berlaku demikian kerana mereka mempunyai pengalaman tersendiri. Tambahan pula, alam kanak-kanak sekolah rendah penuh dengan aktiviti permainan yang menggembirakan dan memuaskan hati mereka.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 3/1987 “Penyeliaan Pengajaran-pembelajaran di dalam Kelas oleh Pengetua/Guru Besar” dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 3/1999 “Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran” membuktikan betapa pentingnya penyediaan rekod mengajar yang berkesan untuk mengukur takat pencapaian objektif pembelajaran.

Walaupun pencarian maklumat bermula semenjak cuti semester, namun tugasan ini hanya dapat saya siapkan sepenuhnya pada saat-saat akhir. Kelewatan ini berlaku kerana terdapat beberapa penambahbaikan terhadap tugasan asal. Saya memanfaatkan pengalaman menjalani praktikum untuk menghasilkan RPH yang lebih berkesan.

Tugasan ini menambah pengetahuan dan kemahiran pedagogi saya. Tugasan ini juga mengukuhkan pendirian saya bahawa pencarian ilmu hendaklah berterusan dan sentiasa diamalkan.

Rumusannya, saya mesti terus menjadi pencari ilmu. Ilmu itu pula perlu saya gunakan dalam bilik darjah agar pengajaran saya lebih berkesan. Kesedaran hendaklah bermula dari dalam diri agar kita dapat mencari jalan penyelesaian terbaik bagi setiap masalah yang dihadapi semasa bergelar guru terlatih nanti.

Misai dan Janggut

Coretan ini terhasil apabila saya membaca masukan “Ada-ada Sahaja: Misai”. (Klik tajuk masukan untuk membacanya.)

Kata Wan Zain, yang bermisai sahaja, kucing; yang berjanggut sahaja, kambing.

Apabila ditanya, “Jikalau berjanggut dan bermisai?”

Wan Zain diam.

Milah pula mencelah, “Yang berjanggut sahaja itu Tuan Guru aku.”

Senah menambah, “Usop kata, bermisai sahaja macam Yahudi. Betulkah?”

“Berjanggut itu sunah!” celah Sharifah.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan

Pencinta bahasa Melayu wajar mengetahui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Pelajar Pengajian Melayu pula, termasuk di institut perguruan, perlu merujuki Perkara 152 dari semasa ke semasa. Penyiaran Perkara 152 di sini diharap dapat membantu mereka. Jika ada kesilapan, mohon catatkan pembetulan dalan ruangan ulasan.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan

1 Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.

Dengan syarat bahawa:

(a) tiada sesiapapun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud, lain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

(b) tiada apa-apa juga dalam Fasal ini boleh menyentuh hak kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri bagi memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan.

2 Walau apa-apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan dalam kedua-dua Majlis Parlimen, dalam Dewan Negeri tiap-tiap negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.

3 Walau apa-apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, naskhah yang sahih:

(a) bagi segara Rang Undang-undang yang hendak dikemukakan atau pindaan-pindaan mengenainya yang hendak dicadangkan dalam mana-mana Majlis Parlimen, dan

(b) bagi segala Akta Parlimen dan segala perundang-undangan kecil yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

4 Walau apa-apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, segala perbicaraan dalam Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dijalankan dalam bahasa Inggeris. Dengan syarat bahawa, jika mahkamah dan peguam kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak payah diterjemah atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

5 Walau apa-apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, segala perbicaraan dalam Mahkamah rendah, lain daripada mengambil keterangan, hendaklah dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Sila rujuk: Wilkipedia, Perlembagaan Malaysia/Am dan Pelbagai dan Wilkipedia, Perkembangan Bahasa Malaysia.

Manfaat Latihan Menulis RPH Terperinci

Refleksi Kerja Kursus Pendek (KKP) Bahasa Melayu Minor
Oleh Asnita Lee Che Oon

Tugasan ini memberi peluang kepada saya lebih memahami maksud dan fungsi Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) dan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Kini saya lebih berkeyakinan untuk menulis RPH. Keyakinan ini memang saya perlukan untuk menghadapi praktikum.

Saya pernah menjadi guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di Lahad Datu. Kini saya menjalani praktikum sebagai guru pelatih di Keningau. Saya dapati ada perbezaan antara RPH GSTT dengan RPH guru pelatih. RPH GSTT terlalu ringkas sedangkan RPH guru pelatih terperinci.

Yang lebih terperinci ialah RPH kerja kursus pendek (KKP) ini. Mula-mula saya anggap tugasan ini sebagai beban. Kini, saya berpendapat hal ini wajar kerana RPH KKP merupakan bahagian utama dalam tugasan. Sebaliknya, RPH praktikum hanya bahagian asas, tetapi penting, dalam praktikum.

Tugasan ini mengaktifkan saya mengumpul maklumat. Hasilnya saya dapat mengumpul beberapa contoh RPT dan RPH sebenar. Saya memperoleh bahan-bahan itu daripada beberapa buah sekolah di Lahad Datu dan di Keningau. Saya juga sempat menemu bual beberapa orang guru terlatih. Saya memanfaatkan ciri-ciri baik setiap bahan dan dapatan temu bual itu untuk tugasan ini. Tegasnya, belajar dapat dilakukan secara bersendirian daripada sumber persekitaran kita.

Dahulu, saya merasakan penulisan RPH amat sukar dan terlalu terperinci. Kini, setelah menyelesaikan KKP ini, saya mendapati penulisan RPH sebenarnya tidaklah terlalu sukar, walaupun tidaklah mudah. Malah kini saya semakin berminat meneliti Huraian Sukatan Pelajaran (HSP), RPT dan RPH di sekolah. Tanpa meneliti HSP dan menulis RPT dan RPH dengan teliti, perancangan akan goyah.

Rumusannya, pengalaman melaksanakan KKP ini akan menjadikan saya lebih yakin merancang pelajaran apabila bergelar guru terlatih nanti.

Sekerat Ular, Sekerat Belut Masih Ada?

Masukan "Bahasa Rojak" ada dalam Wikipedia. Isi kandungannya adalah seperti yang di bawah.
1 Sejarah
2 Isu Bahasa Rojak
2.1 Bahasa Rojak (Bahasa Melayu campur bahasa Inggeris)
2.2 Bahasa Rojak (Bahasa Cina campur bahasa Inggeris)
2.3 Bahasa Rojak (Bahasa Melayu campur bahasa Cina campur bahasa Inggeris)
3 Kontroversi penggunaan
3.1 "Jangan lupa diri"
4 Pendatang penjajah
5 Pendapat orang awam
6 Rujukan
7 Lihat juga
8 Pautan luar

Pedoman Bahasa (JPEG) 005. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.

19 Januari 2009

Saya Tidak Pandai, Cikgu

Oleh Traccie Sahni

Wanis. Dialah murid yang saya bimbing secara individu semasa praktikum.

Apabila guru pembimbing mencadangkan agar saya membimbing murid tahun empat itu, saya tergamam. Dia tidak boleh membaca. Saya risau dan tertanya-tanya. Mampukah saya memulihkannya?

Saya pernah mengajar di Kuala Lumpur selama tiga tahun. Mengapakah rasa risau dan ragu masih ada untuk menghadapi cabaran ini? Mungkin kerana saya hanyalah guru pelatih. Namun, demi memperoleh pengalaman semasa latihan, cabaran itu saya terima.

Wanis ialah murid Tahun Empat Emas. Pembelajarannya tersekat kerana masalah ekonomi keluarga.

Dia menghidangkan saya tangisan pada kali pertama bertemu dengannya. Ketika itu saya mengajarkan Bahasa Melayu di kelasnya. Saya masih ingat, dia menangis terus-terusan semasa saya mengajar. Kemudian saya ketahui, rupa-rupanya dia takut akan saya. Dia memang tidak dapat menyiapkan tugasan yang saya berikan.

Selepas mengajar, saya memanggilnya. Dan mulai hari itu saya memahami masalahnya. Ayat pertama yang menyebabkan saya sebak dan simpati ialah apabila dia berkata, "Saya tidak pandai, Cikgu."

Patutlah dia berkata begitu. Dia memang tidak boleh membaca. Pada ketika itu jugalah saya mengetahui bahawa Wanislah murid yang dicadangkan oleh guru pembimbing saya untuk dipulihkan.

Keesokan harinya, saya memanggil Wanis ke bilik pemulihan. Saya mengenal pasti daerah kelemahannya. Saya mendapati dia tidak bermasalah mengenal dan membunyikan huruf besar dan huruf kecil. Cuma, dia gagal mengenal pasti huruf vokal.

Sebagai langkah pertama, saya mengajarnya mengenali huruf vokal. Saya melatih tubinya menyebut huruf berulang kali. Latih tubi itu berbantukan bahan binaan saya sendiri. Antaranya ialah kad huruf dan bahan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi.

Wanis akhirnya dapat menghafal kesemua huruf vokal. Dia dapat menyebut huruf vokal dengan lancar dan betul tanpa bimbingan.

Sebagai peneguhan, saya menyediakan buku latihan untuk Wanis dan memberikan "nota ringkas" kepadanya untuk ulang kaji di rumah.

Keesokan harinya, saya melatih tubi Wanis membunyikan suku kata KV seperti ba, be, bi, bo, bu. Seperti biasa, saya membimbingnya terlebih dahulu sehinggalah saya yakin dia boleh membunyikannya dan membaca suku kata tersebut. Penggunaan bahan bantu belajar seperti kad suku kata dan kad gambar serta penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi sangat membantu Wanis menguasai kemahiran pada hari itu.

Sudah dua hari dia berada dalam bimbingan saya. Namun dia masih mempunyai sikap malu. Dia kurang bercakap. Untuk mewujudkan rasa selesa, saya mengajaknya berbual. Adakalanya saya bergurau dengannya supaya hubungan kami lebih akrab.

Saya dapat melihat perubahan sikap Wanis dari semasa ke semasa. Dia sudah mula berani memberikan senyuman dan menyapa saya apabila terserempak di mana-mana sahaja. Apabila melalui kelas pemulihan, dia juga berani melambai-lambaikan tangan kepada saya.

Saya mendapati Wanis sentiasa mengulang kaji suku kata yang sudah diajar. Jadi, dia dapat mengeja dan menyebut dengan baik setiap suku kata yang sudah diajarkan.

Adakalanya saya menguji Wanis menggunakan kemahiran yang susah sedikit. Saya gabungkan suku-suku kata seperti ba-ba, bi-bi, bo-bo dan bu-bu. Nyata penguasaannya lambat. Namun saya gembira kerana dia akhirnya dapat membaca suku kata yang telah digabungkan itu.

Apabila saya dapati Wanis sudah menguasai suku kata yang bermula dengan huruf b, saya beralih pula kepada suku kata yang bermula dengan huruf c seperti ca, ce, ci cu dan co.

Selepas sahaja Wanis menguasai bacaan suku kata itu, saya gabungkan dua suku kata bagi satu perkataan. Pada masa yang sama, saya menyelitkan juga suku kata yang bermula dengan huruf b yang sudah dipelajari seperti perkataan baca, cuba, caca, cici, cucu, cacu dan sebagainya.

Saya kerap membekalkan nota ringkas dan juga latihan sebagai aktiviti pengukuhan di rumah. Saya mendapat tahu Wanis mempunyai seorang kakak sepupu yang boleh membantunya di rumah. Dengan bantuan kakak sepupunya itu dan dengan semangat dan usaha Wanis sendiri, dia mula menguasai kemahiran mengeja dan membaca.

Masa berlalu dan akhirnya saya selesai mengajarnya kesemua suku kata KV.

Kemahiran demi kemahiran semakin dikuasainya. Tiada yang lebih menggembirakan apabila akhirnya saya mendapati dia menguasai kemahiran asas mengeja dan membaca.

Saya sangat berpuas hati dan gembira dengan perubahan Wanis. Daripada seorang yang langsung tidak tahu membaca, kini dia sudah dapat menguasai bacaan perkataan KV + KV dan perkataan KVK serta sudah mampu membaca petikan yang ringkas.

Saya sentiasa memberi semangat kepadanya supaya terus berusaha untuk menguasai ejaan dan bacaan. Saya juga sangat gembira kerana Wanis memberitahu saya bahawa ibu bapanya juga sentiasa mengikuti perkembangan pelajarannya.

Selain meminta Wanis membaca, saya juga melatihnya menulis perkataan. Saya menyebut nama benda atau beberapa perkataan dan memintanya mengeja dan menulis perkataan itu dalam buku.

Sesiapa sahaja tentu berasa gembira apabila berjaya membimbing murid melangkah ke satu tangga yang lebih baik berbanding sebelumnya. Wanis kini sudah mampu dan semakin lancar membaca petikan ringkas atau cerita yang ada perkataan KV + KV. Kini dia mula mampu membaca perkataan KV + KV + KV.

Kelmarin, Wanis terpaksa saya tinggalkan kerana sesi praktikum sudah pun selesai. Saat berpisah, dia mencium tangan saya dan memeluk saya. Saya menahan air mata.

Saya masih menghubungi mantan guru pembimbing dan bertanya perkembangan Wanis. Saya berharap ketiadaan saya, tidak menjejaskan pembelajaran Wanis. Pasti ada guru lain yang dapat meneruskan bimbingan yang saya terokai.

Saya yakin Wanis bukanlah murid yang lemah. Jikalau tiada masalah kewangan, dia mungkin mampu menjadi murid yang pintar. Sedekad dua akan datang dia mungkin akan membentangkan hasil kajiannya tentang masalah pembelajaran membaca di sekolah kurang murid di kawasan pedalaman seperti Terian, Abuan dan Pantai Boring.

Nota
Catatan ini ialah gubahan semula catatan pendek dalam jurnal praktikum. Catatan ini disunting oleh mentor guru pelatih. Diharap guru pelatih institut pendidikan guru dan peserta kursus pemulihan khas dapat memanfaatkan catatan ini.

Abdullah Cinta akan Bahasanya

Baku
Asnita risau akan keselamatan anaknya.
Mereka hanya berpura-pura sayang akan bahasanya.

Pedoman Bahasa (JPEG) 004. Kata Sendi Nama "akan".

18 Januari 2009

Bersederhana Meraikan Kemenangan

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Sejak malam tadi banyak ulasan tentang pilihan raya kecil Kuala Terengganu berada dalam laman blog. Umumnya ulasan-ulasan itu dapat dibahagikan kepada dua, iaitu ulasan yang meraikan pemenang dan ulasan yang mengelus pihak yang tidak bernasib baik.

Syabas diucapkan kepada para penulis blog yang dapat menerbitkan ulasan mereka lebih awal daripada media cetak. Syabas juga diucapkan kepada mereka kerana dapat menggunakan bahasa Melayu yang baik dan memperlihatkan usaha menerapkan kesantunan berbahasa dalam tulisan mereka.

Dalam pada itu, ada juga sedikit keghairahan melimpah dan perasaan tertumpah dalam penulisan itu. Yang melimpah dan tertumpah itu bagai air terlebih suam tetapi tidaklah mendidih. Kulit lembut yang terkena percikan air terlebih suam itu mungkin berasa pedih tetapi mungkin tidak sampai melepuh, apalagi luka.

Daripada beberapa banyak ulasan itu, ada satu ulasan oleh penulis Blog Membelah Kabut. Dia ialah petugas pilihan raya kecil itu, juga penulis kreatif dari Sabah. Perenggan akhir ulasannya yang bertajuk “Bulan Mengambang di Kuala Terengganu” itu adalah seperti yang di bawah:

“Bulan 'mengambang' di Kuala Terengganu namun malam ini bulan tidak kelihatan. Jalan raya sesak, bunyi enjin motosikal mengaum berang dan nakal, sesekali bergema takbir dan kibaran panji-panji dengan begitu galak sekali. Berbaur dengan keadaan begitu saya teringatkan beberapa peristiwa yang terjadi dalam pilihan raya di Sabah sebelum 1994 terutama pergeseran politik yang tidak terkawal sehingga berlakunya tunjuk perasaan di Kota Kinabalu. Teringat juga gegaran bom sesekali, memang ini bukan budaya masyarakat yang cinta akan keharmonian bermasyarakat. Apakah demi mencapai slogan atau jargon berpolitik itu mengorbankan anugerah yang diberikan Tuhan lebih utama berbanding memilih kesederhanaan dalam apa juga tindakan. Memang apa yang saya ungkapkan ini tidak popular bagi yang berkepentingan, yang memiliki hasrat yang amat tinggi untuk bangsanya; padahal apa yang dapat difahami semua ini hanyalah babak-babak yang sengaja untuk sebuah kepuasan.”

Ada kemungkinan suasana yang digambarkannya biasa sahaja pada sesetengah pihak. Apabila direnungi, wajar benar luahan rasa penulis ini menjadi bahan muhasabah sesiapa sahaja yang memasuki apa-apa pertandingan, terutamanya para penyokong pemenang pertandingan itu.

17 Januari 2009

Pandai Berbahasa, Bijak Berbicara

Pedoman Bahasa (JPEG) 003. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.

Isu PPSMI ke Parlimen

Sebentar tadi akhbar mStar melaporkan bahawa pemenang pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Tuan Haji Mohd Abdul Wahid Endut akan membawa isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) ke Parlimen.

“Mengenai isu yang hendak dibawa ke Parlimen, Mohd Abdul Wahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam selama lima penggal berkata, beliau akan menumpukan kepada isu royalti minyak kepada Terengganu dan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI),” tulis G. Manimaran dalam mStar.

Berita ini pasti disambut dengan rasa gembira oleh penyokong Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) pimpinan, Datuk Dr. Hassan Ahmad. Sesiapa sahaja yang sayang akan bahasanya, tanpa mengira parti politik, wajar berkongsi kegembiraan ini.

Pada 15 Januari lalu GMP menyampaikan memorandum mansuhkan PPSMI kepada Tuan Haji Mohd Abdul Wahid Endut. Memorandum itu disampaikan oleh Timbalan Pengerusi GMP, Prof. Shahrir Md. Zain.

Tahniah diucapkan kepada Tuan Haji Mohd Abdul Wahid yang memperoleh 32,8883 undi. Beliau memperoleh majoriti 2,631 undi. Pesaingnya, Datuk Wan Ahmad Farid mendapat 30,252.

Catatan Mohd Isa bin Abd Razak