30 September 2012

Dirancangkan ke Gelanggang Lain

Sabah Tempat Bermain
(1) Turun ke Gelanggang
(2) Menghadapi Ujian
(3) Dirancangkan ke Gelanggang Lain
(4) Masuk ke Gelanggang Baharu

Nama penuhnya Othman bin Razak. Saya memanggilnya abang. Apabila saya bercakap dengan orang lain tentang dirinya, saya menggunakan ungkapan Abang Seman.

Abang Seman bukanlah abang saya yang sebenar kerana ayahnya bukanlah ayah saya dan ibunya pun bukan ibu saya. Sudah suratan takdir, nama ayah kami sama. Ayahnya Cina mualaf. Ayah saya Melayu tulen. Isterinya bernama Zaiton. Saya memanggilnya Kak Eton. Mereka orang Melaka.

29 September 2012

Menghadapi Ujian

Sabah Tempat Bermain
(1) Turun ke Gelanggang

Saya menjadi buruh binaan dari awal bulan Oktober 1971 hingga minggu kedua bulan Januari 1972 di syarikat yang sama. Hampir sepanjang bulan Oktober itu, pihak syarikat menguji kesungguhan, keupayaan dan kejujuran saya. Saya dikehendaki melaksanakan tugas berat bersama-sama buruh lain yang umumnya bertubuh sasa dan berlengan besar. Jalur otot dan urat lengan mereka jelas kelihatan. Tapak tangan mereka berkematu.

Dalam kalangan mereka, saya terendah, paling kecil dan kurus. Namun saya tetap memikul simen dari stor ke mesin pengadun konkrit atau dari lori ke stor. Saya juga melakukan kerja angkat-mengangkat yang lain seperti mengangkat bekas yang mengandungi pasir atau batu dan menuangkan bahan itu ke dalam mulut mesin pengadun yang ternganga dan berpusing. Saya membantu buruh-buruh lain mengangkat besi, beroti dan papan. Adakalanya saya mendapat giliran untuk menolak kereta sorong yang sarat dengan muatan konkrit basah ke tempat yang ditetapkan.

Turun ke Gelanggang

Saya menjejakkan kaki di Kota Kinabalu bersama-sama lima orang rakan pada hari Ahad, 26 September 1971. Kami bekas pelatih Institut Kemahiran MARA, Alor Setar. Kami dihantar oleh pengurusan institut ke Sabah untuk bertugas sebagai tukang berkemahiran. Pada masa itu usia saya sembilan belas tahun empat bulan.

Sayang akan Bahasa Kebangsaan

Kami warganegara Malaysia
menghayati keluhuran Perlembagaan negara
istimewa Fasal 152 tentang bahasa kebangsaan kita.

Kami sudah sepakat
menghayati kedaulatan undang-undang
Akta Bahasa Kebangsaan kami julang
Akta Pendidikan kami angkat.

Kami terus berusaha
menyerlahkan prinsip kesopanan Rukun Negara
bersama-sama kesusilaan sebagai sahabat setianya.

Kami pencinta demokrasi
kami enggan hanya berkata-kata dalam hati
selagi ada suara kami akan terus berbicara
demi martabat dan kelestarian bahasa kebangsaan kita.

Kami suka akan istilah bahasa Melayu
yang tercatat dalam Perlembagaan itu
dalam Akta Bahasa Kebangsaan juga begitu.

Kami suka mempelajari sains
juga matematik dan teknologi
dengan bahasa kebangsaan kami.

Kami pencinta bahasa kebangsaan bahasa perpaduan
kami pelaksana bahasa kebangsaan bahasa pentadbiran
kami pengguna bahasa kebangsaan bahasa ilmu pengetahuan
usahlah cinta kasih sayang kami dipermain-mainkan.

Kami sayang akan bahasa kebangsaan
bahasa warisan bersejarah panjang dan agung
bukan bahasa baru setahun jagung.

Kami sayang akan bahasa kebangsaan
bahasa agama, bahasa falsafah, bahasa sains dan teknologi
selagi ada upaya kurnia Ilahi
tetap kami pertahankan bahasa ini.

Mohd Isa Abd Razak
Seremban
April 2011

26 September 2012

Pelanduk Goreng, Kari Napuh

Sabah Tempat Bermain

Dalam perburuan, pelanduklah yang terkerap kami peroleh. Hasil buruan itu lazimnya seekor. Sesekali ada dua ekor tetapi tidak pernah tiga ekor. Jikalau pelanduk yang kami peroleh seekor cuma, hasil buruan itu bukan milik saya dan bukan juga milik Tuan Syed Mokhtar. Si kecil itu milik Saroh atau Pak Cik Suradi.

Ada sekali, selepas larut malam baru kami mendapat seekor pelanduk. Pak Cik Suradi mengajak kami untuk meneruskan perburuan di hutan bakau yang bersempadan dengan kebunnya. Di situ kami berjalan kaki. Usaha kami tidak berhasil. Kami kepenatan. Pak Cik Suradi mengajak kami singgah di pondoknya dalam kebun itu.

25 September 2012

Payau Terbaring

Sabah Tempat Bermain
Setiap kali keluar untuk berburu, harapan kami adalah untuk memperoleh payau. Anggota pasukan perburuan saya tidak pernah melahirkan harapan itu secara terus. Namun saya memahami harapan mereka melalui ulasan yang menyerlahkan kegembiraan atau kekecewaan. Saya menyelami harapan mereka melalui riak wajah dan perlakuan. Saya mengerti harapan mereka melalui kebisuan sementara yang disengajakan.


24 September 2012

Tumbuh-tumbuhan Sabah

Nenek Sabah
Ikan Sabah
Anggerik Nenek

Timadang
Timadang itu persis terap,
Nama umumnya buah tarap;
Isinya putih manis dan sedap,
Pabila makan santun beradab.

Kulit tarap persis nagka,
Banyak bujur bulat pun ada;
Elok direbus buah yang muda,
Lauk kegemaran si emak janda.

Polod adalah sejenis umbut,
Pohon palma bayas disebut;
Banyak di bukit di hutan Sugut,
Warnanya putih sangat lembut.

Polod

23 September 2012

Payau Jantan Berkutu

Selepas bersolat maghrib, saya berdoa seperti biasa. Antara kandungan doa itu termasuklah permohonan agar Allah melindungi perjalanan kami dan melimpahkan rezeki kepada kami.

Sudah hampir setahun saya menyertai pasukan pemburu yang diketuai oleh Pak Cik Suradi. Hasil perburuan kali pertama ialah seekor pelanduk. Dalam perburuan kedua kami mendapat seekor kijang. Dalam beberapa perburuan seterusnya kami memperoleh sekurang-kurangnya seekor pelanduk atau landak. Selepas itu ada beberapa kali kami pulang dengan tangan kosong.

22 September 2012

Ikan Sabah



Pelian (Kelah)
Ambil galah di kebun durian,
Abang hendak menjolok tarap;
Di sini kelah di sana pelian,
Dipanggang enak dikukus sedap.

Karuk/Korik (Puyu/Betuk)
Ada kayu di hujung caruk,
Untuk emak menjolok jering;
Di sini puyu di sana karuk,
Amat enak dipindang kering.

 
Pangal (Haruan)
Redupan sena di tanah tuan,
Laluan kanda waktu petang;
Pangal di sana, di sini haruan,
Lauk bonda dalam pantang.

Sopong (Baung Akar)

Kuih kelepung kuih bakar,
Ramuan emak dari desa;
Ikan sopong baung akar,
Dimasak lemak pasti perisa.



Rolou (Belut)

Elok perangai juga santunnya,
Anak sahabat bernama Milah;
Belut sungai, rolou Dusunnya,
Dapat mengubat penyakit lelah.



Salarong (Patin)


Kita ke sawah kutip cendawan,
Sebakul sarat jual di tamu;
Patin buah salarong Nabawan,
Ikan darat sajian tetamu.


Lembungau (Jelawat)


Si jururawat membeli jerangau,
Rebusan akarnya mesti ditelan;
Ikan jelawat itulah lembungau,
Ada lubuknya di Sungai Pegalan.

Saraweh (Selimang)


Sejenis kuih bernama lemang,
Kalau dibiarkan rentung jadinya;
Ikan saraweh persis selimang,
Sukar dimakan banyak tulangnya.

Rokot (Sapu-sapu)
Lembah di Sugut sudah bertuan,
Banyak rerama di hutan paya;
Ikan rokot menahu batuan,
Bahan utama bosou Mahaya.

Port Dickson
22 September 2012

Puisi: Nenek Sabah

Memukat di Tasik Ladam (2): Mengawasi Penundaan Kolek

Sabah Tepat Bermain
Saya biasa menjala udang galah bersama-sama Saroh. Kepalan umpan dibuang ke dalam sungai kira-kira sepuluh minit sebelum jala ditebarkan. Umpan beras yang digaul dengan belacan dan dicampurkan dengan sedikit tepung gandum sebagai perekat dan pemberat, menggalakkan udang galah keluar dari tempat persembunyian. Di tempat yang kami jangka udang mengerumuni makanan, di situlah jala kami tebarkan.

Saya bertanya, “Ada umpan, Saroh?”

20 September 2012

Buah Fikir Guru Cemerlang

Tajuk Buku: Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan, Buah Fikir Guru Cemerlang
Penyelenggara: Azizul Rahman Abdul Rahman dan Mohamad Saleeh Rahamad
Penerbit: MDK Intelek Enterprise
Tahun: 2011
Halaman: 521
Harga: Tidak tercatat
Pengulas: Mohd Isa Abd Razak

19 September 2012

Memukat di Tasik Ladam (1): Diserang oleh Nyamuk


Dari hulu hingga ke kuala, Sungai Kinabatangan yang berliku-liku itu melalui perjalanan lebih lima ratus kilometer. Aliran dan genangan airnya meliputi kawasan seluas lebih dua kali keluasan Negeri Sembilan. Limpahan airnya ketika banjir membentuk hutan paya yang luas dan subur.

Pemandangan dari udara memperlihatkan keindahan liku-liku sungai itu. Beberapa liku berbentuk huruf C seperti yang dihasilkan daripada plastisin oleh murid pemulihan khas. Hakisan banjir yang berulang-ulang menyebabkan ada antara liku itu putus. Longgokan enapan lama-kelamaan membentuk daratan sempit yang memisahkan liku yang putus dengan aliran baharu. Liku yang terpisah daripada ibunya itu dinamakan tasik ladam. Tasik ladam di Kinabatangan dikatakan tasik ladam terluas di Asia Tenggara.

Maaf, Bah. Limpas Dulu, Ya! (Edisi Kedua)


Tuan Mohd Saidi Lampoh
 Pada hari itu saya berjalan kaki dari pekan Papar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Majakir. Cuaca panas. Rumah sewa saya di hadapan sekolah sudah kelihatan. Ketika itu fikiran saya masih bertumpu pada bahan pengajaran yang akan disampaikan keesokannya. Pada masa itulah saya mendengar suara, “Maaf, bah. Limpas dulu, ya.”

Saya tersentak. Bahan pengajaran Bahasa Melayu untuk Kelas Peralihan yang sedang saya fikirkan berselerak. Seorang pak cik yang sedang mengayuh basikal sudah berada di sisi sebelah kanan saya. Peluh berbintik-bintik di mukanya. Bintik-bintik peluh yang sudah bersatu meleleh di pipinya. Kakinya kelihatan kepayahan menekan pedal. Kepayahan itu, kerut wajah dan engahan nafasnya memberitahu saya bahawa dia keletihan. Namun dia sempat memaniskan mukanya dan menguntumkan senyuman untuk saya sambil mengulangi kata-kata, “Maaf, bah. Limpas dulu, ya.”

Saya membalas senyumannya tetapi rasanya dia tidak perasan. Pada masa itu dia sudah melihat ke hadapan. Keseluruhan tubuh dan basikalnya sudah mendahului saya. Namun, kata-katanya, “Maaf, bah. Limpas dulu, ya” terasa-rasa masih kedengaran.

Dia terus berkayuh. Lebih separuh baju belakangnya dibasahi peluh. Apabila saya sampai di simpang untuk menuju ke rumah, belakang dan basikalnya sudah berada jauh di hadapan. Saya tercegat di situ. Saya memerhati belakang dan basikalnya yang beransur-ansur hilang. Pada masa yang sama, hati saya mengulang-ulang kata-katanya, “Maaf, bah. Limpas dulu, ya.”

Apabila saya masuk ke dalam rumah, ungkapan itu masih berulang-ulang dalam hati. Tentu ungkapan itu istimewa. Ketika berada di bilik mandi, saya mencari-cari keistimewaannya. Ketika sedang berpakaian, saya masih memikir-mikirkan keistimewaannya. Ketika menggoreng ikan sambil menyanyi-nyanyi di dapur, fikiran saya masih juga mereka-reka jawapannya. Namun, jawapan yang diperoleh kabur-kabur. Saya rumuskan sahaja, ungkapan itu bukan tegur sapa biasa.

Pak cik itu sudah berumur. Saya orang muda. Rasanya pak cik itu penduduk tempatan. Dia sudah lama menetap di daerah ini. Saya perantau. Belum sampai sebulan saya bertugas di sini. Saya belum mengenalinya. Rasanya dia juga belum mengenali saya. Jadi, mengapakah dia berasa perlu untuk meminta maaf kepada saya?

Ketika pak cik itu mengungkapkan kata-kata, “Maaf, bah. Limpas dulu, ya”, pemahaman saya tentang perkataan “limpas” masih samar-samar. Rupa-rupanya perkataan itu bermaksud lalu. Dalam konteks ungkapan pak cik, perkataan itu bermaksud tumpang lalu. Pak cik memohon maaf kepada saya semata-mata untuk lalu di sebelah saya dan seterusnya mendahului saya.

Beberapa purnama kemudian, seorang pak cik lain menggunakan ungkapan, “Maafkan pak cik, nak. Limpas dulu, ya.” Seterusnya, seorang lagi pak cik berkata, “Maaf, cikgu, ya. Pak cik limpas dulu.” Pak cik yang ketiga ini ialah warga sekolah tempat saya bertugas.

Kisah ini berlaku pada tahun 1975. Kini kisah itu sudah berlalu hampir empat puluh tahun. Namun, ungkapan itu masih segar dalam ingatan saya. Setelah bersara, kesibukan saya merudum. Saya memperoleh kesempatan untuk memikirkan keistimewaan ungkapan ini dan beberapa ungkapan yang lain. Persoalannya, adakah ungkapan ini masih kedengaran dalam kalangan masyarakat di Sabah?

Persoalan ini diulas oleh beberapa orang rakan buku wajah dan seorang pengunjung blog saya. Tuan Haji Mohd Saidi Lampoh, memberikan ulasan dari sudut pandangan masyarakat suku Brunei. Ulasannya bertepatan dengan latar kisah saya. Ketiga-tiga orang pak cik itu suku kaum Brunei. Tuan Haji Mohd Saidi sendiri suku kaum Berunai dan berasal dari Papar.

Tuan Haji Mohd Saidi menyatakan bahawa masyarakat suku Brunei menjunjung tinggi nilai adat susila dan sopan santun. Katanya, ungkapan "maaf, limpas dulu" menggambarkan ketinggian budi dan sopan santun itu. Ungkapan itu diamalkan pada zaman dahulu dan sebelum merdeka. Sedihnya, kini generasi baharu sudah semacam lupa terhadap budaya dan sopan santun itu.

Tuan Haji Mohd Saidi menulis, “Kini jarang-jarang kita dengar anak muda yang ‘melimpas’ memberi isyarat yang seumpama itu. Mungkin hal ini disebabkan peredaran masa, apatah lagi sesudah masyarakat suku Brunei terdedah kepada pelbagai pengaruh. Kalau tidak silap, ada seorang pemimpin Melayu pernah berkata, ‘Orang Melayu kalau hendak maju, mesti kurang ajar’. Sedikit banyak pendapat pemimpin itu memberi kesan. Ini pendapat saya. Saya mungkin salah.”

Seorang pengunjung blog saya pula menyatakan bahawa ungkapan itu dalam bahasa Kadazandusun ialah “Siou kio, talib oku poh!" Maknanya, "Minta maaf ya, saya tumpang lalu." Katanya lagi, ungkapan itu masih diamalkan di Kota Belud. Pendapat beliau disokong oleh Saudara Rusdi Awang. Saudara Rusdi menulis, “Ungkapan ini masih dan rasanya akan terus kedengaran dalam kalangan masyarakat di Sabah.”

Banyak rakan saya ikut serta memberikan ulasan. Sebahagian ulasan itu saya susun semula dan terdapat di hujung catatan ini. Dengan berdasarkan ulasan-ulasan itu, dapatlah saya rumuskan bahawa penggunaan ungkapan “maaf, bah” dan “limpas dulu” atau gabungannya masih luas penggunaannya di Sabah, khususnya dalam kalangan generasi lama dan kelompok cendekia, terutamanya guru.

Juga perlu kita sedari bahawa, di Sabah, ungkapan tumpang lalu mempunyai konotasi buruk. Oleh hal yang demikian, perantau dari Semenanjung, khususnya guru, wajarlah mengutamakan ungkapan tempatan.

Ulasan Pilihan

Mohd Ashrafi: Suku kaum Dusun di Keningau masih menuturkan ungkapan ini. Ungkapan ringkas limpas dulu apabila kena lenggok dan nadanya, kedengaran mesra dan menyerlahkan rasa hormat-menghormati sesama insan.

Mohd Isa: Kita membongkokkan badan, meletakkan tapak tangan kiri ke dada, menjatuhkan tangan kanan ke bawah; telapaknya menghala ke kanan dan hujung jari bersusun menghala ke bawah juga kira-kira sehasta dari hujung jari kaki; dan dengan tertib kita melimpasi orang tua. Perlakuan ini semaksud dengan ungkapan yang kita bincangkan. Namun ungkapan ini terlalu istimewa kerana dituturkan oleh orang tua sambil memohon maaf kepada orang muda.

Neetah Noordin: Limpas memang bermaksud tumpang lalu. Namun, kata tumpang lalu memberikan konotasi buruk dalam suku kaum tertentu di Sabah. Jikalau ungkapan tumpang lalu mahu diterapkan dalam kalangan pelajar, eloklah diujarkan "Maaf, saya lalu dahulu" atau gunakan kata limpas kerana kata itu sudah terakam dalam Kamus Dewan.

Nurul Liza Amoi: Arwah mama saya pernah menceritakan bahawa pada suatu hari minggu di pasar umum Semporna, seorang guru muda dari Semenanjung berkata, "Tumpang lalu, mak cik.” Mak cik itu marah-marah dan berkata dalam bahasa Bajau yang maksudnya, "Kurang ajar punya budak; dengan orang tua pun hendak buat tidak senonoh!"

Mohd Isa: Perkongsian ini bermanfaat. Antara pihak yang wajar memanfaatkannya termasuklah pegawai yang memberikan taklimat kepada lepasan institut pendidikan guru yang akan berkhidmat di Sabah.

Mansur Tola: Nilai murni dalam kisah ini mula terhakis, khususnya dalam kalangan anak muda.

Nurul Liza Amoi: Ketika berada di kampung, saya masih menggunakan perkataan limpas. Dalam situasi rasmi, saya menggunakan ungkapan tumpang lalu.

Darma Mohammad: Setiap kata mempunyai maksud tersendiri dan merupakan khazanah berharga. Kita asyik menggunakan perkataan Inggeris sedangkan kosa kata dialek banyak yang boleh digunakan.

Mohd Isa: Tuan Darma, antara sumber air jernih sungai bahasa baku kita ialah dialek dan bahasa sukuan.

Mereka Memilih Laluan Sempit di Hadapan Saya

17 September 2012

Dua Das Tembakan


Sabah Tempat Bermain
Saya menerima tugas sebagai penyelia seorang guru KDC di Sekolah Kebangsaan Bongon dengan senang hati. Saya sudah mendapat maklumat daripada beberapa orang pekerja maktab bahawa sekolah itu tidak jauh dari maktab kami. Penyeliaan boleh dilakukan sehari, termasuk perjalanan pergi dan balik.

16 September 2012

Membuang Ilmu


Sambungan kisah Batang Gaharu Buruk

Saya perasan Tuan Haji Liwangsa kurang senang dengan tingkah laku kami. Sesudah kami diam agak lama, dia mengajak kami pulang. Dia mengepalai barisan. Shamad paling belakang. Saya di hadapan Shamad. Pada suatu ketika, semasa kami meranduk air separas betis, saya menoleh. Shamad tidak kelihatan. Saya berpatah beberapa langkah dan memanggil namanya.

