06 September 2009

Sari Makalah: Pembudayaan Bahasa Kebangsaan

Noresah Baharom, “Pembudayaan Bahasa Kebangsaan dalam Meningkatkan Patriotisme Rakyat Malaysia”, Dewan Bahasa, September 2009, halaman 6 – 10.

1. Pembudayaan bahasa kebangsaan bermaksud penggunaan bahasa ini oleh seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam ranah yang luas dengan penuh kebanggaan dan kecintaan terhadap bahasa ini disebabkan kedalaman patriotisme atau rasa cinta terhadap tanah air.

2. Pembudayaan bahasa kebangsaan ialah pembudayaan bahasa Melayu, dan pembudayaan bahasa Melayu ialah mengamalkan ciri-ciri bahasa itu, termasuk nilai, budi, kesantunan, dan sistem linguistik bahasa yang berkenaan.

3. Kesantunan bahasa secara umum bermaksud penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia, dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara.

4. Sikap terhadap bahasa, sama ada positif ataupun negatif ditandai oleh tiga ciri utama, iaitu kesetiaan bahasa, kebanggaan atau gah bahasa, dan kesedaran akan adanya norma bahasa.

5. Menjelang tahun 1980-an, secara perlahan-lahan nasionalisme digantikan dengan nasionisme. Kebangkitan nasionisme menekankan kepentingan bahasa Inggeris sekali gus mengabaikan pengutamaan bahasa Melayu dalam situasi rasmi dan media massa.

6. Sesungguhnya, peralihan keperluan negara daripada nasionalisme pada dekad 1950-an hingga tahun 1980-an kepada nasionisme pada tahun 1980-an hingga 1990-an, dan seterusnya kepada internasionalisme pada alaf baharu ini memberikan tantangan baharu yang cukup hebat kepada usaha memperkasakan bahasa Melayu.

7. Satu formula keseimbangan dinamik antara keperluan mengejar nasionisme dan internasionalisme dengan nasionalisme perlu dicari bagi memastikan kelangsungan hidup bahasa kebangsaan, agar bahasa kebangsaan dibudayakan dan menjadi unsur penting yang mengikat perpaduan bangsa Malaysia, dan sekali gus meningkatkan patriotisme.

Tiada ulasan: