07 Januari 2010

Sastera.com: Maksimumkan Penggunaan Istilah Bahasa Melayu

Berita Harian, 5 Januari 2010

LAMAN blog http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com membincangkan kepentingan memaksimumkan penggunaan istilah bahasa Melayu kerana majoriti istilahnya indah, sedap disebut dan diguna pakai, sekali gus dapat membantu perkembangan bahasa kebangsaan di bumi sendiri.

Pemilik dan penulis blog terbabit, Mohd Isa Abd Razak (gambar), memberi maklumat kepada pembaca lamannya bahawa bahasa Melayu ada hampir sejuta istilah dengan kebanyakan pengguna menggunakan istilah itu dalam pelbagai bidang ilmu.

“Bahasa kebangsaan berkembang pesat dan perkembangan itu ketara daripada segi penciptaan istilah, tetapi kita tidak perlu mengetahui, apalagi mengingat semua istilah itu, sebaliknya masyarakat hanya perlu melihat, mengetahui dan belajar istilah lazim untuk tujuan komunikasi lisan atau tulisan,” tulis Mohd Isa dalam catatan Serlahkan Kecintaan terhadap Bahasa Kebangsaan dengan Menggunakan Istilah Bahasa Melayu.

Bekas Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Institut Perguruan Keningau itu, turut mengajak pembaca lamannya meninjau sumber bagi mengesan istilah dalam sesuatu bidang, termasuk kemudahan rujukan di laman web Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Mohd Isa membidas penggunaan istilah Inggeris yang meluas dalam masyarakat termasuk back-drop, resort dan waterfront, sedangkan dalam bahasa Melayu perkataan itu disebut sebagai latar pentas, persantaian dan pinggir air.

“Pada hemat saya, pengusaha pusat penginapan perlu peka dengan istilah bahasa Melayu kerana kita tidak dapat mengharapkan pengguna bahasa Melayu menggunakan istilah ini, jika pihak berkenaan terus menggunakan istilah Inggeris.

“Saya percaya kebanyakan kita sudah biasa menggunakan istilah Inggeris kerana saya juga termasuk dalam golongan pengguna bahasa yang lebih banyak menggunakan istilah berkenaan berbanding padanannya dalam bahasa Melayu,” akuinya.

Beliau menekankan peri pentingnya rakyat Malaysia mempunyai semangat cinta akan negara dan berusaha mencipta kesepakatan bersama antara masyarakat pelbagai kaum.

“Antara cara kita menyerlahkan kecintaan terhadap negara adalah dengan menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua cara komunikasi dan perlu berusaha menggunakan bahasa Melayu yang baku, sopan dan indah,” tulisnya.
Nota
Terima kasih, Puan Nurfa. Pautan asal. Prihatin.

Tiada ulasan: