Memaparkan catatan dengan label Sebutan Baku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sebutan Baku. Papar semua catatan

04 Julai 2012

Sebutan Baku di Singapura


Sebutan Baku di Singapura 2012
Oleh Nur Isyana Isaman

Singapura, 4 Julai 2012. Setelah dua dekad melaksanakan sistem sebutan bahasa Melayu baku di Singapura, persoalannya kini adakah para penutur Bahasa Melayu baku sudah dapat menguasai sistem tersebut sepenuhnya?

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar Masagos Zulkifli Masagos Mohamed berkata, sekiranya sebutan baku di sini masih di tahap sedang beralih kepada bentuk sebutan baku sempurna, bilakah kita akan dapat menguasai sistem itu sepenuhnya dan apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk memastikan ia benar-benar tercapai?

Encik Masagos yang juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura berkata demikian di majlis perasmian Simposium Pemantapan Sebutan Baku di NIE petang tadi.

08 Jun 2012

Sebutan Baku: Mengharapkan Pertabalan Kali Kedua


Pautan Pilihan

 
Pelaksanaan sebutan baku di sekolah bermula pada penggal kedua tahun 1988. Pelaksanaan itu berdasarkan Pekeliling Ikhtisas Bilangan II/1988. Saya termasuk golongan yang kurang beruntung kerana saya tidak berpeluang untuk mengikuti apa-apa taklimat atau bengkel tentang sebutan baku. Namun, sebagai pendidik guru, saya mengemas kini pengetahuan dan kemahiran dengan memanfaatkan buku Pedoman Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tahun 1988.

Mulai tahun 1989, saya berusaha menggunakan sebutan baku dalam semua acara rasmi. Selain itu, saya berusaha menyebarluaskan penggunaan sebutan itu. Beberapa tahun kemudian barulah saya menemukan modul Panduan Sebutan Baku Bahasa Melayu terbitan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama DBP sedangkan modul yang mengandungi enam kaset dan sebuah buku itu terbit pada tahun 1989. Berpandukan modul itu, keyakinan saya menggunakan sebutan baku meningkat.

30 Mei 2012

10 Mei 2011

Dr. Rais Yatim Meminta Radio dan Televisyen Menggunakan Bahasa Melayu Baku


DBP, 1989
Pada 27 April 2011 akhbar dalam talian mStar menyiarkan berita “Rancangan Televisyen, Radio Guna Bahasa Melayu dengan Betul”. Pada keesokan harinya Laman Facebook (FB) Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBPM) menyiarkan pautan berita itu. Sehingga kelmarin, sebanyak tujuh orang atau 0.5% daripada 1417 orang peminat FB DBPM memberikan sambutan sama ada dengan mengklik suka, membuat ulasan atau kedua-duanya sekali.

Kelmarin saya menyiarkan pautan itu di FB saya. Sehingga hari ini, sebanyak lapan orang sudah memberikan sambutan. Jumlah ini bersamaan dengan 1.4% daripada 570 orang rakan FB saya. Pembaca boleh membuat tafsiran sendiri tentang 0.4% dan 1.4% itu. Saya mahu memberikan tumpuan pada tajuk dan kandungan berita yang berkenaan.

Tajuk berita itu menyarankan bahawa penggunaan bahasa Melayu oleh pihak radio dan televisyen sudah betul. “Betul” di sini dapat bermaksud baku atau standard. Adakah saranan ini benar? Ikuti penjelasan seterusnya.

Intro berita itu ialah “Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) mahu supaya bahasa Melayu digunakan dengan betul dalam semua rancangan di radio dan televisyen.” Perkataan “mahu” bermaksud kehendak. Tegasnya, KPKK menghendaki pihak radio dan televisyen menggunakan bahasa Melayu yang betul. Jadi, penggunaan yang sudah betul yang disarankan dalam tajuk bertentangan dengan kehendak agar diwujudkan penggunaan yang betul.

Tajuk yang sesuai dengan intro ialah “Radio dan Televisyen Diminta Agar Menggunakan Bahasa Melayu Baku” atau “Dr. Rais Yatim Meminta Radio dan Televisyen Menggunakan Bahasa Melayu Baku”.

Mungkin kita bertanya, benarkah penggunaan bahasa Melayu di radio dan televisyen tidak atau kurang baku? Perkara ini memerlukan kajian dan perbincangan yang tersendiri. Eloklah pihak yang berwajib seperti KPKK dan DBP menangani perkara ini. Biarlah saya memberikan tumpuan pada perenggan susulan berita itu.

Gagasan dalam perenggan kedua ialah “rakyat Malaysia hendaklah menggunakan bahasa Melayu baku”. Gagasan dalam perenggan ketiga pula ialah “bahasa Melayu terpinggir di bumi sendiri kerana masyarakat malu untuk menuturkannya”. Nyatalah bahawa perenggan kedua dan ketiga bukan susulan maksud atau huraian intro.

Tampaknya tajuk berita ini memujuk pembaca agar berasa kagum dengan penggunaan bahasa yang betul oleh pihak radio dan televisyen. Hal yang tersirat, para pembaca tidak perlulah “menegur” media itu supaya berubah. Yang perlu berubah ialah pembaca sendiri. Pembaca hendaklah menggunakan bahasa Melayu baku dan hendaklah berasa bangga menuturkannya. Rumusannya, wacana berita itu longgar kerana maksud tajuk bertentangan dengan intro dan perenggan susulan tidak menyokong maksud intro.

Saya meneruskan catatan ini dengan merujuk perenggan keenam. Dalam perenggan itu Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim menyatakan bahawa beliau menerima banyak surat dalam bahasa Inggeris. Seterusnya beliau berkata, “Saya secara hormat menjawabnya dalam bahasa Melayu."

Tindakan Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim menjadi sempadan. Yang sewajarnya menjadi teladan ialah tindakan memulangkan surat itu kepada penulisnya dan memintanya untuk menulis surat itu kembali dengan menggunakan bahasa kebangsaan.

Saya berasa wajar untuk mencatat satu perkara yang berkaitan dengan penggunaan bahasa baku, khususnya sebutan baku, oleh radio dan televisyen. Pada bulan 19 Januari 2000, Jemaah Menteri mengarahkan agar semua stesen televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta tidak menggunakan sebutan bahasa Melayu baku. Berita akhbar Utusan Melayu pada keesokan harinya menggunakan tajuk “Radio dan Televisyen Dilarang Menggunakan Sebutan Baku”.

Tukang hebah terlantang arahan itu ialah Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim. Pada masa itu beliau menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dengan berdasarkan ulasan beliau dalam media cetak, bolehlah dikatakan bahawa beliau begitu gembira melaksanakan pemansuhan sebutan baku, iaitu sebutan yang didukung oleh Menteri Pendidikan pada tahun 1986 - 1991. Mujurnya, penggunaan sebutan baku kekal di sekolah seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/2000 tetapi untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja.

Sebagai kesimpulannya, pembaca hendaklah mengelakkan diri daripada membuat tanggapan dan ulasan hanya dengan membaca tajuk. Pembaca juga perlu membaca keseluruhan sesuatu tulisan dengan teliti. Selain itu, pembaca memikirkan perkara yang tersirat dalam sesuatu penulisan. Jikalau mungkin, eloklah diketahui latar belakang sumber berita itu.

28 April 2011

Gunakan Bahasa Melayu Baku - Datuk Seri Dr. Rais Yatim

Rancangan Televisyen, Radio Guna Bahasa Melayu dengan Betul
MStar Online, Rabu, 27 April 2011

JELEBU: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mahu supaya bahasa Melayu digunakan dengan betul dalam semua rancangan di radio dan televisyen. (MIAR: mahu = dikehendaki = keadaan kini “kurang betul.)

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata rakyat Malaysia tidak perlu khuatir untuk mengucapkan Bahasa Melayu dengan jelas dan betul kerana bahasa itu setanding dengan Bahasa Inggeris.

11 April 2010

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/2000, Pelaksanaan Sebutan Baku

KP(BS)8591/Jld.XVI/(3)
16 Februari 2000

Pelaksanaan Sebutan Baku dalam Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah

Surat Pekeliling Ikhtisas ini dikeluarkan dengan tujuan memaklumkan pihak Y. Bhg. Dato’/Datuk/Tuan tentang pelaksanaan sebutan baku di sekolah.

2. Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa sebutan baku yang terus dilaksanakan di sekolah adalah hanya untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja.

3. Walau bagaimanapun, untuk ujian lisan dalam peperiksaan awam, sebutan baku atau sebutan biasa boleh digunakan. Bagi pengajaran dan pembelajaran mata-mata pelajaran selain Bahasa Melayu serta urusan-urusan lain di sekolah, sebutan biasa digunakan.

4. Dengan berkuat kuasanya Surat Pekeliling Ikhtisas ini, maka Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 2/1993 bertarikh 30 September 1993 yang bertajuk “Tarikh Penyempurnaan Pelaksanaan Bahasa Melayu Sebutan Baku” dibatalkan.

5. Sila maklumkan kandungan pekeliling ini kepada semua sekolah di negeri Y. Bhg. Dato’/Datuk/Tuan.

Sekian.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

tt.
DATUK DR. ABDUL SHUKOR ABDULLAH
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia

10 April 2010

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1993: Pelaksanaan Sebutan Baku

Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
Blok J, Paras 7
Pusat Bandar Damansara
50604 Kuala Lumpur.

Ruj. Kami : KP(BS)8591/Jld.7/(56)
Tarikh : 30 September 1993

Semua Ketua Bahagian
Kementerian Pendidikan
Semua Pengarah Pendidikan Negeri.

Y. Bhg. Datuk/Tuan/Puan,

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1993: Tarikh Penyempurnaan Pelaksanaan Bahasa Melayu Sebutan Baku

Surat Pekeliling Ikhtisas ini dikeluarkan dengan tujuan untuk memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan telah memutuskan bahawa Bahasa Melayu sebutan baku akan diwajibkan dalam peperiksaan seperti berikut:

i. Mulai 1994: Ujian Lisan Bahasa Melayu tahun 6 bagi SK/SRK yang dikendalikan sepenuhnya oleh sekolah.
ii. Mulai 1994: Ujian Lisan Bahasa Melayu Tingkatan III yang dikendalikan sepenuhnya oleh sekolah.
iii. Mulai 1994: Ujian Lisan Bahasa Melayu SPM yang dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan.

2. Ke arah penyempurnaan pelaksanaan tersebut semua Maktab Perguruan, Institusi Pengajian Tinggi dan sekolah hendaklah memiliki bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran seperti berikut:

i. Pedoman Sebutan Bahasa Melayu, DBP, 1988
ii. Daftar Umum Sebutan Bahasa Melayu, DBP, 1991
iii. Daftar Kata Bahasa Melayu, DBP (dijangka terbit Mac 1994)
iv. Modul Panduan Sebutan Baku Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan Malaysia, DBP, 1989

3. Untuk memantapkan lagi penguasaan Bahasa Melayu sebutan baku, semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran, aktiviti kokurikulum serta upacara rasmi lain seperti pertandingan bahas, syarahan, seminar dan sebagainya mestilah dilaksanakan dengan menggunakan Bahasa Melayu sebutan baku.

Sekian bagi tindakan Y. Bhg. Datuk/Tuan/Puan.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA DAN CINTAILAH BAHASA KITA”

(DATUK DR. WAN MOHD ZAHID BIN MOHD NOORDIN)
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia

s.k.
1. Y. B. Datuk Dr. Sulaiman Daud, Menteri Pendidikan Malaysia
2. Y. B. Dr. Leo Michael Toyad, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia
3. Y. B. Dr. Fong Chan Onn, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia
4. Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia
5. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan I, Kementerian Pendidikan Malaysia
6. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan II, Kementerian Pendidikan Malaysia
7. Timbalan Ketua Setiausaha I, Kementerian Pendidikan Malaysia
8. Timbalan Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan Malaysia
9. Pegawai Perhubungan Awam, Kementerian Pendidikan Malaysia

10 Februari 2010

Sebutan Kekal di Sekolah

Petikan Akhbar 15
Baku Kekal di Sekolah -- Hanya Bagi Tujuan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu
10 Februari 2001, Oleh Lawrence Quek

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Mesyuarat kabinet hari ini bersetuju supaya sebutan baku bahasa Melayu terus dilaksanakan di sekolah-sekolah, kata Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohammad.

Bagaimanapun, jelasnya, sebutan itu hanya bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sahaja.

''Bagi urusan-urusan lain di sekolah termasuk pengajaran mata pelajaran selain Bahasa Melayu dan urusan pentadbiran, sebutan biasa hendaklah digunakan,'' kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Menurut Musa, calon-calon yang menduduki ujian lisan Bahasa Melayu turut dibenarkan menggunakan bahasa Melayu biasa dan tidak terikat kepada sebutan berkenaan.

''Pelajar tidak didenda jika tidak menggunakan sebutan baku dalam lisan,'' jelas beliau.

Dalam kenyataan ringkas yang dibacakan itu, beliau berkata, keputusan itu diambil selepas Kementerian Pendidikan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, laporan kajian kes dan surat-surat kepada kementerian serta pandangan akhbar-akhbar perdana.

Pada 19 Januari lalu jemaah menteri memutuskan sebutan baku dimansuhkan di semua stesen penyiaran milik kerajaan dan swasta bagi menyelaraskannya.

Seiring dengan keputusan itu, Musa turut menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan akan memansuhkan sebutan baku bahasa Melayu di sekolah-sekolah setelah diperkenalkan sejak 1988.

Bagaimanapun, ekoran desakan beberapa pihak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bulan lepas telah berkata Kabinet bersetuju sebutan baku bagi sekolah ditangguhkan sementara kerana Kementerian Pendidikan sedang membuat kajian lanjut mengenainya.

Musa berkata, mesyuarat jemaah menteri pada hari ini juga bersetuju agar sebutan bahasa baku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus dilaksanakan di sekolah-sekolah hanya bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

Sehubungan itu, katanya surat pekeliling mengenai penerusan sebutan baku bahasa Melayu di sekolah-sekolah akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Menurut Musa, keputusan meneruskan sebutan baku di sekolah-sekolah dibuat memandangkan ia sudah dilaksanakan sejak 1988 dan dianggap sudah mantap.

Katanya, keputusan untuk tidak mengamalkan sebutan baku dalam mata pelajaran lain dan urusan harian sekolah dibuat selaras dengan keputusan jemaah menteri pada 19 Januari lalu.

Pemansuhan sebutan baku bagi stesen penyiaran tempatan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim bulan lepas dan telah mendapat pelbagai reaksi daripada pencinta bahasa, guru dan ibu bapa.

Beberapa tokoh bahasa dan DBP, umpamanya menyifatnya pemansuhan itu sebagai langkah ke belakang dan mengecewakan.

Di sebalik kekecewaan tersebut terdapat tokoh bahasa lain dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) mengalu-alukan keputusan kerajaan tersebut.

Pemansuhan sebutan baku di media elektronik, bagaimanapun tidak berubah.

02 Februari 2010

Sebutan Baku: Nota Editor Majalah Dewan Bahasa

YANG TERSIRNA
Zubaidi Abas (Editor Dewan Bahasa)
Dewan Bahasa, Jilid 44 Bil. 2, Februari 2000

TAMPAKNYA, sebutan baku belum lagi dimengerti dalam konteks pelaksanaannya sebagai ragam khas yang hanya digunakan dalam situasi tertentu. Oleh sebab itu, sebutan baku ini lantas dilihat sebagai “sesuatu” yang perlu dimusnahkan kerana dianggap dapat mengancam kewujudan ragam sebutan yang lain. Polemik yang begitu hangat tentang sebutan baku di akhbar-akhbar kebelakangan ini telah menelanjangi kekeliruan sebilangan besar anggota masyarakat tentang konsep dan fungsi sebutan baku itu.

Mereka berpendapat bahawa pelaksanaan sebutan baku ini perlu dihentikan kerana sebutan ini berbeza daripada sebutan yang sering digunakan oleh rakyat di negara ini. Menurut mereka lagi, sebutan baku tidak mencerminkan jati diri bangsa Melayu dan pelaksanaannya pula tidak berasaskan realiti, malah dapat melenyapkan identiti Melayu. Masyarakat dikatakan tidak akan menuturkan “Ahmad pergi ke bank lalu dilanggar van”, sebaliknya “Ahmad pergi ke benk lalu dilanggar ven”. Masyarakat yang bercakap dalam bahasa baku dikatakan hilang jati diri kerana dianggap bercakap seperti orang Indonesia!

Malang sekali, kekeliruan tentang bahasa Melayu ini telah membawa kepada suatu keputusan yang tidak sedikit kepada politik bahasa Melayu. Pemansuhan penggunaan sebutan ini bukan sahaja telah menafikan hakikat bahawa terdapat jutaan orang lagi yang menuturkannya, tetapi juga telah mengerdilkan wilayah penutur bahasa Melayu itu sendiri, faktor yang dianggap penting untuk menyerlahkan kekuatan dan kedudukan bahasa Melayu di pentas dunia. Bahasa Melayu yang sering dibangga-banggakan sebagai salah sebuah bahasa terbesar dunia berdasarkan jumlah penuturnya kini semakin mengecil dengan perbezaan yang kian terbabang. (ternganga atau luas)

Oleh sebab itu, kekeliruan tentang sebutan baku ini tidak harus dilihat sebagai suatu kekeliruan semata-mata, sebaliknya sebagai satu kesilapan yang perlu dibetulkan dengan segera. Hal ini demikian kerana tidak ada yang lebih menyesatkan daripada memandang sebutan bahasa baku ini sebagai bahasa yang dapat melenyapkan identiti Melayu.

Sebenarnya, pelaksanaan sebutan baku ini tidak bermaksud penyeragaman sebutan seratus peratus untuk semua golongan dan dalam semua situasi. Sebaliknya, sebutan baku hanya digunakan dalam acara atau situasi tertentu, seperti dalam ucapan, ceramah, penyampaian maklumat (berita) melalui media elektronik, dan pengajaran di bilik darjah. Lepas daripada situasi yang bersifat rasmi itu, masyarakat tidak lagi terikat dengan bahasa Melayu. Kita tentu sahaja tidak akan bercakap dalam sebutan baku semasa bergurau senda dengan anak-anak, apatah lagi ketika bersama isteri di dalam kelambu. Mereka yang sedang asyik mahsyuk tentu sahaja tidak akan memadu janji dalam sebutan baku seperti yang dipaparkan dalam filem-filem Melayu keluaran Jalan Ampas. Dengan hal yang demikian, pelaksanaan sebutan baku pastilah tidak akan mematikan atau menafikan kewujudan ragam-ragam sebutan yang lain.

Memang diakui, dalam hal sebutan baku ini, masih ada ruang yang dapat diperbaik, dan kita masih memerlukan masa untuk mengecap hasilnya. Kerana itu, barangkali, masih banyak siang yang diperlukan untuk melunakkan lidah dan masih banyak malam yang harus dilalui untuk membolehkan kita bermimpi atau mengigau dalam bahasa baku!

30 Januari 2010

FOMCA Harap Rais Martabatkan Bahasa Melayu

Petikan Akhbar 14
FOMCA Harap Rais Martabatkan Bahasa Melayu
30 Januari 2000

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rais Yatim diharap dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di pelbagai bidang, khususnya perundangan, daripada terlalu komited menangani isu sebutan baku bahasa itu.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Profesor Hamdan Adnan berkata, penggunaan bahasa kebangsaan masih jauh terpinggir dalam banyak bidang terutama perundangan yang tidak diletakkan di tempat sewajarnya.

Menurut Hamdan, ramai rakyat negara ini melahirkan rasa tidak puas hati terhadap penggunaan bahasa Inggeris secara meluas dalam bidang berkenaan terutama aspek perjanjian jual beli perumahan yang sukar difahami kandungannya.

''Penggunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat masih lagi lemah termasuk mereka yang lulus daripada universiti.

''Tetapi bahasa asing itu terus digunakan misalnya oleh pemaju, syarikat guaman dan pihak bank dalam urusan perjanjian jual-beli rumah dan ini menunjukkan bahasa Melayu adalah bahasa pinggiran semata-mata,'' katanya kepada Mingguan ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Rais mengenai keputusan kabinet mahu menghentikan penggunaan sebutan baku bahasa Melayu di bidang penyiaran yang bertujuan menyeragamkan penggunaan bahasa itu di negara ini.

Mengulas lanjut, Hamdan berkata, FOMCA telah lama mendesak agar bahasa Melayu dijadikan bahasa wajib dalam perjanjian jual beli demi kemudahan rakyat.

Katanya, kerana kelemahan yang masih belum dapat diatasi itu banyak pihak melihat kerajaan sebagai tidak bersungguh-sungguh untuk meletakkan bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi.

Lebih memburukkan keadaan, jelas beliau, ramai pengamal undang-undang sendiri lebih gemar penggunaan bahasa Inggeris dikekalkan setelah mengetahui kerajaan tidak akan menentang hasrat mereka itu.

''Padahal istilah undang-undang dalam bahasa itu sudah ada manakala perkataan yang sukar diterjemahkan boleh dikekalkan,'' katanya.

Hamdan yang juga Presiden Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM), berkata negara ini mempunyai pakar penterjemah yang boleh dirujuk termasuk di Dewan Bahasa dan Pustaka bagi menterjemahkan istilah tertentu supaya ia selari dengan maksud asalnya.

Katanya, sudah sampai masanya kerajaan melaksanakan langkah menggalakkan penggunaan serta penghayatan bahasa Melayu secara menyeluruh dalam semua bidang supaya ia tidak terus dipandang hina oleh rakyatnya sendiri

29 Januari 2010

Bahasa Baku Perlu Diteruskan di Sekolah

Petikan Akhbar 13
Bahasa Baku Perlu Diteruskan di Sekolah
Utusan Online 29 Januari 2000, leh Noor Azmah Ibrahim

PENGGUNAAN bahasa baku di sekolah-sekolah perlu dikekalkan kerana ia sangat sesuai dilaksanakan di peringkat pendidikan bagi meluaskannya dalam percakapan seharian mahupun urusan rasmi.

Tanpa bahasa yang seragam, guru-guru serta para pelajar akan kehilangan satu garis panduan, terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

Pengerusi Teras Keupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid berpendapat, penggunaan bahasa baku di sekolah-sekolah tidak perlu dipertikaikan kerana ia merupakan sebutan dan pertuturan yang bertepatan dengan ejaan.

"Kementerian Pendidikan perlu benar-benar mempertimbangkan semula keputusan memansuhkan penggunaan bahasa baku di sekolah-sekolah kerana ia sangat sesuai di peringkat pendidikan.

''Jika ia tidak bermula dari sekolah, bagaimana kita mahu mewujudkan generasi yang bukan sahaja tahu bahawa bahasa Melayu mempunyai bahasa seragam tetapi juga dapat menggunakannya?'' ujarnya.

Kabinet kelmarin menangguhkan pemansuhan bahasa baku di sekolah sehingga Rabu depan sementara menunggu laporan menyeluruh daripada Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, kabinet telah bersetuju mengekalkan keputusan memansuhkan penggunaan sebutan baku bahasa Melayu di semua stesen televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta yang diperkenalkan pada 1988.

Mohd. Azmi menambah, di samping menunjukkan bahawa bahasa Melayu mempunyai satu sistem yang konsisten, penggunaan bahasa Melayu baku juga akan memudahkan bangsa-bangsa lain mempelajarinya.

''Penghapusan bahasa Melayu baku di peringkat pendidikan mahupun di bidang penyiaran akan menghalang pengembangan bahasa Melayu di kalangan kaum lain.

''Ini kerana kekeliruan akan timbul apabila tiada satu bahasa yang seragam selain daripada bahasa pertuturan harian mengikut loghat negeri dan daerah untuk dipelajari,'' katanya.

Di samping itu, beliau juga menegaskan bahawa penggunaan bahasa baku yang tidak meluas walaupun telah dilaksana selama 11 tahun tidak boleh dijadikan alasan untuk memansuhkannya begitu sahaja.

''Penggunaan bahasa Melayu mengikut loghat yang digunakan secara meluas di kalangan orang Melayu bukan bererti kita tidak perlu mempunyai satu bahasa yang seragam.

''Pengiktirafan terhadap bahasa baku dibuat oleh pakar-pakar dari seluruh rantau Asia yang menggunakan bahasa Melayu, bukannya ia diambil daripada bahasa Indonesia,'' katanya lagi.

Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Asas Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin Nordin berkata, pemansuhan bahasa baku di institusi pendidikan akan menghilangkan satu sistem berbahasa yang standard.

''Jika selama ini guru-guru dilatih menggunakan bahasa baku untuk pertuturan semasa menjalani latihan mahupun semasa mengajar, pemansuhannya akan menyebabkan mereka kehilangan garis panduan.



''Tidak mustahil, guru berasal dari Perak akan terikut-ikut dengan loghat Perak semasa mengajar, manakala guru dari negeri lain pula akan menggunakan loghat yang lain,'' katanya.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Pengajian Jarak Jauh berpendapat, bahasa Melayu baku tidak perlu dimansuhkan kerana penggunaannya tidak menimbulkan sebarang masalah.

''Kita sudah lama menggunakan bahasa baku dalam kaedah mengajar serta di dalam kelas. Jadi kita tidak nampak kenapa ia perlu dimansuhkan secara tergesa-gesa seperti ini.

''Malah, alasan yang digunakan untuk memansuhkan bahasa baku juga tidak boleh diterima kerana tiada bukti jelas berdasarkan statistik atau sebagainya yang dikemukakan,'' ujarnya.

Di samping itu, Dr. Tajul menambah, kekeliruan juga timbul kerana keputusan memansuhkan penggunaan bahasa baku juga dibuat secara tergesa-gesa tanpa merujuk pakar-pakar bahasa.

''Sepatutnya, sebelum memansuhkan bahasa baku, kabinet perlu berunding dengan pakar-pakar bahasa terlebih dahulu kerana mereka lebih arif dalam bidang ini.

''Malangnya, semacam tiada komunikasi antara kerajaan dengan pakar-pakar serta badan yang bertanggungjawab di bidang bahasa kerana mereka sendiri tidak tahu-menahu tentang pemansuhan ini,'' ujarnya.


28 Januari 2010

Sebutan Baku: Hasil Kajian kepada Kabinet

Petikan Akhbar 12
Bahasa Baku: Hasil Kajian ke Kabinet Secepatnya
28 Januari 2000, Oleh Abdul Hamid Mohamad
KUCHING 27 Jan. - Keputusan kajian sama ada sebutan baku bahasa Melayu wajar diteruskan di dalam sistem pendidikan negara akan dikemukakan kepada kabinet secepat mungkin selepas kata putus mengenainya dicapai antara pihak-pihak yang terbabit dengan Kementerian Pendidikan.

Menterinya, Tan Sri Musa Mohammad berkata, pada masa ini perkara itu masih di peringkat perbincangan dan hasilnya akan dikemukakan kepada kabinet.

''Saya masih berbincang dengan rakan-rakan, ada yang sokong dan ada yang tidak sokong. Kita akan menimbangkan perkara ini, mungkin memerlukan masa.

''Jika semuanya berjalan lancar, kemungkinan ia dapat dikemukakan pada mesyuarat kabinet akan datang,'' katanya.

Musa ditanya mengenai tempoh masa yang diperlukan oleh kementerian untuk mengemukakan keputusan kajian itu setelah kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara keputusan bagi memansuhkan sebutan baku di sekolah-sekolah.




27 Januari 2010

Mansuh Sebutan Baku di TV, Radio Kekal

Petikan Akhbar 11
Mansuh Sebutan Baku di TV, Radio Kekal
UM 27/1/2000, Oleh Zulkifli Jalil
KUALA LUMPUR 26 Jan. - Kabinet hari ini bersetuju mengekalkan keputusan memansuhkan penggunaan sebutan baku bahasa Melayu di semua stesen televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta yang diperkenalkan pada 1988.

Bagaimanapun arahan memansuhkannya dalam pengajaran di sekolah ditangguhkan dan akan diputuskan Rabu depan sementara menunggu laporan menyeluruh daripada Kementerian Pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan memahami pada waktu ini rakyat Malaysia tidak menerima secara menyeluruh penggunaan sebutan baku berkenaan.

Kata beliau, kajian semula penggunaan sebutan baku dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet minggu lalu setelah kerajaan mendapati sebutan itu masih tidak diterima tetapi yang popular dan disenangi ialah sebutan biasa, mirip sebutan Johor-Riau.

''Rakyat masih lagi tidak menerima sebutan secara baku. Di RTM, perkara ini tidak pernah menjadi isu. Mereka gunakan bahasa Melayu standard walaupun TV3 menggunakan sebutan baku,'' katanya. (Pandainya Pak Lah!)

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pula khuatir ia akan menimbulkan percanggahan dengan institusi pendidikan pelajar yang selama ini diarah menggunakan bahasa baku sejak 1998.

Keputusan kabinet itu bagaimanapun dialu-alukan oleh tokoh budayawan dan bahasa tempatan.

Dekan Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM), Prof. Asmah Omar, yang menyokong langkah itu membangkitkan kekhuatiran bahawa sistem sebutan baku yang diamalkan sejak 1988 itu boleh melenyapkan identiti bahasa Melayu asal yang digunakan sejak zaman berzaman.

Menurut Abdullah, kabinet diberitahu stesen penyiaran ntv7 telah bersetuju mengikut langkah gaya sebutan bahasa Melayu di RTM.

Bagaimanapun pendirian TV3 yang mempelopori penggunaan sebutan baku dalam bidang penyiaran tidak diketahui.

Mengulas lanjut Abdullah berkata, Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, telah memaklumkan kepada kabinet hari ini mengenai kajian yang sedang dijalankan oleh pihaknya sama ada mahu mengekalkan penggunaan sebutan bahasa Melayu di sekolah atau sebaliknya.

''Kabinet setuju untuk mendengar laporan daripada beliau dalam mesyuarat akan datang dan akan membuat keputusan menyeluruh,'' katanya.

Sementara itu, Khalil ketika ditemui mengesahkan ntv7 telah menyatakan persetujuan menuruti jejak RTM manakala TV3 sedang menunggu garis panduan daripada Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia.

26 Januari 2010

Sebutan Baku Lenyapkan Identiti Bahasa Melayu - Prof. Asmah (?)

Petikan Akhbar 10
Sebutan Baku Lenyapkan Identiti Bahasa Melayu
UM 26/1/2000, Oleh Amran Mulup

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Dekan Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Asmah Omar berkata, sistem sebutan baku bahasa Melayu yang diamalkan sejak tahun 1988 boleh melenyapkan identiti bahasa Melayu asal yang telah digunakan sejak zaman-berzaman.

Beliau yang menyokong penuh keputusan kerajaan memansuhkan sebutan baku daripada digunakan oleh stesen-stesen penyiaran dan di sekolah-sekolah berkata, langkah itu sepatutnya telah lama dibuat.

''Tanpa sebutan baku, kedaulatan bahasa Melayu masih kekal, lagipun bahasa baku tidak melambangkan identiti kemelayuan apabila dituturkan'' ujarnya kepada Utusan hari ini.

Beliau menyifatkan penghapusan sebutan baku tidak akan melemahkan kedudukan bahasa Melayu.

Mengulas lanjut mengenai sebutan baku itu, Asmah berkata, ia tidak langsung mencerminkan bahasa Melayu yang dikenali mempunyai alunan lagu dan irama yang indah.

''Bahasa baku bila digunakan tidak kedengaran macam bahasa Melayu selain ia juga merupakan bahasa yang dibuat-buat dan intonasinya bila dituturkan agak kasar,'' ujarnya.

Jelasnya, bahasa baku tidak langsung melambangkan ketulenan bahasa Melayu Johor-Riau yang modulnya telah digunakan sejak dahulu lagi.

Tambah beliau, Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) juga tidak pernah menyatakan bahawa bahasa baku adalah bahasa Melayu yang harus dituturkan di negara ini.

Katanya, MABBIM hanya bersetuju penggunaan sebutan baku digunakan bagi menentukan istilah kata pinjaman - istilah yang diambil daripada bahasa Inggeris.

Sehubungan itu beliau menyeru semua pihak tidak lagi perlu mempertikaikan keputusan kerajaan menghapuskan penggunaan bahasa baku walaupun telah digunakan selama 12 tahun.  (Suara Prof. atau suara Utusan?)

''Saya rasa tidak usah buang masa, buang tenaga untuk mempertikaikan perkara itu sebaliknya kita harus beri perhatian bagi membangunkan dan memartabatkan kembali bahasa Melayu,'' ujarnya.

Beliau menyifatkan isu sebutan baku itu sebagai perkara kecil yang tidak perlu dibesar-besarkan.

Jelasnya, adalah lebih baik semua pihak memberikan tumpuan untuk memartabatkan kembali bahasa Melayu.

Bahasa: Sebutan atau Keberkesanan?

Petikan Akhbar 9
Bahasa: Sebutan atau Keberkesanan?
26/1/2000, Oleh Wahid Hashim

Berita yang dibacakan dalam bahasa Melayu baku oleh penyampai berita di sebuah stesen televisyen swasta yang cantik, dengan senyuman yang menawan pula, dikatakan menjadi sumber kekuatan dan diminati.

Bahasa baku secara tiba-tiba bersinonim dengan wanita cantik.

Sedikit demi sedikit, maka wujudlah satu kelompok pengguna bahasa Melayu baku dan satu kelompok lagi menggunakan bahasa Melayu tidak baku.

Kalau kita menonton filem lama hitam putih pada era 50-an, ketika itu ramai pelakon Indonesia seperti Junaidah dan Daeng Haris berlakon, maka sebutan yang sekarang diistilahkan 'baku' adalah perkara biasa ketika itu.

Kemudian, kemajuan yang melanda negara, perubahan-perubahan dalam faktor sosiobudaya dan sebagainya mengubah banyak perkara, termasuk budaya berbahasa masyarakat kita. Kita ada identiti sendiri, sedikit demi sedikit kita tidak lagi menggunakan bahasa Daeng Haris atau Junaidah.

Cuma kita merasai ada dua kelompok yang berbeza apabila penggunaan bahasa Melayu mula digembar-gemburkan. Menurut satu pendapat, perkembangan sebutan itu berubah sedikit demi sedikit dengan proses perbandaran dan kemodenan. Bahasa yang kita gunakan sehari-hari sekarang (bukan baku) dikatakan bermula di Kuala Lumpur.

Oleh kerana pusat pentadbiran negara bermula di Kuala Lumpur, maka menteri-menteri dan orang-orang kenamaan juga menggunakan bahasa ini. Jadi dengan mudahnya bahasa itu tersebar luas.

Bahasa Melayu, terus hidup subur dengan pelaksanaan seharian, dan tidaklah bergantung sangat dengan stail sebutan yang tertentu.

Ia bukan untuk kelompok tertentu, tetapi untuk semua orang digunakan dengan selesa.

Namun, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pun ada peranannya yang tersendiri, dan menonjol pada satu ketika dulu. DBP semakin menjadi rujukan bila perkataan baku ditambah pada hujung bahasa Melayu.

DBP memikul peranan dan tanggungjawab yang penting selaras dengan matlamatnya ditubuhkan untuk memartabatkan dan menobatkan keagungan bahasa Melayu.

Matlamat ini jelas seperti yang termaktub dalam Akta DBP 1959 (semakan tahun 1978), pindaan dan perluasan 1995).

Antara matlamat tersebut ialah: Membakukan ejaan dan sebutan dan, membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan. Tanpa menyedari sangat implikasi sampingannya, DBP memperkenalkan baku, dan digunakan di sekolah-sekolah.

Membakukan ejaan adalah perkara yang masih samar-samar kerana di kalangan guru-guru sendiri, mereka terkeliru di antara sekian banyak mazhab dalam ejaan yang betul dan salah.

Kemudian, lahirlah guru-guru generasi baku.

Jadi, guru-guru ini menjadikan sebutan baku sebagai satu budayanya, maka dia telah melabelkan perkataan standard dan tidak standard terhadap sesuatu ejaan dan sebutan.

Jadi, apabila ada tokoh yang tidak menyampaikan ucapannya dalam sebutan baku, maka tertanam di dalam pemikirannya, ''orang ini tidak standard kerana tidak menggunakan sebutan baku.''

Sebaliknya apabila seorang pemimpin yang lain berhujah dalam bahasa baku, dia akan berkata, ''orang ini bagus kerana sebutannya baku.''

Namun kita mempunyai cukup pengalaman untuk mempertikaikan pandangan seperti ini.

Kalau kita perhatikan pun, penyebut baku biasanya akan cuba menyampaikan satu ucapan dengan cara yang berbelit-belit dan berbunga-bunga.

Bahasanya indah, sebutannya baku, tetapi kadangkala mesej yang cuba hendak disampaikan tidak kesampaian. Akhirnya bahasa mengatasi maksud.

Cubalah kita mendengar perdebatan di universiti-universiti atau di sekolah-sekolah sekalipun, bahasa baku yang disampaikan cukup berbelit-belit dan berbunga-bunga, sedangkan isinya tidak ada, atau kalau ada pun cuma sedikit.

Yang sebenarnya perlu ditekankan dalam bahasa Melayu bukanlah sebutannya, tapi setakat mana penyampaiannya berkesan. (Permainan bukan pakaian tetapi …?

Jadi, untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa moden dan antarabangsa, apakah yang perlu kita tekankan. Adakah sebutannya atau setakat mana mesej sampai kepada khalayak?

Jadi, isu pembatalan bahasa baku di sekolah-sekolah sebenarnya bukanlah satu isu yang terlalu besar sehingga dikaitkan pula dengan kepentingan bangsa, kesannya kepada bangsa dan sebagainya.

Kita perlu melihat isu ini dari sudut yang lebih ilmiah, bukan emosi.

25 Januari 2010

Sebutan Baku: DBP Minta Timbang Semula

Petikan Ahbar 8
DBP Minta Timbang Semula
UM 25/1/2000,  Oleh Lawrence Quek

KUALA LUMPUR 24 Jan. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meminta kerajaan menimbangkan secara mendalam keputusan untuk menghapuskan sebutan baku di stesen-stesen penyiaran dan di sekolah-sekolah.

Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Datuk Ab. Rahim Abu Bakar berkata, pertimbangan semula wajar memandangkan sistem sebutan baku yang diamalkan sejak 1988 sudah diterima oleh masyarakat negara ini terutamanya di kalangan generasi muda.

Sehubungan itu ujarnya, DBP akan menghantar satu memorandum kepada Menteri Pendidikan mengenainya dengan segera.

Ab. Rahim menambah, sebutan baku diamalkan bukan untuk menimbulkan kesukaran, sebaliknya sebagai usaha membina tamadun dan bangsa Malaysia.

''Hari ini Lembaga Pengelola DBP semasa mesyuarat telah membincangkan keputusan jemaah menteri mengenai sebutan baku bahasa Melayu selama hampir tiga jam. 'Kami turut membincangkan tentang erti pembakuan bahasa itu sendiri,'' katanya ketika ditemui Utusan di pejabatnya petang ini.

Menurut Ab. Rahim, DBP menghantar memorandum kepada Menteri Pendidikan kerana menganggap keputusan jemaah menteri akan memberi implikasi ke atas usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Katanya, badan itu tidak mahu bercanggah pendapat dengan kerajaan berhubung keputusan tersebut dan berharap perbincangan dapat diadakan.

Beliau memberitahu, DBP berharap mendapat penjelasan lanjut berhubung keputusan tersebut memandangkan pihaknya belum mendapat kertas kabinet mengenai cadangan pemansuhan itu.

Ab. Rahim menambah, sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap bahasa dan sastera, DBP sedia mengadakan rundingan.

''Kami mahu melaksanakan peranan sesuai dengan akta dan pada masa yang sama tidak mahu lari dari aspirasi kerajaan berhubung bahasa Melayu. 'Lagipun kami tidak tahu lagi apa rasional keputusan jemaah menteri dan berharap rundingan dapat dijalankan,'' jelasnya.

Sistem Baku Tidak Berkesan - Utusan

Petikan Akhbar 7
SISTEM BAKU TIDAK BERKESAN
UM 25/1/2000

SEJAK 11 tahun lalu apabila sistem sebutan baku bahasa Melayu diperkenalkan kepada rakyat Malaysia, stesen televisyen TV3 menjadi pelopor kepada kaedah sebutan baru itu.

Sehingga kini TV3 masih menggunakan sebutan tersebut di semua programnya - berita, majalah, sukan dan sebagainya. Apakah pengacara di stesen TV3 itu sendiri seorang penutur bahasa Melayu baku? Sebutan tersebut pada hakikatnya hanyalah gaya bahasa penyiaran stesen (house style) semata-mata.

Sebaik sahaja pengacara itu beralih muka dari kamera, sebutannya akan berubah. Tiada lagi sebutan baku dan beliau akan bertutur seperti yang biasa kita ucapkan saban hari. Umumnya di Malaysia, kita lebih selesa bertutur menggunakan sebutan Melayu Johor-Riau ataupun dialek daerah masing-masing. Begitu juga di bidang pendidikan, pelajar hanya menggunakan sebutan baku di bilik darjah (untuk mata pelajaran Bahasa Malaysia sahaja), tetapi di luar mereka dengan gaya bahasa tersendiri. Generasi 11 tahun yang melalui sistem sebutan baku itu gagal mengamalkan kaedah ini.

Mereka tidak langsung menggunakan sebutan yang dianggap janggal dengan lidah rakyat negara ini.

Contoh-contoh itu memberi gambaran kepada kita bahawa selama ini sistem itu tidak berjaya mengubah bahasa pertuturan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Justeru, langkah kabinet mengarahkan semua stesen radio dan televisyen milik kerajaan dan swasta tidak menggunakan sebutan itu lebih bertujuan untuk menyelaraskan kepada satu sistem sebutan yang lebih praktikal dan pragmatis dengan budaya dan cara hidup masyarakat negara ini.

Kita jangan menipu diri sendiri mengatakan bahasa Melayu baku itulah sebutan bahasa Melayu standard untuk negara ini sedangkan hakikatnya tidak begitu.

Sebelas tahun, sejak pelaksanaannya, jika dikira dari segi usia bukanlah satu tempoh yang pendek. Jika Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempersoalkan tindakan kerajaan itu, ia adalah satu langkah yang kurang bijak. Kitalah yang sepatutnya bertanya kepada badan bahasa itu mengapa tanggungjawab yang diberikan kepadanya untuk menasionalkan sebutan baku itu gagal dilaksanakan? (Penulis gagal mengemukakan bukti. Penulis menyarankan, yang gagal perlu dibunuh.)

Kita tidak pasti apa yang dilakukan oleh DBP selama ini untuk memartabatkan sebutan baku itu, tetapi yang pasti tiada siapa pun yang menggunakan sebutan berkenaan pada percakapan hariannya. (Penulis tidak melakukan penyelidikan.)

Kita masih menggunakan sebutan Melayu Johor-Riau yang sepatutnya menjadi identiti bahasa Melayu Malaysia. Rakyat Indonesia yang berada di negara ini sendiri terikut-ikut dengan identiti sebutan Melayu Johor-Riau itu. Bagi rakyat kebanyakan, itulah sebenarnya identiti bahasa Melayu kita.

Ramai yang beranggapan isu bahasa Melayu di negara ini menjadi kompleks kerana ia "dipersukarkan" (?)oleh sarjana-sarjana bahasa yang mahu menerapkan sistem itu dan ini mengikut kehendak dan cita rasa sendiri. Sepatutnya soal bahasa dipermudahkan dan hanya diperkembangkan berdasarkan identitinya yang asal, bukan mengubah.

Jika ada pihak bertanyakan mengapa baru sekarang langkah kabinet itu mahu diambil, jawapannya ialah sistem sebutan itu tidak berkesan. (Jawapan Pak Pandir.)

Menteri Penerangan, Tan Sri Khalil Yaacob ketika menjawab rasionalnya tindakan itu diambil berkata, ''rakyat negara ini memerlukan gaya ungkapan dan gaya bahasa yang mudah difahami oleh rakyat khususnya para penonton siaran televisyen.'' (Rakyat atau Kabinet yang membenci akan seseorang?)

Apa sekalipun, isu bahasa ini tidak perlu diperpanjangkan kerana ia bukan melibatkan satu perubahan kepada struktur bahasa itu keseluruhannya. Ia hanya melibatkan soal sebutan.

Sebutan Baku "Mengada-ada" - Azah Aziz

Petikan Akhbar 6
Sebutan Baku "Mengada-ada"
UM 25/1/2000, Oleh Azah Aziz

TAHNIAH kepada jemaah menteri kerajaan Malaysia yang pada persidangan Rabu lalu memutus untuk "memansuhkan penggunaan sebutan baku oleh semua stesen TV dan radio milik kerajaan dan swasta kerana ia tidak menggambarkan realiti berbahasa penduduk di negara ini".

Sebutan baku diperkenalkan secara rasmi di Malaysia pada tahun 1988 dengan penggunaannya dalam bidang penyiaran dipelopori oleh TV3 dan pada tahun yang sama Kementerian Pendidikan turut memperkenalkan sebutan baku di sekolah rendah dan menengah. Sesungguhnya dirasakan ganjil stesen swasta TV3 mempelopori penggunaan sebutan baku sedangkan RTM kepunyaan kerajaan sendiri tidak berbuat demikian. Siapalah TV3 maka ia merasa layak dan berhak berbuat demikian?

Penggunaan sebutan baku di TV3 tidak pula menyeluruh dan hanya ketara dalam penyampaian warta berita. Dalam kebanyakan rancangan lain juruacara atau pengulas saja yang menggunakan sebutan baku sedangkan orang yang diwawancara atau ditemu bual - sama ada orang korporat, petani atau nelayan di kampung - semuanya tetap terus bertutur menurut kebiasaan masing-masing.

Maka hasilnya begitu bercampur-aduk, bercelaru, kacau-bilau dan bunyinya pula begitu kaku, janggal dan sumbang dengan segala kepalsuannya kerana ia dipaksa-paksa, dibuat-buat dan diadakan-adakan. Inilah yang dimaksudkan dengan istilah 'mengada-ada'. Bagaimanapun, segala ini boleh disifatkan sebagai satu percubaan atau uji kaji atau eksperimen - yang ternyata telah pun gagal kerana dalam masa 12 tahun yang lalu, orang ramai tidak terpengaruh dan tidak tertarik hati untuk bercakap dengan sebutan baku, kecuali mungkin segelintir orang akademik dan sasterawan.

Sebenarnya dalam tahun 50-an telah ada percubaan untuk mengetengahkan sebutan baku yang dipelopori oleh sekumpulan kaum penulis yang menggelar diri mereka Angkatan Sasterawan 50, ringkasnya Asas 50. Tetapi usaha mereka telah gagal mendapat sokongan ramai.

Buat beberapa lama gaya bercakap dengan sebutan yang mirip kepada Bahasa Indonesia itu hanya menjadi ikutan penyokong dan ahli Asas 50 saja. Orang lain menganggapnya sebagai gaya bercakap segelintir golongan elit.

Satu peninggalan dari zaman itu ialah pendeklamasian sajak moden dengan gaya sebutan baku dan ini masih kekal hingga hari ini di sesetengah kalangan. Apakah kita orang Melayu merupakan satu-satunya bangsa di muka bumi ini yang mahu cuba mengubah cara kita bercakap?

Dan adakah kita didorong berbuat demikian kerana rasa rendah diri atau hina diri maka kita sentiasa merasakan bahawa budaya warisan kita itu tidak bermutu, tidak sempurna dan kerana itu kita harus sentiasa membuat perubahan ke atasnya? Ini telah dan sedang berlaku dalam pelbagai bidang. Seperti kita cuba mengubah gaya kita bercakap, begitulah kita cuba mengubah pakaian kita, tarian kita, nyanyian kita dan macam-macam lagi yang akhirnya akan melenyapkan jati diri kita. Kenapakah kita tidak upaya berbangga dengan segala warisan kita yang sebahagiannya telah pun bertahan sejak berkurun-kurun lamanya?

Berhentilah menganiayai budaya dan bahasa warisan bangsa! Akhir kata, izinkan saya mengemukakan serangkap pantun Melayu untuk renungan pembaca:

Dari mana hendak ke mana?
Tinggi rumput dari padi
Kalau kini kita merana
Ke pangkal jalan kita kembali!

Baris pertama pantun ini bertanya kepada orang Melayu: Tahukah kita tentang asal-usul dan akar umbi kita dan tahukah kita ke mana kita hendak menuju?

Baris kedua berupa kias ibarat yang biasa terdapat dalam pantun Melayu lama. Ia menyuarakan kebimbangan bahawa sesuatu yang 'tak kena' telah pun berlaku. Masakan rumput boleh tinggi dari padi? Baris ketiga mengandungi kehalusan orang-orang Melayu dalam mengemukakan cadangan. Dan merana pula memaksudkan suatu penyakit yang telah lama dideritai tetapi tak mahu sembuh. Baris keempat dan terakhir memberikan suatu nasihat dari budaya tua alam Melayu yang menyarankan agar orang yang sesat di hujung jalan hendaklah kembali ke pangkal jalan. Inilah nasihat terbaik buat orang Melayu pada hari ini. Apakah kita telah sesat selama ini? Ataupun disesatkan?

Bahasa Rojak Masalah Lebih Besar - Datuk Dr. Hassan Ahmad

Petikan Akhbar 5
Bahasa Rojak Masalah Lebih Besar
Oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad
(Utusan Malaysia 25 Januari 2000)

SAYA tidak faham mengapa sebutan baku bahasa Melayu yang sudah diperkenalkan sejak lebih 11 tahun dahulu di sekolah dan di media elektronik (TV3), sekarang tiba-tiba dihapuskan? Saya tidak nampak apakah masalahnya.

Malah, sebaliknya, penghapusan sebutan baku ini dalam jangka panjangnya akan menimbulkan pelbagai masalah, terutama dari segi pengajaran dan pemelajaran bahasa Melayu secara formal. Sebutan baku tidak lain tidak bukan ialah sebutan menurut ejaan bahasa Melayu, bukan menurut sebutan bahasa Inggeris, atau sebutan bahasa daerah, loghat dan dialek orang perseorangan.

Menurut sistem sebutan baku bahasa Melayu huruf vokal (huruf saksi) /a/, /i/ dan /u/ memang sejak zaman dahulu kala disebut atau dibunyikan 'a' 'i', dan 'u', baik di depan atau di tengah perkataan. Jadi, perkataan seperti radio, identiti, dan fungsi hendaklah disebut (ra-dio), (i-den-ti-ti) dan (fung-si), bukan (re-dio), (ai-den-ti-ti) dan (fang-si) menurut sebutan bahasa Inggeris. Jikalau kita tidak mahu menerima kebenaran ini kebenaran apakah yang patut kita terima? Mahukah kita mengubah ejaan bahasa Melayu untuk menurut sebutan bahasa Inggeris itu, misalnya 'radio' menjadi 'redio', 'bank' menjadi 'benk', 'identiti' menjadi 'aidentiti' dan 'fungsi' menjadi 'fangsi', ikan Yu tidak menjadi 'ikan u' dalam bahasa Melayu.

Memang, ada orang yang berasa kekok dan sukar untuk menyebut perkataan seperti 'unit' dan 'universiti' sebagai (u-nit) dan (u-ni-ver-si-ti). Mereka lebih selesa menyebutnya menurut sebutan bahasa Inggeris, iaitu (yu-nit) dan (yu-ni-ver-si-ti). Tetapi janganlah kerana masalah orang perseorangan seluruh sistem sebutan baku yang benar itu dimansuhkan. Bagi saya biarkanlah orang menyebut kata-kata tertentu seperti ini menurut sebutan bahasa Inggeris, asalkan kita tidak memusnahkan seluruh sistem itu kerana banyak orang yang sudah berasa selesa menyebut huruf /u/ di tengah-tengah perkataan sebagai (u), misalnya perkataan 'fungsi', 'institut' (tidak 'ins-ti-tiut), 'komputer' (tidak 'kom-piu-te'), dan sebagainya.

Hal yang hendak saya tegaskan ialah, pendirian atau dasar kita terhadap sebutan baku ini jangan dipengaruhi oleh perasaan. Eloklah kita mengambil sikap yang lebih rasional. Jikalau kita mahu membuat sedikit sebanyak 'pengecualian' dalam tempoh peralihan ini, buatlah, berundinglah dengan orang yang pakar atau yang mengetahui tentang selok belok soal ini, tetapi janganlah secara mutlak membuat keputusan sewenangnya untuk menghapuskan sistem yang baik itu. Jikalau kita menghapuskan sistem sebutan baku ini, orang akan bertanya, sistem sebutan apakah yang akan kita gunakan?

Mengatakan bahawa sebutan baku ini tidak menggambarkan keadaan sebenar amalan bahasa percakapan penduduk Malaysia, tidak menyelesaikan masalah.

Di mana-mana negara pun terdapat keadaan sosiologi bahasa atau kelainan ragam bahasa yang memang sukar dirancangkan menurut acuan yang rasmi, yang formal, yang baku. Namun, di tiap-tiap negara ada bahasa rasmi atau bahasa baku yang perlu digunakan sebagai bahasa ilmu, bahasa pentadbiran negara, bahasa sains, bahasa kesusasteraan dan sebagainya. Tentu sahaja ragam-ragam bahasa yang tidak baku misalnya loghat atau dialek daerah, tidak dapat digunakan untuk mengungkapkan fikiran tertinggi.

Sistem pendidikan negara kita perlulah membentuk warga yang dapat menggunakan bahasa rasmi atau bahasa kebangsaannya dengan cekap bagi melahirkan kecemerlangan dalam wacana ilmu.

Di Britain, misalnya, bahasa yang digunakan dalam pentadbiran negara, dalam penulisan ilmu, dalam Parlimen, di mahkamah dan sebagainya, bukan bermacam-macam jenis atau ragam bahasa Inggeris, misalnya ragam Cockney, tetapi ialah bahasa Inggeris baku dan sebutan baku, misalnya sebutan BBC, bukan sebutan punk.

Daniel Jones ialah pakar fonetik. Dia tidak menganjurkan supaya orang menggunakan apa sahaja jenis sebutan untuk tujuan komunikasi rasmi atau formal. Masalah yang lebih besar dan nampaknya semakin gawat ialah masalah penggunaan bahasa rojak, bahasa 'tidak baku' di media elektronik. Masalah inilah yang perlu mendapat perhatian kabinet. Saya khuatir jika masalah ini tidak diselesaikan, suatu hari nanti bangsa Melayu tidak dapat menggunakan bahasa Melayu dengan cekap sebagai alat pemikiran dan tamadun bangsa.

Datuk Dr. Hassan Ahmad, Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

24 Januari 2010

Sebutan Baku: Rais Tegur Dewan Bahasa

Petikan Akhbar 4
Sebutan Baku: Rais Tegur Dewan Bahasa
(Utusan Malaysia 24 Januari 2000)

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini ditegur kerana meluahkan secara terbuka kekecewaan agensi itu atas keputusan kerajaan memansuhkan pelaksanaan sebutan bahasa Melayu baku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr. Rais Yatim berkata, DBP sepatutnya berbincang dengan Kementerian Pendidikan terlebih dahulu sebelum berbuat demikian kerana ini melibatkan pandangan kerajaan.

''Kalau DBP tidak boleh menerima (keputusan itu) pada peringkat ini, saluran yang paling baik baginya ialah berunding dengan Menteri Pendidikan. 'Memandangkan DBP di bawah kementerian itu, tidak bolehlah ia meluahkan begitu sahaja pandangan sebuah jabatan,'' katanya..

Selaras dengan itu, Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohammad pula semalam, mengumumkan yang kementeriannya akan memansuhkan penggunaan sebutan bahasa Melayu baku di sekolah-sekolah.

Rais berkata, kerajaan memahami kedudukan agensi berkenaan dan beberapa pihak yang kecewa dengan keputusan itu.

''Saluran yang paling baik baginya ialah berunding dengan Menteri Pendidikan. Saya percaya perkara itu akan dapat disusul dan disusun semula,'' katanya.

Menurut Rais, pemansuhan sebutan bahasa Melayu baku adalah wajar dan tidak sepatutnya menimbulkan prasangka dan tentangan melulu kerana penggunaannya masih tidak menyeluruh biarpun telah 11 tahun dilaksanakan.

Beliau berkata, oleh yang demikian kerajaan berpendapat lebih baik sebutan asal bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan diteruskan. Tambahan pula, pelaksanaan sebutan baku tidak tertakluk dalam Undang-undang Bahasa Kebangsaan yang hanya menyediakan peruntukan untuk bahasa, katanya.

''Pewujudan sebutan bahasa Melayu baku hanya melibatkan susunan pentadbiran yang dibuat oleh beberapa agensi kerajaan yang berkaitan dengan Kementerian Pendidikan kira-kira 11 tahun lalu,'' kata Rais.

Beliau yang menegaskan bahawa kerajaan hanya mengikut dasar dan falsafah bahasa telah memetik hujah pakar fonetik, Daniel Jones, bahawa bahasa mengevolusikan hidup masyarakat dan tidak perlu diadakan acuan rasmi.