30 Mac 2011

Maaf, Bah. Limpas Dulu, Ya.

Pada hari itu saya berjalan kaki dari pekan Papar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Majakir. Cuaca panas. Rumah sewa saya di hadapan sekolah sudah kelihatan. Ketika itu fikiran saya masih bertumpu pada bahan pengajaran yang akan disampaikan keesokannya. Pada masa itulah saya mendengar suara, “Maaf, bah. Limpas dulu, ya.”

26 Mac 2011

Pelajar Sekolah Menengah Ialah Siswa


“Soal Jawab Bahasa”, majalah Pelita Bahasa, Februari 2011.

1. Petikan

Sebagai kesimpulannya, perkataan murid dan pelajar hanya sesuai digunakan untuk mereka yang belajar di sekolah, sama ada di sekolah rendah atau sekolah menengah. Perkataan pelajar atau penuntut pula biasanya digunakan di institut perguruan. Dalam hal tersebut, istilah guru pelatih turut digunakan. Perkataan pelajar, penuntut, mahasiswa, mahasiswi, siswa dan siswi sesuai digunakan untuk mereka yang mengikuti pelajaran di universiti.

25 Mac 2011

Tiga Bunyi Huruf e



Pedoman Bahasa (JPEG) 072. Huruf/Ejaan.
Pada masa dahulu, huruf e melambangkan satu bunyi iaitu /e/ seperti dalam perkataan ekor. Pada masa itu, ada huruf e bertanda (ĕ) bagi melambangkan bunyi /ə/ seperti dalam perkataan emak.
Pada akhir tahun 1972, kita menerima pakai ejaan baharu. Dalam ejaan baharu ini tiada huruf ĕ. Huruf ini digantikan dengan huruf e. Jadi, dalam ejaan baharu huruf e melambangkan dua bunyi, iaitu /e/ dan /ə/.

24 Mac 2011

“Oleh Sebab Itu” Gramatis

Sari “Soal Jawab Bahasa” (SJB), majalah Pelita Bahasa, September 2010.

1. Ungkapan oleh sebab itu berasal daripada ungkapan oleh sebab hal itu.^ Pengguna bahasa Melayu lazimnya menggugurkan kata hal. Pengguguran itu sejenis transformasi dan menepati tatabahasa. Oleh hal yang demikian, ungkapan oleh sebab itu gramatis.

23 Mac 2011

Sari Makalah: e Taling dan e Pepet

Suhaimi Mohd Salleh, “e Taling dan e Pepet”, Dewan Bahasa, Mac 2011, halaman 30 – 32.

1. Dahulu, huruf vokal bahasa Melayu berjumlah enam. Huruf-huruf itu ialah a, e, ĕ, i, o dan u. Dalam Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu (ERB) yang diperkenalkan pada tahun 1972, huruf ĕ (e bertanda) lenyap.

22 Mac 2011

Wajarkah Huruf ĕ Dikembalikan kepada Ejaan Rumi?


Pelita Bahasa Melayu Penggal I, 1965, halaman 49
Dahulu kita ada huruf e bertanda, iaitu ĕ. Apabila Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu diperkenalkan pada akhir tahun 1972, kita dapati huruf itu sudah tidak ada lagi.

21 Mac 2011

Latar Belakang Pendidikan Pemulihan

Pendidikan pemulihan di negara kita bermula sejak tahun enam puluhan. Titik tolaknya ialah tinjauan keperluan pengajaran pemulihan yang diadakan pada tahun 1967. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengadakan tinjauan itu di sembilan buah sekolah. Tinjauan itu berterusan hingga tahun 1970.

Pada bulan Ogos 1975, KPM menganjurkan seminar pengajaran pemulihan untuk pengurus dan guru sekolah rendah. Pada tahun 1975 juga, KPM menghantar empat orang pegawai pendidikan mengikuti kursus dalam bidang pengajaran pemulihan di luar negara. Pada tahun 1976, Maktab Perguruan Ilmu Khas melatih 55 orang guru sekolah rendah untuk menjadi guru khas pemulihan. Pada tahun yang sama, MPIK mengadakan seminar pengajaran pemulihan untuk 50 orang pensyarah maktab perguruan.

19 Mac 2011

Pantun Suka Akan Facebook


Di tanah rata bertanam ubi,
Ubi keledek tanaman utama;
Orang kita suka ber-FB,
Atuk dan nenek ikut sama.

Di tanah rata bertanam ubi,
Ubi kayu gagangnya merah;
Orang kita suka ber-FB,
Pelajar “U” paling ghairah.

17 Mac 2011

Senduduk Ungu Kekal Sahabat


Senduduk ungu (Melastoma malabathricum) ialah jenis senduduk yang paling mudah kita temukan. Pokok renek ini tumbuh meliar di tanah terbiar, kebun, ladang dan belukar.

Senduduk ungu turut mewarnai zaman kanak-kanak saya. Yang terpenting, selepas memakan buahnya, lidah saya berwarna hitam. Warna itu bersememeh di bibir. Namun, dari semasa ke semasa, saya tetap memakan buahnya yang sudah masak.

Pada akhir tahun lima puluhan dan awal tahun enam puluhan, kudapan yang saya kenal hampir kesemuanya berasal daripada kebun, ladang, belukar dan hutan. Antara kudapan itu termasuklah buah kemunting, buah lemba, buah mata pelanduk, buah pokok nasi-nasi, buah letup-letup dan buah senduduk ungu. Antara buah-buah itu pula, buah yang terkerap menjadi mamahan saya ialah buah senduduk ungu.

10 Mac 2011

Mengajar + Penerima, Mengajarkan + Perkara

Perkataan apakah yang tinggi kekerapan penggunaannya? Jawabannya pasti berbagai-bagai. Ahli tatabahasa mungkin berpendapat kata ganti nama seperti saya tinggi kekerapan penggunaannya. Pelajar akan memilih perkataan belajar. Guru pula pasti mengetengahkan perkataan mengajar.

Perkataan mengajar adalah antara perkataan yang tinggi kekerapan penggunaannya dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Antara ayat yang biasa kita dengar termasuklah ayat 1, 2 dan 3. Golongan yang paling kerap menuturkan ayat seperti ini ialah pelajar.

1. Cikgu Fuad *mengajar bahasa Melayu.
2. Ustaz Muaz *mengajar bahasa Arab.
3. Cikgu Ghazali akan *mengajar karangan esok.

Hanya segelintir pelajar menyedari bahawa binaan frasa *mengajar bahasa Melayu, *mengajar bahasa Arab dan *mengajar karangan dalam ayat-ayat ini tidak gramatis. Binaan yang gramatis ialah mengajarkan Bahasa Melayu, mengajarkan Bahasa Arab dan mengajarkan karangan.

Kita dapat mengesan sebaran frasa yang silap itu di Internet. Sebagai contoh, hasil carian dengan Google menunjukkan terdapat 136,000 frasa *mengajar bahasa Melayu dan hanya 41,000 frasa mengajarkan bahasa Melayu. Jumlah frasa *mengajar mata pelajaran pula ialah 216,000 berbanding dengan mengajarkan mata pelajaran sebanyak 3,000 sahaja. Kadar kesilapan gabungan kedua-kedua frasa ini ialah 89 peratus. Kadar kesilapan ini sangat tinggi. Oleh hal demikian, perkara ini perlu mendapat perhatian pengguna bahasa Melayu, khususnya pelajar, agar kesilapan seperti ini dapat dibendung.

05 Mac 2011

Kelemahan Berbahasa Inggeris Penyebab Mahasiswa Menganggur?

Pandangan naib canselor itu menarik. Sebagai ahli akademik, apalagi yang bergelar naib canselor, saya berharap pandangan itu berupa dapatan penyelidikan beliau.

Tangkisan Profesor Abdullah Hassan juga menarik. Dalam tangkisan ini ada data. Rakan-rakan Facebook Profesor Abdullah sedang membincangkan hal ini pada status beliau. Marilah kita ikuti perbincangan itu di sini: http://www.facebook.com/#!/profabdullah.

Bacaan yang berkaitan:
1. http://marni-ameera.blogspot.com/2011/03/elit-berjiwa-kecil-mahasiswa-berjiwa.html
2. http://abihulwa.blogspot.com/2011/03/isu-bahasa-um-perlekeh-bahasa-melayu.html

02 Mac 2011

Kami Masih Menanam Ubi


Kami masih menanam ubi,
Di sebelah batas tanaman saka;
Terima kasih rakan FB,
Kerana mengulas dan mengklik suka.

Kepada pengurus pendidikan (khususnya Tuan Kaipin), pendidik guru, mantan guru dan guru:

Kayu gaharu di atas peti,
Dibawa sampan ke Sandakan;
Hasrat guru terus berbakti,
Hasil tuntunan pengurus pendidikan.

01 Mac 2011

Rumah Limas, Rumah Pusaka: Arkib Tiga Buah Negeri


Judul: Memoir Karyawan Tamu DBP Cawangan Sabah, Harun Haji Salleh, Rumah Limas Rumah Pusaka
Pengarang: Harun Haji Salleh
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas: Mohd Isa bin Abd Razak
Harga: RM38.00

Harun Haji Salleh menamakan rumah warisan itu Rumah Limas, Rumah Pusaka. Di dalam rumah warisan yang sudah tua itulah dia menyimpan catatan peribadinya. Antaranya termasuklah pemerian pemandangan indah kampung tradisional Melayu pada tahun 1930-an, gambaran kekejaman Jepun pada awal tahun 1940-an dan gambaran kota Kuala Lumpur pada akhir tahun 1940-an.

Rumah warisan yang sudah uzur itu terletak di Kampung Bukit Tempurung, tidak jauh dari Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan. Di rumah itulah Harun lahir dan membesar. Di dalam rumah warisan yang sudah tua itulah dia menyimpan catatan peribadinya. Selain pemerian pemandangan kampung, gambaran kekejaman Jepun dan gambaran kota Kuala Lumpur, di dalam rumah itu juga tersimpan catatan pergaulannya dengan anak raja. Semua bahan itu tersusun rapi di anjung dan serambi rumah limas itu.

Anggerik Nenek

Kuih lepat rendang kasturi,
Untuk puan di Kampung Bayangan;
Di tingkat empat anjung pangsapuri,
Anggerik pasuan bergantungan.