Shamad menyahut, “Tunggu! Saya mengambil periuk kera!”

Saya nampak belakang Shamad. Saya menunggunya di situ. Sejurus kemudian dia tiba. Kayu gaharu hitam masih terkepit di ketiaknya. Dia menunjukkan periuk kera yang besar kepada saya. Dia pensyarah sains. Dia meminati tumbuh-tumbuhan. Dia hendak menunjukkan periuk kera besar itu kepada anak-anaknya.

Teks Ucapan Bersejarah


Kegiatan awal Model Pensiangan-Salinatan 2004 - 2008. 

Kursus Pendek Kelolaan Maktab (KPKM) untuk Guru di Kawasan Terpencil bertempat di Sekolah Kebangsaan Salinatan, Pensiangan, Sabah, pada 26 Julai 2002

(Pengucap: Yang Berbahagia Tuan Haji Abu Bakar bin Bachik, Pengarah, Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat malam.
….
Tuan-tuan dan puan-puan,
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada pihak Maktab Perguruan Keningau, khususnya Puan Pengetua iaitu Puan Mary Teresa Kinajil, yang telah berkali-kali mengundang saya untuk melawat kawasan terpencil di Bahagian Keningau. Setelah ditunda beberapa kali, alhamdulillah, pada kali ini, 26 Julai 2002, saya dapat menunaikan hajat Puan Mary.

Seperti yang dijadualkan, satu daripada program penting dalam lawatan ini ialah merasmikan penutupan Kursus Pendek Kelolaan Maktab untuk Guru-Guru Kawasan Terpencil di Sekolah Kebangsaan Salinatan ini, iaitu sebuah sekolah dalam Zon Pensiangan, Daerah Nabawan, yang merupakan kawasan pedalaman yang terletak di tengah-tengah Pulau Borneo, hampir dengan sempadan Indonesia.

Tidak lupa juga saya ucapkan terima kasih kepada Pegawai Pendidikan Daerah Nabawan, Encik Masly bin Wahid, kerana dengan kerjasama beliau dan kakitangannya kursus ini dapat dijalankan. Terima kasih juga diucapkan kepada guru-guru besar, para peserta dan tuan-tuan dan puan-puan kerana sudi hadir dalam majlis ini walaupun diadakan pada malam hari.

Malam di Salinatan ini sudah tentu akan menjadi kenang-kenangan kepada saya. Mudah-mudahan acara malam dengan tujuan murni seperti yang kita adakan pada malam ini akan terus berlangsung tahun demi tahun di sini dan di kawasan-kawasan lain di daerah pedalaman ini; kerana kita amat yakin kursus yang telah dilaksanakan, apabila disusuli dengan tindakan dan kursus susulan yang berterusan, insya-Allah, akan membawa sinar yang berterusan pula kepada anak-anak didik kita.

Seterusnya, saya mengucapkan syukur kepada Allah Subhanahuwataala kerana dengan izin-Nya juga dapatlah saya dan ahli rombongan menjejakkan kaki ke Kampung Salinatan ini. Sebelum saya tiba di sini saya berasa amat khuatir dengan keadaan perjalanan yang sukar dan tempat yang dituju yang entah bagaimana keadaannya. Walaupun saya ada mendapat sedikit gambaran tentang perjalanan dan keadaan di tempat ini, rasa khuatir tentang rintangan dalam perjalanan dan suasana tempat yang dituju masih berlegar-legar dalam fikiran saya.

Alhamdulillah, perjalanan kami ke sini hampir sepanjang siang tadi berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan. Saya mendapati perjalanan yang begitu jauh dari Keningau ke sini dengan kereta pacuan empat roda dan dengan bot begitu menyeronokkan dan penuh dengan pemandangan yang begitu indah dan peristiwa-peristiwa baharu yang kadang-kadang terasa begitu luar biasa dan mencemaskan, terutamanya ketika melakukan perjalanan dengan bot.

Syabas pula saya ucapkan kepada semua warga Maktab Perguruan Keningau, khusus Setiausaha Latihan Dalam Perkhidmatan dan para penceramah kursus kerana telah bertungkus-lumus untuk menjayakan kursus ini. Saya percaya para penceramah kursus sangat memahami keperluan anak-anak kawasan pedalaman seperti di Salinatan ini. Jadi, saya juga berkeyakinan, mereka telah berjaya memberikan panduan yang terbaik dan sesuai dengan keperluan para peserta.

Para peserta Kursus Pendek Kelolaan Maktab untuk Guru Kawasan Terpencil di Sekolah Kebangsaan Salinatan ini sepatutnya berasa bangga kerana pembimbing tuan-tuan dan puan-puan ialah anak watan negeri Sabah yang berjaya dalam bidang pendidikan. Dengan latar belakang pendidikan yang kukuh, disertai pengalaman yang luas, saya amat yakin bahawa usaha mereka mewariskan ilmu dan kemahiran, khususnya pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pedagogi, akan dapat dimanfaatkan oleh para peserta demi faedah anak-anak tercinta di daerah pedalaman ini yang kehausan bimbingan berkualiti.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Sesungguhnya Kursus Pendek Kelolaan Maktab atau nama ringkasnya KPKM telah dikendalikan oleh semua maktab perguruan di Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu. Namun, pada saya, kursus ini amat istimewa kerana kursus ini diadakan khusus untuk guru-guru kawasan terpencil di Pedalaman Negeri Sabah. Pemilihan Sekolah Kebangsaan Salinatan amatlah tepat kerana sekolah ini juga berada jauh di kawasan pedalaman. Hal ini benar-benar memenuhi konsep outreach, iaitu pihak penganjur datang ke tempat kumpulan sasar. Hal ini juga memudahkan guru-guru di kawasan terpencil datang ke tempat kursus.

Saya difahamkan bahawa baru pada tahun ini Maktab Perguruan Keningau mengadakan KPKM di kawasan terpencil. Saya juga difahamkan, KPKM yang pertama untuk guru-guru di kawasan terpencil telah berlangsung dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan Saliku. Saya mendapat tahu, SK Saliku juga merupakan sebuah sekolah di kawasan pedalaman dalam tadbiran Pegawai Pendidikan Daerah Nabawan, Encik Masly bin Wahid.

Sebenarnya jadual perasmian penutupan KPKM di SK Saliku itu telah sampai di meja saya. Hanya sahaja, Allah Yang Maha Kuasa belum mengizinkan saya menjejakkan kaki ke Saliku kerana pada masa itu saya bertugas di luar negera dan seterusnya saya dikehendaki melakukan tugas rasmi lain yang lebih penting dalam negara kita. Walau bagaimanapun, saya tetap mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan KPKM di Saliku itu.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Usaha mengadakan KPKM seperti di Salinatan ini boleh juga dilihat dari perspektif pendemokrasian pendidikan. Dalam sistem demokrasi yang diamalkan oleh kerajaan kita hari ini, pendidikan yang berkualiti sepatutnya dinikmati oleh semua pihak. Seperti habuan kebendaan, habuan intelektual juga perlu diagihkan kepada pihak yang sangat memerlukannya, khususnya mereka yang sepatutnya mendapat diskriminasi positif seperti penduduk di Zon Pensiangan ini. Sekolah-sekolah yang berprestasi rendah sangat perlu mendapat perhatian kita, khususnya para intelektual Maktab Perguruan Keningau yang sebahagian besarnya mempunyai pendidikan pada peringkat sarjana seperti yang dimiliki oleh beberapa orang penceramah kursus ini.

Tidak syak lagi, usaha mengadakan Kursus Pendek Kelolaan Maktab atau KPKM seperti yang diadakan di Salinatan ini boleh dikaitkan dengan pendemokrasian pendidikan dan merupakan tindakan positif yang amat praktikal. Amat sukar menafikan manfaat KPKM kepada para guru, amat sukar menidakkan bahawa KPKM mampu meningkatkan kreativiti dan inovasi guru yang akan memberi kesan kepada murid-murid; dan sudah tentu tiada insan yang cuba memperleceh apabila kita menyatakan KPKM mampu memberi sumbangan untuk meningkatkan mutu pendidikan di kawasan pedalaman. Oleh hal yang demikian, saya ingin mencadangkan agar Maktab Perguruan Keningau di bawah pimpinan Puan Mary Teresa Kinajil meneruskan usaha seperti ini.

Program ini boleh diberi nama glamour seperti “Dari Bukit Langsat ke Lembah Pensiangan” atau “MPKS Turun ke Desa” atau “Bijak Anakku Sayang” dan sebagainya. Apakah nama glamour yang sesuai? Hal itu terpulanglah kepada Puan Mary dan warga Maktab Perguruan Keningau sendiri.

Yang penting, program KPKM di kawasan pedalaman seperti ini mesti dimasukkan dalam perancangan tahunan untuk tahun akan datang dan tahun-tahun seterusnya. Sebagai program tahunan yang lebih terancang dan dinilai prestasi atau keberkesanannya pada pertengahan dan akhir tahun, kualiti KPKM yang dipersembahkan, insya-Allah, dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Apabila kita memberikan sesuatu dengan niat yang ikhlas, terancang, berkualiti, dan berterusan, barulah pendemokrasian pendidikan itu dapat diserlahkan. Dengan perkataan lain, program ad hoc atau sementara yang bersifat semasa dengan tujuan khusus pada masa itu tidak syak lagi akan dianggap program biasa. Apabila program yang dianggap biasa itu ditangani dengan cara-cara yang dinyatakan tadi, insya-Allah, program itu dapat dilihat dari sudut pendemokrasian pendidikan. Malah ada kemungkinan program itu akan merupakan satu inovasi bagi Maktab Perguruan Keningau.

Sehubungan dengan hal itu, pasukan kerja dengan Pejabat Pendidikan Bahagian Keningau dan Pejabat Pendidikan Daerah Nabawan untuk menangani program ini perlu diwujudkan. Malah, sesuai dengan konsep pendidikan komuniti, pihak-pihak tertentu dalam masyarakat setempat sebaik-baiknya dilibatkan.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya difahamkan bahawa bilangan guru sandaran tidak terlatih, atau ringkasnya GSTT, masih banyak di Sabah, khususnya di kawasan pedalaman seperti di Zon Pensiangan ini. Gerakan bancian GSTT yang dilakukan tidak lama dahulu menatijahkan Kementerian Pendidikan di bawah kendalian Bahagian Pendidikan Guru mengadakan kursus perguruan dalam masa cuti atau KDC dan mulai akhir tahun lalu diadakan pula Kursus Diploma Perguruan Malaysia mod KDC. Peserta KDC itu rata-rata terdiri daripada mereka yang mengajar di kawasan pedalaman. Salah sebuah pusat kursus pula ialah Maktab Perguruan Keningau.

Saya mendapat tahu ramai GSTT, termasuk yang sedang berkursus di maktab, diberi tanggungjawab yang amat berat seperti mengajar kelas tahun satu. Jumlah GSTT yang mengajar kelas tahun satu di Negeri Sabah dianggarkan lebih 100 orang. Sebahagian daripada mereka mengajar di Keningau dan Nabawan, dan mungkin ada antara mereka hadir dalam acara penutupan KPKM di Salinatan ini.

Dengan mendahulukan rakaman penghargaan setinggi-tingginya kepada GSTT, sebagai Pengarah, Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia yang diberi tanggungjawab melatih guru, saya berasa amat sukar untuk memendamkan rasa terkilan dan mengkal jika tempat GSTT itu tidak mampu diambil alih oleh guru-guru terlatih, khususnya keluaran Maktab Perguruan Keningau.

Sesuai dengan tuntutan pendemokrasian pendidikan, sesuai dengan tuntutan menyebarkan pendidikan berkualiti untuk anak-anak merdeka pendukung Wawasan 2020, guru-guru pelatih Kursus Diploma Perguruan Malaysia di negara kita, khususnya di maktab-maktab perguruan di Sabah ini, mesti menyediakan diri untuk mencintai anak-anak kawasan pedalaman dan bersedia mengambil alih peranan mendidik mereka daripada GSTT. Sebaliknya, GSTT pula mesti menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi bagi menyertai saingan untuk mengikuti Kursus Diploma Perguruan Malaysia mod biasa atau mod KDC sekiranya diadakan lagi di maktab-maktab perguruan.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Dengan pandangan ikhlas dan harapan itu, saya akhiri ucapan saya dalam Penutupan Rasmi Kursus Pendek Kelolaan Maktab atau KPKM untuk Guru-Guru Kawasan Terpencil pada malam ini. Maka, dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, saya dengan sukacitanya menutup dengan rasminya KPKM untuk Guru Sekolah Terpencil di Sekolah Kebangsaan Salinatan, Zon Pensiangan pada malam 26 Julai 2002 ini.

Sekian. Wa billahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tamat.

Penyeliaan di SK Terusan Sugut 1982: Tidur Duduk

Sabah Tempat Bermain
Pada penggal ketiga tahun 1982, Ahmad mengajak saya untuk menyelia guru KDC di Sekolah Kebangsaan Terusan Sugut pula. Beberapa hari sebelum kami pergi ke sekolah itu, dia memberitahu saya bahawa kami akan menaki bot ke sana.

15 September 2012

Perihal Saraweh dan Meramas

Saraweh ialah sebutan rakan-rakan saya daripada suku kaum Dusun bagi sejenis ikan sungai. Antara rakan saya itu termasuklah Tahar Haji Daud dan Arifin Yungkit. Asing Ansawang, rakan saya daripada suku kaum Murut juga menggunakan sebutan saraweh. Bunyi /h/ dalam sebutan mereka kurang kedengaran. Oleh itu kerapnya mereka menyebut /sarawe/.


14 September 2012

Catatan tentang Pelian, Ketutu dan Lain-lain Mendapat Sambutan

Kelah (pelian) Sabah jenis keperakan.
Hari ini saya berasa gembira kerana status buku wajah saya tentang ikan air tawar/darat mendapat sambutan rakan-rakan. Dua orang rakan, Cikgu Azlee Makibin dan Cikgu Salehuddin Siman, memberikan sambutan yang rinci dan bernilai ilmu. Sambutan mereka menyerlahkan minat, pengalaman dan pemerhatian guru di kawasan pedalaman yang akrab dengan alam sekitar.

11 September 2012

Batang Gaharu Buruk

Dari kiri: (1982) Shamad, Tuan Haji Liwangsa dan MIAR.
Saya kerap melakukan pengembaraan dengan Shamad Ahmad Nurawi Abas. Beberapa peristiwa penting pengembaraan yang sudah berlalu lebih tiga puluh tahun itu masih segar dalam ingatan saya. Walau bagaimanapun saya gagal mengingat beberapa fakta seperti tarikh, nama orang dan nama tempat tertentu seperti kampung persinggahan kami yang pertama dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan Malubang, Pitas.

Lompat Kelas Selepas PTS

Saudara Ameer dan Syukur, isu yang ditimbulkan di sini menguak pintu peti simpanan ehwal pengujian dan penilaian dalam ingatan saya. Ruang yang terbuka baru sedikit dan diselaputi oleh kegelapan. Jelasnya, saya sudah lupa apa-apa yang saya kuliahkan. Bahkan saya sudah lupa sama ada buku kecil edisi awal PTS masih terselit di rak buku saya atau sudah menjadi bentuk baharu apabila diproses oleh kilang kitar semula.

Perkuliahan itu berlaku pada tahun lapan puluhan. Memang saya sudah menggunakan perisian pemprosesan perkataan Word Star pada pertengahan tahun lapan puluhan. Memang ada kemungkinan saya pernah menulis nota tentang PTS. Hal yang pasti, jikalau pun nota itu ada, nota itu sudah lupus bersama-sama cakera liut.

09 September 2012

Tidur di Atas Meja Murid (Kemas Kini)

Sabah Tempat Bermain


Saya dan Ahmad turun dari tempat penginapan selepas makan tengah hari dan bersolat jamak zuhur dengan asar. Kami menuju ke tambatan bot yang terletak kira-kira sepelaung dari tempat penginapan itu. Jurumudi berdiri berhampiran pancang tambatan. Aki tercongok di haluan bot. Bachik tidak menyertai kami. Ahmad membebaskannya untuk melakukan kegiatan yang sesuai di Karamuak.

07 September 2012

Televisyen Bersepadu Keemasan Metalik

Sabah Tempat Bermain


Kita sudah biasa menggunakan ungkapan perakam radio kaset, iaitu alat elektronik yang mampu menerima siaran radio dan boleh juga berfungsi sebagai alat perakam. Rasanya kita belum pernah atau jarang-jarang menggunakan ungkapan televisyen radio perakam kaset, iaitu alat elektronik yang terdiri daripada televisyen, radio dan perakam kaset. Saya memiliki alat itu.

06 September 2012

Sup Pelanduk Karamuak (Kemas Kini)

Sabah Tempat Bermain
Jalan licin tetapi kereta kami masih dapat mendaki bukit dengan gear biasa. Kereta itu hanya menghadapi kesukaran ketika mendaki sebuah bukit yang tinggi. Bachik memberhentikan kereta apabila tiba di puncak. Jalan di hadapan curam. Saya berdebar. Bachik dan Ahmad tenang. Saya pun menenangkan diri.

Bachik berkata, “Usah khuatir, tuan. Insya-Allah, kita selamat.”

Saya tidak pasti sistem pacuan yang digunakannya sama ada pacuan empat roda atau pacuan biasa. Walaupun menuruni bukit, bunyi enjin menderam. Sesekali kenderaan itu menggeluncur. Bachik mengendalikan stering dengan tenangnya. Tiada tanda khuatir pada wajahnya.

Azan Bergema Kembali (Kemas Kini)

Sabah Tempat Bermain

Praktikum guru KDC berbeza sedikit daripada praktikum guru pelatih sepenuh masa. Perbezaan yang ketara adalah dari segi penempatan dan bidang tugas. Guru pelatih sepenuh masa ditempatkan di sekolah-sekolah yang berhampiran dengan maktab. Oleh sebab mereka bukan kakitangan sekolah, bidang tugas mereka terhad. Masa pengajaran mereka pula hanya untuk tujuan praktikum.

04 September 2012

Penyeliaan di SK Malubang 1980 (3): Meredah Padang Lalang

Kandungan catatan ini dipadamkan pada 12 November 2012. Isinya sudah dipadatkan dalam siri ke-31 dan ke-32 “Sabah Tempat Bermain” yang di bawah.
31 Ayam Putih, Terbanglah!



Dilambung Ombak

Catatan ini dikemas kini pada 13 November 2012 sebagai siri ke-32 "Sabah Tempat Bermain".


Alunan ombak semakan tinggi dan beberapa kali menjulang bot. Mulut guru itu dan isterinya kumat-kamit. Saya yakin mereka berdoa agar Allah melindungi kami sepanjang baki perjalanan.

Ayam Putih, Terbanglah!

Catatan ini dikemas kini pada 12 November 2012 sebagai siri ke-31 Sabah Tempat Bermain. Harap maklum.

Pada penggal ketiga tahun 1980, saya dan Shamad menyelia praktikum guru KDC di Kota Belud dan Pitas. Pada masa itu saya belum memiliki kenderaan. Shamad memiliki skuter. Demi melancarkan pergerakan, kami memutuskan untuk melaksanakan tugas itu dengan menaiki skuter.

03 September 2012

Latihan Mengajar 1974: Cakap Kayu

Penyeliaan di SK Paus 1981: Di sa…na!

Bahagian utama latihan perguruan ialah latih amal atau praktikum di sekolah. Ketika saya bergelar guru pelatih pada tahun 1973 dan 1974, istilah praktikum belum digunakan. Ungkapan yang digunakan pada masa itu ialah latihan mengajar. Ungkapan itu masih kerap digunakan pada tahun 80-an di samping istilah praktikum. Mulai awal tahun 90-an istilah praktikum digunakan secara meluas. Kini istilah praktikum semakin popular. Penggunaan ungkapan latihan mengajar kedengaran sesekali sahaja.

01 September 2012

Penyeliaan di SK Paus 1981: Di sa…na!

Pada tahun 1981 saya dan Encik Ramli Yusop ditugaskan untuk menyelia praktikum beberapa orang peserta kursus dalam perkhidmatan. Mereka berkhidmat di beberapa buah sekolah rendah di Ranau. Seorang guru itu bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Paus. Sekolah itu terletak di pedalaman. Simpang ke sekolah itu terletak di antara Telupid dengan Pekan Ranau dan jaraknya dari Pekan Ranau kira-kira 62 kilometer.