06 Oktober 2009

Bahasa Melayu Asas Kontrak Sosial

Makalah utama majalah Dewan Bahasa keluaran Oktober 2009 ialah “Bahasa Melayu Asas Kontrak Sosial” tulisan Profesor Dr. Haji Awang Sariyan. Dalam makalah ini Profesor Awang menjelaskan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam konteks pembinaan negara.

Penulis menjelaskan, istilah social contract ciptaan Rousseau berkaitan dengan perubahan sistem pemerintahan. Sebaliknya, istilah kontrak sosial yang kita gunakan berkaitan dengan pembinaan negara dan bukannya perubahan sistem pemerintahan. Kontrak sosial merujuk kepada persetujuan warganegara tentang asas untuk membina negara, khususnya di negara-negara dunia ketiga yang baru lepas daripada belenggu penjajahan.

Pada waktu kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, orang Cina dan India menikmati pemberian taraf kerakyatan secara automatik. Sebagai imbangan terhadap nikmat itu, wujud empat perkara pokok sebagai kontrak sosial antara warganegara baharu dengan penduduk asal. Empat perkara pokok itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu
  1. Kedudukan Raja-raja Melayu – Perkara 32 (1)
  2. Agama Islam sebagai agama Persekutuan – Perkara 3 (10)
  3. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi – Perkara 152 (1)
  4. Hak istimewa orang Melayu – Perkara 153
Apabila Malaysia terbentuk pada tahun 1963, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan diperluas. Perkara itu meliputi hak istimewa kaum-kaum Bumiputera yang lain, terutama di Sabah dan Sarawak. Dalam Perlembagaan Persekutuan juga termaktub bahawa keempat-empat perkara pokok kontrak sosial ini sentiasa disertai jaminan tiadanya penghapusan dan pengurangan hak orang bukan Melayu dan Bumiputera.

Sesuai dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, kerajaan menggubal Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK) sebagai salah satu dasar negara. Bersama-sama dengan dasar negara yang lain seperti Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, DBK memainkan peranan yang penting dalam proses pembinaan negara bangsa.

Pembinaan negara bangsa berasaskan semua ras dalam negara kita. Asasnya bertunjangkan beberapa dasar, termasuklah DBK. Sebagai tunjang kepada asas, usaha memperkasakan bahasa mesti mendapat keutamaan kita.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi asas jati diri bangsa Malaysia. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu juga menjadi wahana perpaduan bangsa melalui komunikasi dalam pelbagai ranah. Sebagai bahasa rasmi pula, bahasa Melayu menjadi salah satu unsur penggerak jentera pentadbiran negara.

Akta Pendidikan 1996 menyatakan bahawa bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara ialah bahasa Melayu. Dengan perkataan lain, bahasa Melayu ialah bahasa ilmu. Sebagai bahasa pengantar, sekali gus bahasa ilmu, bahasa Melayu berjaya membentuk kesatuan sikap, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa dalam kalangan generasi muda Malaysia.

Sudah menjadi sejarah bahawa pihak berwajib meruntuhkan kejayaan bahasa Melayu dengan mengetepikan fungsinya untuk mengajarkan mata pelajaran Sains, Matematik dan teknikal. Namun, kita bersyukur kerana pihak yang berkenaan sudah kembali ke pangkal jalan. Agar peristiwa hitam itu tidak berulang, seluruh masyarakat bertanggungjawab mempertahankan dan memartabatkan bahasa kebangsaan kita.

Tiada ulasan: