18 Julai 2011

Puisi: Nenek Sabah

Pohon renek di tepi padang,
Batangnya kecil tetapi tegap;
Dahulu nenek tinggal di bendang,
Rumahnya kecil disebut sulap.

Pohon renek jenis berbuah,
Buah berzat benih seberang;
Dahulu nenek tekun bersawah,
Menyara zuriat lapan orang.

Pohon renek daunnya rimbun,
Warnanya hijau berbintik-bintik;
Dahulu nenek rajin berkebun;
Menanam tuhau, lada dan betik.

Pohon renek rapat rantingnya,
Tempat hinggap burung kedidi;
Usaha nenek berkat doanya,
Buah tarap lebat menjadi.

Pohon renek bunganya indah,
Lebah menderu bukan sedikit;
Kemudian nenek memilih pindah,
Ke rumah baharu di lereng bukit.

Pohon renek di tepi padang,
Daunnya layu kemarau tiba;
Terus nenek menatap pandang,
Teringat cucu berasa hiba.

Pohon renek sudah berbuah,
Dipetik Timah sebagai lalap;
Penantian nenek lama sudah,
Di anjung rumah dia terlelap.

Pohon renek meranting juga,
Musim beralih ranggas daunnya;
Pabila nenek tersedar jaga,
Tepak sirih terus dicapainya.

Pohon renek benih seberang,
Patah rantingnya hari kelapan;
Ada nenek hanya seorang,
Keletah cucunya itulah harapan.

Mohd Isa Abd Razak
Port Dickson

2 ulasan:

  1. Salam, Tuan Mohd. Isa.

    Puisi ini menggamit kerinduan saya terhadap arwah nenek. Terima kasih atas perkongsian puisi itu, sangat indah......

    BalasPadam
  2. Waalaikumussalam.

    Kak Imun, sama-sama. Kita berkongsi rasa dari semasa ke semasa. Bicara tentang tarap, tutan, tuhau dan sebagainya menarik minat saya.

    BalasPadam

Terima kasih kerana sudi meninggalkan ulasan.