03 Oktober 2009

Justeru di Awal Ayat

Senarai di bawah ini ialah ayat contoh yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KD4, 2005). Ayat yang berkenaan menerangkan masukan atau submasukan yang ditandai dengan cetakan condong dan berwarna biru.

1. Justeru itu manusia masih lagi berfungsi sebagai penyempurna kepada sesuatu kehendak dan keperluan orang lain. (tiada koma selepas itu)

2. Justeru itu amat tidak wajar dikejar dan dipertahankan suatu utopia kehidupan dalam lingkungan budaya kecil yang asing dan palsu. (tiada koma selepas itu)

3. Justeru yang moden itu merupakan kesinambungan bagi yang tradisional dan yang lama akan dapat memperkenalkan akar-akar tradisinya. (tiada koma selepas justeru)

4. Justeru inilah yg membuat revolusi Indonesia itu satu revolusi yang unik. (tiada koma selepas justeru)

Ahli bahasa kita mengatakan ungkapan “justeru itu" tidak baku. Ungkapan yang baku ialah “justeru”. Senarai di atas memungkinkan kita berkata bahawa (a) KD4 melakukan kesilapan; atau (b) KD4 menganggap kedua-dua ungkapan itu baku. Yang berwarna hijau itu pilihan saya. Apakah pula pilihan tuan?

Berdasarkan makna kedua bagi masukan “justeru” dalam KD4, perkataan “justeru” dalam ayat di atas dapat digantikan dengan perkataan “malahan” atau “bahkan”. Ayat-ayat yang di bawah dipetik daripada Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008).

1. Bahkan jika ditinjau dari sudut sejarah perkembangan bahasa Melayu selanjutnya, inilah satu-satunya faktor utama yang telah menjadikannya bahasa yang mudah dipelajari, dan diterima sebagai bahasa perhubungan oleh orang-orang daripada berbagai-bagai masyarakat bahasa. (halaman 7, tiada koma selepas bahkan)

2. Bahkan perkataan-perkataan yang lain masuk ke dalam binaan frasa, klausa, dan ayat melalui perhubungannya dengan perkataan-perkataan lain dalam tiga golongan ini, ataupun berhubung dengan binaan frasa dan klausa secara langsung. (halaman 83, tiada koma selepas bahkan)

3. Bahkan, salah satu ukuran yang dapat digunakan untuk menentukan sama ada sesuatu kata kerja itu transitif atau tidak adalah dengan melihat sama ada kata kerja itu dapat mengalami proses pasif atau tidak. (halaman 148, ada koma selepas bahkan)

Ada pendapat mengatakan perkataan “justeru” tidak boleh digunakan di awal ayat. Berdasarkan pendapat itu, perkataan “bahkan” juga tentulah tidak boleh digunakan di awal ayat. Oleh sebab pendapat itu bertentangan dengan ayat yang terdapat dalam KD4 dan Tatabahasa Dewan, pendapat itu tertolak. Lagipun, Khidmat Nasihat Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ada memberikan dua jawapan yang jelas tentang perkara ini. Yang pertama, “ungkapan yang betul ialah justeru dan justeru ialah penanda wacana. Yang kedua, “justeru digunakan (selepas itu bubuh tanda koma), bukan justeru itu”.

Perbincangan ini menunjukkan “justeru itu” tidak baku. Yang baku ialah “justeru”. Perbincangan ini juga menunjukkan DBP menggunakan “justeru” di awal ayat.

Tiada ulasan: