19 Januari 2013

Jangan Sekali-kali (Bukan Jangan Pernah)

Soalan: Jangan pernah berkasar terhadap ibumu. Ungkapan jangan pernah dalam ayat ini sesuai atau tidak?

Jawapan: Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, jangan ialah kata larangan yang menyatakan tidak boleh, hendaknya tidak, usah; manakala pernah ialah sudah ada mengalami, sudah berlaku. Perkataan pernah tidak sesuai mengikut konteks ayat yang dinyatakan. Perkataan yang lebih sesuai digunakan ialah sesekali: Jangan *sesekali berkasar terhadap ibumu. Khidmat Nasihat DBP, Januari 2013. (*Ungkapan yang tepat ialah sekali-kali [sama sekali]. Klik.)

Data
1. Jangan pernah kita memesrai klien kita dengan panggilan pak cik, mak cik, abang, kakak dan lain-lain. (Facebook A, 22 Julai 2012.)
2. Jangan pernah mengizinkan sesiapapun menghina bangsa kita! (Facebook A, 2 Januari 2013.)
3. Dalam hidup, jangan pernah biarkan pendapat seseorang tentangmu mengubah dirimu menjadi seseorang yang kamu tahu bukan dirimu. (Facebook B, Januari 2013.)
4. Jangan pernah kaucuba untuk berubah. Jangan pernah kaupaksakan cinta. (Seni kata lagu.)

14 Januari 2013

Kalimah Allah Suci

Kenyataan Rasmi Majlis Syura Ulama

Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Rabiulawal 1434 bersamaan 13 Januari 2013 mengambil keputusan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan perkara yang berikut:

(1) Allah ialah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan Yang Diimani oleh umat Islam iaitu Allah Yang Esa, Tinggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

(2) Kalimah Allah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Sesiapa pun boleh menyebut kalimat Allah seperti orang Arab jahiliah yang tidak Islam menyebut Allahlah yang menjadikan alam ini.

(3) Kalimah Allah ialah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-ana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimat itu. Demikian juga, tidak boleh asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Oleh sebab itu, menterjemahkan kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana isinya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh sebab itu, perbuatan itu hendaklah dicegah.

Kenyataan media ini memperjelas maksud kenyataan Al-Mursyidul Am, Presiden dan seluruh kepimpinan PAS.

Mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS ini juga membincangkan isu sedutan ucapan Tuan Guru Presiden yang diangkat martabatnya menjadi amanat dan memutuskan untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan Tuan Guru Presiden memperjelas isu tersebut sekurang-kurangnya satu jam secara langsung menerusi TV1 dan TV3.

Tandatangan
Tuan Guru Dato’ Bentara Setia
Haji Nik Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Se-Malaysia

Tandatangan
Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
Timbalan Al-Mursyidul Am
Parti Islam Se-Malaysia.

Sumber: http://klpos.com/politik/36001-majlis-syura-pas-bukan-islam-dilarang-terjemah-kalimah-allah

Tanda Seru

1. Ayat yang menggunakan tanda seru yang tepat ialah
(A) Aduh, pedihnya!
(B) Aduh! Pedihnya.
(C) Aduh! pedihnya.
(D) Aduh! pedihnya!

2. Fadzilah menyeru muridnya agar menggunakan bahasa Melayu baku.

Pilih ayat yang menggunakan tanda seru yang tepat dalam ayat Fadzilah.
(A) Gunakanlah bahasa Melayu baku!
(B) Gunakanlah bahasa Melayu baku!!
(C) Gunakanlah bahasa Melayu baku!!!
(D) Gunakanlah bahasa Melayu baku.!!

Za‘ba dalam buku Pelita Bahasa Melayu Penggal I-- III Edisi Baharu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP, 2000: 206) memberikan dua ayat contoh, iaitu “Wah cantiknya kucing ini!” dan “Amboi! Berani ia berkata begitu.” Berpandukan ayat contoh ini, ada kemungkinan kita mengatakan bahawa jawapan soalan pertama ialah (B) dan jawapan bagi soalan kedua ialah (A). Hal ini perlu kita fikirkan beberapa kali kerana Za‘ba menulis buku itu beberapa tahun sebelum terbitan pertamanya pada tahun 1941. Bagi pelajar dan guru Bahasa Melayu, sekiranya pandangan Za‘ba sudah diubah suai oleh buku tatabahasa pegangan kita, iaitu Tatabahasa Dewan, pandangan Za‘ba terpaksalah kita abaikan.

Buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (2008: 452) menyatakan bahawa “ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan untuk tujuan melahirkan suatu keadaan perasaan, seperti takut, marah, takjub, geram, sakit, dan sebagainya. Intonasi seruan ini digambarkan dalam tulisan dengan tanda seru (!) yang biasanya terletak di akhir ayat, sama ada ayat itu didahului oleh kata seru atau tidak. Kata seru yang sering digunakan ialah oh, amboi, wah, cis, eh, aduh, syabas, dan sebagainya.” Sebelas ayat contoh diberikan. Saya petik empat ayat contoh itu:

1. Oh, Tuhanku!
2. Amboi, garangnya!
3. Wah, besarnya kereta abang!
4. Aduh, bisanya!

Tatabahasa Dewan tidak meletakkan tanda seru selepas kata seru di awal ayat. Hal ini bermakna ayat contoh “Amboi! Berani ia berkata begitu” yang diberikan oleh Za‘ba tidak menepati ayat contoh Tatabahasa Dewan. Saya yakin panel penulis buku Tatabahasa Dewan menyedari pandangan Za‘ba. Oleh sebab itu, mereka menggunakan ungkapan “tanda seru (!) yang biasanya terletak di akhir ayat”. Ertinya, ayat “Aduh! Pedihnya” dalam soalan pertama yang sepadan dengan ayat contoh Za‘ba hanya dianggap kurang biasa. Persoalannya, adakah ayat yang kurang biasa dianggap tepat?

Buku Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu (DBP Brunei Darussalam, 2010 dan DBP Malaysia 1992) mengatakan bahawa tanda koma digunakan di belakang kata-kata seruan. Antara ayat contoh yang diberikan termasuklah “Wah, bukan main!” dan “Aduh, sakitnya!” Dari segi penggunaan tanda baca, panduan yang terdapat dalam buku Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu lebih berwibawa daripada buku Tatabahasa Dewan. Hal ini dikatakan demikian kerana kandungan buku Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu dipersetujui oleh Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (Mabbim). Oleh sebab itu, berdasarkan Tatabahasa Dewan dan Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu, jawapan yang tepat bagi kedua-dua soalan yang dikemukakan ialah (A).

Sebagai tambahan, antara ayat contoh yang terdapat dalam buku Gaya Dewan (1995: 74) termasuklah “Amboi, cantiknya pakaian dalam almari cermin itu!” dan “Wah, besarnya kereta awak!” Gaya Dewan dan sumber berwibawa yang sudah dinyatakan tadi menggunakan hanya satu tanda seru di hujung ayat. Hal yang sama ditegaskan oleh khidmat nasihat Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) DBP pada 10 Januari 2013. Soalan yang dikemukakan ialah, “Wah, cantik betul bunga itu!!! Tiga tanda seru digunakan dalam ayat ini bagi menunjukkan kesungguhan. Apakah pandangan pihak khidmat nasihat?” Jawapan yang diberikan ialah “Menurut penerbitan Gaya Dewan, hanya satu sahaja penggunaan tanda seru.”

Jikalau saya menulis, “*Mengapa? Awak tidak datang?” tentu saya diketawakan. Hal ini berlaku kerana kita tahu bahawa tiada tanda tanya selepas kata tanya mengapa, apa, di mana dan sebagainya. Kini katakan saya menulis ayat “Aduh! Sakitnya kakiku.” Saya rasa banyak rakan menganggap ayat yang saya tulis ini tepat padahal, berdasarkan penjelasan tadi, cara penulisannya tidak tepat. Penegasan saya di sini ialah “ayat yang dituliskan” bukannya “ayat yang diucapkan”.

Sebagai kesimpulannya, tanda baca yang mengikuti kata seru di awal ayat ialah tanda koma dan bukannya tanda seru. Seperti tanda noktah dan tanda tanya, hanya satu tanda seru perlu diletakkan di hujung ayat.

09 Januari 2013

Ejaan Nama Za‘ba

Sumber utama peraturan menggunakan tanda baca untuk bahasa Melayu ialah Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu. Peraturan yang terdapat dalam buku Gaya Dewan boleh dijadikan pegangan tambahan. Peraturan yang hampir sama terdapat juga dalam buku-buku untuk sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pendidikan guru (IPG). Kita juga boleh merujuk sumber lain seperti buku panduan penulisan tesis yang terdapat di pasaran. Walau bagaimanapun, untuk para pelajar dan guru pelatih IPG, peraturan yang terdapat dalam buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu sesuai dijadikan pegangan. Lazimnya, peraturan yang terdapat dalam buku-buku lain merujuki sumber ini.

07 Januari 2013

Kedua-dua Mempelai

Saya sudah biasa menggunakan perkataan mempelai. Perkataan itu saya warisi daripada orang yang lebih tua daripada saya, termasuk emak saya. Berdasarkan pengalaman berbahasa sejak kecil itu, maka terbentuk dan mantaplah dalam pemikiran saya bahawa mempelai ialah pengantin tanpa mengira lelaki atau perempuan. Berdasarkan pengalaman berbahasa itu juga saya menggunakan ungkapan mempelai lelaki, mempelai wanita dan kedua-dua mempelai.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 1016) tercatat lema mempelai yang bermaksud pengantin seperti dalam frasa contoh mempelai laki-laki (pengantin laki-laki) dan naik mempelai (menjadi mempelai). Lema mempelai Dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua (2009: 514) ditakrifkan sebagai orang yang sedang menjalani istiadat perkahwinan, iaitu pengantin. Frasa contoh yang diberikan ialah mempelai lelaki (pengantin lelaki.) Di bawah lema propose dan bagi ungkapan propose a toast dalam Kamus Inggeris-Melayu Dewan (1992: 1250) terdapat ayat contoh “Bapa saudara pengantin lelaki mengajukan minuman ucap selamat untuk kedua-dua mempelai itu. Hasil carian dengan menggunakan perkataan mempelai di Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) juga menunjukkan bahawa ada ungkapan kedua-dua mempelai.

Tidak terdapat ungkapan mempelai wanita dalam sumber rujukan yang di atas. Walau bagaimanapun, berdasarkan takrif yang diberikan dan kewujudan ungkapan kedua-dua mempelai, dapatlah kita rumuskan bahawa ungkapan mempelai wanita dapat kita terbitkan. Oleh sebab itu, ayat “Mempelai lelaki menjeling mempelai wanita ketika bersanding” betul.

Pada 5 Januari 2013, Profesor Abdullah Hasan menerbitkan nota dalam Kumpulan Facebook Bahasa Melayu Tinggi. Beliau meminta pengacara majlis perkahwinan agar cuba untuk menggunakan ungkapan “kedua-dua pengantin” dan bukannya “kedua-dua mempelai”. Menurut beliau, dalam bahasa Melayu Pulau Pinang “mempelai” bermaksud pengantin lelaki dan “ponu” ialah pengantin perempuan. Menurut beliau lagi, “tidak mungkin dua mempelai iaitu pengantin lelaki bersanding!”

Rasanya, orang Pulau Pinang suka akan nota ini. Saya ingin tahu pandangan orang Sabah, Sarawak dan negeri-negeri lain. Adakah tuan/puan tidak akan menggunakan ungkapan kedua-dua mempelai sesudah membaca nota ini?

06 Januari 2013

Ejaan DBP Insya-Allah


Khidmat Nasihat, Pusat Rujukan Persuratan Melayu

Soalan: Saya ialah penggunaan ejaan berdasarkan buku Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi, termasuk ejaan insya-Allah. Saya berasa keliru apabila ada pihak menyebarkan kelemahan ejaan itu di Facebook. Bahan yang disebarkan itu dikatakan bersumber daripada Dr. Zakir Naik. Sebaran itu meminta pengguna bahasa Melayu agar menggunakan ejaan In Shaa Allah (tiga patah perkataan). Saya mendapati sudah ada guru menggunakan ejaan ini. Apakah pendirian DBP?

Jawapan: Ejaan yang telah ditetapkan oleh DBP ialah insya-Allah.

Tarikh: 30 Disember 2012.

29 Disember 2012

Antara Suasana dalam Majlis Penyampaian HSPM 2010/2011


Penyanyi ini memperoleh peluang untuk mendendangkan lagu dalam majlis penyampaian HSPM 2010/2011. Dia pilihan terbaik untuk majlis ini?
 Citra ini adalah antara suasana dalam majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 28 Disember 2012. Isu yang ditimbulkan ialah penyanyi bertutur dalam bahasa Inggeris. Selain itu, suasana ini dapat juga dianalisis dari segi Islam, kecenderungan penganjur untuk mengamalkan Islam yang syumul, dasar kebudayaan kebangsaan dan sebagainya.

*******

Novel karya Pelita di Dalam Kaca ini memenangi HSPM 2010/2011.
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Al-Nur, 24: 31)

(1) Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman; (2) iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; (3) dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. (Al-Mukminun, 23: 1 -- 3)

28 Disember 2012

Semakan Pemansuhan Nama Bahasa Malaysia


Ketetapan utama Muzakarah Munsyi Dewan di Institut Aminudin Baki pada 28 November hingga 1 Disember 2012 ialah harapan agar nama bahasa Melayu digunakan dalam semua keadaan dan bukannya nama bahasa Malaysia. Ketetapan ini dan ketetapan lain dijangka akan disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri pada petang ini, Jumaat, 28 Disember 2012, selepas berlangsungnya penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Ketetapan yang hampir sama dibuat dalam Konvensyen Pendidikan Bahasa Melayu Kali Ke-19 pada 20 – 22 Mac 2012 di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur. Ketetapan itu berbunyi, “Penggunaan nama mata pelajaran Bahasa Malaysia mesti diubah kepada Bahasa Melayu seperti yang tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.” Jikalau ketetapan ini sudah disampaikan kepada pihak yang berkenaan, ketetapan Muzakarah Munsyi Dewan dapatlah dianggap sebagai menyokong ketetapan konvensyen itu sekali gus berupa peringatan kepada pihak yang berkenaan agar melaksanakan ketetapan itu.

Dalam pada itu, saya tertanya-tanya sama ada kedua-dua ketetapan itu memang perlu atau berupa usaha bertindih. Saya berkata demikian kerana saya pernah terbaca kenyataan bahawa Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu yang bermesyuarat pada 11 Mei 2011bersetuju menerima istilah bahasa Melayu supaya dikekalkan”. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri. Jikalau tidak silap, saya membaca kenyataan itu dalam Facebook Profesor Dr. Abdullah Hassan. Sayangnya saya sudah lupa tarikh penyiaran maklumat itu dan gagal pula untuk mencapainya semula.

Jikalau kenyataan yang saya baca itu benar, ketetapan konvensyen dan muzakarah sewajarnya dimulakan dengan kenyataan bahawa Timbalan Perdana Menteri sudah bersetuju agar nama bahasa Melayu dikekalkan. Ketetapan yang dikemukakan sewajarnya berupaya sokongan terhadap persetujuan itu. Seterusnya dinyatakan harapan agar kerajaan mengeluarkan arahan bagi memansuhkan arahan Kabinet pada bulan Jun 2007 tentang penukaran nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Baik juga dinyatakan harapan agar pemansuhan itu dihebohkan melalui media sebagaimana menghebohkan arahan Kabinet pada bulan Jun 2007 itu.

Keputusan Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu yang bermesyuarat pada 11 Mei 2011 itu mungkin pernah dihebohkan oleh media. Rasanya saya yang ketinggalan komuter. Apabila saya fikir-fikirkan peserta konvensyen dan muzakarah juga ketinggalan komuter. Alasannya sudah saya nyatakan dalam perenggan yang di atas. Kini saya tertanya-tanya pula, benarkah Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu yang bermesyuarat pada 11 Mei 2011 “bersetuju menerima istilah bahasa Melayu supaya dikekalkan”?

24 Disember 2012

Kebetulan atau Suratan?

Mohd Isa Abd Razak: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Perkataan “kebetulan” tidak sesuai digunakan oleh orang Islam kerana apa-apa yang berlaku adalah suratan. Saya mohon ustaz berikan hujah/nas yang menyokong pandangan ini. Saya ucapkan terima kasih atas sambutan ustaz. (23 Disember 2012)

19 Disember 2012

Kembalikan Huruf ĕ

Citra yang di atas dapatan tinjauan mudah yang saya lakukan melalui blog ini pada tahun 2011. Keputusannya, 80% pengguna bahasa Melayu mengatakan bahawa pengembalian huruf ĕ kepada sistem ejaan Rumi kini adalah wajar.

18 Disember 2012

Jom dan Usrah

Langit petang mendung. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Air laut pasang penuh. Tuk Ngah dan Abdul Fattah duduk di bangku konkrit yang menghadap ke laut. Mereka menikmati pisang goreng yang dibeli di warung di tepi jalan.

Abdul Fattah bertanya, “Bolehkah kita sambung perbincangan di dalam kereta tadi, atuk?”

Tuk Ngah menjawab, “Tunggu sebentar, Abdul Fattah. Kita habiskan dahulu pisang goreng ini sambil menikmati elusan bayu, deburan ombak dan keindahan alam di tepi pantai.”

Sesudah selesai menikmati pisang goreng, minum teh bungkus dan mengucapkan alhamdulillah, Tuk Ngah bersuara, “Sekarang kita sambung perbincangan tentang perkataan jom. Fattah ulang perkara terakhir yang kita bincangkan semasa di dalam kereta tadi.”

14 Disember 2012

Ukhuwah dan Air Mata

Awal pagi itu Rusa merahku melompat-lompat di atas jalan batu kelikir. Jalan itu menjadi laluan utama lori balak. Aku memaksa Rusaku melalui jalan itu sebagai jalan pintas untuk ke Kampung Minawo. Jarak kampung itu dari rumah sewaku cuma sepuluh kilometer. Jikalau aku melalui jalan yang bertar, jaraknya hampir dua kali ganda.

Rusaku menamatkan larian di jalan yang berlopak-lopak. Kini aku dan dua orang anakku sudah berada di simpang ke Kampung Minawo Dari simpang itu hingga ke Pusat Latihan Dakwah, jalannya bertar. Jalan itu memudahkan orang Tionghua pergi ke kuil di atas bukit. Jalan itu juga memudahkan perjalanan orang yang berkemampuan untuk bersantai di persantaian yang terletak di lereng bukit tidak jauh dari kuil.