30 Jun 2009

Seminar Tulisan Jawi 1984

Seminar Kecil Tulisan Jawi PBM MPSS: Sambutan Pelatih dan Pensyarah Dingin
Oleh Pemerhati, Harian Ekspres, Isnin 28 Mei 1984

Pada 13 Mei 1984 lalu Persatuan Bahasa Malaysia Maktab Perguruan Sandakan (PBM MPSS) berjaya menganjurkan seminar kecil tulisan Jawi. Seminar kecil itu mengemukakan kertas kerja “Tulisan Jawi sebagai Jiwa Bahasa Melayu” oleh Encik Mohd Isa Abd Razak, pensyarah maktab itu.

Tulisan Jawi sebagai Jiwa Bahasa Melayu

Saya menulis esei (kertas kerja) ini pada tahun 1984. Saya berpendapat, pelajar Pengajian Melayu dan pengkaji sejarah tulisan Jawi masih dapat memanfaatkan esei ini. Jadi, esei ini saya siarkan untuk mereka dan para pencinta bahasa Melayu, khususnya peminat tulisan Jawi.

Saya hanya melakukan suntingan dari segi bahasa. Isi dan pemikiran asal kekal. Memang ada perkara dan pandangan baharu selepas esei ini saya tulis. Pembaca perlulah mengambil kira perkara dan pandangan baharu itu apabila memanfaatkan esei ini untuk apa-apa tujuan.

Esei ini agak panjang. Jikalau pembaca ingin membaca versi rencana akhbar yang ringkas sedikit, klik di sini.

Esei, Tulisan Jawi Sebagai Jiwa BM

28 Jun 2009

Analisis Kesilapan: Dari Sudut dan Lain-lain

Dalam Bonus Dewan Siswa keluaran Julai 2008 terdapat makalah yang bertajuk “Analisis Kesalahan Ayat (Siri 1)”. Makalah itu ditulis oleh Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad dan ditujukan kepada calon Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Calon PMR dan pengguna bahasa Melayu masih dapat memanfaatkan kandungan makalah itu.

Dalam makalah itu Nik Nor Ahmarizam menyenaraikan 20 ayat yang salah. Setiap ayat yang salah itu diikuti dengan sebab kesalahan dan ayat yang betul. Empat contohnya adalah seperti yang di bawah. Saya mengemukakan ulasan ringkas bagi dua contoh.

Contoh 1
Ayat yang Salah
Gaya bahasa pantun sudah ditinjau dari pelbagai sudut oleh pengkaji kesusasteraan.

Sebab Kesalahan
Kesalahan penggunaan kata sendi nama dari.

Ayat yang Betul
Gaya bahasa pantun sudah ditinjau daripada pelbagai sudut oleh pengkaji kesusasteraan.

Ulasan
Ini ialah ayat contoh dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Keempat (halaman 268): Mereka memulakan kerja pembersihan dari sudut kanan dewan itu. (bukan: Mereka memulakan kerja pembersihan *daripada sudut kanan dewan itu.) Perbincangan tentang perkara ini ada di sini. Kita masih boleh membincangkan lagi perkara ini.


Contoh 2
Ayat yang Salah
Hal ini kerana seseorang pemimpin mestilah dapat mengutarakan idea yang bernas untuk meyakinkan orang ramai.

Sebab Kesalahan
Ayat huraian ini tidak gramatis kerana tidak ada predikat.

Ayat yang Betul
Hal ini demikian kerana seseorang pemimpin mestilah dapat mengutarakan idea yang bernas untuk meyakinkan orang ramai.

Ulasan
(a) Kita wajar memikirkan sebab ayat ini dikatakan “salah”. (b) Sudah ada pendapat yang mengatakan ungkapan “hal ini demikian kerana” silap. Ungkapan yang dikatakan betul ialah “hal ini dikatakan (berlaku, terjadi) demikian kerana” Klik
di sini atau di sini. Namun beberapa pihak yang berwibawa masih menggunakan ungkapan ini. Klik di sini.
Contoh 3
Ayat yang Salah
Didoakan semoga anda berjaya dengan cemerlang.

Sebab Kesalahan
Ayat ini tidak gramatis kerana tidak ada subjek dan predikat.

Ayat yang Betul
Didoakan kejayaan yang cemerlang untuk anda.

UlasanSila catatkan ulasan tuan dalam ruangan ulasan.

Contoh 4

Ayat yang Salah
Kakak Liyana membantu emak menanak nasi.

Sebab Kesalahan
Ayat ini tidak gramatis kerana tidak disisipkan kata hubung pancangan komplemen untuk sebagai unsur keterangannya.

Ayat yang Betul
Kakak Liyana membantu emak untuk menanak nasi.

Ulasan
Sila catatkan ulasan tuan dalam ruangan ulasan.


Senarai yang di bawah ini pula ialah sedutan daripada makalah itu. Saya hanya menyedut frasa yang salah dan diikuti dengan frasa yang betul.

1. di atas sebab → atas sebab
2. koleksi kamus-kamus → koleksi kamus
3. mengingatkan kita terhadap kepentingan masa → mengingatkan kita tentang kepentingan masa
4. di dalam aktiviti → dalam aktiviti
5. membincangkan tentang → membincangkan
6. terlalu baik sekali → terlalu baik atau baik sekali
7. daun-daun kering berguguran → daun kering berguguran
8. ada pelajar-pelajar sekolah → ada pelajar sekolah
9. Hakimin dihadiahkan beberapa naskhah majalah → Hakimin dihadiahi beberapa naskhah majalah
10. Puan Hazama bertemu Puan Rajini → Puan Hazama bertemu dengan Puan Hazimi

26 Jun 2009

Budi Bahasa Amalan Kita - Dr. Ibrahim Ahmad

Klik gambar untuk melihat paparan yang lebih besar.

Semasa kita berinteraksi melalui e-grup dan blog kita mungkin terlupa bahawa kumpulan sasar kita bersifat umum. Tulisan kita mungkin dibaca oleh pelajar, guru, penjawat awam, ahli akademik, pesara, ahli politik dan sebagainya. Jadi, kita perlulah menggunakan bahasa yang sesuai agar mesej tulisan kita diterima oleh khalayak yang pelbagai itu. Pesan Dr. Ibrahim Ahmad ini wajar menjadi renungan kita.

Pedoman Bahasa (JPEG) 059. Minda Sarjana/Penulis Kita.

Kelinci, Lalap dan Lain-lain

Senarai di bawah ialah perkataan yang lazim digunakan di Indonesia. Perkataan dalam tanda kurung ialah perkataan yang lazim digunakan di Malaysia.

1. celana (seluar)
2. kaleng (tin)
3. kelinci (arnab)
4. lalap (ulam)
5. peci (songkok)
6. perunggu (gangsa)
7. petasan (mercun)
8. pupuk (baja)
9. rawa (paya)
10. rumah sakit (hospital)
11. singkong (ubi)
12. terasi (belacan)
13. terigu (tepung)

Dr. Ibrahim Ahmad, “Kamus Siswa”, Dewan Siswa, Ogos 2008, hlm. 21.

Penyanyi Dijulang, Penyair Berhati Walang

Penganjur acara baca puisi sudah biasa menjemput penyanyi hadir ke majlis baca puisi. Dalam majlis itu, penyanyi turut membaca puisi dan menyanyi.

Pernahkah penganjur majlis nyanyian (konsert dan sebagainya) menjemput penyair membaca puisi? Penyair Rahimidin Zahari mengatakannya tidak.

Rahimidin menulis: “Dan tak ada dalam sejarah Malaysia, penyair dijemput untuk baca sajak di majlis nyanyian. Jadi aku tak perlu hadir. Aku dok kat rumah baca Yassin lagi baiklah.” Baca tulisan beliau di sini.

Penyanyi ditatang. Penyanyi diundang. Penyanyi dijulang. Semuanya berlaku dalam acara baca puisi. Penyair berasa tersisih. Penyair sedih. Hatinya pedih.

25 Jun 2009

BI Ialah Bahasa Pinjaman

1. Bahasa Inggeris asli sebenarnya tidak ada. Yang ada ialah bahasa Anglo-Saxon yang terdiri daripada bahasa-bahasa suku kaum yang datang dari benua Eropah, iaitu bahasa Jermanik.

2. Pakar sejarah bahasa Inggeris menganggap bahawa bahasa Anglo-Saxon bukanlah bahasa Inggeris tetapi bahasa asing. Sebab itu, bahasa Inggeris kadang-kadang disebut a borrowed language, yakni bahasa pinjaman.

3. Bahasa Inggeris meminjam banyak perkataan dan istilah daripada bahasa-bahasa lain yang menyebabkan perkataan asal dalam bahasa Inggeris menjadi himpunan perkataan yang paling kecil berbanding dengan kata-kata pinjaman.

4. Menurut David Crystal, bahasa Inggeris meminjam perkataan dan istilah daripada 350 bahasa lain. Hanya satu perempat sahaja daripada perbendaharaan kata Inggeris yang masih mengekalkan perkataan daripada bahasa-bahasa Jermanik.

5. Tidak ada satu pun ayat dalam bahasa Inggeris moden, khususnya ayat bahasa sains yang tidak mengandungi lebih daripada 70 peratus perkataan dan istilah pinjaman daripada bahasa Latin atau Greek.

6. Bahasa Melayu sebaliknya, tidak pula meminjam perkataan dan istilah daripada 350 bahasa. Bahasa Melayu hanya meminjam perkataan dan istilah daripada 10 bahasa sahaja, terutamanya bahasa Arab.

Datuk Dr. Hassan Ahmad, “Bahasa Inggeris Sebenarnya Bahasa Pinjaman”, Dewan Bahasa, Jun 2009, halaman 24 – 25.

22 Jun 2009

Aktiviti Pemulihan Semasa Praktikum

Oleh Mohd Firdaus bin Haji Abd Salam
Institut Perguruan Keningau, Sabah

Dalam borang penilaian praktikum tidak terdapat penilaian aspek pemulihan. Ketidakjelasan ini dikhuatiri memberi implikasi terhadap pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Misalnya, aktiviti pemulihan mungkin kurang diberi penekanan semasa bimbingan oleh pensyarah atau guru pembimbing, dan pelaksanaannya di bilik darjah kurang terancang dan kabur. Hal ini turut menggambarkan seolah-olah aktiviti pemulihan kurang penting. Akhirnya kita akan temukan guru pelatih (GP) cemerlang tetapi tidak mampu menguasai dan melaksana aktiviti pemulihan semasa praktikum atau di sekolah kelak.

Salah satu konsep 5P dalam strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu ialah pemulihan. Dalam konteks KBSR, program pemulihan merupakan langkah-langkah khusus yang dijalankan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran asas 3M. Mereka patut dipulihkan sebaik sahaja masalah yang dihadapi itu dapat dikesan dan ditentukan oleh guru darjah atau guru mata pelajaran.

Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh yang ditetapkan. Bahan untuk program ini terdiri daripada kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan secara berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang sukar. Pelaksanaan program ini mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran (Huraian Sukatan Pelajaran SR). Oleh itu, program pemulihan ialah satu rancangan pembelajaran yang disediakan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah atau kesukaran pembelajaran dalam menguasai sesuatu kemahiran.

Keperluan aktiviti pemulihan juga sangat bergantung pada keperluan murid. Sekiranya terdapat murid yang dikenal pasti memerlukan aktiviti pemulihan, GP perlu menyediakan aktiviti pemulihan yang perlu dicatatkan dalam rancangan pengajaran harian (RPH). Berdasarkan pengalaman penulis, lazimnya GP tidak menyediakan aktiviti pemulihan walaupun ada murid yang memerlukannya. Senario ini dikhuatiri akan berterusan apabila GP ditempatkan di sekolah. Akhirnya pemulihan dalam bilik darjah tidak berlaku. Murid yang tidak menguasai 3M akan meningkat.

Kebimbangan ini pernah disuarakan oleh pelbagai pihak. Jabatan Pendidikan Khas pada tahun 2000 mendapati bahawa 10-15% murid sekolah rendah tidak menguasai 3M. PIPP (2005) mencatatkan 4.4% pelajar sekolah rendah tidak menguasai 3M dan 0.8% pelajar di sekolah menengah menghadapi masalah yang sama.

Pelaksanaan program KIA2M yang bermula pada tahun 2006 merupakan salah satu langkah nasional yang bertujuan membendung masalah ini. Mewujudkan program latihan perguruan bagi GP pemulihan khas di IPG juga diharap mampu membantu mengatasi masalah tersebut.

Justeru, aktiviti pemulihan dalam bilik darjah KBSR wajar diberi perhatian semula. Tanpa menidakkan program-program latihan yang sedia ada, lompang yang dikenal pasti melalui praktikum di IPG mungkin difikirkan semula. Hal ini perlu difikirkan dengan serius oleh pendidik guru dan guru pelatih.

Cadangan yang praktikal seperti memasukkan aspek pemulihan dalam borang penilaian praktikum perlu difikirkan. Dengan demikian kita mungkin dapat membentengi diri kita daripada memikul dosa apabila guru pelatih yang kita hasilkan gagal mencelikhurufkan murid mereka.

KPLI 18 Bulan: Empat Perkara untuk Renungan BPG

Keputusan Kementerian Pelajaran melanjutkan tempoh Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) mulai bulan Januari 2010 menjadi 18 bulan dijangka mampu meningkatkan kualiti latihan guru. Peningkatan kualiti latihan itu bergantung pada beberapa faktor seperti sistem pengambilan, struktur kurikulum dan kandungan kurikulum, sistem penyampaian dan sistem penilaian.
Kita percaya tenaga kerja di Bahagian Pendidikan Guru (BPG) yang sudah biasa dengan sistem kualiti MS-ISO mampu menangani perkara ini dengan berkesan. Pada kesempatan ini saya ingin mengemukakan empat perkara untuk renungan rakan-rakan di BPG.

Yang pertama, kandungan bidang pengajian profesional dan kurikulum persekolahan, khususnya aspek pedagogi seperti kajian sukatan pelajaran dan pengajaran mikro, hendaklah diselesaikan sebelum guru pelatih menjalani praktikum. Demi memudahkan pelaksanaan perkara ini, praktikum wajar diletakkan di akhir program. Sehubungan dengan hal itu, pengalaman penempatan terus seperti yang pernah dilaksanakan untuk satu ambilan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) pada suatu masa dahulu perlu direnungi kembali dan dimanfaatkan.

Yang kedua, kandungan masa untuk mata pelajaran Bahasa Melayu Kini (BMK) dalam bidang asas dinamika perlu ditambah. Kandungannya pula perlu ditinjau agar lebih menepati keperluan kini dan akan datang. Kandungan BMK hendaklah berfokus pada keterampilan berkomunikasi sebagai guru secara berkesan, sopan dan indah.

Selain itu aspek komunikasi yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) hendaklah menjadi keutamaan. Tujuannya adalah supaya bakal guru itu mampu menggunakan bahasa yang betul dalam apa-apa komunikasi yang berasaskan TMK. Contohnya, mereka dapat menggunakan bahasa yang betul, baik, sopan dan berkesan apabila menulis di blog dan e-grup serta apabila menulis e-mel dan SMS.

Yang ketiga, kemungkinan kursus Literasi Bahasa Melayu (LBM) menjadi mata pelajaran yang mesti dipelajari oleh semua guru pelatih seperti yang terdapat dalam Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) perlu difikirkan secara serius. Pelaksanaan LBM diyakini dapat membantu Kementerian Pelajaran mencapai beberapa fokus dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. Oleh sebab di sekolah menengah pun masih ada pelajar yang “bermasalah membaca dan menulis”, kursus ini perlu juga diikuti oleh KPLI sekolah menengah.

Yang keempat, pemantauan pelaksanaan kokurikulum perlulah dilakukan di institut pendidikan guru (IPG) dari semasa ke semasa. Selain menentukan ketepatan pelaksanaannya dengan kurikulum, hendaklah juga dipastikan agar pelaksanaan kokurikulum tidak berlebih-lebihan sehingga menimbulkan masalah untuk melaksanakan kurikulum, termasuklah praktikum. Sebaik-baiknya, janganlah kedengaran ungkapan “kokurikulum meruntuhkan kurikulum” dalam kalangan warga IPG.

Demikianlah empat pandangan umum dan ringkas untuk renungan rakan-rakan di BPG. Mudah-mudahan ada manfaatnya.

20 Jun 2009

Gementar pada Hari Pertama

Refleksi Praktikum oleh Juritah Gilong

Hari yang dinantikan telah pun tiba. Kini saya sudah melaporkan diri untuk menjalani praktikum di sebuah sekolah rendah kira-kira 60 kilometer dari institut kami. Saya akan berada di sekolah ini selama tiga bulan.

Pada hari pertama menjejakkan kaki di sekolah ini, saya berasa gementar kerana berada dalam situasi baharu. Kegementaran itu menjadi-jadi apabila kehadiran kami disambut sinis oleh pihak sekolah. Dikatakan bahawa kami dikehendaki melaporkan diri lebih awal, bukannya pada hari itu.

Mengapa perkara ini harus terjadi? Mungkinkah terdapat masalah penghantaran maklumat? Saya dan rakan terkasima seketika dengan kata-kata pihak sekolah itu. Namun hal ini dijernihkan oleh ketua kumpulan yang menjelaskan tempoh sebenar kami menjalani praktikum.

Pada hari tersebut juga kami bersama-sama mengikuti perhimpunan rasmi sekolah. Kami diminta memperkenalkan diri di hadapan hampir 50 orang guru dan seramai lebih kurang 1,800 orang murid. Gementarnya saya!

Sepanjang menjalani praktikum fasa kedua di sekolah saya mengalami banyak peristiwa suka dan duka. Pengalaman itu menambah kematangan saya. Cabaran dan rintangan yang saya lalui itu mengajar saya supaya lebih professional dalam setiap tindakan.

Semasa praktikum fasa kedua ini, saya memperoleh berbagai-bagai perkara daripada pensyarah pembimbing dan guru pembimbing. Antaranya, rancangan pengajaran semester dan rancangan pengajaran harian perlu mengikut format baharu iaitu mesti memasukkan unsur kemahiran berfikir dan pengisian kurikulum. Selain itu, saya menyedari bahawa kertas soalan peperiksaan Bahasa Melayu UPSR berformat baharu.

Seperkara yang sangat penting bagi saya ialah cara mendekati pelajar. Saya bertanya guru kelas dan guru-guru yang mengajar di kelas tersebut. Maklumat yang diperoleh memudahkan saya memahami karenah murid yang saya ajar sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak di ingini.

Baik saya coretkan sedikit pengalaman pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di kelas Tahun Lima Hijau. Kelas ini terdiri daripada 30 orang murid iaitu sebanyak sepuluh orang murid perempuan dan dua puluh orang murid lelaki. Pengalaman mengajar mereka adalah satu cabaran besar bagi saya.

Murid-murid kelas ini aktif tetapi aras kecerdasan mereka rendah. Kebanyakan guru yang masuk di kelas ini tidak tahan mengajar mereka kerana mereka tidak menumpukan perhatian terhadap pengajaran dan pembelajaran guru.

Pada mulanya saya begitu gementar. Guru lama pun tidak dapat mengawal mereka, apatah lagi saya yang hanya sekadar bergelar guru pelatih. Walau apa pun yang terjadi, saya terpaksa berhadapan dengan mereka dan mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni kepada mereka.

Pada kali pertama saya masuk dan mengajar di Kelas 5 Gemilang ini, semua murid diam. Kelas terkawal. Hati saya berkata, murid di kelas ini tidaklah seperti apa yang saya sangka. Mereka kelihatan baik-baik belaka. Namun dari sehari ke sehari, sikap sebenar mereka terserlah. Benarlah apa yang dikatakan oleh kebanyakan guru yang masuk mengajar di kelas ini. Jelas pada saya bahawa hampir semua murid lelaki tidak pandai menghormati guru dan suka menyakat pelajar lain.

Seterusnya, saya ingin mencoretkan sedikit kekuatan saya semasa praktikum. Antara kekuatan saya ialah saya berjaya menggunakan teknik baharu dalam pengajaran dan pembelajaran. Contohnya saya menggunakan teknik meja bulat dalam pengajaran saya. Teknik ini berjaya dilaksanakan walaupun kali pertama saya jalankan. Walau bagaimanapun, menurut pensyarah pembimbing, saya perlu memahami prinsip teknik meja bulat supaya pelaksanaannya lebih berkesan.

Selain itu, dalam praktikum fasa ini, saya sudah boleh menerapkan nilai murni semasa pengajaran dan pembelajaran. Saya juga mampu menerapkan unsur kemahiran berfikir semasa aktiviti dijalankan.

Apa yang lebih bermakna bagi saya ialah saya berjaya “mencuri” masa yang singkat bagi dua orang murid yang agak lemah dalam bacaan. Saya menyuruh mereka datang ke bilik bimbingan dan kaunseling untuk meningkatkan bacaan mereka. Saya meyediakan buku bacaan yang saya beli sendiri untuk kegunaan mereka. Buku itu saya beri pinjam kepada mereka dan pada setiap waktu rehat atau 30 minit selepas tamat persekolahan mereka akan datang berjumpa dengan saya.

Dari sini, saya dapat mengesan tahap peningkatan bacaan murid. Kedua-dua orang pelajar ini mempunyai semangat yang tinggi untuk mengatasi masalah mereka. Sesungguhnya saya amat bangga dan terharu dengan semangat yang mereka tunjukkan. Kadang kala saya kecewa dengan tanggapan sebilangan guru yang menggelar mereka dengan perkataan yang tidak sepatutnya.

Ada juga guru beranggapan mereka ini memang tidak dapat dipulihkan. Walhal, apa yang saya perhatikan kedua-dua pelajar ini juga ingin berjaya seperti rakan-rakan sebaya mereka yang lain.

Seperti insan lain yang bergelar guru pelatih, saya juga tidak ketinggalan mengalami masalah dalam pengajaran dan pembelajaran. Masalah yang timbul ini kadang kala hampir mematahkan semangat saya. Maafkan saya kerana mengatakan sedemikian. Hal ini bukan sahaja mengganggu murid yang lain untuk belajar tetapi menyebabkan saya selalu terhenti meneruskan pengajaran hanya kerana mahu mengawal kelas. Apa yang mampu saya lakukan ialah memerhati kelakuan pelajar berkenaan dengan harapan mereka faham dengan makna renungan saya itu. Tidak masuk akal bukan?

Antara kelemahan yang ketara saya lakukan ialah arahan yang saya beri kurang tegas walaupun penerangan yang saya beri amat jelas. Disebabkan arahan saya yang kurang tegas, sebilangan pelajar lelaki sering mengambil kesempatan bermain di dalam kelas semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Mereka juga sering menimbulkan suasana bising yang kadang kala mengundang pergaduhan kecil.

Saya selalu berfikir kenapa mereka tidak faham teguran yang saya beri. Saya tidak kisah sangat sekiranya mereka bising ketika membuat kerja tetapi yang mengecewakan saya ialah sebilangan besar murid-murid kelas ini malas menyiapkan tugasan yang saya beri. Mereka tidak mahu berfikir untuk mencari jawapan. Mereka mahu saya memberikan jawapan terus.

Selain itu, saya juga sering mengalami masalah dalam pengurusan masa. Hal ini berpunca daripada murid-murid. Mereka sering lewat masuk ke dalam kelas terutamanya selepas mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Agama Islam dan Moral serta selepas waktu rehat. Kadang kala saya terpaksa menunggu 20 minit untuk memulakan pengajaran dan pembelajaran hanya kerana kelewatan yang dilakukan oleh mereka.

Pensyarah, guru pembimbing, rakan sebaya dan pengurus sekolah memang terlalu banyak membimbing saya. Saya bersyukur kerana mendapat bimbingan daripada pensyarah pembimbing yang banyak pengalaman. Beliau membimbing saya dengan begitu bersungguh-sungguh terutamanya dari segi penulisan refleksi dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu beliau juga sering memberikan buah fikiran dalam pemilihan bahan bantu mengajar.

Guru pembimbing pula sering memberikan cadangan bagaimana hendak mengawal kelas. Menurut beliau pemberian peneguhan positif dan negatif perlu wujud di dalam kelas supaya murid-murid sedar akan kesilapan yang mereka lakukan.

Selain itu, saya juga berbesar hati dengan guru-guru di sekolah ini kerana mereka sering memberi tunjuk ajar dan memberi pinjam buku rujukan, terutama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu untuk penulisan.

Bimbingan dan dorongan daripada rakan sebaya juga memberi kesan yang sungguh besar maknanya bagi saya. Antara topik yang menjadi bahan perbincangan saya ialah teknik yang sesuai dan penyediaan rancangan pengajaran harian yang mantap.

Saya juga senang hati berurusan dengan pentadbir sekolah. Kecekapan pihak sekolah dapat mempercepat pengumpulan bahan yang kami perlukan dalam pembinaan portfolio. Selain itu, saya juga dapat menggunakan kemudahan pusat sumber dalam peminjaman bahan rujukan.

Secara keseluruhannya, pengalaman mengajar di sekolah ini amat besar maknanya bagi saya yang baru mengorak langkah untuk menjadi guru. Sesungguhnya apa yang saya tulis ini adalah hanya sebuah santapan minda buat kita semua. Maafkan saya seandainya apa-apa yang saya utarakan di sini mengguris perasaan sesetengah pihak.

Nota
Cikgu Juritah kini mengajar di kawasan pedalaman - lebih empat jam berkereta dari ibu kota dan tiga jam menaiki bot.

18 Jun 2009

Sari Rencana: “Terbesar Sekali" Lewah

Masukan terdahulu: ☺Frasa “Oleh Sebab” BakuPenanda JamakBentuk KlitikDaku dan DikauSekalian, Sekali-kali dan Sekali-sekali

1. Kata penguat paling dan sekali apabila diikuti oleh kata adjektif menunjukkan darjah penghabisan. Oleh itu, kedua-dua kata ini tidak boleh wujud bersama-sama dalam sesuatu ungkapan. Begitu juga halnya dengan kata adjektif yang berimbuhan ter-, menunjukkan darjah penghabisan dan tidak boleh wujud bersama-sama dengan kata penguat. Tegasnya, jika ungkapan seperti yang bertanda * diwujudkan juga, ungkapan itu lewah dan bersalahan dengan tatabahasa bahasa Melayu.

*paling muda sekalipaling muda atau muda sekali
*paling baik sekalipaling baik atau baik sekali
*terbesar sekaliterbesar atau besar sekali
*terkecil sekaliterkecil atau kecil sekali

Perkataan besar dan kecil dalam ungkapan di atas ialah kata adjektif. Jadi, perkataan terbesar dan terkecil menunjukkan darjah penghabisan. Oleh itu, perkataan sekali tidak boleh digunakan bersama-sama dengan perkataan terkecil dan terbesar dalam sesuatu ungkapan. Lain halnya dengan terkemuka dan terkenal; tidak menunjukkan darjah penghabisan kerana kemuka dan kenal bukan kata adjektif. Maka, terkemuka sekali dan terkenal sekali boleh wujud.

terkenal sekali ← *kenal sekali
terkemuka sekali ← *kemuka sekali
*terhebat sekalihebat sekali atau terhebat
*terindah sekaliindah sekali atau terindah
*terlunak sekalilunak sekali atau terlunak
*terwangi sekaliwangi sekali atau terwangi

2. Imbuhan ter- seperti dalam perkataan tertarik, terpikat dan terpesona menunjukkan kata kerja pasif. Perkataan yang wajar berada selepas perkataan-perkataan ini ialah kata sendi oleh dan bukannya kata dengan.

*tertarik dengan suaratertarik oleh suara
*terpikat dengan suasanaterpikat oleh suasana
*terpesona dengan pemandanganterpesona oleh pemandangan

Namun, ungkapan terpesona dengan boleh wujud jika perkataan pesona itu bermaksud kena guna-guna, jampi, mantera atau sihir.

Muhammed Salehudin Aman, “Terkemuka Sekali dan Tertarik Dengan”, Dewan Siswa, April 2009, halaman 20 - 21.

Nota
Ungkapan tersohor sekali sama dengan terkenal sekali dan terkemuka sekali.

17 Jun 2009

Sari Rencana: Daku dan Dikau

Masukan terdahulu: ☺Frasa “Oleh Sebab” BakuPenanda JamakBentuk KlitikSekalian, Sekali-kali dan Sekali-sekali

1. Daku dan dikau hendaklah berada selepas perkataan yang berakhiran dengan huruf n. Contohnya:
akan daku
degan daku
maafkan daku
perasaan dikau
kiriman dikau
iman dikau

2. Ungkapan seperti yang di bawah tidak mematuhi tatabahasa. Ungkapan yang betul ialah ungkapan dalam kurungan selepas anak panah.

hanya dikau (→ hanya engkau)
hanya daku (→ hanya aku)
wajah dikau (→ wajah engkau)
cinta daku (→ cintaku atau cinta aku)

3. Daku dan dikau tidak boleh berfungsi sebagai subjek. Gantikan daku menjadi aku dan dikau menjadi engkau apabila berada di tempat subjek. Contohnya:

*Daku (→ Aku) merayu kepadamu.
*Daku (→ Aku) terkenang akan dia.
*Dikau (→ Engkau) menyuruh daku datang.
*Dikau (→ Engkau) yang membantunya bekerja.

Muhammed Salehudin Aman, “Daku dan Dikau”, Dewan Siswa, Mei 2009, halaman 20 - 21

Sumber untuk dirujuk:
Nik Safiah Karim, 2003. Bahasa Kita Jilid 2. Shah Alam: ‘K’ Publishing, hlm. 78 – 82

Kuburkan SIS – Akh Zhaf

Seorang penulis blog berpendapat, Sisters In Islam (SIS) seharusnya dikuburkan terus”. Penulis blog itu, Akh Zhaf menyatakan, SIS mencetuskan banyak fitnah.

Beliau menulis, antara fitnah itu termasuklah mempersoalkan beberapa hukum yang secara jelas termaktub dalam Al-Quran seperti pembahagian pusaka, menolak peranan ulama sebagai pakar rujuk dalam hal berkaitan Islam dan menolak peranan jabatan agama sebagai pemantau atau pencegah maksiat.

Dalam tulisan itu, ada beberapa banyak pandangan Akh Zhaf dilihat dari luar lingkaran. Oleh itu pandangan beliau wajar kita fahami dan kita jadikan bahan renungan.

Klik di sini untuk membaca tulisan beliau

16 Jun 2009

Sari Rencana: Sekalian, Sekali-kali dan Sekali-sekali

Masukan terdahulu: (1) Frasa “Oleh Sebab” Baku (2) Penanda Jamak (3) Bentuk Klitik

1. Sekalian

Sekalian dapat berfungsi sebagai penanda jamak. Betul: sekalian murid, sekalian guru. Salah: *sekalian murid-murid, *sekalian para guru.

Penanda jamak sekalian boleh berada sesudah kata nama yang dijamakkan. Fungsi kata jamak ini adalah sebagai penegas frasa nama. “Oleh hal demikian, bentuk frasa nama murid-murid sekalian atau para hadirin sekalian tidak salah tatabahasanya.”

Sisi pandangan lain: *para hadirin sepatutnya hadirin sahaja → hadirin sekalian.

*berulang-ulang kali → berulang kali atau berulang-ulang

2. Sekali-kali

Sekali-kali = sama sekali, langsung, sedikit pun. Ayat contoh: Jangan sekali-kali berbohong kepada ibu bapa.

3. Sekali-sekali

Sekali-sekali = kadang-kadang, adakalanya, sesekali, sekali-sekala. Ayat contoh: Sekali-sekali murid itu menjeling ke muka guru disiplinnya.

Muhammed Salehudin Aman, “Sekali, Sekali-sekali, Sekali-kali”, Dewan Siswa, Jun 2009, halaman 20 - 21.

Data untuk Renungan
1. Jangan *sesekali mengamalkan sikap bertangguh! (Dewan Pelajar, April 2009, hlm. 27)

Jikalau ada data lain, mohon catatkan dalam ruangan ulasan.

Sari Rencana: Penanda Jamak

Masukan terdahulu: (1) Frasa “Oleh Sebab” Baku (2) Bentuk Klitik

Dua cara menyatakan maksud jamak:

1. Mengulang kata: kereta-kereta, besar-besar dan bersepah-sepah. Satu perkataan hanya memerlukan satu penanda jamak.

Betul: (a) kertas-kertas (jamak) bersepah (tidak perlu jamak) (b) kertas (tidak jamak) bersepah-sepah (jamak). Salah: kertas-kertas (jamak) bersepah-sepah (jamak).

2. Menggunakan kata bilangan: tiga, sepuluh dan berapa. Kata nama yang mengikuti kata bilangan tidak perlu diulang.

Betul: Lima orang (jamak) guru (tidak perlu jamak). Salah: Lima orang (jamak) guru-guru (jamak).

Ada makna jamak tersirat. Contoh: sebakul penuh pisang.

Muhammed Salehudin Aman, “Penanda Jamak”, Dewan Siswa, Februari 2009, halaman 20 – 21

15 Jun 2009

Jangan Jadi Yu Kia-kia

Menjelang atau pada tahun 2020, dianggarkan sebanyak 130,000 orang akan gagal dalam peperiksaan. Mereka gagal memenuhi syarat lulus dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Pada masa itu, ada kemungkinan surat dalam bahasa Melayu yang dihantar kepada Jabatan Kerajaan akan dikembalikan kepada penulisnya. Demikian pandangan penulis Rahmat Haroun Hashim dalam blognya. Klik di sini.

Kita wajar peduli akan bahasa kebangsaan kita. Kita perlu endah akan bahasa Melayu kita. Kita mesti ambil berat akan bahasa perpaduan dan bahasa ilmu kita. Jangan bena tak bena, jangan endah tak endah, jangan apatetik tentang isu bahasa. Jangan menjadi seperti yu kia-kia, kepala yu ekor pari yang menguburkan bahasa sendiri.

PPSMI: Saman 2006 Disebut pada 25 Jun 2009

Kes saman terhadap Kementerian Pelajaran kerana melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sanis dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan disebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Jun 2009. Blog Rembau Hari Ini melaporkan, YB Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin menyatakan perkara ini semasa membahas usul memansuhkan PPSMI dalam Muktamar PAS Pusat pada 7 Jun 2009.

Pada 21 Jun 2006, empat orang pelajar sekolah menengah di Perak menyaman Kementerian Pelajaran kerana melaksanakan PPSMI. Mereka mengemukakan sama melalui bapa masing-masing.

Mohammad Syawal mengemukakan saman melalui bapanya Mohammad Nizar Jamaluddin, Mohammad Fadzil mengemukakan saman melalui bapanya Mohamed Rosni Abu Bakar, Nur Najihah Muhaimin mengemukakan saman melalui bapanya Muhaimin Sulam dan Syazaira Arham Yahya Ariff mengemukakan saman melalui bapanya Yahya Ariff Kamaruzzaman.

Mereka mengemukakan saman pemula di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas melalui Tetuan Mohamed Hanipa dan Associates.

Saman itu yang turut disertakan dengan afidavit daripada Mohammad Nizar, yang mewakili bapa semua pelajar, juga memohon deklarasi bahawa responden tidak mempunyai kuasa dan budi bicara untuk memperkenalkan, menguatkuasakan dan melaksanakan dasar PPSMI seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas bertarikh 27 November 2002.

Penjelasan YB Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar di sini.

14 Jun 2009

29 Patah Perkataan Berapitan Memper-…-i dalam DKBM

Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (TDEB, 1993) dan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (TDEK, 2008) menyatakan hanya empat patah perkataan yang “wajar dianggap sebagai jenis kata kerja yang terbentuk dengan apitan memper-…-i.” Perkataan-perkataan itu terdapat dalam senarai 1.

Senarai 1
1. memperingati
2. memperkawani
3. mempersuami (asalnya mempersuamii)
4. memperisteri (asalnya memperisterii)

Setakat yang dapat dikesan, Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua (DKBMRSJEK, 2008) menyenaraikan 29 patah perkataan yang menggunakan apitan memper-…-i seperti yang diberikan dalam senarai 2.

Senarai 2
1. memperakui
2. memperalati
3. memperbaharui
4. memperbaiki
5. memperbanyaki
6. mempercaruti
7. memperdalami
8. mempergantungi
9. mempergauli
10. mempergentari
11. memperhalusi
12. memperhambai
13. memperhumai
14. memperingati
15. memperingini
16. memperisteri (asalnya memperisterii)
17. memperkarai
18. memperkebuni
19. memperkosai
20. memperkuasai
21. memperlindungi
22. memperpukuli
23. mempersalini
24. mempersenjatai
25. mempersetujui
26. mempersuami (asalnya mempersuamii)
27. mempersungguhi
28. mempertakuti
29. mempertuani

Dalam senarai 2 sudah termasuk tiga patah perkataan dalam senarai 1, iaitu memperingati, mempersuami dan memperisteri. Perkataan memperkawani tidak terdapat DKBMRSJEK dan juga Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Pertama (DKBMRSJEP, 2001). Lima patah perkataan dalam senarai 2 tidak terdapat dalam DKBMRSJEP, iaitu memperbanyaki, memperdalami, memperhalusi, memperkarai dan memperpukuli.

