21 Mac 2010

“Hal Ini Dikatakan Demikian” Gramatis

Sari “Soal Jawab Bahasa” (SJB), majalah Pelita Bahasa, Mac 2010.

1. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga mengkategorikan perkataan demikian sebagai adverba. Adverba tidak boleh menjadi inti kepada frasa. Jadi, ayat yang di bawah ini tidak gramatis:
*Hal ini demikian kerana kes itu masih belum dibicarakan.

2. Ayat ini ialah ayat majmuk pancangan keterangan. Klausa utamanya ialah *hal ini demikian.

3. Dalam bahasa Melayu, ada empat pola ayat inti. Pola itu ialah FN + FN, FN + FK, FN + FAdj dan FN + FS. Tiada pola ayat inti FN + *FAdv.

4. Klausa utama ayat ini berpola *frasa nama + adverba (*hal ini + demikian). Pola ini tidak wujud dalam ayat inti bahasa Melayu. Jadi, klausa utama dalam ayat ini tidak gramatis.

5. Ayat ini gramatis apabila satu perkataan kata kerja mendahului perkataan demikian. Perkataan itu ialah dikatakan, terjadi, berlaku dan sebagainya. Maka terbitlah ayat seperti yang di bawah.
Hal ini dikatakan demikian.
Hal ini terjadi demikian.
Hal ini berlaku demikian.

Hal ini ialah FN. Dikatakan demikian, terjadi demikian dan berlaku demikian ialah FK. Pola ayat-ayat ini ialah FN + FK. Nyatalah bahawa ayat-ayat ini gramatis.

FN = Frasa Nama
FK = Frasa Kerja
FAdj = Frasa Adjektif
FS = Frasa Sendi

6. Perkataan mengenal bermaksud “mengetahui atau mengecam sesuatu dengan berdasarkan sifat atau bentuk luaran. Ayat contoh: Saya tidak dapat mengenal wajah beliau kerana keadaan pada malam itu sangat gelap.

7. Perkataan mengenali bermaksud “kenal akan”. Ayat contoh: Setelah mengenali wanita itu, saya mula jatuh hati terhadapnya. Perkataan mengenali juga bermaksud “mengetahui rupa, sifat atau tanda sesuatu”. Ayat contoh: Kami memilih sistem yang digunakan di negara itu setelah kami mengenali cara pengoperasiannya.

Rosli Dhoby Melayu

Rosli Dhoby Melayu. Tuan Bolhassan bin Ainnie Dhoby menegaskan hal ini dalam ruangan ulasan Blog Ustaz Rosli Dhoby pada 19 Mac 2010. Pemilik blog itu, Tuan Ustaz Mohd Isa bin Mat Daud, menyampaikan ulasan Tuan Bolhassan di Facebook saya pada hari yang sama.

Nota saya, “Rosli Dhoby (1932 - 1950), Pahlawan Sarawak” yang diterbitkan pada 21 Januari 2010 sudah dikemas kini. Saya menyusun nota itu berdasarkan maklumat daripada Wikipedia Bahasa Melayu (WBM). Pada masa itu dan pada hari ini (21 Mac 2010), WBM masih mencatatkan bahawa Ustaz Rosli Dhoby berketurunan Melanau. Namun, masukan Wikipedia Bahasa Inggeris (WBI) menyatakan bahawa Rosli Dhoby ialah nasionalis Melayu terkenal dari Sibu, Sarawak. Masukan WBI selaras dengan penjelasan Tuan Bolhassan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Bolhassan dan Tuan Ustaz Mohd Isa. Saya juga memohon maaf kepada mereka dan para pembaca atas kesilapan itu. Saya berharap ada rakan (yang berkemahiran) dapat berhubung dengan pihak WBM agar masukan tentang Rosli Dhoby dalam WBM itu dapat dikemas kini.

19 Mac 2010

Pautan tentang Isu Penggunaan Kalimah Allah

4 Januari 2010. Kes Herald - Di Manakah Silap dan Betulnya Hakim Lau Bee Lan? Mohamed Hanipa Maidin . Sebagai seorang peguam dan pemimpin PAS saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan pandangan saya tentang keputusan Yang Arif Datuk Lau Bee Lan dalam kes penggunaan kalimah Allah dalam akhbar Herald yang diterbitkan oleh Kristian Katolik. Bagaimanapun ulasan saya di sini dari perspektif undang-undang semata-mata.

4 Januari 2010. Isu Nama Allah: Garis Panduan Penggunaan Nama Allah. Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin. Di sini saya mencadangkan beberapa perkara untuk diteliti dalam isu penggunaan nama Allah oleh mereka yang bukan Islam.

4 Januari 2010. Saya Tidak Bersetuju Kalimah Allah Dikongsikan. Shamsudin al-Johori. Saya tidak bersetuju kalimah Allah dikongsikan atau dipolitikkan. Ini pendirian saya. Sejak Jumaat, dengan berita kemenangan akhbar mingguan Kristian, berita ini mula menjadi jihad kepada penganut agama Islam. Di mana-mana atau di dada akhbar mahupun majalah, jihad ini terlontar dengan idea-idea yang ikut sedap rasa atau ikut sedap mulut oleh individu mahupun pertubuhan tertentu yang melobikan diri mereka pejuang Islam.

4 Januari 2010. Isu Nama Allah: Ada Puak yang Menggelabah. Wak. Beberapa NGO termasuk tokoh Pemuda UMNO cuba menjadi hero dengan mengecam hebat keputusan tersebut sehingga menyindir parti-parti politik berasaskan agama yang mengambil langkah berdiam diri ketika ini.

4 Januari 2010. Allah (Lagi). Faisal Tehrani. Umat Islam dari apa jua parti dan jalur mesti bersatu untuk mendepani "kekeliruan" yang boleh tercetus akibat dari "insiden/tuntutan aneh" ini. Sila berhenti menyalahkan satu sama lain dan sila berhenti menunjukkan yang kumpulan atau parti anda lebih (kononnya) terkehadapan dalam memperjuangkan isu ini. Ulama dan tokoh politik Islam yang menyokong penggunaan kalimah Allah buat orang Kristian eloklah bertaubat.3 Januari 2010: Isu Nama Allah: Kenyataan Pertama Dr. Mohd Asri. "Jika keputusan mahkamah mengenai penggunaan nama Allah itu hendak dipakai, garisan panduan dan peraturan hendaklah dibuat."

4 Januari 2010. MAPIM Lancar Tanda Tangan Sejuta Umat. Majlis Perundingan Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini melancarkan kempen kumpul tandatangan sejuta umat Islam untuk membantah penggunaan kalimah Allah oleh Herald-Catholic Weekly yang dilulus oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

4 Januari 2010. Penggunaan Kalimah Allah: Kerugian untuk Bukan Islam. Fadzli Yusof. Tiada tegahan dalam Perlembagaan kepada guru untuk bercerita tentang Islam kepada nonmuslim. Sebelum ini kita menjaga sensitiviti; tetapi oleh sebab gereja tidak mahu lagi terma tersebut, kita kena tunjuk yang kita bersedia untuk membelinya!

4 Januari 2010. Isu Nama Allah Jangan Main-main. Ismaily Bungsu. Kalau kita bertindak buat demo dengan kekerasan nampak Islam itu ganas dan tak berbincang secara baik dan ini ada kesan kepada penganut-penganut agama Islam seolah-olah bersikap kasar, sedang Islam ajaran Nabi selalu bertindak secara halus kecuali diperangi, itu pun Islam hanya bersikap mempertahankan bukan memerangi. Kita kena bijak bertindak.

4 Januari 2010. Tak Salah Apa Pun - Saja Nak Buat Heboh Kasi Satu Malaysia Lupa Harga Gula Naik. Hishamuddin Rais.

3 Januari 2010. Zahid: Kalimah Allah Dikhuatiri Diguna Pendakyah Agama Bagi Tujuan Tersirat. Bernama. Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan telah menetapkan dengan jelas bahawa perkataan "Allah" adalah khusus untuk orang Islam kerana ia merupakan perkataan khas sementara "Tuhan" merupakan nama am.
3 Januari 2010. Awas Perangkap UMNO dalam Isu Penggunaan Nama Allah. Tulang Besi. Ini semua perangkap UMNO. Hati-hati supaya kita jangan terpengaruh dan terjerat dengan perangkap ini. Sejak bila pula UMNO ini berjuang Islam? Mereka ialah parti nasionalis sekular Melayu. Mereka bertanggungjawab menindas serta menghalang pelaksanaan syariah Islam sejak merdeka.

2 Januari 2010. Oh My God atau Ya Allah? Marniyati Mohd Noor. Sedar atau tidak, kita semakin jauh meninggalkan kalimah "Ya Allah" di mulut dan di hati. Kita lebih berasa gah apabila dapat melafazkan kalimah "Oh My God". Di laman sosial seperti di Facebook pun sudah ada kecenderungan menulis OMG sebagai singkatan kepada "Oh My God". Kata seorang kawan, kalimah "Oh My God" nampak lebih tinggi kelasnya. Masya-Allah, Nauzubillah.

12 Mac 2010

Ada Rakyat Malaysia Memperlekeh Bahasa Kebangsaan

1. Selepas merdeka lebih 52 tahun, masih ada rakyat Malaysia tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan (BK) dengan baik.

2. Ada guru mempersoal penggunaan BK untuk laporan rasmi kerana laporan sudah dibuat dalam bahasa Mandarin. Mereka kata, pegawai pelajaran perlu memahami bahasa Mandarin. Mereka tidak menghormati BK. Patutkah Jabatan Pelajaran membenarkan mereka terus menggunakan bahasa Mandarin dalam laporan rasmi?

Lampiran

1. Ketika melalui pekan Tronoh, Perak, baru-baru ini, yang diamati ialah bahawa masih ada rakyat Malaysia yang tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu. Hal tersebut tentu sekali amat mengecewakan kerana bahasa Melayu bahasa kebangsaan. Maka timbul pertanyaan: Mengapakah hal tersebut berlaku? (Bingkisan Editor oleh Armin Azhari Saleh, “Dua Puluh Tahun Menyempurnakan Bahasa”, Pelita Bahasa, Mac 2009, halaman 3.)

2. Sebuah rancangan televisyen mendedahkan ketidakupayaan rakyat negara ini bertutur dalam bahasa kebangsaan di Pulau Ketam. Pada bulan Mac yang lalu, Pelita Bahasa mendedahkan hal yang sama yang berlaku di Tronoh. Maka timbul pertanyaan Penduduk kawasan manakah lagi yang tidak mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan?

Situasi tersebut menunjukkan bahawa seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Setelah melalui sistem pendidikan sekurang-kurangnya 11 tahun, tentu tidak munasabah jika masih ada rakyat negara ini yang tidak berupaya bertutur dalam bahasa kebangsaan. (Bingkisan Editor oleh Armin Azhari Saleh, “Mengubah Tanggapan Masyarakat tentang Bahasa Kebangsaan”, Pelita Bahasa , September 2009, halaman 3.)

3. Setelah 52 tahun merdeka, yang didapati ialah bahawa masih ada rakyat negara ini yang tidak mampu menggunakan bahasa kebangsaan yang betul, baik lisan mahupun tulisan. Yang lebih mendukacitakan ialah ada rakyat yang tidak dapat bertutur dalam bahasa kebangsaan. Keadaan di Tronoh dan Pulau Ketam membuktikan hal tersebut. Keadaan tersebut seolah-olah memberikan gambaran bahawa gerakan mendaulatkan bahasa kebangsaan tidak mendatangkan hasil seperti yang dikehendaki. (Bingkisan Editor oleh Armin Azhari Saleh, “Gerakan Mendaulatkan Bahasa Kebangsaan”, Pelita Bahasa, Oktober 2009, halaman 3.)

08 Mac 2010

Cek Kosong, Bukan Cek Tendang

Susunan Abu Subuh

Menurut Facebook (FB) Dewan Bahasa, ada macam-macam salam. Pada musim raya, ada salam Aidiladha atau Aidilfitri. Apabila kita menulis surat, ada salam hormat. Mereka yang berkasih sayang, mengungkapkan salam kasih dan salam sayang. Untuk ucapan atau sapaan, ada pula salam sejahtera. Namun, kata FB Dewan Bahasa, "Untuk yang ini, saya kurang faham: Salam Satu Malaysia."

06 Mac 2010

Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia: Mengeruhkan yang Jernih

Kelihatannya pihak yang berkuasa berjaya memalitkan lumpur pada DBP. Akibatnya, ada rakan menganggap DBP bagai lalang dan bertolong-tolongan mengeruhkan yang jernih.

1972: Penduduk Kampung Limbanak Selesa Menggunakan Istilah Bahasa Melayu

Pada tahun 1972, saya mengajarkan mata pelajaran Bahasa Malaysia di SRK Limbanak, Penampang. Semua murid dan guru ialah suku kaum Kadazan, kecuali saya. Saya ialah guru yang mengajarkan Bahasa Malaysia sahaja, termasuk tulisan Jawi. Kecuali sejumlah murid darjah satu, semua murid, guru dan masyarakat di kampung itu dan kampung-kampung di sekitarnya dapat menggunakan bahasa Melayu dengan baik.

04 Mac 2010

Istilah “Bahasa Malaysia”: Bahasa Arab Contoh Terbaik

Saya menerbitkan masukan blog ini yang bertajuk “Pandangan Menarik tentang Istilah Bahasa Malaysia” di Facebook saya pada 2 Mac 2010. Masukan itu mendapat sambutan yang baik daripada rakan-rakan saya. Saya salin ulasan tiga orang rakan saya untuk tatapan kita.

03 Mac 2010

Hari Ini dalam Sejarah: 43 Tahun Keranda 152

Pada hari ini genaplah 43 tahun peristiwa Keranda 152. Peristiwa itu berlaku pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Pada masa itu, para pejuang dan pencinta bahasa Melayu berkumpul di DBP dan kemudian mereka berarak ke Parlimen dengan mengusung keranda.

02 Mac 2010

Kebun Kecil Bahasa

Kami sama-sama berkebun
di laman maya
sulap kami di sana
berdiri sebelah-menyebelah.