30 Mei 2011

Ain dan Hamzah

Rumi dahulu ada ain dan hamzah
suara ain dari rongga hidung
hentian glotis hamzah di rengkung.

Koma di atas, melengkok ke kanan
aksara itu wajah ain
koma di atas, melengkok ke kiri
diakritik itu muka hamzah.

Ain dan hamzah berhujung tajam
kala ain mendongak mesra
tika itu hamzah menunduk malu.

Rumi baharu
mencantas ain, memancung hamzah
memisahkan aur daripada tebing
memelihara gajah tanpa gading.

Za‘ba pendeta kita
namanya membawa ain ke mana-mana
jangan buang ain penutup pangkal katanya
jangan jadikan alif saksi pengganti ainnya
jangan dudukkan hamzah pada tempat ainnya
jangan persenda nama pendeta itu
dengan Rumi baharu yang keliru.

Wahai pencinta bahasa
lestarikan ain pada nama Za‘ba
abadikan hamzah pada kata al-Qur’an.
Dengan lidah yang fasih
tebarkan aksara dan diakritik kasih
gemakan suara ain dan hamzah
tepu insaf dan penuh ghairah.

Mohd Isa bin Abd Razak
Seremban
29 April 2009

26 Mei 2011

1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara dalam Bil

Citra ini adalah sebahagian daripada lembar bil yang saya terima setiap bulan sejak beberapa tahun yang lalu. Dalam bil ini terselit bahasa kebangsaan kita. Dalam bil ini juga tersisip cogan kata “1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara”.

Pedoman Bahasa (JPEG) 073. Martabat.

Citra ini adalah sebahagian daripada lembar bil yang saya terima setiap bulan sejak beberapa tahun yang lalu. Dalam bil ini terselit bahasa kebangsaan kita. Dalam bil ini juga tersisip cogan kata “1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara”.

21 Mei 2011

Selamat Hari Genap Usia, Iman!

Petang kelmarin nenek berkata, “Esok ialah hari genap usia Iman.”

Atuk bertanya, “Yakah?”

Nenek menjawab, “Ya. Hari genap usia cucu kita itu sama dengan Pak Andaknya.”

Selamat hari genap usia, Iman! Pada hari genap usiamu ini, dengarlah sedikit penjelasan tentang atuk, nenek dan anak-anak atuk.

16 Mei 2011

Guru Ibarat Bulan, Menerima dan Memberi Cahaya

Guru ibarat lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain. Inilah perbandingan yang kerap kita dengar. Perbandingan ini menyarankan guru “memusnahkan” diri sendiri demi kepentingan pihak lain. Tegasnya, Perbandingan ini menggambarkan kehebatan “pengorbanan” guru.

Seorang mantan guru besar pernah mengulas perkara ini dalam akhbar. Beliau berkata, perbandingan itu tepat untuk keadaan sebelum merdeka. Antara lain beliau menyatakan, sebelum merdeka ada guru berjalan kaki untuk bertugas. Mereka membawa barang makanan untuk seminggu kerana sekolah jauh dari bandar. Ada pula guru menyewa pondok buruk sebagai tempat tinggal. Mereka menggali perigi jikalau sekolah jauh dari sungai.

Dokong, Dukung dan Lain-lain

Antara tajuk akhbar dalam talian pada 15 Mei 2011 ialah “Guru Mesti Dokong Dasar Kerajaan”. Saya tertarik dengan penggunaan perkataan “dokong” dalam tajuk ini.

Dokong ialah sejenis pokok. Buah pokok itu dinamakan buah dokong. Buah dokong sekan-akan buah langsat tetapi kulitnya lebih tebal. Isi buah dokong lebih tetal dan lebih enak apabila dibandingkan dengan buah langsat. Harga buah dokong pun lebih mahal berbanding dengan buah langsat.

Penggunaan perkataan “dokong” dalam tajuk itu jelas silap. Perkataan yang betul ialah “dukung”. Jadi, Tajuk yang wajar ialah “Guru Mesti Dukung Dasar Kerajaan”.

Perkataan “dukung” dalam tajuk ini digunakan secara kiasan. Maksud kiasannya seperti yang terdapat dalam Kamus Dewan ialah memikul atau menyokong. Dalam tajuk ini, maksud “dukung” yang tepat ialah memikul.

Dalam perenggan pertama berita itu terdapat ungkapan “wajib menyokong”. Kamus Dewan mencatatkan, perkataan “wajib” mempunyai lebih daripada satu makna. Makna pertama dan yang utama ialah hukum suruhan dalam Islam. Orang Islam yang melaksanakan suruhan mendapat pahala apabila melakukannya. Orang Islam yang meninggalkan suruhan itu pula akan mendapat dosa.

Akbar itu boleh sahaja mengemukakan alasan tersendiri untuk mewajarkan penggantian perkataan “mesti” dalam tajuk bagi menjadi “wajib” dalam perenggan pertama. Demikian juga halnya dengan perkataan (sesudah dibetulkan) “dukung” atau lengkapnya “mendukung” digantikan dengan perkataan “mendukung”.

Saya tertanya-tanya, adakah kesilapan ejaan dalam tajuk akhbar perkara kecil? Apakah tujuan penulis menggantikan dua patah perkataan dalam perenggan pertama itu?

Saya percaya, pembaca mempunyai jawapan yang tersendiri untuk pertanyaan pertama. Pertanyaan yang kedua pula hanya dapat dijawab oleh penulis atau pihak akhbar yang berkenaan.

15 Mei 2011

Selamat Hari Guru 2011

“Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”.

video
“Semakin terpencil duduknya di ceruk desa, semakin bererti tugasnya tugasnya kepada negara.” Sasterawan Negara Usman Awang, "Guru Oh Guru", 1979.

Bunga melati di sempadan,
Tumbuh sejajar dengan kekwa;
Guru sejati suri teladan,
Menunjuk ajar sepenuh jiwa.

Video “Ceruk” Selamat Hari Guru 2011

14 Mei 2011

Jasa Guru oleh Aeman

video

Dodoi Buai Anak

video

Pejamkan mata anakku sayang
Dalam buaian ibu dodoikan
Ibu berdoa kepada Tuhan
Minta jauhkan gangguan syaitan.

Harum mewangi si bunga melur
Putih berkembang di hujung laman
Anakku manis lekaslah tidur
Ibumu ini banyak tugasan.

Baiklah laku bekal dunia
Eloknya budi bekalnya mati
Cantiknya rupa mainan mata
Indah bahasa penambat hati.

Cepatlah besar anakku ini
Boleh kuhantar tempat belajar
Menghadap guru lebai dan haji
Dunia akhirat biar sejajar.

Pergi ke hulu membeli buyung
Buyung dibawa pulang bertiga
Jadikan ilmu sebagai payung
Payung hidupmu di hari muka.

Menanam temu di Kampung Sena
Tanam bersama dengan halia
Kalau hidupmu sudah sempurna
Ibu dan bapa tumpang bahagia.
.
Asalnya kain jadi pakaian
Ditiup angin jatuh ke lumpur
Biar menangis dalam buaian
Jangan menangis di dalam kubur.


Video “Dodoi Buai Anak” Selamat Hari Guru 2011

12 Mei 2011

1, 2, 3, 4 yang Kuminati oleh Aris Ariwatan


Satu, kasih nan abadi
tiada tandingi Dia Yang Satu
dua, sayang berpanjangan
membawa ke syurga kasihnya ibu.

Tiga, lapar dan dahaga
rela berpayahan setianya ayah
empat, mudah kauketemu
berhati selalu
beza antara kasih *dan (dengan) kekasih.

Ibu kuingat dahulu
menyisir rambutku kemas selalu
ayah menghantar ke sekolah
bergunalah ilmu *bila (apabila) dewasa.

Sayang dengar lagu ini
untuk kausandarkan buat pedoman
jangan manis terus ditelan
pahit terus dibuang
itu bidalan harus kaurenungkan.

Andai ‘kau beroleh bahagia
ingat itu bukan untuk selamanya
andai ‘kau dalam sengsara
ingat itu bukan untuk selamanya
hidup ini sementara.

Jangan Sambut April Fool


Petikan masukan terdahulu: April Fool tidak boleh disambut oleh orang Islam kerana perayaan itu mempunyai unsur tipu helah, ketidakjujuran dan boleh merosakkan silaturahim.

Presiden Persatuan Ulama Dunia, Dr. Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi menyebut: Menipu ialah satu sifat yang buruk. Manusia yang berakhlak dan beriman tidak layak mengamalkan perbuatan itu. Bahkan perbuatan itu ialah petanda kemunafikan. Rasulullah SAW bersabda, "Orang munafik mempunyai tiga ciri: dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah." (Bukhari dan Muslim)

11 Mei 2011

Sejarah April Fool Tidak Sahih


1 April sememangnya sinonim dengan perayaan April Fool di Barat. Sejarah dan asal usul April Fool dikatakan bermula daripada tragedi kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol pada tahun 1487 bersamaan dengan 892H akibat diserang oleh tentera Kristian setelah berkurun-kurun lamanya Islam bertapak di Granada. Persoalannya, adakah sejarah tersebut sahih?

10 Mei 2011

Dr. Rais Yatim Meminta Radio dan Televisyen Menggunakan Bahasa Melayu Baku


DBP, 1989
Pada 27 April 2011 akhbar dalam talian mStar menyiarkan berita “Rancangan Televisyen, Radio Guna Bahasa Melayu dengan Betul”. Pada keesokan harinya Laman Facebook (FB) Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBPM) menyiarkan pautan berita itu. Sehingga kelmarin, sebanyak tujuh orang atau 0.5% daripada 1417 orang peminat FB DBPM memberikan sambutan sama ada dengan mengklik suka, membuat ulasan atau kedua-duanya sekali.

Kelmarin saya menyiarkan pautan itu di FB saya. Sehingga hari ini, sebanyak lapan orang sudah memberikan sambutan. Jumlah ini bersamaan dengan 1.4% daripada 570 orang rakan FB saya. Pembaca boleh membuat tafsiran sendiri tentang 0.4% dan 1.4% itu. Saya mahu memberikan tumpuan pada tajuk dan kandungan berita yang berkenaan.

Tajuk berita itu menyarankan bahawa penggunaan bahasa Melayu oleh pihak radio dan televisyen sudah betul. “Betul” di sini dapat bermaksud baku atau standard. Adakah saranan ini benar? Ikuti penjelasan seterusnya.

Intro berita itu ialah “Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) mahu supaya bahasa Melayu digunakan dengan betul dalam semua rancangan di radio dan televisyen.” Perkataan “mahu” bermaksud kehendak. Tegasnya, KPKK menghendaki pihak radio dan televisyen menggunakan bahasa Melayu yang betul. Jadi, penggunaan yang sudah betul yang disarankan dalam tajuk bertentangan dengan kehendak agar diwujudkan penggunaan yang betul.

Tajuk yang sesuai dengan intro ialah “Radio dan Televisyen Diminta Agar Menggunakan Bahasa Melayu Baku” atau “Dr. Rais Yatim Meminta Radio dan Televisyen Menggunakan Bahasa Melayu Baku”.

Mungkin kita bertanya, benarkah penggunaan bahasa Melayu di radio dan televisyen tidak atau kurang baku? Perkara ini memerlukan kajian dan perbincangan yang tersendiri. Eloklah pihak yang berwajib seperti KPKK dan DBP menangani perkara ini. Biarlah saya memberikan tumpuan pada perenggan susulan berita itu.

Gagasan dalam perenggan kedua ialah “rakyat Malaysia hendaklah menggunakan bahasa Melayu baku”. Gagasan dalam perenggan ketiga pula ialah “bahasa Melayu terpinggir di bumi sendiri kerana masyarakat malu untuk menuturkannya”. Nyatalah bahawa perenggan kedua dan ketiga bukan susulan maksud atau huraian intro.

Tampaknya tajuk berita ini memujuk pembaca agar berasa kagum dengan penggunaan bahasa yang betul oleh pihak radio dan televisyen. Hal yang tersirat, para pembaca tidak perlulah “menegur” media itu supaya berubah. Yang perlu berubah ialah pembaca sendiri. Pembaca hendaklah menggunakan bahasa Melayu baku dan hendaklah berasa bangga menuturkannya. Rumusannya, wacana berita itu longgar kerana maksud tajuk bertentangan dengan intro dan perenggan susulan tidak menyokong maksud intro.

Saya meneruskan catatan ini dengan merujuk perenggan keenam. Dalam perenggan itu Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim menyatakan bahawa beliau menerima banyak surat dalam bahasa Inggeris. Seterusnya beliau berkata, “Saya secara hormat menjawabnya dalam bahasa Melayu."

Tindakan Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim menjadi sempadan. Yang sewajarnya menjadi teladan ialah tindakan memulangkan surat itu kepada penulisnya dan memintanya untuk menulis surat itu kembali dengan menggunakan bahasa kebangsaan.

Saya berasa wajar untuk mencatat satu perkara yang berkaitan dengan penggunaan bahasa baku, khususnya sebutan baku, oleh radio dan televisyen. Pada bulan 19 Januari 2000, Jemaah Menteri mengarahkan agar semua stesen televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta tidak menggunakan sebutan bahasa Melayu baku. Berita akhbar Utusan Melayu pada keesokan harinya menggunakan tajuk “Radio dan Televisyen Dilarang Menggunakan Sebutan Baku”.

Tukang hebah terlantang arahan itu ialah Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim. Pada masa itu beliau menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dengan berdasarkan ulasan beliau dalam media cetak, bolehlah dikatakan bahawa beliau begitu gembira melaksanakan pemansuhan sebutan baku, iaitu sebutan yang didukung oleh Menteri Pendidikan pada tahun 1986 - 1991. Mujurnya, penggunaan sebutan baku kekal di sekolah seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/2000 tetapi untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja.

Sebagai kesimpulannya, pembaca hendaklah mengelakkan diri daripada membuat tanggapan dan ulasan hanya dengan membaca tajuk. Pembaca juga perlu membaca keseluruhan sesuatu tulisan dengan teliti. Selain itu, pembaca memikirkan perkara yang tersirat dalam sesuatu penulisan. Jikalau mungkin, eloklah diketahui latar belakang sumber berita itu.

08 Mei 2011

Hari Ibu Boleh Bila-bila Sahaja


Hari ini, Ustaz Mohd Fadli Yusof membuat ulasan tentang sambutan Hari Ibu. Menurut beliau, hukum sambutan itu bergantung pada tujuan kita menyambutnya. Jikalau tujuan kita menyambutnya adalah untuk meraikan “Mother of God”, hukumnya haram. Hal ini bersesuaian dengan sebuah hadis, maksudnya, “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia termasuk dalam golongan mereka.” (Imam Abu Daud, Ahmad bin Hanbal dan Imam as-Suyuti)

Menurut Ustaz Mohd Fadli lagi, “Jika disambut sebagai menghargai ibu jasa ibu kepada kita, harus saja hukumnya. Boleh sambut Hari Ibu dengan tujuan yang murni bila-bila masa sahaja, tidak payah tunggu bulan Ahad pertama bulan Mei.” Pautannya di sini. http://www.facebook.com/home.php?ref=hp#!/mfadli11

07 Mei 2011

Kena Kompaun kerana Lupa Akan “Lain Padang, Lain Belalang”

Pada 23 April 2011, saya berasa bernasib baik kerana ada satu petak letak kereta kosong di hadapan Melaka Mall. Saya terus meletakkan kereta dalam petak itu. Apabila saya keluar dari kereta, saya mencari-cari petugas yang mungkin meletakkan notis bayaran. Isteri dan anak saya juga melakukan usaha yang sama. Akhirnya kami membuat rumusan bahawa selepas pukul 12.00 tengah hari pada hari Sabtu itu petugas mungkin sudah selesai bertugas.

01 Mei 2011

Teladan untuk Pewaris Gerak Kerja Hassan Al-Banna

Perbincangan di Facebook: http://www.facebook.com/home.php?ref=hp#!/notes/mohd-isa-abd-razak/teladan-untuk-pewaris-gerak-kerja-hassan-al-banna/10150589344515089

Tarikh 29 April 2011 akan tercatat dalam sejarah tanah air kita. Aspek penting yang pasti menjadi kenangan pencinta kebenaran pada tarikh itu ialah tazkirah oleh seorang ustaz dalam majlis pelafazan sumpah laknat di Masjid Amru Ibni Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.