27 September 2009

Bulan Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri terlalu istimewa. Hari ini lebih istimewa daripada hari perkahwinan yang hanya diraikan oleh kaum keluarga dan jiran tetangga. Hari ini lebih istimewa daripada Hari Buruh, Hari Guru dan Hari Pahlawan yang hanya disambut oleh golongan tertentu. Hari ini lebih istimewa daripada hari kebangsaan atau hari kemerdekaan sesebuah negara yang disambut oleh rakyat dalam negara itu sahaja. Hari Raya Aidilfitri terlalu istimewa kerana hari ini disambut oleh umat Islam seluruh dunia.

Pada hari perkahwinan, hanya pasangan pengantin dan kaum keluarga terdekat mengambil cuti. Pada Hari Buruh, hanya buruh yang ada majikan bercuti. Buruh persendirian yang mencari ikan di laut, yang mengusahakan padi bukit dan yang membaiki kenderaan terus bertungkus-lumus mencari rezeki. Pada Hari Guru dan Hari Pahlawan, guru dan pahlawan pula terus berkhidmat demi negara. Sebaliknya, ada cuti khas untuk Hari Raya Aidilfitri. Malah, kebanyakan golongan pekerja boleh menambah cuti itu.

Tahun ini guru dan murid bercuti lebih awal daripada yang mereka jangkakan. Cuti mereka berterusan selama sepuluh hari. Mungkin cuti Hari Raya Aidilfitri untuk guru dan murid tahun ini antara yang terpanjang dalam sejarah.

Pada tahun ini, rata-rata kakitangan awam dan swasta bercuti mulai hari Sabtu, 19 Mei 2009. Rata-rata cuti mereka berjumlah sembilan hari. Kebanyakan mereka akan bertugas semula pada hari esok, Isnin, 28 September 2009. Kelmarin, mereka masih memeriahkan suasana hari raya dengan berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai yang jauh. Hari ini, ada antara mereka masih meneruskan kunjungan itu.

Sejak beberapa tahun dahulu saya berfikir tentang keistimewaan Hari Raya Aidilfitri. Antara yang kerap saya fikirkan dan saya bincangkan dengan rakan-rakan ialah keistimewaan Hari Raya Aidilfitri berbanding dengan Hari Raya Aidiladha. Rumusan pemikiran dan perbincangan itu, kedua-dua hari raya itu mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Namun, dari segi penggunaan ungkapan “Hari Raya Aidilfitri” dan “Hari Raya Aidiladha” saya belum mendapat kepastian. Perkara yang masih menjadi persoalan ialah penggunaan perkataan “hari” dalam kedua-dua ungkapan itu. Hari Buruh, Hari Guru dan Hari Pahlawan disambut sehari sahaja. Menurut orang yang lebih tua daripada saya, Hari Raya Aidilfitri disambut selama sebulan. Jikalau demikianlah halnya, ungkapan yang wajar kita gunakan ialah Bulan Raya Aidilfitri. Jadi, kita berada dalam suasana hari raya selama sebulan, iaitu sepanjang bulan Syawal.

Adakalanya masyarakat kita terus menghidupkan suasana Hari Raya Aidilfitri selepas bulan Syawal. Saya pernah berada dalam majlis “Sambutan Hari Raya Aidilfitri” selepas bulan Syawal. Penganjur sambutan itu ialah badan kerajaan, pihak swasta dan orang perseorangan. Malah, saya sendiri pernah menjadi petugas utama sambutan seperti itu.

Antara sambutan Hari Raya Aidilfitri di luar bulan Syawal yang sukar saya lupakan ialah sambutan yang diberi nama kongsi raya. Kongsi raya bermaksud, kita bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina dalam satu majlis. Organisasi saya mengadakan sambutan kongsi raya beberapa kali ketika Tahun Baharu Cina tidak jauh latnya dengan Hari Raya Aidilfitri. Antara hidangan dalam majlis itu ialah ketupat, kuih raya dan limau mandarin. Kini, jarak antara sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin jauh dan sambutan kongsi raya mulai menghilang.

Saya tidaklah berasa hairan sangat apabila golongan pendidik menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas bulan Syawal. Hal ini saya katakan demikian kerana semua pendidik yang saya dampingi biasa menyambut Hari Guru selepas 16 Jun, sedangkan Hari Guru itu adalah pada 16 Mei. Kebiasaan para pendidik ini dapat menjadi alasan untuk kita menyambut Hari Raya Aidilfitri sepanjang bulan Syawal. Jikalau kita bersetuju, wajarlah kita menggunakan ungkapan “Bulan Raya Aidilfitri.”

Seorang rakan saya berkata, kita wajar bersifat luwes apabila menggunakan perkataan. Dia yang pernah mengikuti kuliah semantik menyatakan, makna sesuatu perkataan boleh terlebih atau terkurang. Dalam kes Hari Raya Aidilfitri, “hari” itu boleh bermaksud pada 1 Syawal dan hari-hari seterusnya dalam bulan Syawal. Dalam kes Hari Raya Aidiladha, “hari” itu bermaksud tiga hari, iaitu 10, 11 dan 12 Zulhijah.

Saya ingin membaca pandangan golongan agama (ustaz/ustazah) tentang perkara ini. Jikalau tuan/puan ada maklumat tentang hal ini, catatkan sumber atau pautannya dalam ruangan ulasan.

2 ulasan:

zaidan berkata...

salam cikgu, saya zaid masih ingat lagi tak la ni ada di perak. cikgu apa khabar moga sihat walafiat.Berkaitan tajuk perbincangan artikel ini, saya terungat tok guru nik aziz sebut baru ni semasa mesra aidil fitri bersama anak-anak kelantan diperantauan." kita sambut hari raya hari ni walaupun masuk hari yg kedua, kalu nak kira yg sebenar raya posa ni dah berakhir setakat zohor hari 1 syawal, tapi ini sekadar nak meraikan tuan-tuan yang balik dari jauh utk bertemu mato, maka kita berada dlm majlis ni".... itu lebih kurang ucapan Tok guru pada malam 2 syawal baru ni.

sekian wassalam sampai jumpa lagi slamat berjuang (zaidana24@gmail.com)

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, saya sihat. Saya berharap ustaz dan keluarga juga sihat sejahtera. Saya yakin tuan ialah Ustaz Mohd. Zaib, kawan Cikgu Dairah @Murkin. Jikalau, silap maafkan saya.

Apa-apa pun, terima kasih atas respons tuan. Maklumat yang tuan berikan sesuai dengan maksud masukan ini. Saya berharap tuan dapat menjadi pemantau hal yang berkaitan dengan agama Islam di blog ini. E-mel saya: mohdisa_abdrazak@yahoo.com.

Wassalam.