08 September 2009

Sari Makalah: “Satu Malaysia” - Perspektif Bahasa

Mohd. Yusof Haji Othman, “‘Satu Malaysia’ dari Perspektif Bahasa”, Dewan Bahasa, September 2009, halaman 12 – 15.

1. Rantau Melayu sudah mempunyai peradaban yang tinggi sebelum kedatangan penjajah Barat. Antara bidang yang menyerlahkan peradaban itu ialah penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca, bahasa kebangsaan (perpaduan), bahasa ilmu dan bahasa pentadbiran negara. Bahasa Melayu pada masa itu berasaskan falsafah dan konsep Islam. Jadi, Perkara 152 dan perkara lain yang berkaitan dengan Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan mempunyai asas yang kukuh. Pelaksanaan gagasan “Satu Malaysia” mesti mengambil kira latar belakang sejarah ini.

2. Dalam merealisasikan gagasan “Satu Malaysia”, pihak berwajib hendaklah memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan. Hal ini berupa manifestasi slogan “rakyat diutamakan”. Rakyat pula mesti ikut serta memperkasakan bahasa kebangsaan. Antara caranya termasuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua acara rasmi. Hal ini bersesuaian dengan slogan “prestasi diutamakan”. Selain itu, kita perlu mengembalikan jiwa Islam kepada kosa kata bahasa Melayu.

Nota
Profesor Dato’ Dr. Mohd. Yusof Haji Othman ialah Profesor Program Fizik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Fizik, Timbalan Dekan, dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UKM. Sejak bulan Julai i tahun 2007, beliau menjadi Pengarah Institut Islam Hadhari UKM hingga kini.

Tiada ulasan: