02 Ogos 2009

Penyata Razak 1956

Penyata Razak 1956 ialah laporan oleh satu jawatankuasa bagi mengkaji semula sistem pendidikan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatankuasa ini ditubuhkan pada bulan September 1955 dan dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu, YB Dato' Abdul Razak Hussein.

Tugas jawatankuasa ini adalah untuk membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan yang bersesuaian dengan aspirasi menyatupadukan penduduk berbilang bangsa, menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, menjaga perkembangan bahasa dan kebudayaan kaum lain, mengkaji Ordinan Pelajaran 1952 dan membuat pindaan yang perlu.

Cadangan yang dikemukakan oleh Penyata Razak ini diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan. Antara cadangan penting termasuklah mewujudkan dua jenis sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) serta menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi SRK. Penyata Razak juga mencadangkan satu sistem pendidikan menengah dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.


Penyata Razak mengemukakan 17 cadangan dengan mengambil kira matlamat akhirnya membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia. Antara cadangan itu termasuklah:

1. Semua sekolah di tanah air mempunyai sukatan yang sama.

2. Bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan menjadi bahasa pengantar utama.

3. Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diwajibkan bagi semua sekolah rendah dan menengah.

4. Bagi sekolah jenis kebangsaan, bahasa Inggeris, Cina dan Tamil menjadi bahasa pengantar.

5. Sekolah-sekolah rendah ditukar kepada sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

6. Penubuhan satu jenis sekolah sahaja yang terbuka kepada semua kaum.

7. Guru-guru sekolah rendah dan menengah hendaklah berkelayakan.

8. Sistem pendidikan sekolah menengah ialah Sekolah Menengah Rendah (SMR), Sekolah Menengah Atas (SMA) dan prauniversiti.

9. Semua guru diletakkan di bawah satu perkhidmatan profesional dan Jemaah Nazir Persekutuan ditubuhkan.

Laporan ini disusuli oleh Laporan Talib (1960) yang seterusnya menjadi Akta Pelajaran 1961.

Tiada ulasan: