Memaparkan catatan dengan label Pemulihan/KIA2M dll. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pemulihan/KIA2M dll. Papar semua catatan

21 Mac 2011

Latar Belakang Pendidikan Pemulihan

Pendidikan pemulihan di negara kita bermula sejak tahun enam puluhan. Titik tolaknya ialah tinjauan keperluan pengajaran pemulihan yang diadakan pada tahun 1967. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengadakan tinjauan itu di sembilan buah sekolah. Tinjauan itu berterusan hingga tahun 1970.

Pada bulan Ogos 1975, KPM menganjurkan seminar pengajaran pemulihan untuk pengurus dan guru sekolah rendah. Pada tahun 1975 juga, KPM menghantar empat orang pegawai pendidikan mengikuti kursus dalam bidang pengajaran pemulihan di luar negara. Pada tahun 1976, Maktab Perguruan Ilmu Khas melatih 55 orang guru sekolah rendah untuk menjadi guru khas pemulihan. Pada tahun yang sama, MPIK mengadakan seminar pengajaran pemulihan untuk 50 orang pensyarah maktab perguruan.

23 November 2009

Strategi 3M untuk Mencelikhurufkan Murid

Kerenah murid Orang Asli pernah dibincangkan dalam satu seminar. Seorang pembentang kertas kerja menyatakan, kesediaan murid tahun satu untuk belajar rendah. Mereka hadir ke sekolah sekali-sekala. Kehadiran beberapa orang murid lebih kurang 50 hari sahaja setahun.

Antara murid yang hadir itu pula, ada yang enggan masuk ke dalam kelas. Mereka memilih untuk menjadi pemerhati. Mereka berdiri di luar kelas dan memerhati rakan-rakan mereka belajar. Golongan ini akan meninggalkan sekolah jikalau ditegur atau dimarahi. Sesetengahnya terus tidak hadir ke sekolah untuk satu tempoh yang panjang. Pihak sekolah perlu memujuk golongan ini untuk kembali bersekolah.

Pembentang kertas kerja menyatakan, strategi 3M mampu meningkatkan kehadiran murid tahun satu Orang Asli ke sekolah dan seterusnya masuk ke dalam kelas. Strategi 3M untuk Orang Asli bermaksud makan, main dan muzik. Dengan menggunakan strategi ini, guru dapat melaksanakan aktiviti untuk mencelikhurufkan mereka.

Makanan yang popular dalam kalangan Orang Asli ialah ubi kayu. Guru menyediakan ubi kayu rebus, bakar atau goreng. Ketika murid itu sedang makan ubi, guru berbual-bual dengan mereka tentang ubi. Murid menyebut perkataan ubi berulang kali. Murid juga menyatakan warna ubi, rasa ubi dan apa-apa yang berkaitan dengan ubi. Hal ini diketengahkan dengan cara yang ada unsur permainan dan muzik.

Guru dapat mengetengahkan perkataan seperti “ubi”, “ibu”, “ada” dan “abu” dalam aktiviti ini. Kemudian murid bermain huruf dengan. Guru perlu kreatif untuk memanipulasi penggunaan kad, doh, plastisin dan sebagainya.

Murid boleh terus bermain sambil mendengar muzik. Mereka juga boleh menyanyi lagu vokal dan konsonan yang diambil daripada aktiviti makan ubi. Guru perlu bijaksana mengubah suai kaedah fonik atau kaedah gabungan bunyi kata. Inilah gambaran umum dan ringkas tentang strategi 3M yang terdedah dalam seminar itu.

Berdasarkan perbualan dengan beberapa orang guru tahun satu dan guru pemulihan khas, pisang juga merupakan objek yang berkesan untuk aktiviti mencelikhurufkan murid. Pisang berjenis-jenis, pelbagai warna, pelbagai rasa dan dapat dimanipulasi dengan pelbagai cara.

Seorang guru pernah menceritakan caranya memanipulasi keistimewaan pisang itu. Dia menggunakan pisang sebagai bahan rangsangan utama aktiviti pergerakan, lisan, permainan dan nyanyian. Murid boleh makan pisang pada akhir aktiviti tertentu. Dengan perkataan lain, dia mendahulukan “main” (termasuk melalui pergerakan) dan “muzik” sebelum “makan”.

Guru tahun satu dan guru pemulihan khas di kawasan pedalaman memang kreatif menggunakan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran. Selain ubi dan pisang, mereka juga memanfaatkan pelbagai buah lain seperti buah getah, buah saga dan buah tarap. Pendeknya, mereka memanfaatkan flora dan fauna di persekitaran mereka dalam program celik huruf. Sumber daripada alam sekitar itu menyokong strategi 3M.

14 November 2009

Pencapaian KIA2M 2006 – 2008


1 – 6 Februari 2009 Ujian Penapisan
21 – 26 Jun 2009 Ujian Pelepasan 1
1 – 6 November 2009 Ujian Pelepasan 2
Pada bulan September 2009, terdapat 85,000 orang murid tahun satu yang masih belum menguasai 2M. (Berita Harian Online, 12 September 2009)

16 September 2009

Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran Contoh KIA2M

Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) ialah program khusus untuk membantu murid tahun satu menguasai kemahiran membaca dan menulis. Program ini bermula pada tahun 2006 dan dilaksanakan oleh guru Bahasa Melayu. Peruntukan masa bagi program ini ialah 19 waktu seminggu, iaitu dengan menggunakan masa Bahasa Melayu (12 waktu), Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (2 waktu), Pendidikan Muzik (2 waktu) dan Pendidikan Seni Visual (2 waktu).

Pada tahun 2006 itu, program ini bermula apabila murid tahun satu selesai mengikuti program transisi pada hujung Mac. Pada awal April pihak sekolah melaksanakan ujian penapisan. Murid yang gagal dalam ujian ini mengikuti KIA2M fasa pertama, iaitu dari mulai 9 April hingga akhir Julai.

Pada akhir bulan Julai itu juga pihak sekolah mengadakan ujian pelepasan. Murid yang berjaya dalam ujian itu meneruskan pelajaran seperti biasa. Murid yang gagal pula mengikuti KIA2M fasa kedua mulai awal Ogos hingga akhir Oktober. Ujian pelepasan seterusnya diadakan pada akhir Oktober hingga awal November. Murid yang berjaya dalam ujian itu mengikuti kelas biasa pada tahun 2007. Murid yang gagal pula mengikuti kelas pemulihan khas.

Saya dan beberapa orang rakan mendapat peluang untuk bersama-sama dengan guru sekolah bagi melaksanakan program fasa kedua. Saya berpasangan dengan Encik Mohd Firdaus. Kami mendapat dua masa seminggu. Kelas kami ialah Tahun Satu Cemerlang. Oleh sebab ada beberapa kekangan, terutamanya beban tugas rasmi yang bertali arus, Encik Mohd Firdaus hanya sempat ke sekolah pada bulan September.

Kali pertama Encik Mohd Firdaus ke sekolah adalah untuk melakukan tinjauan umum tentang murid, susun atur kelas dan kemudahan sumber pengajaran dan pembelajaran. Selain itu beliau juga perlu membina hubungan baik dengan pihak pengurusan sekolah, guru Bahasa Melayu dan guru KIA2M. Saya tidak ke sekolah kerana ada urusan rasmi di tempat lain.

Pihak sekolah tidak berjaya menunaikan janji untuk membekalkan profil murid. Kami membuat keputusan untuk memperoleh maklumat lengkap tentang murid sebelum memulakan sesi pengajaran. Atas beberapa pertimbangan, kami memutuskan untuk berinteraksi dengan murid. Jadi, pada minggu yang berikutnya kami ke sekolah dan masuk ke dalam kelas dengan tujuan itu.

Kami berbual-bual dengan murid untuk mengetahui latar belakang, prestasi lisan dan keupayaan kosa kata mereka. Kami mengadakan ujian untuk mengetahui takat kemahiran mereka membaca dan menulis. Sempat juga kami melakukan ujian pengamatan. Interaksi itu dan maklumat yang kami peroleh ternyata memudahkan kami melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran pada minggu seterusnya.

Saya berasa seronok dapat berinteraksi dengan murid. Demikian juga halnya dengan Encik Mohd Firdaus. Dia menyayangi kanak-kanak dan pandai mengambil hati mereka. Hal ini menyebabkan kami berusaha melakukan persediaan sebaik-baik yang mungkin sebelum masuk ke dalam kelas. Kami berjaya menyediakan beberapa jenis kad huruf, kad suku kata, kad perkataan dan kad gambar. Kami juga menyediakan lembaran kerja dan beberapa sumber yang lain.

Saya sendiri menghabiskan masa lebih kurang lapan jam untuk satu sesi pengajaran dan pembelajaran yang memakan masa dua jam. Encik Mohd Firdaus menggunakan masa lebih kurang empat jam, termasuk bersama-sama dengan saya untuk merancang langkah pengajaran dan menyediakan bahan sumber. Kami melakukan tugas ini di luar waktu tugas rasmi dengan rasa senang hati dan penuh minat.

Pada 12 September saya membaca berita yang menyatakan bahawa 85,000 murid tahun satu di negara kita belum menguasai kemahiran 2M. Pada masa itulah saya berfikir semula tentang KIA2M. Saya menulis respons panjang tentang perkara ini. Selepas itu saya membaca bahan lama tentang KIA2M yang terdapat dalam cakera padat komputer riba saya.

Hasilnya, di bawah ini saya lampirkan satu contoh aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Bahan ini ialah usaha saya bersama-sama dengan Encik Mohd Firdaus. Oleh sebab tujuan saya ialah untuk memperlihatkan aspek perkaedahan, format asal dan butiran am saya abaikan.

Saya sertakan juga catatan pascapengajaran bagi sesi itu. Saya berharap bahan ini dapat menjadi renungan warga pendidik. Jikalau ditemukan yang baik, manfaatkanlah. Jikalau silap, hindari dan baikilah.

Lampiran
Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran

Tarikh: 10 Oktober 2006
Masa: 9.00 – 10.00 pagi

Langkah 1: 1.2.1 Menggerakkan tangan tanpa alat tulis untuk menghasilkan bentuk
(a) Meniru gaya guru membentuk tulisan huruf kecil (a, i, u) di udara sambil menyanyi.
(b) Meniru gaya guru membentuk tulisan huruf kecil (b, c, d) di udara sambil menyanyi.
(c) Membentuk huruf (a, i, u) dengan menggunakan plastisin.

Langkah 2: 1.1.2 Menyebut nama huruf kecil secara rawak (ulangan)
(a) Tunjuk cara menulis huruf (a, i, u) mengikut urutan yang betul.
(b) Menyambung titik-titik/mengikut bayangan huruf (a, i, u) untuk membentuk huruf. (Lembaran kerja 1)
(c) Tunjuk cara menulis huruf (b, c, d) mengikut urutan yang betul.
(d) Menyambung titik-titik/mengikut bayangan huruf (b, c, d) untuk membentuk huruf. (Lembar kerja 2)

Langkah 3: 1.7.1 1 Menyebut dan membunyikan huruf vokal a, i, u (ulangan)
(a) Menyebut nama dan membunyikan huruf vokal (a, i, u) yang ditunjukkan (kad/carta khas).
(b) Menyebut nama huruf kecil (b, c, d) yang ditunjukkan (kad/carta khas).
(c) Meletakkan gambar (ayam, ikan, udang) pada kad vokal saiz A4.
(d) Meletakkan gambar (baca, dada, cuci) pada kad vokal saiz A4.

Langkah 4: 2.2.1 Menulis suku kata terbuka KV dengan betul (ulangan)Menyalin perkataan KV-KV (baca, dada, dadu, cuci) berpandukan bayangan perkataan dan gambar. (Lembar kerja 3)

Catatan Pascapengajaran

1. Markah (M) diberi berdasarkan pemerhatian dan pemeriksaan lembaran kerja.

2. Prestasi murid secara keseluruhan rendah, iaitu 57%. Rachel mendapat skor terendah. Dia masih tidak dapat membezakan huruf b dengan d. Dia juga menunjukkan huruf b dan d secara terbalik dan paling lambat menyiapkan kerja. Dari segi tingkah laku dan kerjasama, Rachel terbaik. Bimbingan individu kali ini berfokus pada Rachel. Antaranya, kami membimbingnya untuk membentuk huruf dengan tepat.

3. Halangan yang sengaja diadakan dalam latihan terakhir (mengisi huruf i dalam perkataan cuci) hanya dapat dilaksanakan oleh murid apabila dibimbing oleh guru.

4. Asas perkaedahan ialah kaedah gabungan bunyi kata atau fonik, khususnya untuk vokal a, i, u. Murid pernah mengenal huruf dengan kaedah abjad. Oleh itu, nama huruf konsonan diberi keutamaan berbanding bunyinya. Pola pengajaran pula ialah huruf → suku kata → perkataan → latihan menulis. Kami menggunakan bahan bantu belajar dan aktiviti yang membolehkan murid menggunakan kecerdasan pelbagai. Hal ini nyata meningkatkan tumpuan perhatian mereka.

5. Kami akan meneruskan penggunaan warna untuk huruf vokal, iaitu a (merah), i (hijau), e (kuning), o (oren), dan u (biru). Kami juga akan meneruskan penggunaan kertas bergaris empat untuk menulis.

6. Vokal a perlu terus dilatih tubi dengan pelbagai cara seperti menyebut namanya, menyebut bunyinya, membentuknya dengan menggunakan plastisin atau kad tebuk sambil menyebut nama dan bunyinya, dan menulisnya dengan pelbagai peringkat. Konsonan b, c, d perlu terus digunakan di samping meningkatkan penggunaan konsonan lain seperti g, k, l, dan t. Kami berpendapat perkataan V-KV seperti "ibu" dan "ubi" boleh digunakan dalam pelajaran yang akan datang.

7. Papan putih perlu digantung dan digunakan untuk menunjukkan pergerakan alat tulis ketika membentuk huruf.

8. Aspek kebersihan diri pelajar, seperti mencuci muka dan tangan, sebelum belajar dan selepas menggunakan plastisin sudah diberi perhatian. Kami menyediakan kertas tisu dan bakul plastik.

9. Kami mendapat pengalaman yang banyak semasa merancang dan melaksanakan pengajaran hari ini. Kami semakin menyayangi pelajar, khususnya Rachel. Dia lambat dari segi kognitif tetapi sungguh memberangsangkan dari segi emosi. Kami juga menyayangi Renskye. Jari jemarinya masih berdarah akibat kudis/luka, namun dia terus menggunakan jari jemari yang cedera itu untuk menyiapkan kerja bertulis.

10. Prestasi pelajar adalah seperti yang di bawah.

Prestasi Pelajar Tahun 1 Cemerlang 2006

13 September 2009

Kemahiran 2M: Kita Memerlukan Gambaran yang Lebih Jelas

Pada 12 September 2009, akhbar Berita Harian Online menyiarkan berita bahawa 85,000 orang pelajar tahun satu di negara kita belum menguasai kemahiran membaca dan menulis (2M). Berita ini bersifat umum. Oleh sebab itu, adalah wajar beberapa berita susulan mengikuti berita ini. Kegagalan media kita melakukan hal ini akan menyebabkan media dan masyarakat dapat dianggap sebagai kurang prihatin tentang isu kemahiran 2M.

Media perlu memberikan gambaran yang lebih jelas daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tentang perkara ini. Antara pihak dalam KPM yang wajar memberikan gambaran itu termasuklah Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), iaitu nama baharu Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) mulai tahun 2008.

BPK bertanggungjawab menggubal kurikulum prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah. Dengan perkataan lain, BPK bertanggungjawab menyediakan kurikulum untuk mencelikhurufkan kanak-kanak di negara kita. Hal ini tersurat di laman web BPK, iaitu di bawah pautan fungsi dan tanggungjawabnya.

Satu pihak lagi dalam KPM yang wajar memberikan gambaran lanjut tentang perkara ini ialah Bahagian Pendidikan Khas (BPK). BPK perlu menjelaskan beberapa perkara. Antaranya termasuklah pelaksanaan dan prestasi program pemulihan khas dan kedudukan murid-murid dengan keperluan khas dalam angka 85,000 itu.

Selain BPK dam BPK, satu pihak lagi dalam KPM yang wajar memperjelas situasi ini ialah Bahagian Pendidikan Guru (BPG). BPG bertanggungjawab melatih guru yang diharap mampu mencelikhurufkan anak-anak kita. Antara tanggungjawab BPG termasuklah melatih guru prasekolah. Guru prasekolah itu termasuk lepasan program Diploma Perguruan Malaysia (DPM) dan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI). Masyarakat perlu mendapat maklumat tentang keupayaan guru DPM dan KPLI untuk meningkatkan prestasi kemahiran 2M dalam kalangan murid prasekolah.

BPG, melalui institut pendidikan guru (IPG), juga melatih guru Bahasa Melayu sekolah rendah. Masyarakat wajar mengetahui takat keupayaan kurikulum institut pendidikan guru (IPG) untuk membentuk guru permulaan sebagai pendidik yang berketerampilan bagi mengajarkan kemahiran 2M kepada kanak-kanak tahun satu. Adakah kurikulum bacaan asas IPG umum, kurang lengkap atau kabur? Adakah latihan untuk guru Bahasa Melayu sekolah rendah di IPG mampu membentuk guru yang berketerampilan untuk mencelikhurufkan pelajar tahun satu?

Selain itu, BPG wajar menerangkan kaitan latihan untuk guru pemulihan khas (GPK), termasuk GPK untuk sekolah kurang murid (SKM) dengan angka 85,000 ini. Apakah kaitan angka 85,000 ini dengan GPK SKM? Benarkah sebahagian daripada GPK SKM itu ialah lepasan program KPLI? Jikalau benar, apakah sumbangan dan kekangan yang mereka hadapi untuk mencelikhurufkan murid-murid tahun satu?

Satu lagi pihak yang patut bersama-sama dengan BPK, BPK dan BPG bagi menjelaskan kedudukan angka 85,000 ini ialah jabatan pendidikan negeri (JPN). Apakah kaitan angka 85,000 ini dengan sektor pendidikan khas di JPN? Benarkah program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) yang diwujudkan sejak tahun 2006 itu bermatlamat untuk memastikan 100 peratus murid tahun satu menguasai kemahiran 2M? Jikalau benar, mengapakah angka 85,000 muncul? Benarkah ada kekangan dari segi kurikulum, jurulatih, peserta dan masa untuk melaksanakan latihan bagi program KIA2M?

Dua daripada empat objektif kurikulum Bahasa Melayu yang tercatat dalam Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (2001) adalah untuk membolehkan kanak-kanak menguasai kemahiran 2M. Objektif ketiga ialah membolehkan murid “membaca dan menceritakan isi bacaan sesuai dengan peringkat perkembangan murid”. Objektif yang keempat pula ialah membolehkan murid “menulis perkataan dan ayat mudah dengan betul”. Persoalannya, adakah murid gagal menguasai kemahiran 2M pada peringkat prasekolah dan hal ini berterusan pada tahun satu? Jika tidak, adakah mereka yang belum menguasai kemahiran 2M pada tahun satu itu ialah kanak-kanak yang tidak berpeluang mengikuti program prasekolah? Jikalau kedua-dua faktor ini wujud, apakah nisbahnya?

Oleh sebab penguasaan kemahiran 2M sudah menjadi objektif prasekolah, kita dapati Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tahun 1 (HSPBMT1, 2003) tidak mencatatkan hasil pembelajaran (HP) bacaan dan penulisan asas. Misalnya, dalam HSPBMT1 tidak terdapat HP “mengecam huruf vokal yang terdapat dalam perkataan”, “mencantumkan dua suku kata konsonan dan vokal (KV + KV) dalam satu perkataan” dan “menulis huruf dengan cara yang betul”. Hasil pembelajaran (HP) bacaan dalam HSPBMT1 bermula dengan “membaca kuat perkataan dan ayat dengan sebutan dan intonasi yang betul dan memahami perkara yang dibaca”. HP penulisan pula bermula dengan “membina dan menulis perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk”. Jadi, unggulnya, sekolah rendah bukanlah tempat untuk mengajarkan bacaan dan penulisan asas kerana hal itu sudah ditangani pada peringkat prasekolah.

Namun keunggulan ini nyata tidak berlaku. Bukit pertama, dalam berita ini Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi menyatakan hanya 65 peratus kanak-kanak mengikuti kelas prasekolah. Bukti kedua, satu sumber yang rapat dengan BPG menyatakan, pada bulan Januari 2007, sebanyak 231,808 orang murid tahun satu tidak mengusai kemahiran 2M. Pihak yang berkenaan mengesan perkara ini selepas ujian penapisan di bawah program KIA2M. Jumlah ini tentulah termasuk kedua-dua kumpulan, iaitu yang sudah mengikuti kelas prasekolah dan yang tidak berpeluang mengikuti kelas prasekolah. Kita percaya masyarakat berminat untuk mengetahui data bagi tahun 2008 dan 2009 berdasarkan pecahan kedua-dua kumpulan.

Sebenarnya situasi seperti ini sudah wujud sebelum tahun 2006, iaitu tahun bermulanya program KIA2M. Kajian PPK (BPK) pada tahun 1997, mendapati hampir 86,000 orang murid sekolah rendah di negara kita belum celik huruf. Definisi celik huruf oleh PPK pada masa itu ialah “boleh membaca, menulis dan memahami satu ayat mudah.” Contohnya, “Ini bola”. PPK menetapkan tempoh untuk celik huruf ialah tiga bulan selepas berada dalam tahun satu.

(Kita mungkin berpendapat istilah celik huruf seerti dengan menguasai kemahiran 2M. Sebenarnya, istilah celik huruf lebih tepat. Hal ini dikatakan demikian kerana celik huruf berkaitan dengan kemahiran asas membaca dan menulis. Dari sudut pengajaran bahasa, celik huruf berkaitan dengan peringkat kesediaan dan mendirikan asas kemahiran 2M. Maksud penguasaan kemahiran 2M pula lebih luas, iaitu meliputi celik huruf, pengukuhan asas dan kemahiran membaca dan menulis yang lebih tinggi. Jadi baik kita teruskan perbincangan ini dengan menggunakan istilah celik huruf.)

Pelaksanaan program KIA2M mulai tahun 2006 adalah penting untuk mengatasi keadaan belum celik huruf apabila murid berada dalam tahun satu. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010 (PIPP) menyatakan KPM memperkenalkan program KIA2M adalah untuk memastikan murid-murid Tahun 1 dapat menguasai kemahiran membaca dan menulis selepas enam bulan mengikuti persekolahan. PIPP juga mencatatkan, KPM akan terus memperluas program pemulihan dengan menaik taraf 2,800 kelas pemulihan dan menyediakan guru pemulihan yang secukupnya, sejajar dengan keputusan kabinet pada tahun 2005 untuk memantapkan lagi program tersebut. Kini pelaksanaan PIPP sudah masuk tahun keempat.