Sebanyak 24 patah perkataan dalam senarai 2 terdapat juga dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK, 2005). Lima patah perkataan dalam senarai 2 yang tidak terdapat dalam KDEK ialah memperhalusi, memperkuasai, memperbaharui, memperlindungi dan memperkosai.

TDEB dan TDEK menegaskan, perkataan lain, selain yang terdapat dalam senarai 1, dianggap lewah. Tegasnya, dalam senarai 2 terdapat 26 patah perkataan yang dianggap lewah.

Perkara ini wajar menjadi bahan renungan dan perbincangan kita – pencinta dan guru Bahasa Melayu.

13 Jun 2009

Apitan Memper-…-i untuk Lima Kata Dasar Sahaja

Sari ruangan Pintar Bahasa dalam majalah Dewan Pelajar, Januari 2009.

Penggunaan apitan memper-…-i adalah untuk lima perkataan sahaja, iaitu
ingat → memperingati
isteri → memperisteri
kawan → memperkawani
senjata → mempersenjatai
suami → mempersuami


Perkataan lain tidak menerima apitan memper-…-i. Apabila kita menemukan perkataan lain, selain lima perkataan di atas, penggunaannya tidak baku atau lewah. Perkataan contoh yang tidak baku adalah seperti yang di bawah:

memperbaiki* → membaiki
memperolehi* → memperoleh
memperakui* → mengakui
memperhalusi* → memperhalus
memperkuasai* → menguasai
memperdalami* → memperdalam
mempersetujui* → menyetujui
memperbaharui* → memperbaharu


Azhar Salleh, “Memperbaiki atau Membaiki”, Dewan Pelajar, Januari 2009, halaman 32.

12 Jun 2009

PPSMI: Sambung-Menyambung Sokong PUM

Pada 10 Jun 2009, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) menyampaikan Memorandum Muafakat Ulama’ Mansuhkan PPSMI. Majlis itu yang berlangsung di pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, diterima oleh Tan Sri Dato’ YM Engku Ibrahim bin Engku Ngah, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, bagi pihak Majlis Raja-Raja Melayu.

PUM memohon agar memorandum yang mengandungi bantahan terhadap PPSMI itu dapat dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.

PUM diwakili oleh Tuan Ustaz Abd. Ghani Samsuddin (Pengerusi SHURA) dan Tuan Prof. Ustaz Dr. Abdul Rahman Awang (ahli SHURA). Delegasi itu juga diiringi oleh tokoh-tokoh penting Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Tuan Dr. Shahrir Md. Zain (Timbalan Pengerusi GMP), Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan (Naib Pengerusi GMP), dan Tuan Hasni Abas (Setiausaha GMP).

Kita bersama-sama dengan PUM menolak pelaksanaan PPSMI dan membantah penerusan pelaksanaannya. Kita juga bersama-sama dengan PUM mendesak pihak yang berkuasa memberhentikan pelaksanaan PPSMI dan mengembalikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam semua mata pelajaran kecuali dalam pengajaran bahasa yang lain.

Kita berharap Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dan PUM mengadakan usaha seperti ini di peringkat negeri. Isi kandungan memorandum pula wajar dimurnikan dan dipadatkan

10 Jun 2009

Memorandum Muafakat Ulama Mansuhkan PPSMI

Memorandum Ulama Mansuhkan PPSMI disampaikan kepada Majlis Raja-Raja Melayu melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu.

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Segala puji hanya untuk Allah Rabbulalamin, Yang Maha Pengasih, yang telah mengajarkan al-Quran, Dia menciptakan insan, mengajarnya al- bayan, Dia mencipta semua dengan segala aturannya agar insan tidak merosakkan keseimbangan, supaya ditegakkan keseimbangan itu dengan adil dan tidak mengurangi keseimbangan yang telah disusun dengan peraturan-Nya.

Selawat dan salam untuk junjungan kekasih-Nya Rasulullah s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan seluruh sahabatnya, yang menjadi qudwah hasanah untuk seluruh insan, membawa rahmat untuk sekalian alam, membawa petunjuk dari zulmat kepada nur yang menerangkan, membebaskan perhambaan insan kepada makhluk kepada pengabdian hanya kepada Allah, yang mengangkat semua kaum dari Zillah kepada kecemerlangan izzah Islam.

MENYEDARI bahawa KDYMM Raja-Raja Melayu turut prihatin mengenai status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sesuai dengan peruntukan dalam Akta Bahasa Kebangsaan dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan;

MEMAHAMI bahawa bahasa mempunyai kaitan langsung dengan persoalan falsafah dan pegangan hidup seseorang Muslim;

MEMAHAMI bahawa dengan pemisahan agama daripada bahasa akan membawa implikasi besar kepada kaum muslimin dari sudut pandangan hidup Islam yang berasaskan tauhid;

MENGINSAFI bahawa kepentingan penggunaan bahasa dalam Islam ada kaitan dengan makna yang boleh memberi kesan kepada nilai dan prinsip asas dalam kehidupan seseorang muslim;

MENELITI bahawa fungsi bahasa sangat jelas kepentingan dan kedudukannya dalam pengembangan dan penyampaian risalah Islam;

MENGINSAFI betapa sekularisasi bahasa akan membawa kepada sekularisasi kehidupan kaum kerangka berfikirnya terhadap tasawur Islam yang benar dan murni;

MENGHAYATI betapa bahasa Melayu telah melalui sejarah Islamisasi yang tersendiri sejak kedatangan Islam di alam Melayu, oleh sebab itu menjadi bahasa yang terpilih untuk membentuk pegangan hidup Islam dalam kalangan ratusan juta kaum Melayu di Nusantara ini;

MENERIMA bahawa bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan negara ini;

MENGAMBIL perhatian serius bahawa pelaksanaan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) sejak tahun 2003, telah menjejaskan status dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Negara;

MENYESALI PPSMI telah dilaksanakan dengan secara tergesa-gesa tanpa penelitian yang lebih terperinci dan tanpa mengambil pandangan balas dari ahli cendekiawan dan ilmuwan Islam;

MEMANDANG serius bahawa pelaksanaan PPSMI telah memberi kesan negatif dalam jangka masa pendek mahupun dalam jangka masa panjang kepada tahap prestasi pelajar-pelajar di kawasan luar bandar;

MEMBERI perhatian berat kepada pelaksanaan PPSMI yang telah mengetepikan segala usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berkeupayaan tinggi untuk mendidik anak bangsa khasnya dan warga negara amnya;

MEMAHAMI bahawa pelaksanaan PPSMI oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia tidak mengambil kira segala hujah ilmiah berdasarkan undang-undang, sejarah, kesan sosiobudaya, pembinaan jati diri dan tamadun bangsa, yang telah dibentangkan oleh pelbagai ahli pakar dan ahli akademik dalam negara;

MENGESAHKAN beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu ada kaitan dengan takrif seorang Melayu mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan ini bermakna keserasian bahasa Melayu dengan keislaman bangsa Melayu tidak dapat dipisahkan;

MEMPERAKUI bahawa DYMM Raja-Raja Melayu mempunyai keprihatinan yang tinggi serta mempunyai pengaruh yang besar terhadap status dan pemeliharaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; dan

Maka kami sebagai golongan agama yang prihatin terhadap sebarang hal ehwal yang ada kaitan dengan kedudukan Islam dan kaum muslimin di negara ini, berpendirian:

1. MENOLAK pelaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan Negara;

2. MEMBANTAH penerusan pelaksanaan PPSMI kerana ia menjejaskan kedudukan bahasa Melayu yang sudah diangkat martabatnya sebagai bahasa ilmu dan sekali gus bahasa Islam;

3. MENEGASKAN bahawa dalil agama untuk mengembalikan pengajaran sains dan matematik kepada bahasa Melayu sangat kuat kami sandarkan kepada nas-nas naqli yang berikut:


Merujuk kepada surah al-Rum, ayat 22 bermaksud: “Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.”

Surah Ibrahim, ayat 4 bermaksud: “Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), Juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Menggunakan bahasa yang dapat menerangkan dan memahamkan konsep dan falsafah kebenaran ialah matlamat utama kenapa al-Quran menggunakan bahasa ibunda Arab sebagai pengantar untuk menjelaskan makna dan inti sari ajaran Islam kepada bangsa Arab.

Surah al-Syura, ayat 7 bermaksud: “Dan demikianlah Kami wahyukan al-Quran kepadamu dalam bahasa Arab, agar engkau memberi peringatan kepada penduduk ibu kota (Makkah) dan penduduk (negeri-negeri ) di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang hari berkumpul (kiamat) yang tidak diragukan adanya. Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka.”

Bahawa bahasa yang tidak tercemar dengan makna dan faham yang terlepas daripada konsep ketauhidan Allah dan membolehkan mesej asas Islam mengenai ketuhanan disampaikan adalah punca kenapa al-Quran memilih bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Lantaran itu bahasa Melayu yang telah sarat melalui proses Islamisasi ialah bahasa yang paling wajar dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara untuk menjayakan proses pembinaan tamadun Islam dalam masyarakat Malaysia.

Surah Yusuf, ayat 2 bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa al-Quran berbahasa Arab, agar kamu mengerti.”

Surah Taha, ayat 113 bermaksud: “Dan demikian Kami menurunkan al-Quran dalam bahasa Arab dan Kami telah menjelaskan berulang-ulang di dalamnya sebahagian daripada ancaman agar mereka bertakwa atau agar (al-Quran) itu memberi pengajaran bagi mereka.”

Surah Al-Zumar, ayat 27-28 bermaksud: “Dan sungguh telah Kami buatkan dalam al-Quran ini segala macam perumpamaan bagi manusia agar mereka dapat pengajaran, iaitu al-Quran dalam bahasa Arab, tiada kebengkokan (di dalamnya) agar mereka bertakwa.”

Surah Fussilat, ayat 2-3 bermaksud: “(Al-Quran ini) diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan bacaan dalam bahasa Arab untuk kaum yang mengetahui.”

Surah al-Zukhruf, ayat 3 bermaksud: “Demi kitab (Al-Quran) yang jelas, Kami jadikan al-Quran dalam bahasa Arab agar kamu mengerti.”

Semua ayat ini menjelaskan betapa bahasa ada kaitan dengan mesej risalah Islam yang disampaikan kepada manusia. Manakala bahasa Melayu yang sarat dengan konsep Islam dari al-Quran diketepikan penggunaannya dalam pengembangan ilmu, maka kesan sekularisasi bahasa yang telah berlaku dalam sejarah pengembangan bahasa Inggeris yang sangat dipengaruhi oleh sejarah sekularisasi agama Kristian akan mempunyai impak kepada masyarakat Melayu Islam di negara ini.

Oleh itu, kami:

MENDESAK supaya pelaksanaan PPSMI hendaklah diberhentikan dan penggunaan bahasa Melayu kembali digunakan sebagai bahasa pengantar dalam semua mata pelajaran kecuali dalam pengajaran bahasa yang lain, di seluruh institusi pendidikan di semua peringkat.

MENUNTUT agar kerajaan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk membentuk tamadun tinggi dalam masyarakat, sementara memberi ruang untuk pelajar mempelajari pelbagai bahasa lain untuk meningkatkan keupayaan menguasai pelbagai ilmu dari sumber bahasa yang lain.

MENDESAK agar tulisan Jawi kembali diperkasakan dalam sistem pendidikan negara termasuk menggalakkan urusan rasmi menggunakan tulisan Jawi sebagai identiti negara.

MENEGASKAN bahawa pengajaran bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan kaedah dan pendekatannya, namun bukan dengan cara mengetepikan bahasa Melayu sebagai pengantar mata pelajaran seperti yang dilaksanakan dalam PPSMI masa kini.

MENGGESA supaya penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar hendaklah diperundangkan dan dikuatkuasakan dalam semua sektor negara sama ada awam mahupun swasta.

MENEGASKAN bahawa pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia tidak boleh berdalih dengan alasan pencapaian UPSR, PMR mahupun SPM untuk menjadi asas untuk meneruskan atau memberhentikan pelaksanaan PPSMI.

MENDESAK supaya pihak kerajaan tidak menggunakan dalil mencapai kemajuan bertaraf dunia sebagai alasan untuk meneruskan PPSMI kerana hujah ini sudah muktamad ditolak oleh perbandingan dan bukti dengan pelbagai negara lain yang tidak mengutamakan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan sesuatu bangsa dan negara.

MENGGESA agar seluruh warga pendidik dan waris pelajar di semua institusi pendidikan negara agar bersama-sama bersatu untuk membantah pelaksanaan PPSMI.

Kami dengan ini menandatangani memorandum ulama’ “Mansuhkan PPSMI” ini sebagai pendirian kami untuk membela martabat bahasa melayu dalam sistem pendidikan dan pentadbiran negara:

1. Ustaz Abdul Ghani Samsuddin (Pengerusi, SHURA)
2. Datuk Dr. Abdul Samad Mohamed Said (Sasterawan Negara)
3. Datuk Ustaz Abu Bakar Cik (Pengerusi, Asian Federation Muslim Youth)
4. Haji Mohd. Azmi Abdul Hamid (Presiden TERAS Pengupayaan Melayu)
5. Dr. Abdul Rahman Awang (Ahli Lembaga SHURA)
6. Encik Hasni Abas (Setiausaha, GMP)
7. Prof. Shahrir Mohamad Zain (Timbalan Pengerusi, GMP)
8. Prof. Emeritus Abdullah Hassan (Naib Pengerusi, GMP)
9. Puan Ainon Mohd (AJK, GMP)
10. Ustaz Wan Ahmad Tarmiz Aziz (Pengerusi Persatuan Penyokong Sekolah Agama Rakyat)
11. Kassim Muhamad (Aktivis, GMP)
12. Muhammad Faisal Abdul Aziz (Naib Presiden, PKPIM)
13. Mohd. Saifullah b. Mohd Zulkifli (Aktivis, PKPIM)
14. Abu Qassim Nor Azmi (Aktivis, PKPIM)
15. Ustaz Yusuf Mahmud (YDP, Persatuan Ulama’ Kedah)
16. YB Datuk Mahfuz Omar (Pengerusi, Inst. Pemb. dan Penggemblengan Komuniti – IMPAK)
17. Che Shamsuddin Othman – Dinsman (Pengerusi, PAKSI)
18. Haji Mohammad Salleh Bakar (Ketua Penerangan TERAS)
19. Ustaz Hafiz Mustaffa Lubis (YDP Angkatan Belia Islam Malaysia, Kedah)
20. Ustaz Abu Khair Ayub (Maahad Tarbiyyah Islamiah, Derang, Kedah)
21. Dr. Khairuddin Datuk Abdul Malik (Pengerusi JAMA’IY)
22. Dr. Zaini Hamzah (Pengerusi, TERAS, Wilayah Persekutuan)
23. Dr. Syed Jamaluddin Syed Ali (Timb. Pengerusi TERAS, Selangor)
24. Ustaz Zulkifli Ibrahim (Timbalan Pengerusi JAMA’IY)
25. Ustaz Khairul Mustafa (Setiausaha, Persatuan Ulama’ Malaysia Wilayah Persekutuan)
26. Prof Madya Dr. Wan Salim Mohd Nor (YDP, Persatuan Ulama’ Malaysia, Pulau Pinang)
27. Ustaz Awaluddin Jefry (YDP, Persatuan Ulama’ Malaysia, Johor)
28. Ustaz Dr. Arshad Taib (Ulama’ Perlis)
29. Ustazah Fauziah Thani (bekas Pengetua, Sekolah Menengah Agama Alawiyyah, Perlis)
30. Dr. Fadhlullah Jamil (Pengerusi, WADAH P. Pinang)
31. Datuk Abdul Halim Kader (YDP Persatuan Ulama’ Malaysia)
32. Haji Hussin Ismail (Pengerusi, Yayasan Amal)
33. Dr. Abdul Rahman Ahmad (Pengerusi Wadah Pencerdasan Ummah, Kedah)
34. Ustazah Masadah Sajadi (Pengerusi, Majlis Bertindak Wanita Islam Malaysia)
35. Ustaz Tahir Ali (Ahli, Lembaga TERAS)
36. Haji Ismail Wan Teh (Naib Pengerusi, WEHDAH)
37. Mutalib Rawther (Pengerusi, TERAS, Pulau Pinang)
38. Ustaz Muhammad Nabigh bin Abu Samah Al-Hashimi (Jabatan Pendidikan Islam UiTM)
39. Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (Setiausaha, Institut Penyelidikan dan Pengembangan Syariah, Malaysia – ISRA)
40. Dr. Kamaruzaman Yusuf (Ahli Ilmuwan Islam UKM)
41. Ustaz Wahab (Muhammadiah Internasional)
42. Encik Kamal Syukri (Timbalan Presiden, Persatuan Linguistik Malaysia)
43. Encik Salman Siddiqiy Mohd Azmi (Jaringan Pemuda TERAS Nasional)
44. Ustazah Fatimah Ahmad (Pengerusi SALIMAH – TERAS)
45. Ustaz Azmi Bahari (Ketua Kurikulum dan Koperasi Maahad Tarbiah Islamiah, Perlis)
46. Haji Jaafar Daud (Timbalan Pengerusi, TERAS Perlis)
47. Ustaz Mohd Shahimi bin Abdul Kemali (Pendidik MADI, Perlis)
48. Ustaz Rashid Muhammad (WADAH, Pahang)
49. Ustaz Abdul Wahab Nor Al-Haj (Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemerkasaan Tulisan Jawi PERAWI-TERAS)
50. Ustaz Khairuddin At Takiri ( Pengetua Darul Fuqaha, Bandar Baru Bangi)
51. Ustaz Abdul Sattar (Pendidik MADI, Perlis)
52. Shah Rizan Sazali (Pengerusi Ummah Aid)
53. Ustaz Kamaruddin Kassim (Pengerusi, Persatuan PRIHATIN)
54. Aziz bin Man (Pengerusi, Persatuan Kebajikan Warga Desa)

Keindahan Senja

Gambar pemandangan senja di Kampung Masjid, Keningau.
Dia dibesarkan di sebuah kampung yang dikelilingi oleh hutan rimba. Alam kampungnya ialah harimau, ular, tebuan dan pelbagai binatang lain. Apabila hari senja, ibunya memastikan dia dan adik-beradiknya berada di dalam rumah. Dia menjadi perhatian kerana dia satu-satunya anak lelaki.

09 Jun 2009

Carta Jawi Silap dan Tidak Kemas Kini

Klik gambar untuk melihat citra yang lebih besar.

Carta abjad Jawi ini mengandungi kesilapan dan tidak kemas kini. Apakah kesilapan itu? Mengapakah dikatakan tidak kemas kini? Carta yang betul dan kemas kini ada di sini.

Pedoman Bahasa (JPEG) 058. Jawi: Carta Silap dan Tidak Kemas Kini.

Isu Huruf Arab dan Huruf Jawi

Masukan terdahulu
1. Abjad Jawi Bentuk Tunggal Terkini
2. Selamat Mempelajari Tulisan Jawi
3. Beberapa Perkara Tentang Huruf Jawi
4. Ejaan Jawi untuk Pandai Ialah Pa-Nun-Dal-Alif-Ya
5. Jawi: Sekadar Percubaan
6. Memasang Fon Jawi
7. Huruf Tunggal Jawi Beranimasi
8. Sekarang, Tandas Ada Alif
9. Abjad Jawi 2008
10. Jawi Menewaskan Pallava, Kawi dan Rencong

“Huruf Arab berjumlah 30 termasuk huruf hamzah dan lam-alif. Walaupun sudah ada huruf lam dan alif, tetapi lam-alif dikira satu huruf khas.

Huruf Gubalan Melayu ada 6. Lima huruf telah digubal sejak awal penggunaan tulisan Jawi. Huruf terbaru digubal pada tahun 1984 dalam Konvensyen Tulisan Jawi Antarabangsa di Terengganu.

Huruf Arab 30 dan Huruf Gubalan Melayu 6, menjadikan abjad Jawi berjumlah 36.”

“Abjad Jawi”, Dewan Pelajar, Januari 2009.

Ulasan
1. Jumlah dan susunan huruf tunggal Arab dalam tulisan Jawi terkini terdapat dalam buku Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua (DKBM) terbitan tahun 2008. DKBM menyenaraikan 30 huruf. Kesemuanya huruf tunggal. Huruf yang disenaraikan termasuklah ta marbutah. Huruf lam-alif tidak disenaraikan kerana lam-alif bukan bentuk tunggal. Lam-alif ialah huruf gabungan lam dengan alif. Dewan Pelajar (DP) juga menyenaraikan 30 huruf Arab. Jumlah ini tetap sama dengan jumlah dalam DKBM. Bezanya, dalam DKBM ada ta marbutah, dalam DP tiada ta marbutah; dalam DKBM tiada lam-alif, dalam DP ada lam-alif.

2. Jumlah huruf Jawi dalam DKBM ialah 37. Jumlah huruf Jawi dalam DP hanya 36. DP kurang satu huruf kerana tidak memasukkan huruf ye. Selain itu, ada perbezaan antara DKBM dengan DP seperti dalam ulasan 1.

3. Kamus Dewan Edisi Keempat (KD4) mencatatkan 36 abjad Jawi. Jumlah ini kurang satu berbanding dengan DKBM kerana KD4 tidak memasukkan ta marbutah dalam abjad Jawi. Takrifan ta marbutah terletak di bawah kata masukan ta. Dapat kita simpulkan, bagi KD4 ta marbutah ialah variasi huruf ta. Seperti DKBM, KD4 tidak memasukkan lam-alif dalam abjad Jawi.

Setelah lebih tujuh abad tulisan Jawi digunakan, jumlah huruf masih menjadi isu. Jikalau ada cadangan untuk menambah huruf vokal Jawi, isu jumlah huruf mungkin berterusan.

Jikalau tuan/puan ada maklumat atau sisi pandangan yang berbeza, molek benar dicatatkan dalam ruangan ulasan.

08 Jun 2009

Petikan Komentar "Variasi Ejaan dan Ejaan Baku"

Selain menjelaskan makna, kamus juga merupakan rakaman kosa kata sesuatu bahasa. Oleh hal demikian, perkataan yang tidak baku juga terdapat dalam kamus. Berdasarkan Panduan Pengguna dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK), perkataan dalam tulisan condong seperti yang disenaraikan ialah variasi ejaan, iaitu ejaan yang tidak baku. Manakala, perkataan yang digelapkan selepas tanda anak panah ialah ejaan baku.

1. dendaludedalu
2. gerisikerisi
3. hantam hentam
4. ingus hingus
5. kekawin Jw → kakawin
6. kelelawarkelawar I
7. kepuyu sj ikan → puyu II
8. sanjak → sajak I
9. sayugiayogia; seyogia → yogia
10. wahi Ar → wahyu

Datar kata pula menyenaraikan perkataan dan terbitan tanpa menjelaskan makna. Berdasarkan senarai dalam Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua (DKBMRSJEK), terdapat juga perkataan yang tidak baku. Antaranya termasuklah:

1. dendalu (dedalu)
2. gerisi (kerisi)
3. hantam (hentam)
4. ingus (hingus)
5. kekawin (kakawin)
6. kelelawar (kelawar)
7. kepuyu (puyu)
8. sanjak (sajak)
9. sayugia (yogia); seyogia (yogia)
10. wahi (wahyu)

Berdasarkan Panduan Pengguna DKBMRSJEK, perkataan yang baku ialah perkataan yang terdapat dalam tanda kurung. Tanda kurung ini mempunyai fungsi yang sama dengan tanda anak panah dalam KDEK.

Dipetik daripada komentar “Variasi Ejaan dan Ejaan Baku” oleh Mohd Isa Abd Razak dalam Dewan Bahasa, Jun 2009, halaman 52 – 53.

06 Jun 2009

Menikmati Sagu

Refleksi Kerja Kursus Berasaskan Ilmu (KKBI)
Oleh Bakal Sarjana Muda Bahasa Melayu

Sudah tiga tahun saya berada di institut pendidikan guru (IPG). Sudah berpuluh kerja kursus berasaskan ilmu (KKBI) saya siapkan. Sudah berpapan-papan Panadol saya telan demi menyiapkan KKBI, terutamanya kerja kursus projek (KKP) untuk mata pelajaran major. Sudah banyak ruyung saya pecahkan. Adakah kini saya boleh menikmati sagu?

Berhadapan dengan KKP Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu ini, keinginan saya mendalami selok-belok bahasa Melayu semakin membara. KKP kali ini bukan beban. Saya berminat dan ghairah melaksanakannya. Ya, saya mula menikmati sagu daripada ruyung ilmu yang dipecahkan sedikit demi sedikit semenjak beberapa semester yang lalu.

Aktiviti awal KKP kali ini meneguhkan kemahiran saya mencari maklumat. Melaksanakan kehendak KKP ini, saya dapat mengenali Yunus Maris. Rupa-rupanya beliau ialah peneroka ilmu bunyi bahasa Melayu. Rupa-rupanya buku The Malay Sound System (1980) karangan beliau masih menjadi rujukan ahli-ahli bahasa sampai kini.

Seterusnya saya terpegun apabila membelek buku Ilmu Fonetik (1985) oleh Raja Mukhtaruddin. Rupa-rupanya sebahagian rajah dalam nota saya bersumber daripada buku ini. Selain itu, saya sempat merujuki buku Asas Fonetik (1988) oleh Nor Hashimah Jalaluddin dan terus memanfaatkan teks kami, iaitu buku Fonetik dan Fonologi (2006) karangan Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar.

Kini, pencarian maklumat bukan sesuatu yang sukar lagi. Dengan sokongan capaian Internet yang laju dan 24 jam di institut ini, saya dapat mengakses Internet pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja di dalam kampus ini, termasuk di bilik tidur. Terima kasih kepada ibu tersayang. Tanpa wang Tabung Haji yang ibu simpan berdikit-dikit itu, komputer riba ini tidak menjadi milik saya.

Semasa di sekolah menengah agama dahulu, saya pernah mempelajari ilmu tajwid. Saya dapati ilmu fonetik dan fonologi hampir sama dengan ilmu tajwid. Oleh sebab sebahagian perbendaharaan kata bahasa Melayu diambil daripada bahasa Arab, pengetahuan ilmu fonetik dan fonologi bahasa Melayu menjadi lebih penting. Mereka yang mempelajari ilmu ini dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan penyebutan kosa kata pinjaman daripada bahasa Arab.

Saya termenung apabila mengingat semula aktiviti yang sudah kami alami semasa mengikuti kursus Literasi Bahasa Melayu dan Pemulihan dan Pengayaan. Kalaulah ilmu fonetik dan fonologi sudah kami pelajari sebelum mengikuti kedua-dua kursus itu, saya yakin hasil tugasan dan bengkel lebih baik. Inilah pandangan saya. Pihak penggubal kurikulum mungkin ada alasan tersendiri. Antaranya, berdasarkan pandangan beberapa orang rakan saya, kursus ini merupakan kursus yang paling sukar dalam program kami setakat ini.

Ilmu ini relevan dengan program sekolah rendah. Antaranya, ilmu ini berguna untuk mengajarkan bacaan asas. Ilmu ini juga dapat membantu hakim deklamasi sajak menentukan ketepatan sebutan peserta.

Akhirulkalam, saya melaksanakan KKP ini dengan senang hati. Walau KKP ini memang saya akui masih banyak kelemahannya, namun saya tetap dapat mempelajari banyak perkara ketika melaksanakan kerja kursus ini. Insya-Allah, saya akan memanfaatkan pengetahuan itu apabila saya menjadi guru nanti.

Penyelarasan Penulisan Kependekan

Masukan yang berkaitan
Tanda Baca: Catatan Permulaan
Noktah yang Terlarang
Tanda Koma Sebelum "Dan"

Kita kerap menggunakan singkatan atau kependekan (kep). Di bawah ini ialah 35 kependekan yang biasa kita gunakan dan terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KD4, 2005). Kependekan dalam kurungan selepas penerangan setiap butiran ialah kependekan dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga (KD3, 1994).

1. AMN kep Ahli Mangku Negara (A.M.N.)
2. JMN kep Johan Mangku Negara (J.M.N)
3. JP kep Jaksa Pendamai (J.P.)
4. PGB kep Panglima Gagah Berani (PGB)
5. PJK kep Pingat Jasa Kebaktian (PJK)
6. PMN kep Panglima Mangku Negara (PMN)

7. BA kep Bachelor of Art (B.A.)
8. BSc kep Bachelor of Science (B.Sc.)
9. MA kep Master of Arts (M.A.)
10. MBA kep Master of Business Administration (M.B.A.)
11. PhD kep Doctor of Philosophy (Ph. d.) d sepatutnya D
12. MPIK kep Maktab Perguruan Ilmu Khas (M.P.I.K.)
13. MPSI kep Maktab Perguruan Sultan Idris (M.P.S.I.)

14. MB kep Menteri Besar (M.B.)
15. YAB kep Yang Amat Berhormat (Y.A.B.)
16. YB kep Yang Berhormat (Y.B.)
17. YBhg kep Yang Berbahagia (Y.Bhg) (tiada titik selepas Bhg)
18. YM kep Yang Mulia (Y.M.)
19. BSN kep 1. Bank Simpanan Nasional; 2. Biro Siasatan Negara (BSN)
20. DBP kep Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
21. JKR kep Jabatan Kerja Raya (JKR)
22. KDN kep Kementerian Dalam Negeri (KDN)
23. MRSM kep Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)
24. RTM kep Radio Televisyen Malaysia (RTM)
25. TNB kep Tenaga Nasional Berhad (TNB)
26. UIAM kep Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
27. KBSM kep Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM)
28. KBSR kep Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)
29. SPM kep Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
30. SRJK kep Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK)
31. SRP kep Sijil Rendah Pelajaran (SRP)
32. a.s. kep alaihissalam MIR (a.s.)
33. r.a. kep radiallahuanhu (x)
34. SAW kep Sallallahualaihiwasallam (s.a.w) (tiada titik selepas w)
35. SWT kep Subhanahuwataala (x)

(x) Tidak terdapat dalam KD3.

KD4 sudah menyelaraskan bentuk penulisan kependekan seperti yang di atas. Umumnya, tanda titik tidak diletakkan di antara huruf. Penyelarasan ini menjadikan penulisan kependekan lebih mudah dan kelihatan lebih kemas. Tanda titik digunakan juga bagi kependekan tertentu seperti kependekan contoh 32 dan 33. Namun, beberapa penyelarasan KD4 tidak akur dengan Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu (PU). Mungkinkah sudah ada edisi baharu PU? Jikalau tuan mengetahuinya, mohon nyatakan dalam ruangan ulasan. Terima kasih.

Merokok: Makruh atau Haram?

Terkini: Long Atan Si Perokok Tegar

Islam tidak membenarkan penganutnya merosak, menyakiti atau mengganggu orang lain. Larangan ini cukup jelas, Kalau terhadap orang lain tidak dibenarkan melakukan hal-hal buruk tersebut, maka terhadap diri sendiri tentu lebih dilarang lagi.

Merokok, misalnya, telah disepakati sebagai satu tabiat yang memberi kesan buruk terhadap kesihatan jasmani, akal dan membazirkan wang yang sepatutnya digunakan untuk tujuan lain. Tembakau yang menjadi bahan rokok mengandungi pelbagai jenis racun yang berbahaya seperti nikotin, gas karbon oksida dan seft. Jadi, bagaimana Islam meletakkan hukum terhadap perbuatan merokok dan bahan rokok ini? Buku Hukum Merokok oleh Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jaza’lrly terbitan Pustaka al-Mizan, Kuala Lumpur menerangkannya kepada pembaca secara panjang lebar.

04 Jun 2009

Gunakan Bahasa yang Baik dan Bersopan

Klik gambar untuk melihat imej yang lebih besar.

Pendapat Dr. Wahid Kasran

  1. Dalam berkongsi cerita dengan masyarakat, penulis juga seharusnya sedar bahawa mereka mempunyai etika dan tanggungjawab sosial serta moral yang baik, yang perlu dijadikan pegangan. Salah satu daripadanya adalah melalui penggunaan bahasa yang baik dan bersopan, yang tidak menyentuh sensitiviti pembaca, yang boleh membuat pembaca berasa tidak selesa, tersinggung, marah dan sebagainya, walaupun cerita yang ingin disampaikan itu berdasarkan kisah sebenar yang berlaku dalam masyarakat.
  2. Seseorang penulis mempunyai kuasa untuk memilih gaya bahasa dan cara persembahan penulisan yang dirasakannya sesuai. Walau bagaimanapun setiap penulis dan syarikat penerbitan tertakluk kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) di bawah “Hasil Penerbitan Tidak Diingini”.
  3. Selin hal itu, saya turut menggunakan perlambangan tertentu untuk mempamerkan citra dan jati diri orang Melayu yang kaya dengan adab sopan serta tatasusila. Apabila seseorang penulis menggunakan perlambangan, secara tidak langsung hal ini dapat mengetengahkan kreativiti seseorang penulis.
  4. Secara peribadi saya berpendapat bahawa bahasa Melayu wajar menjadi bahasa rasmi kedua dunia selepas bahasa Inggeris.

    Nurhamizah Hashim, “Bual Bahasa: Bahasa Melayu Mampu Menjadi bahasa Eksotik”, Dewan Bahasa, Ogos 2008, halaman 62 – 65.
Pedoman Bahasa (JPEG) 057. Minda Sarjana/Penulis Kita.

Pukul Jam 12 Kali

Diceriterakan, pada tahun 1947, Balai Polis Keningau membantu masyarakat untuk mengetahui perubahan waktu dengan memukul gong. Bunyi gong sekali bermakna pukul satu, bunyi gong dua kali bermakna pukul dua dan bunyi gong 12 kali bermakna pukul 12. Istilah bagi perbuatan memukul gong untuk menandakan waktu itu ialah pukul jam.

Ada seorang konstabel baru bertugas di Balai Polis itu. Ketika dia bertugas pada hari pertama, seorang sarjan menyuruhnya pukul jam 12 kali apabila tiba pukul 12. Tepat pada pukul 12 tengah hari, konstabel itu memukul jam dinding di balai itu sebanyak 12 kali. Jam itu pun hancur.

Sumber: Memoir Anak Sisa Peperangan (2006) oleh R.M. Jasni (diubah suai).

01 Jun 2009

Masyarakat dan Alam Borneo Utara 1940-an

Banyak perkara menarik terdapat dalam buku Memoir Anak Sisa Peperangan karya R.M. Jasni. Antaranya termasuklah gambaran masyarakat dan alam Borneo Utara pada tahun 1940-an. Contohnya adalah seperti yang tersurat dan tersirat dalam petikan yang di bawah ini.

Masyarakat
1. Kerbau jantan itu nampak bodoh, tetapi patuh menerima arahan untuk melakukan kerja-kerja berat. Kawan-kawan ayah yang ramai itu hanya patuh apabila mendengar gong dipalu, menandakan ada jamuan akan terhidang dan sumazau akan ditarikan. (halaman 9)

2. Budaya penduduk di sepanjang Sungai Kinabatangan amat luhur. Tetamu diberi makan ketika singgah di rumah mereka. Jika tetamu itu meneruskan perjalanan, mereka diberi beras atau sagu ubi sebagai bekalan dalam perjalanan. Mungkin ada orang mati dimakan buaya, tetapi yang pasti tidak pernah berlaku orang mati kebuluran di sepanjang sungai ini disebabkan tiada orang lain mahu membantu. (halaman 67)

Alam
3. Ketika kapal kecil rapat ke lanting atau jeti terapung, pangkalan Kuamut nampak sibuk dengan orang ramai yang menunggu di situ. Di pangkalan terdapat hasil hutan seperti damar dan rotan dilonggokkan untuk diangkut ke Sandakan. Tidak jauh dari kawasan lanting, saya melihat beberapa ekor buaya di tepian sungai. Orang ramai tidak ambil kisah dengan kehadiran buaya-buaya itu, kerana ia berlaku setiap hari di tempat yang sama. Buaya suka timbul pada waktu pagi untuk mendapat cahaya matahari. (halaman 60)

4. Saya hampir lemas apabila tergelincir dan jatuh ke tepi lanting. Saya terkapai-kapai dan mujurlah saya sempat berpaut pada seutas tali yang terikat di lanting itu. Dalam beberapa saat yang mencemaskan itu, seorang daripada anak buah kapal itu pantas menarik tangan saya keluar dari air. Tanpa pertolongannya, saya mungkin sudah menjadi habuan buaya lapar. (halaman 61)

5. Di sepanjang perjalanan dari Tangkulap ke Kuala Tongod, pokok-pokok balak sedang berbunga pada masa itu. Baunya berbaur dan semerbak harum menusuk hidung. Udara rimba pagi itu terasa dingin dan suasananya riang oleh siulan dan kicauan berbagai-bagai jenis burung. Bunyi merak dan enggang bersahut-sahutan. Siamang melaung kuat memanggil kekasih. Kicauan burung bertingkah dengan mergastua yang lain seolah-olah membentuk simfoni yang mengasyikkan di sungai rimba itu. (halaman 63)

6. Gajah, rusa, kijang, orang utan dan berbagai-bagai jenis monyet boleh dilihat di tepian sungai. Ada yang melompat dari dahan ke dahan dan melarikan diri. Pemandangan yang mempesonakan ini, sebanyak sedikit dapat meringankan penderitaan ibu. Saya sungguh tertarik melihat sekumpulan gajah sedang mandi kerana saya tidak pernah melihat gajah dari dekat sejak saya dilahirkan. (halaman 63)