19 September 2012

Memukat di Tasik Ladam (1): Diserang oleh Nyamuk


Dari hulu hingga ke kuala, Sungai Kinabatangan yang berliku-liku itu melalui perjalanan lebih lima ratus kilometer. Aliran dan genangan airnya meliputi kawasan seluas lebih dua kali keluasan Negeri Sembilan. Limpahan airnya ketika banjir membentuk hutan paya yang luas dan subur.

Pemandangan dari udara memperlihatkan keindahan liku-liku sungai itu. Beberapa liku berbentuk huruf C seperti yang dihasilkan daripada plastisin oleh murid pemulihan khas. Hakisan banjir yang berulang-ulang menyebabkan ada antara liku itu putus. Longgokan enapan lama-kelamaan membentuk daratan sempit yang memisahkan liku yang putus dengan aliran baharu. Liku yang terpisah daripada ibunya itu dinamakan tasik ladam. Tasik ladam di Kinabatangan dikatakan tasik ladam terluas di Asia Tenggara.

Laporan Bernama pada tahun 2010 menyebut, terdapat dua puluh buah tasik ladam di Sukau, 130 kilometer dari Bandar Sandakan. Tidak syak lagi, salah sebuah tasik ladam itu ialah tempat saya memukat pada tahun 1982. Tasik ladam itu terletak di dalam hutan di hulu Kampung Sukau.

Antara rumah penduduk kampung yang terdekat dengan tasik ladam itu termasuklah rumah ayah Cikgu Mardane. Dia bekas pelajar saya di Maktab Perguruan Sandakan tempoh 1980 dan 1981. Semasa di maktab, dia akrab dengan saya. Dia juga akrab dengan Saroh, pekerja maktab yang menjadi rakan utama saya menjala, memukat dan berburu.

Rasanya Mardane mengetahui bahawa usaha kumpulan saya memukat di hutan paya Kinabatangan kurang berhasil. Mungkin Saroh yang menyampaikan kisah itu kerana beberapa bulan selepas peristiwa itu, Saroh mengajak saya untuk memukat di Sukau. Katanya, Mardane menunggu kami di sana dan akan mengetuai kami.

Selain Saroh dan anaknya, Amun, Ku Bahaudin menyertai kami. Ku Bahaudin pernah menikmati keseronokan memancing bersama-sama saya di hadapan Pulau Nunuyan. Pancingnyalah yang banyak mengena. Saya rasa dia ingin menikmati keseronokan memukat pula.

Kami merancang untuk bermalam di hutan. Ku Bahaudin membawa khemah, lampu ayam, tong gas kenit dan tungku keluli. Saya menyediakan keperluan asas seperti beras, gula dan garam. Saroh membawa keperluan yang lain. Kami membawa baldi masing-masing sebagai bekas ikan. Di Sukau, Mardane bersedia dengan perahu dan pukat.

Kami bertolak ke Sukau dengan kereta saya. Perjalanan memakan masa lebih dua jam. Mardane menunggu kami di tambatan. Sejurus kemudian bot tambang tiba. Kami mudik untuk ke rumahnya. Kira-kira setengah jam kemudian bot itu merapat di lanting, iaitu rakit yang diperbuat daripada kayu balak. Dua batang balak di ikat dengan tali. Sebahagian permukaannya dilantai dengan papan tebal. Paku lantai diperkukuh dengan ikatan rotan.

Kepala lanting diikat dengan dua utas tali sebesar ibu jari kaki. Hujung seutas tali diikat pada sebatang pokok besar. Hujung seutas tali lagi diikat pada turus sebesar batang pinang dan tinggi. Mungkin itu batang nibung. Di celah balak itu terhunjam beberapa batang pancang. Ada pula tali kecil di bahagian tengah terikat pada pancang dan boleh ditarik untuk lebih merapatkan lanting ke tebing. Di hujung lanting ada sudung-sudung tempat untuk bermenung.

Sesungguhnya binaan lanting itu kukuh; siap untuk mengapung dan siaga untuk mendepangi arus apabila banjir. Namun, ketika saya melangkahkan kaki, saya berasa ngeri. Olengannya bagai hendak menampakkan saya ke dalam sungai. Saya segera melompat ke tebing yang berlumpur. Saya biarkan Saroh dan Mardane menurunkan barang-barang kami.

Kami berehat dan makan tengah hari di rumah ayah Mardane yang letaknya kira-kira sepelaung dari lanting itu. Tiang belian rumah itu hampir dua kali ketinggian saya. Selepas bersolat jamak zuhur dan asar, kami mudik dengan menggunakan perahu berenjin sangkut yang dikemudikan oleh Mardane. Perahu itu menunda sebuah kolek. Mardane mengemudikan perahu dengan berhati-hati agar tidak terempuh batang hanyut atau kepala balak yang timbul sesekali di permukaan air sungai yang keruh itu.

Kira-kira sejam kemudian, Mardane mengubah haluan ke alur yang menampung limpahan air sungai ibu dan menjadi alur pintas ketika banjir. Air alur itu keruh seperti air sungai ibu. Bahagian pintu masuknya selebar dua depa. Arusnya mengengsot malas.

Semakin ke hadapan, alur itu semakin lebar. Di kawasan yang lebar itu gerakan arus seakan-akan terhenti. Dengan berdasarkan genangan air, saya mengagak kawasan itu lubuk. Namun, saya yakin, lubuk itu bukanlah tempat untuk kami memukat.

Mardane menambat perahu pada sebatang pokok. Kami bekerjasama untuk memunggah barang-barang ke atas tebing yang hampir sama tingginya dengan saya. Kemudian kami bekerjasama untuk menyediakan tapak khemah, tempat memasak dan para-para. Saroh membantu Ku Bahaudin mendirikan khemah daripada kanvas. Tiga sisi khemah itu didinding dengan kanvas juga. Kami memagar khemah itu dengan menggunakan kayu kecil dan tali rapia.

Selepas berehat seketika sambil menikmati biskut kering dan air kosong, Mardane mengetuai gerakan menaikkan kolek, pukat dan dayung. Jala Saroh yang dibawa dari Sandakan dibiarkan di dalam perahu. Mardane dan Ku Bahaudin memikul kolek. Mardane di hadapan. Ku Bahaudin di belakang. Amun membawa karung yang berisi jala. Saroh mencari kayu yang lurus dan panjang untuk dijadikan pancang. Saya membawa sebilah dayung kecil. Kami meredah rintisan lama di dalam hutan itu.

Saya cuba membantu Mardane dan Ku Bahaudin. Saya memintas Ku Bahaudin dan menyusup ke bawah kolek. Ada lagi kelegaan selebar tapak tangan di antara bahu saya dengan dasar kolek. Hal itu berlaku kerana Mardane gemuk dan tinggi. Ku Bahaudin gempal dan lebih tinggi daripada Mardane.

Ku Bahaudin berkata, “Tidak perlu bantu, Isa. Biar kami sahaja buat kerja ini.”

Saya meminggir dan memberikan laluan kepada Ku Bahaudin.

Perjalanan meredah rintisan lama ke tasik itu hanya sekejap. Subhanallah, pemandangan di sana sungguh menakjubkan! Keluasan tasik sejauh mata memandang. Bahagian yang berhadapan dengan kami kelihatan seperti pulau yang diselaputi tumbuh-tumbuhan yang menghijau. Air tasik jernih. Julai pepohon yang subur mencecah air. Di kejauhan, air yang jernih itu kelihatan biru kehitam-hitaman dan berkilau-kilau.

Mardane dan Saroh mengendalikan perentangan tiga utas pukat. Saroh mahir berdayung dan mengemudikan kolek. Mardane cekatan melabuhkan pukat. Saya, Amun dan Ku Bahaudin menjadi penonton yang setia sambil menikmati keindahan alam tasik ladam itu pada larut petang.

Sebelum senja merangkak tiba, kami sudah berada di khemah. Belerang ditabur di sekelilingnya. Ranting dan kayu mati dikumpul. Unggun dihidupkan. Lampu ayam dipasang. Lingkaran penghalau nyamuk dicucuh. Solat jamak maghrib dengan isyak ditunaikan. Nasi ditanak. Air dijerang. Tin sardin dibuka. Teh dibancuh. Nasi disenduk.

Ketika kami menikmati hidangan saya berkata, Nampaknya tempat ini sudah lama tidak didatangi orang.”

Mardane memberikan sambutan, “Benar, cikgu. Ayah pun sudah lama tidak ke sini. Dahulu tempat ini pernah menjadi laluan nenek. Laluan ini sudah ditinggalkan. Insya-Allah, kita selamat.”

Rakan perburuan saya, Tuan Syed Mokhtar, pernah menyatakan bahawa hutan Sukau memang tempat nenek. Kereta pacuan empat roda yang digunakannya semasa berburu pernah diusap oleh sekawan nenek. Dia dan rakan-rakannya di dalam kereta itu mematikan pergerakan. Yang kedengaran hanya bunyi enjin, hembusan nafas dan degupan jantung. Saya sendiri sudah dua kali mendengar tempikan nenek ketika berburu bersama-sama Tuan Syed, Saroh dan Pak Cik Suradi.

Ku Bahaudin pensyarah sains dan lebih tua daripada saya. Amun pelajar sekolah menengah dan pewaris kegemaran ayahnya. Saya, Saroh, Ku Bahaudin dan Amun faham maksud perkataan nenek yang dituturkan oleh Mardane. Kami mendiamkan diri.

Semasa kami makan dan kemudian menikmati teh o panas, nyamuk mengambil kesempatan untuk meniruk kulit yang terdedah. Nyamuk yang giat dan berani melagukan irama halus di telinga. Kedengaran tangan menampar nyamuk lepuk-lepak. Kami segera menghabiskan baki teh o.

Selepas itu, pinggan dan cawan dibasuh. Kayu unggun ditambah dan ditimbun dengan daun agar lebih banyak asap dikepulkan. Racun nyamuk disembur di dalam dan di sekitar khemah. Beberapa keping lingkaran penghalau nyamuk lagi dicucuh. Ku Bahaudin menyapu krim antinyamuk pada tangan, tengkuk dan telinganya. Dia mempelawa kami menggunakan baki krim. Saya menolak kerana Amun dan Saroh memerlukan krim itu. Saya memakai jaket dan menutup kepala dengan tuala mandi macam orang Arab menggunakan kain serban secara terurai. Mardane bertahan.

Ketibaan nyamuk bagai lebah. Kami masuk ke dalam khemah. Nyamuk mengikuti kami. Mardane mengajak kami beredar dari tapak perkhemahan itu. Kami menaiki perahu. Mardane melarikan perahu ke pintu alur dan berhenti di situ sebentar. Nyamuk masih berdengung tetapi hanya seseekor.

Saroh bertanya, “Boleh kita menebarkan jala di sini?”

“Tunggu,” jawab Mardane.

Dia mengemudikan perahu ke tengah lubuk. Enjin perahu dimatikan. Dia mencapai dayung dan mengotek-ngotekkan dayung itu bagi memantapkan kedudukan perahu.

Dia berkata, “Cuba di sini, pak cik. Kami pernah merambat di sini. Mudah-mudahan ada udang.”

Bersambung: Mengawasi Penundaan Kolek

Tiada ulasan: