15 September 2011

Cuti Umum Hari Malaysia Gimik Anwar – Profesor

Perbincangan di Facebook.

Pada 2 September 2008 Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, cuti umum Hari Malaysia ialah taktik pembangkang untuk meraih sokongan rakyat. Cuti itu tidak perlu kerana boleh menjejaskan produktiviti.

Prof. Mohamed Mustafa Ishak dari Universiti Utara Malaysia pula menyifatkan cadangan Anwar itu sebagai gimik daripada seorang ahli politik yang ketandusan idea dan bertujuan mengalih perhatian daripada isu-isu besar.

Laporan penuh diberikan dalam lampiran A.

10 September 2011

Majlis Profesor Negara Tersasar - TERAS


Kenyataan Media TERAS Pengupayaan Melayu
10 September 2011

Majlis Profesor Tersasar Jauh daripada Kebenaran

TERAS terkejut dengan pendirian Majlis Professor Negara yang mengatakan perjuangan golongan kiri bukan perjuangan kemerdekaan. Mengulas rumusan oleh majlis yang dikatakan dianggotai oleh para ahli profesor yang diwakili oleh Prof. Datuk Zainal Kling, TERAS berpendirian sejarawan tersebut bermain kata-kata yang berbelit-belit untuk menafikan suatu fakta yang sudah sangat makruf dalam kalangan rakyat.

09 September 2011

Profesor Dato’ atau Dato’ Profesor?


Profesor Emeritus Datuk
Dr. Nik Safiah Karim
1. SOALAN: Profesor Dato' atau Dato' Profesor? JAWAPAN: Lazimnya dalam protokol dan adat istiadat, jawatan profesor mendahului gelaran Dato' seperti YBhg. Profesor Dato' Mustafa bin Muhammad. Walau bagaimanapun protokol ini tidak diikuti sepenuhnya kerana penerima boleh memilih untuk mendahului jawatan daripada gelaran atau sebaliknya mendahului gelaran daripada jawatan. (Khidmat Nasihat Bahasa DBP, 9 September 2011)

2. SOALAN: Katakan Profesor Datuk Dr. Hajah X ialah penerima anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK). (1) Dalam konvokesyen UMS panggilannya Datuk Prof. Dr. Hajah X atau Prof. Datuk Dr. Hajah X? (2) Bagaimanakah pula panggilan untuk beliau dalam majlis rasmi anjuran Kerajaan Negeri Sabah yang dihadiri oleh TYT? JAWAPAN: Profesor Datuk. Gelaran “Datuk Profesor” tidak ada dalam protokol Negeri Sabah. (Tuan Haji Yahamad Budin, Jabatan Ketua Menteri Sabah, 9 September 2011)

04 September 2011

Tiada Malam 0 Syawal


Saya mendapati ada media elektronik menggunakan istilah “Hari Raya Aidilfitri” untuk merujuki 1 Syawal sahaja. Selepas 1 Syawal, media itu menggunakan istilah “2 Syawal”, “3 Syawal” dan seterusnya. Media itu tidak menggunakan ungkapan “hari raya kedua”, “hari raya ketiga” dan seterusnya.

Perlakuan media itu bertepatan dengan pandangan seorang rakan saya yang bergelar ustaz dan mengajarkan bahasa Arab di sebuah institut pendidikan guru. Menurut rakan saya itu, Hari Raya Aidilfitri sehari sahaja, iaitu pada 1 Syawal. Hari-hari dalam bulan Syawal selepas itu dinamakan hari pertama selepas Aidilfitri (2 Syawal), hari kedua selepas Aidilfitri (3 Syawal) dan seterusnya. Menurutnya, pencinta ilmu tidak wajar menggunakan ungkapan “hari raya kedua”, “hari raya ketiga” dan seterusnya.

Walau bagaimanapun, ustaz itu dan seorang lagi rakan saya yang bergelar ustaz juga menggalakkan aktiviti kunjung-mengunjungi sanak saudara dan rakan taulan pada hari pertama dan hari-hari seterusnya selepas Aidilfitri. Yang mahu diubah oleh mereka hanyalah penggunaan ungkapan “hari raya kedua”, “hari raya ketiga” dan seterusnya. Usaha mereka bolehlah dikatakan “mendapat sokongan” media elektronik yang berkenaan.

Namun, apabila diteliti saya dapati pihak media itu lupa bahawa kiraan hari dalam Islam bermula apabila terbenamnya matahari di ufuk barat. Aidilfitri bermula selepas maghrib, iaitu selepas pihak yang berkuasa mengumumkan tarikh Aidilfitri itu secara rasmi. Malam itu, sejak maghrib hingga ke subuh, ialah malam 1 Syawal.

Saya dapati media itu seolah-olah menganggap malam 1 Syawal itu sebagai malam 0 Syawal. Jadi, malam yang berikutnya barulah dikatakan malam 1 Syawal sedangkan malam itu sebenarnya ialah malam 2 Syawal. Pada fahaman saya, tiada malam 0 Syawal. Walau bagaimanapun, saya bersedia menerima pandangan daripada rakan yang arif tentang perkara ini.

Mudah-mudahan nota ini membantu kita agar menggunakan istilah (agama) yang berkenaan, dan istilah yang lain seperti malam Jumaat, dengan betul.

01 September 2011

Al-Fatihah untuk Datuk Dr. Hassan Ahmad


Pada petang 31 Ogos 2011, tokoh bahasa Melayu yang kita sayangi, Datuk Dr. Haji Hassan Ahmad, meninggalkan kita buat selama-lamanya. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira pukul 2.00 petang di rumahnya di Petaling Jaya.

Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Daripada-Mu kami datang, maka kepada-Mu kami kembali. Saya memetik ayat Tuan Kembara Bahasa, “Kita mesti meredhai (meredai – DBP) takdir Allah yang menetapkan usia, rezeki, jodoh dan segala yang berkaitan dengan kehidupan.”

Saya doakan agar Allah mengampuni dosa beliau, mencucuri rohnya dengan rahmat dan menempatkannya dalam kalangan roh orang yang soleh. Al-Fatihah ... Amin!