08 Oktober 2009

Gerakan Bahasa Kebangsaan Memerlukan Transformasi

Sari makalah “Transformasi Gerakan Bahasa”, oleh Ismail Dahaman dalam majalah Dewan Bahasa, Oktober 2009, halaman 12 – 15.

Penguasaan bahasa kebangsaan menjadi syarat utama untuk melayakkan orang bukan Melayu menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Namun, tahap penguasaan yang diperlukan adalah minimum. Jadi, kebayakan mereka yang melepasi syarat itu belum mampu berkomunikasi secara berkesan dalam bahasa kebangsaan.

Oleh itu kerajaan berusaha untuk memperluas penggunaan bahasa kebangsaan, terutamanya dalam kalangan orang bukan Melayu. Bagi meningkatkan peranan bahasa kebangsaan dalam sektor awam dan pendidikan, pada tahun 1960 kerajaan mengadakan Minggu Bahasa Kebangsaan (MBK).

Kerajaan meneruskan MBK dengan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) pada tahun yang sama hingga tahun 1967. Apabila Malaysia terbentuk pada tahun 1963, tiga kaum utama di Semenanjung bersama-sama dengan penduduk Sabah dan Sarawak menyemarakkan aktiviti BBK. Dalam tempoh lebih kurang sedekad, BBK berjaya meningkatkan kesedaran rakyat tentang pentingnya komunikasi dalam bahasa kebangsaan demi perpaduan nasional.

Namun, dua dekad seterusnya (1968 – 1987), bahasa kebangsaan berhadapan dengan cabaran. Cabaran itu berupa persaingan fungsi antara bahasa kebangsaan dengan bahasa-bahasa vernakular dan bahasa Inggeris. Mulai tahun 1970, Rukun Negara menjadi landasan hidup rakyat. Serentak dengan itu, kerajaan memperkenalkan istilah bahasa Malaysia bagi merakyatkan bahasa kebangsaan kita.

Pada 11 Disember 1987, kerajaan melancarkan Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK). Gerakan ini bertujuan menyuburkan semangat penerimaan warga Malaysia terhadap bahasa kebangsaan. GCBK berusaha menimbulkan kesedaran dan menanamkan kepercayaan bahasa unsur “kemegahan bahasa” dan “kecintaan terhadap bahasa kebangsaan” hendaklah dibuktikan dengan amalan menggunakannya.

Dasawarsa 1990-an merupakan era baharu dalam pendekatan gerakan bahasa. Pada dasawarsa ini kerajaan memfokuskan program dan aktiviti untuk mencapai matlamat pemerkasaan bahasa kebangsaan. Pada tahun 1996, kerajaan melaksanakan Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS). Gerakan ini berakhir pada tahun 1998. Dari tahun 1999 hingga tahun 2008, kerajaan memilih bulan September setiap tahun sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).

Dalam tempoh 52 tahun merdeka, kita sudah mengadakan berbagai-bagai gerakan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Namun, matlamat gerakan itu belum tercapai sepenuhnya, baik dari segi penggunaan mahupun kualitinya. Bahasa kebangsaan kita masih mengalami kepincangan fungsi.

Kepincangan fungsi itu berpunca daripada persaingannya dengan bahasa Inggeris. Faktor sikap rakyat, krisis jati diri, latar belakang pendidikan dwialiran dan matlamat komuniti bahasa yang berbeza-beza turut menyumbang kepada kendala memperkasa bahasa kebangsaan.

Di bawah gagasan Satu Malaysia, pelaksanaan gerakan bahasa kebangsaan memerlukan transformasi dengan strategi alternatif. Gerakan baharu itu penting untuk memperteguh atau memperkasakan perpaduan nasional, iaitu “perpaduan dalam kepelbagaian”, dalam negara bangsa Malaysia.

Transformasi itu pasti melibatkan perancangan semula pembangunan bahasa kebangsaan dalam semua aspek. “Apa-apa kempen atau gerakan bahasa kebangsaan hendaklah dirancang dan dilaksanakan dalam rangka transformasi proses pemerkasaan bahasa Melayu dalam konteks perpaduan nasional menuju gagasan Satu Malaysia itu.”

Masukan yang berkaitan: (1) Perpaduan dalam Satu Malaysia (2) Pembudayaan Bahasa Kebangsaan (3) Bahasa Melayu Asas Kontrak Sosial

Tiada ulasan: