08 Jun 2012

Sebutan Baku: Mengharapkan Pertabalan Kali Kedua


Pautan Pilihan

 
Pelaksanaan sebutan baku di sekolah bermula pada penggal kedua tahun 1988. Pelaksanaan itu berdasarkan Pekeliling Ikhtisas Bilangan II/1988. Saya termasuk golongan yang kurang beruntung kerana saya tidak berpeluang untuk mengikuti apa-apa taklimat atau bengkel tentang sebutan baku. Namun, sebagai pendidik guru, saya mengemas kini pengetahuan dan kemahiran dengan memanfaatkan buku Pedoman Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tahun 1988.

Mulai tahun 1989, saya berusaha menggunakan sebutan baku dalam semua acara rasmi. Selain itu, saya berusaha menyebarluaskan penggunaan sebutan itu. Beberapa tahun kemudian barulah saya menemukan modul Panduan Sebutan Baku Bahasa Melayu terbitan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama DBP sedangkan modul yang mengandungi enam kaset dan sebuah buku itu terbit pada tahun 1989. Berpandukan modul itu, keyakinan saya menggunakan sebutan baku meningkat.

Sebagai pengguna dan orang yang dikehendaki untuk menyebarluaskan penggunaan sebutan baku, saya pernah berhadapan dengan cabaran. Misalnya, pada akhir tahun lapan puluhan dan awal tahun sembilan puluhan, ada beberapa kali saya disindir kerana sebutan saya dikatakan janggal. Saya akui bahawa saya “terlebih” menyebut beberapa patah perkataan. Hal itu saya baiki dari semasa ke semasa.

Pada 30 September 1993, KPM mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) 2/1993. Perenggan ketiga SPI itu berbunyi, “Untuk memantapkan penguasaan bahasa Melayu sebutan baku, semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran, aktiviti kokurikulum serta upacara rasmi lain seperti pertandingan bahas, syarahan, seminar dan sebagainya mestilah dilaksanakan dengan menggunakan bahasa Melayu sebutan baku.”

Apabila saya dilantik sebagai Ketua Jabatan (KJ) Jabatan Pengajian Melayu (JPM) pada 1 Ogos 1995, saya menegaskan penguatkuasaan SPI 2/1993 itu. Semua kakitangan akademik di jabatan saya dan semua pelajar pengkhususan Pengajian Melayu (PM) mematuhi kehendak SPI itu. Saya, beberapa rakan sejabatan dan sekumpulan guru pelatih menjadi kumpulan contoh. Saya berasa amat beruntung kerana beberapa orang rakan sejabatan dan guru pelatih saya mempunyai kemahiran lisan peringkat tinggi dan mampu menghayati sebutan baku. Pada masa itu tiada seorang pun rakan sejawatan, apalagi pelajar, berani menyindir kami.

Walau bagaimanapun, pada peringkat awal, penggunaan sebutan baku dalam kalangan kakitangan akademik jabatan lain dan guru pelatih bukan pengkhususan PM tidak terlalu ditekankan kecuali apabila mereka bertugas di hadapan khalayak seperti menjadi pengacara, penyampai ucapan dan pemidato. Namun, tanpa paksaan, kedua-dua pengurus atasan kami dan beberapa orang kakitangan akademik berusaha menggunakan sebutan baku.

Semua guru pelatih bukan pengkhususan PM juga berusaha menggunakan sebutan baku. Hal ini berlaku kerana semua guru pelatih bukan pengkhususan PM mesti mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu Komunikasi (BMK). Dalam peraturan pemarkahan kerja kursus BMK, JPM memperuntukkan markah sepuluh peratus untuk kegiatan kebahasaan harian mereka di dalam dan di luar bilik kuliah.

Selain itu, antara ukuran untuk memperoleh gred cemerlang dalam latihan mengajar termasuklah penggunaan sebutan baku. Jawatankuasa yang berkenaan memberikan kerjasama yang cukup memberangsangkan. Saya, berpasangan dengan mana-mana ketua jabatan lain, memberikan perhatian yang istimewa terhadap hal ini apabila kami melakukan pemantauan di sekolah bagi mengesahkan kes cemerlang.

Sama ada pasangan pemantau lain menekankan penggunaan sebutan baku atau tidak, hal itu di luar kawalan saya. Walau bagaimanapun, saya menjangka mereka berhati-hati kerana sampel rakaman pengajaran ditayangkan dalam mesyuarat jawatankuasa yang berkenaan. Sebagai anggota tetap jawatankuasa itu, saya pasti memberikan perhatian tentang penggunaan bahasa baku, termasuk sebutan baku.

Sekali air bah, sekali pantai berubah. Pada 16 Februari 2000, KPM mengeluarkan SPI 3/2000. Perenggan kedua SPI itu menyatakan, mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan penggunaan sebutan baku hanya untuk mata pelajaran Bahasa Melayu. Bagi mata pelajaran lain dan semua urusan rasmi, sebutan biasa digunakan. Perenggan ketiga SPI itu pula menegaskan bahawa sebutan baku masih boleh digunakan untuk ujian lisan dalam peperiksaan awam.

Walaupun keputusan Jemaah Menteri itu tidaklah dapat dianggap membunuh sebutan baku, saya tetap berasa sedih. Saya sedih kerana ruang penggunaan sebutan itu disempitkan. Saya bertambah sedih apabila ada rakan dan guru pelatih bagaikan bersorak gembira. Mereka mencanangkan bahawa sebutan itu dimansuhkan terus. Media cetak pula beria-ia memperlekeh sebutan itu. Satu media elektronik yang dahulunya menjuarai sebutan itu turut mentalkinkan penggunaannya.

Sebagai KJJPM, saya mesti menjadi benteng terakhir. Saya memestikan kakitangan akademik di bawah tadbiran saya memperkukuh benteng itu. Guru pelatih pengkhususan PM mesti bersama-sama kami. Guru pelatih pengkhususan lain pula mesti terus menggunakan sebutan baku di dalam bilik kuliah sesuai dengan maksud perenggan kedua SPI 3/2000 itu. Bahkan, saya dan beberapa orang rakan sejabatan terus menggunakan sebutan baku dalam acara rasmi.

Ada rakan dan guru pelatih cuba meruntuhkan benteng kami. Beberapa kali usaha kami menggunakan sebutan baku dalam urusan rasmi dipersoalkan. Ada rakan bertanya dalam mesyuarat, “Bukankah sebutan baku sudah dimansuhkan?” Saya mempertahankan pendirian jabatan saya. Alasan utama saya ialah saya, rakan sejabatan dan guru pelatih pengkhususan PM mesti menggunakan sebutan itu sebagai latih amal. Bagi guru pelatih lain pula, penggunaan sebutan itu tetap penting kerana sebahagian penilaian kerja kursus mereka berasaskan amalan lisan harian di dalam dan di luar bilik darjah.

Manusia memang lemah. Saya pun demikian juga. Lama kelamaan, gelojak api semangat saya berkurangan tetapi tidaklah padam sama sekali. Baranya tetap ada walaupun ditimpa hujan lebat.

Pemulihan berlaku pada tahun 2006 apabila Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 (SPA 1/2006) menyatakan bahawa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dikehendaki “mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dari segi ejaan, sebutan, istilah dan tatabahasa dalam hal-hal seperti mesyuarat, surat-menyurat, arahan pada papan tanda dan papan kenyataan, iklan, dokumen rasmi, penamaan di tempat awam jalan, kawasan perumahan, premis perniagaan dan sebagainya.” Pastinya sebutan yang baik dan betul untuk urusan rasmi, atas pertimbangan ilmu, ialah sebutan baku.

Pada pertengahan tahun 2007, saya membentangkan draf pertama kurikulum satu kursus di sebuah hotel. Saya menggunakan sebutan baku tetapi tentulah dengan beberapa kecacatan. Kecacatan itu sukar dielakkan kerana kemahiran saya menggunakan sebutan itu semakin berkurangan gara-gara penyempitan ruang penggunaannya natijah SPI 2/2000. Selepas pembentangan itu pengerusi penganjur menegur saya di hadapan khalayak. Dengan muka mencuka dia menyatakan bahawa sebutan baku “sudah dimansuhkan”. Saya tidak memperoleh peluang untuk memberikan penjelasan.

Sebulan kemudian, di tempat dan di hadapan pengerusi yang sama, saya mendapat giliran untuk membentangkan draf kurikulum yang sudah dimurnikan. Sebelum pembentangan itu, saya memberikan penjelasan bahawa saya menggunakan sebutan baku sesuai dengan ruang yang diberikan oleh SPI 3/2000 itu dan diperkukuh oleh SPA 1/2006.

Sebulan kemudian, saya terpilih untuk membentangkan draf akhir kurikulum itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penggubalan Kurikulum Pusat. Jawatankuasa itu sepatutnya dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran. Pada hari itu Timbalan Menteri Pelajaran tidak dapat hadir. Jadi mesyuarat itu dipengerusikan oleh ketua organisasi kami di peringkat pusat. Saya melakukan pembentangan dengan menggunakan sebutan baku.

Selepas pembentangan, pengerusi dan orang kanannya mengemukakan cadangan penambahbaikan. Saya berjanji akan melakukan pemurnian. Beliau tidak menegur pilihan saya menggunakan sebutan baku. Namun beliau ingin tahu rasional panel kami mengekalkan penggunaan istilah “bahasa Melayu” dalam tajuk kurikulum itu sedangkan kerajaan sudah mengarahkan penggunaan istilah “bahasa Malaysia”.

Pengacara sesi pembentangan mesyuarat itu ialah penyelaras rancangan Bahasa/Pengajian Melayu di peringkat pusat. Dia menjelaskan bahawa “pihak kita” belum menerima pekeliling penukaran nama itu. Apabila pekeliling itu diterima, “pihaknya” akan mengemukakan usul penukaran nama kurikulum yang berkenaan sebagaimana yang diperuntukkan dalam prosedur pengurusan mutu. Fahamlah saya akan maksud tersirat beliau bahawa kehendak prosedur pengurusan mutu bertatatingkat, rumit dan mesti diluluskan oleh mesyuarat profesional pengurusan. Pada tahun 2010, iaitu sesudah dua tahun saya bersara, saya mendapat maklumat bahawa penggunaan istilah “bahasa Melayu” bagi kurikulum yang saya bentangkan itu belum berubah. Saya gembira.

Apabila perbincangan dibuka kepada anggota mesyuarat, ada seorang anggota mempersoalkan pilihan saya menggunakan sebutan baku. Beberapa orang rakannya kelihatan berbisik. Sekali lagi pengacara sesi pembentangan itu memberikan penjelasan. Beliau menyebut kandungan pekeliling seperti yang sudah saya nyatakan. Selain itu beliau “mengangkat saya” dengan mengatakan bahawa saya mahu memperlihatkan keistimewaan bidang saya dengan menggunakan sebutan baku. Beliau berseloroh. Katanya, “Lagipun, orang Sabah seperti beliau memang pengguna tegar sebutan baku.” Ada hadirin, terutamanya mereka yang tahu bahawa saya anak jati Negeri Sembilan, ketawa.

Dalam mesyuarat itulah kali terakhir saya memperagakan sebutan baku saya yang tempang di peringkat pusat. Sesudah bersara pada tahun 2008, hanya sekali saya memperagakan sebutan baku saya yang tempang itu, iaitu dalam satu ceramah di sekolah rendah. Kini, sesudah empat tahun saya dikelilingi oleh penutur dialek Negeri Sembilan, walaupun tempang, bara kemahiran sebutan baku saya masih berasap. Bara itu tidak mungkin padam. Sebaliknya, bara itu boleh marak apabila ditiup oleh angin. Angin tetap ada, cuma jarang-jarang bertiup kencang.

Kita mempunyai Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 sebagai punca kuasa yang diibaratkan sumber utama angin itu. Akta DBP 1959 (disemak 1978, Pindaan dan Perluasan 1995) pula mampu menjadi sumber angin kencang. Hal ini dikatakan demikian kerana perenggan (iv) Seksyen 5(1) akta itu menyatakan DBP bertanggungjawab untuk membakukan sebutan. DBP sudah melakukan hal itu dan panduan terakhir terkandung dalam buku Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua, tahun 2008.

Perenggan (v) dan (vi) Seksyen 5(1) dan takrifan “untuk menggalakkan” dalam Seksyen 5(2) memungkinkan DBP mengarahkan rakyat Malaysia untuk menggunakan sebutan baku. SPA 1/2006 pula masih berkuat kuasa. Dalam SPA itu dinyatakan bahawa penjawat awam mesti menggunakan bahasa kebangsaan “yang baik dan betul dari segi ejaan, sebutan, istilah dan tatabahasa ….” Sebutan yang baik dan betul pasti sebutan baku yang sudah digubal oleh DBP.

Saya yakin, bara dalam diri saya berada juga dalam dada pencinta, guru dan pejuang bahasa Melayu. Saya melihat asapnya. DBP mesti menggunakan punca kuasa yang ada dan mencipta angin kencang agar bara itu marak. Kita mahu melihat apinya bergelojak. Satu pekeliling yang “menabalkan” sebutan itu pada kali kedua dapat berfungsi sebagai angin kencang itu. Hal ini tidak mustahil kerana Yang di-Pertuan Agong kita kini pun ditabalkan kali kedua.

2 ulasan:

Erwan Gunda berkata...

Huraian tuan sungguh terperinci. Terima kasih kerana saya dapat berkongsi ilmu dan pengetahuan tuan dalam bidang ini. Syabas!

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Sama-sama, tuan. Kita berkongsi maklumat dari semasa ke semasa, insya-Allah. Wassalam.