31 Ogos 2012

Dia Belum Merdeka

1
Dia anak kelahiran zaman penjajah
ketika Tunku melaungkan “merdeka!” dia belum bersekolah
berkaki ayam melastik merbah dengan buah getah
menajur baung bersama-sama ayah
mandi di perigi, buang air besar di belukar itulah.

Selama di sekolah rendah
tiada acara merdeka tiada kibaran bendera
tiada radio di rumah, akhbar pun belum dikenali
televisyen baru direka, orang kampung belum memiliki
31 Ogos itu dia ke sungai ke hutan mengintai rezeki.

Tiga tahun di sekolah menengah keadaannya sama
sekolah Feldanya belum mengenali laungan “merdeka!”

Apabila bersekolah di pekan
barulah dia terselit dalam perhimpunan
tetapi kini laungan “merdeka!” sudah luput daripada ingatan
yang terbayang cantiknya percikan bunga api
dan lambaian gadis kereta berhias, lampunya berwarna-warni.

Hari kebangsaan keenam belas, sepuluh tahun Sabah merdeka
bersama-sama ribuan pemuda dia berkawad di jalan raya
bergaya bangga mengarak bendera ke padang di jalan istana
menyanyikan lagu-lagu patriotik termasuk “Malaysia Berjaya”
penuh semangat melaungkan “merdeka! merdeka! merdeka!”

Hanya itulah penyertaan istimewanya
seterusnya dia hanya penonton biasa
mengikuti siaran langsung televisyen kerapnya
jenama “menjelang merdeka” tidak dibelinya
air bercampur minyak bukan kegilaannya.

2
Dia belum merdeka kerana
masih terlayan bisikan syaitan, mengobarkan nafsu amarahnya
kerap terjerat oleh ahmak, berinfak selalu berkira
selalu malas lalu meringan-ringankan amalan sunatnya
tercabar menyatakan kebenaran terkunci mulutnya.

Apabila pemborosan ringgit berjuta apalagi berbilion-bilion
lagha seni dipupuk dibaja hidup subur merimbun
bahasa kebangsaan terlantar sakit bertahun-tahun
menjadi ukuran anugerah bintang setiap tahun
disahihkan dia belum merdeka, tua pikun.

Apabila tanda aras orang merdeka
ghairah menjaja aib sahabat, bersumpah laknat
gah memperlekeh hudud, mengharamjadahkan rakyat
puas mengumpamakan ulama syaitan terjahat
ditentusahkan dia belum merdeka, digelar keparat.

Dia belum merdeka
siapa percaya dia turut melaungkan “merdeka! merdeka! merdeka!”
pada hari kemerdekaan ke-55 kita?

Mohd Isa Abd Razak
Port Dickson
13 Syawal 1433 (31 Ogos 2012)

30 Ogos 2012

Mari Main Congkak

Mari main congkak,
Taruh buah tenang-tenang;
Kalau dapat “tembak”,
Tentu boleh menang.

Mari main congkak,
Taruh buah satu-satu;
Kalau pandai congak,
Tentu menang selalu.

Mari main congkak,
Isi buah lima-lima;
Kalau angkuh bongkak,
Kawan tidak suka.

Mari main congkak,
Isi buah tujuh-tujuh;
Kalau tunjuk lagak,
Boleh jadi gaduh.

Mari main congkak,
Cari kawan berpasang-pasang;
Menang atau tidak,
Bermain dengan riang.

MOHD ISA BIN ABD RAZAK
Sekolah Tunku Durah
Seremban
Dewan Pelajar, Oktober 1969

Hari Ini 12 Syawal

Dalam kalendar Islam, hari bermula apabila malam, iaitu apabila matahari terbenam di ufuk barat. Dua contoh yang baik ialah permulaan Ramadan dan Syawal. Pihak berkuasa mengumumkan sama ada bulan yang berkenaan bermula pada malam itu atau malam yang berikutnya. Pengumuman itu dilakukan melalui radio dan televisyen. Pengumuman itu memang kita nanti-nantikan setiap kali menjelang Ramadan, apalagi Syawal.

Apabila Ramadan disahkan bermula, kita mendirikan solat sunat tarawih selepas isyak pada malam itu. Sesungguhnya, solat sunat tarawih hanya ada pada bulan Ramadan. Itulah bukti sahih bahawa malam itu ialah malam pertama Ramadan. Dalam bulan Ramadan kita berpuasa pada siang hari. Jadi kita mula berpuasa pada keesokannya. Malam selepas puasa pertama itu ialah malam kedua Ramadan.

28 Ogos 2012

Di Atas dan di Bawah dari Segi Nahu Praktis

Sari Makalah: Imran Ho Abdullah, “Frasa Sendi Nama di Atas dan di Bawah” dalam Zaharani Ahmad (penyunting), 2008. Aspek Nahu Praktis Bahasa Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 328 halaman 299 - 316.

1. Huraian dalam makalah ini menggunakan data korpus UKM-DBP dan berasaskan linguistik kognitif. Pengkaji menggunakan juta kata. Dapatan analisis adalah seperti yang di bawah:

27 Ogos 2012

Wasiat dalam Hikayat Raja-raja Pasai

Hikayat Raja-raja Pasai (HRP) terdiri daripada tiga peringkat peristiwa, iaitu permulaan, perkembangan dan peleraian yang tersusun berdasarkan urutan masa.

Peringkat permulaan terdiri daripada kisah yang berkaitan dengan Raja Ahmad dan Raja Mohamad, Puteri Buluh Betung dan Merah Gajah, Merah Silu dan Merah Hasum, pembukaan Samudera, wasiat Nabi Muhammad, pengalaman Merah Silu melalui mimpi, pelaksanaan wasiat Nabi Muhammad, perkahwinan Malik al-Saleh (Merah Silu) dengan anak gundik Raja Perlak dan pembukaan Pasai.

Skuter Pecut Hijau

Pada tahun 1975 beberapa orang guru lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir, Papar memiliki skuter. Antara pemilik skuter yang saya ingat termasuklah Cikgu Said, Cikgu Razali dan Cikgu Hussain. Mulai bulan Februari tahun itu saya juga menjadi pemilik skuter.

Skuter saya jenis pecut berwarna hijau. Skuter terpakai yang sangat baik keadaannya itu berharga lapan ratus ringgit. Harga itu saya bayar secara tunai kepada penjualnya. Beliau ialah guru di sebuah sekolah menengah di daerah yang sama. Skuter itu dijualnya dengan harga yang dapat dianggap murah kerana dia akan melanjutkan pelajaran ke universiti.

26 Ogos 2012

Ikan Puyu Si Ikan Karuk, Dipindang Kering

Senduduk Ungu Kekal Sahabat
Pada suatu hari Sabtu, saya ke Pasar Tani Rembau. Seorang lelaki yang berusia empat puluhan tercongok di suatu sudut pasar itu. Lelaki kurus dan berpakaian lusuh itu menghadap dua buah baldi dan beberapa biji botol plastik yang berisi ikan puyu hidup sebagai bahan dagangannya. Lama saya melihat dia bersendirian di situ.

22 Ogos 2012

Baharu dan Baru Sebelum Ramadan

Citra dan petikan yang di bawah ialah jawapan Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan tentang perkataan baharu dan baru sebelum bulan Ramadan 1433 Hijrah. Kita berharap hal ini disambung dalam bulan Syawal ini atau bulan-bulan seterusnya.

ProfAbdullah Hassan: Heh heh, Puan Che Zainab Omar. Keputusan Jk Bahasa memansuhkan perbezaan ini sudah berlaku kira-kira dua tahun lalu. Saya perlu bertanya kepada Setiausahanya supaya mencabut minit berkenaan keluar, dan dimaklumkan kepada semua!

Tidak ada beza, sama seperti:
sahaja dan saja,
tahadi dan tadi,
harimau dan rimau, dan
halipan dan lipan!!!

Elok juga Puan bertanya, nanti saya maklumkan kepada pihak berkenaan supaya keputusan ini dimaklumkan kepada pegawai DBP. 19 Julai 2012.

Tahun Baru atau Tahun Baharu?
Baru, Kata Bantu; Baharu, Kata Sifat

21 Ogos 2012

Menunggu Dentuman Roket Keempat


Bulan Raya Aidilfitri
Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430 Hijrah
Tiada Malam 0 Syawal
Mengumumkan Tarikh Hari Raya
Selamat Hari Raya Aidilfitri 1432 Hijrah
Salam Aidilfitri 1433 Hijrah

Beberapa orang rakan buku wajahku merungut kerana bunyi mercun pada akhir Ramadan dan malam-malam awal Syawal 1433 Hijrah ini mengganggu ketenteraman mereka. Mereka terkejut apabila mendengar dentuman kuat atau rentetan bunyi mercun ketika mereka sedang bersolat. Mereka menyatakan bahawa kegiatan membakar mercun tidak menepati syariat Islam.

12 Ogos 2012

Memindahkan Bahasa dan Perkataan Seerti

Ulasan buku Ilmu Mengarang Melayu
(1) Za‘ba Pelopor Retorik Melayu
(2) Mengarang seperti Berjalan
(3) Rangka dan Karangan Contoh
(4) Jangan Hodohkan Karangan Bahasa Melayu

Dalam siri yang keempat kita sudah meninjau bab kelima dan keenam IMM. Dalam siri ini kita teliti pula bab ketujuh dan kelapan dalam Bahagian I, “Pokok-pokok Besar dalam Latihan Mengarang”.

11 Ogos 2012

Sari Makalah: Bahasa Islam Terbesar


Sari Makalah: Pembudayaan Bahasa Kebangsaan
Bahasa Melayu Asas Kontrak Sosial

Hassan Ahmad, “Bahasa Melayu Membina Tamadun Bangsa”, Dewan Bahasa, Mei 2011, halaman 6 - 10.

1. Bahasa Islam yang terbesar di dunia bukan bahasa Arab tetapi bahasa Melayu. Sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, bahasa Melayu berada di tempat kelima selepas bahasa Inggeris, bahasa Cina, bahasa Hindi dan bahasa Sepanyol. Bahasa Melayu dituturkan oleh lebih 260 juta manusia.

2. Pada abad keempat belas bahasa Melayu jauh lebih “maju” daripada bahasa Inggeris. Mulai abad itu, selain terus menjadi bahasa kerajaan dan bahasa perdagangan, bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semakin berkembang. Sebagai bahasa Ilmu, bahasa Melayu digunakan untuk berfikir serta membincangkan, menyebarkan dan menulis ilmu Islam.

3. Bangsa Melayu sudah mempunyai kerajaan sejak abad ketujuh, iaitu Kerajaan Melayu-Sriwijaya. Kerajaan ini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa istana dan bahasa ilmu. Tegasnya bangsa Melayu sudah lama bertamadun. Tamadun Melayu itu mencapai puncak kegemilangan yang ketara pada abad ketiga belas. Tamadun itu dibina atas empat tiang, iaitu (a) agama Islam, (b) ilmu dan persuratan, (c) budaya keperibumian yang mendapat cahaya Islam dan (d) bahasa Melayu. Bahasa Melayu menjadi alat utama kerajaan Melayu zaman itu untuk mengembang dan memperkukuh tiang (a), (b) dan (c).

4. Alat penting tamadun bahasa Melayu mulai abad ketiga belas ialah tulisan Jawi. Tulisan Jawi memulakan proses ketamadunan yang penting, iaitu kegiatan penulisan manuskrip dalam bahasa Melayu. Manuskrip contoh dalam tulisan Jawi ialah Hikayat Raja Pasai yang terkarang pada abad keempat belas.

5. Pada abad ketujuh belas, Kerajaan Aceh menggalakkan debat cendekiawan dan selalunya diadakan di hadapan raja. Misalnya, Nuruddin al-Raniri berdebat dengan Hamzah Fansuri tentang tasauf. (MIAR: Debat bukan budaya kita?”)

6. “Bahasa kerjaan Melayu zaman itu bukan bahasa pasar, bukan bahasa kacukan atau bahasa rojak dan bukan bahasa daerah tetapi bahasa Melayu ragam tinggi, bahasa yang tentunya mesti sesuai dan lengkap untuk mengarang kitab ilmu dan ajaran agama Islam yang sejagat, untuk menghasilkan karya persuratan atau kesusasteraan tinggi, bahasa untuk menulis surat rasmi kerajaan, dan bahasa untuk menggubal undang-undang negeri.” (halaman 9)

7. Kira-kira 60 peratus penduduk Indonesia ialah penutur asli bahasa Jawa. Namun bangsa Indonesia memilih bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Kelainan bahasa Melayu di Indonesia dinamakan bahasa Indonesia.

Petikan
“Karya agung Inggeris yang ditulis dalam bahasa middle English (zaman pertengahan) itu terpaksa diterjemahkan dan diterbitkan dalam bahasa Inggeris moden (bahasa Inggeris kini) kerana pembaca Inggeris hari ini tidak memahaminya, kecuali sekumpulan kecil pakar bahasa pertengahan Inggeris. Hanya beberapa orang Inggeris sekarang yang dapat memahami lebih daripada 10 peratus bahasa Inggeris yang digunakan dalam karya agung itu.

Penulis juga telah membaca sebahagian daripada karya itu -- memang sukar sekali memahami bahasa Chaucer itu. Walau bagaimanapun, bahasa Hikayat Raja Pasai yang dipercayai dikarang sekitar tahun 1360-an, beberapa tahun lebih awal daripada karya Inggeris itu, tidak perlu ‘diterjemahkan’ atau ditulis semula dalam bahasa Melayu moden, iaitu bahasa Melayu kini. Sebabnya, sesiapa yang bagus bahasa Melayunya dengan mudah dapat memahami lebih daripada 95 peratus bahasa Melayu yang digunakan dalam hikayat tersebut.” (MIAR: Hikayat Raja Pasai adalah antara teks satu kursus yang saya ikuti di universiti pada tahun tujuh puluhan. Saya anggarkan saya juga memahami lebih daripada 95 peratus bahasa buku itu.)

09 Ogos 2012

Peristiwa Sebelum Bertolak ke Sandakan

Karya Ajijah Arifin, KSPK Sastera

Pada suatu hujung minggu aku pulang ke Sandakan. Perjalanan dari Keningau ke Kota Kinabalu mengambil masa lebih kurang dua jam setengah. Setibanya di Kota Kinabalu, aku segera membeli tiket bas untuk ke Sandakan. Bas dijangka bertolak pada pukul lapan malam.

Kurang lima minit lagi pukul lapan, aku menaiki bas. Selang beberapa ketika, datang seorang pemuda. Dia mengatakan tempat yang kududuki ialah tempatnya. Tempat duduk lain sudah penuh. Dalam keadaan terkejut aku berkata, "Kamu ada tiket? Cuba saya tengok."

Pemuda itu menunjukkan tiketnya. Oh, nombor tiketnya sama dengan nombor tiket yang kumiliki! Aku cemas dan berkata, “Macam mana boleh jadi begini? Nombor tiket kita samalah pula!”

Pemuda itu kebingungan. Aku menguatkan semangat dan berkata, “Maaflah, ya. Saya duduk dahulu; jadi tempat ini milik saya."

Pemuda itu menyinga. Dia menghempaskan begnya ke atas pahaku. Aku terkejut dan menjerit. Kuhamburkan kata-kata amarah kepadanya. Pemandu bas itu bergegas ke tempat kami. Dia menenangkan diriku dan cuba mencari jalan penyelesaian.

Rupa-rupanya pemuda itu tersalah bas. Sebenarnya dia hendak ke Tawau tetapi ternaik baik ke Sandakan. Tanpa berkata apa-apa, dia mengambil begnya dan beredar.
Edisi asal: 18 Jun 2001.
Puan Ajijah, Cik Suana dan Cikgu Isa
(Ekspo Inovasi Pedagogi di Ampang, 10 -13 Oktober 2001)

08 Ogos 2012

Intonasi Membezakan Ayat dengan Klausa

Ayat mempunyai subjek dan predikat. Klausa juga mempunyai subjek dan predikat. Hakikat ini menyebabkan ada pelajar menganggap ayat ialah perkataan seerti bagi klausa. Anggapan itu silap.

Dalam buku Nahu Kemas Kini, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar menjelaskan bahawa intonasi membezakan ayat dengan klausa. Intonasi ayat lengkap tetapi intonasi klausa tidak lengkap. Intonasi yang lengkap bermula dengan kesenyapan dan berakhir dengan kesenyapan yang menunjukkan pengucapan ayat sempurna. Untuk lebih memahami hal ini, perhatikan ayat yang di bawah:

1. Gaya bahasanya sederhana dan penyampaiannya jelas.
(a) Gaya bahasanya sederhana.
(b) Penyampaiannya jelas.

Ayat (1) ialah ayat majmuk gabungan. Ayat ini terdiri daripada ayat (a) dan (b) dan mempunyai subjek dan predikat masing-masing. Persoalannya, ketika berada dalam ayat (1), tutur (a) dan (b) sebenar-benarnya ayat atau hanya klausa?

video
Rakaman yang terdapat dalam klip video ini menunjukkan bahawa pengucapan ayat 1 sempurna, iaitu bermula dengan kesenyapan dan berakhir dengan kesenyapan. Intonasi akhirnya menurun. Kita faham bahawa tutur itu sudah sempurna diucapkan. Tegasnya, intonasi yang kita dengar ialah intonasi ayat.

Sebaiknya, tutur (a) bermula dengan kesenyapan tetapi intonasi akhirnya mendatar. Dengan perkataan lain tutur (a) tidak berakhir dengan kesenyapan atau tergantung. Intonasi ini menunjukkan tutur itu klausa.

Tutur (b) pula hanya berakhir dengan kesenyapan tanpa bermula dengan kesenyapan. Nyata ada sesuatu sebelum pengucapan perkataan dan. Intonasi ini juga menunjukkan tutur itu klausa.

Ringkasan perkara ini adalah seperti yang berikut:
Ayat = Kesenyapan … tutur … kesenyapan.
Klausa 1 = Kesenyapan … tutur …
Klausa 2 = … tutur … kesenyapan.

Ringkasan ini menunjukkan bahawa intonasi ayat berbeza daripada intonasi klausa. Klip video itu pula menunjukkan bahawa dalam ayat 1 terdapat dua klausa. Ketika tutur (a) dan (b) berada dalam ayat 1, kedua-dua tutur itu bukanlah ayat tetapi klausa. Penjelasan ini diharap dapat membetulkan salah anggapan segelintir pelajar yang mengatakan klausa seerti dengan ayat.

Sebagai kesimpulannya, ketika berada dalam ayat (1), tutur (a) dan (b) ialah klausa.

Lampiran
klausa unit yang merupakan rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang menjadi konstituen atau bahagian kepada ayat. (Kamus Dewan Edisi Keempat)
klausa satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi satu subjek dan satu predikat dan mempunyai potensi untuk menjadi ayat. (Tabahasa Dewan Edisi Ketiga)

06 Ogos 2012

Tiga Buah Legenda di Kampung Permatang Pasir


Esei ini ialah olahan semula satu tugasan kursus Kesusasteraan Rakyat Melayu di Universiti Sains Malaysia pada bulan Februari 1978. Aspek teknikal tugasan disisihkan. Laras bahasa dan kosa kata juga disesuaikan untuk bacaan umum. Jadi, esei ini dapat dianggap sebagai edisi baharu untuk tatapan pengunjung blog Sambung-menyambung, khususnya mereka yang mempelajari kesusasteraan rakyat.

Pendahuluan
Legenda adalah antara cabang sastera rakyat dalam kelompok cerita. Isi legenda berasaskan sejarah atau ada kaitan dengan sejarah. Dari segi penyebaran, ada legenda tempatan dan ada legenda jelajah. Legenda tempatan mengisahkan sesuatu atau seseorang dan hanya tersebar di sesuatu tempat. Legenda jelajah mengisahkan perkara yang hampir sama dengan legenda tempatan tetapi penyebarannya melepasi sempadan tempatan atau negeri.

Kampung Permatang Pasir, Linggi

Catatan ini ialah edisi baharu subtajuk satu tugasan kursus Kesusasteraan Rakyat Melayu di Universiti Sains Malaysia pada bulan Februari 1978. Tugasan itu berupa kajian tiga buah legenda di Kampung Permatang Pasir, Port Dickson, Negeri Sembilan. Kajian itu dilakukan pada bulan Januari 1978. Catatan tentang tempat yang menjadi latar legenda-legenda itu melancarkan analisis dan meningkatkan pemahaman pengkaji tentang perkara yang dikaji. Ditegaskan, tugasan itu ditulis pada tahun 1978 dan catatan ini berdasarkan dapatan kajian pada masa itu.

05 Ogos 2012

Keramat Kampung Luar

Sepintas Lalu tentang Sastera Rakyat
Keramat Bukit Tiga
Buaya Tasik Pauh Janggi

Transkripsi penceritaan Abdul Ghafar bin Bujang, 75 tahun, mantan bilal Kampung Permatang Pasir, Linggi, Negeri Sembilan. Rakaman dilakukan oleh Mohd Isa bin Abd Razak pada 25 Januari 1978.

Yang lebih kurang saya dapat tahu, saya dapat bersambung-sambung saja, Keramat Kampung Luar itu Berahim namanya. Khabarnya, orangnya tidak berapa besar. Alim. Khabarnya, dia orang Bugis. Bila datangnya itu, tidak tahu pula.

Buaya Tasik Pauh Janggi

Cerpen: Batang

Transkripsi penceritaan Tuk Teh, 80 tahun, anak jati Kampung Permatang Pasir, Linggi, Negeri Sembilan. Rakaman dilakukan oleh Mohd Isa bin Abd Razak pada 24 Januari 1978.

Cerita mak aku, buaya ini dari zaman datuk nenek aku dulu. Dia ini buaya putih, Muhammad Dermit Tua namanya. Tempat tinggalnya di pusat Tasik Pauh Janggi. Jauh tempatnya itu, aku tidak tahu mana.

Keramat Bukit Tiga

Sepintas Lalu tentang Sastera Rakyat

Transkripsi penceritaan Haji Zubir bin Hamzah, 63 tahun, imam dan guru agama di Kampung Permatang Pasir, Linggi, Negeri Sembilan. Rakaman dilakukan oleh Mohd Isa bin Abd Razak pada 23 Januari 1978.

Saya mendapat cerita ini daripada arwah Haji Idrus bin Zainal dan Haji Mat Nor bin Sagi. Cerita mereka kepada saya begini:

04 Ogos 2012

Jangan Hodohkan Karangan Bahasa Melayu

(1) Za‘ba Pelopor Retorik Melayu
(2) Mengarang seperti Berjalan
(3) Rangka dan Karangan Contoh

Dalam siri yang ketiga kita meninjau bab pertama, kedua, ketiga dan keempat buku IMM. Dalam siri ini kita teliti pula bab kelima dan keenam dalam Bahagian I, “Pokok-pokok Besar dalam Latihan Mengarang”.

Kala Senja dan Senjakala


Yang ini kala juga.
Mohd. Januri Aiyub, “Kala”, Pelita Bahasa, Julai 2012, halaman 20 - 22.

1. Perkataan kala berada sebelum perkataan. Ayat contoh, Budak itu sering kali meracau kala senja menjelma. Dalam ayat ini kala berada sebelum perkataan senja dan seerti dengan ketika.

2. Perkataan kala dapat digabungkan dengan perkataan yang lain bagi membentuk perkataan baharu. Semua perkataan baharu itu ditulis secara bercantum. Perkataan lain itu mendahului perkataan kala. Ada sembilan perkataan yang terbentuk, iaitu adakala, apakala, dahulukala, kadangkala, manakala, purbakala, sediakala, senjakala dan tatkala.

Prosodi dalam Pengajaran dan Pembelajaran


Sari Makalah. Indirawati Zahid, “Prosodi Melayu dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu: Pembentukan Sahsiah dan Jati Diri”, Jurnal Bahasa (DBP Brunei), Bilangan 23, Mei -- Ogos 2011, halaman 3 -- 17.

02 Ogos 2012

Sari Makalah: Semua yang Mengajar Itu Guru Bahasa

Nik Safiah Karim, “Semua yang Mengajar Itu Guru Bahasa,” Pelita Bahasa, Julai 1990. Makalah ini terdapat dalam buku Bahasa Melayu Sedekad Lalu, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004, halaman 133 - 136.

1. Sebahagian besar para pelajar kita lulus peperiksaan tetapi upaya mereka berbahasa amat sederhana. Mereka masih melakukan kesilapan ejaan, tanda baca dan tatabahasa. Pilihan kata mereka lemah dan berbaur dengan perkataan asing. Pendeknya, perasaan cinta dan bangga akan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar kita yang lulus bahasa kebangsaan itu belum ketara. (MIR: Matlamat tertinggi pembelajaran bahasa kebangsaan ialah “menghargai dan membanggai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan.)

Kata Kerja Berfungsi Frasa Lain

Palita Bahasa, Julai 2012.

Kata kerja ialah perkataan yang menjadi perkataan utama dalam binaan frasa kerja. Misalnya, perkataan “berkhemah” dalam ayat “Kami akan berkhemah di pantai itu” ialah kata kerja. Ayat ini ialah ayat tunggal susunan biasa berpola frasa nama + frasa kerja (FN + FK). Binaan “akan berkhemah di pantai itu” ialah frasa kerja yang berada dalam bahagian predikat ayat.