Apabila berita 85,000 murid tahun satu belum celik huruf (selepas lapan bulan mengikuti persekolahan), KPM wajarlah menjelaskan kaitan berita ini dengan prestasi PIPP. Prestasi PIPP ialah prestasi semua warga pendidik, termasuk guru cemerlang, pengetua cemerlang, pengurus pendidikan peringkat negeri dan kementerian, dan sudah pasti termasuk juga Menteri Pelajaran. Kita ingin mengetahui prestasi lengkap KIA2M sejak tahun 2006 hingga tahun 2009 ini.

Kita juga ini mengetahui kaitan angka ini dengan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Apakah pecahan angka ini berdasarkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan? Sebanyak manakah murid luar bandar, khususnya murid di SKM, termasuk dalam angka ini? Benarkah murid tahun satu di Kinabatangan, iaitu di kawasan YB Bung Mokhtar tidak terdapat dalam angka ini?

Seperkara lagi, PIPP juga ada menyatakan bahawa KPM berusaha memastikan kanak-kanak 5+ tahun terutama kanak-kanak yang tinggal di luar bandar dan pedalaman, kanak-kanak berkeperluan khas, anak Orang Asli dan suku minoriti di Sabah dan Sarawak mengikuti prasekolah sebagai persediaan untuk mengikuti pendidikan formal di sekolah rendah. Jadi, apakah kaitan usaha PIPP selama empat tahun dengan angka ini?

Kembali kepada kurikulum Bahasa Melayu tahun satu, kita juga ingin mengetahui sama ada benar atau tidak bahawa kurikulum itu mengongkong guru Bahasa Melayu tahun satu daripada melakukan pemulihan dengan mengendalikan program celik huruf kepada murid-murid yang memerlukannya? Apakah kaitannya dengan guru Bahasa Melayu yang sudah mengikuti kursus pemulihan dalam bilik darjah atau pemulihan ringan? Adakah wujud benteng yang menyebabkan guru KIA2M kurang atau tidak mendapat bimbingan GPK?

Kita menyedari bahawa penulis berita ini menggunakan ungkapan belum menguasai kemahiran 2M. Hal ini bermaksud masih ada sekurang-kurangnya sebahagian kecil daripada 85,000 orang murid itu akan celik huruf pada akhir sesi persekolahan tahun 2009 ini. Kita menjangka sekolah rendah yang belum mencapai prestasi 100 peratus akan meneruskan program KIA2M hingga hujung bulan Oktober. Apabila ujian pelepasan diadakan pada akhir bulan Oktober atau awal November, jumlah murid yang tidak celik huruf akan berkurangan. Hal inilah yang menjadi harapan kita.

Kita berharap GPK menerima murid yang belum celik huruf itu apabila mereka bergelar murid tahun dua pada tahun 2010, dengan senang hati. GPK perlu menghadapi cabaran ini demi masa hadapan anak-anak tercinta, sekali gus mencipta prestasi 100 peratus yang gagal dicapai oleh program KIA2M. Harapan untuk melakukan “kejutan” itu memang ada. Berbekalkan slogan Satu Malaysia yang diubah suai, kita berharap GPK mendahulukan prestasi dan mengutamakan anak-anak tercinta itu.

Kita menggunakan perkataan “kejutan” kerana kewujudan Program Tiga M (Membaca, Menulis dan Mengira [3M]) atau ringkasnya PROTIM membukti bahawa ada murid tahun enam belum menguasai 2M. Perlu diingat, pada tahun 2002, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan menyatakan, kira-kira 24,000 pelajar tingkatan satu masih tidak boleh membaca dan gagal menguasai Matematik dengan baik. Dengan perkataan lain, kira-kira 24,000 pelajar sekolah menengah gagal menguasai kemahiran asas 3M setelah diajar oleh guru sekolah rendah selama enam tahun.

PIPP pula ada mencatatkan, pada tahun 2005, 4.4 peratus murid sekolah rendah dan 0.8 peratus pelajar sekolah menengah masih belum menguasai 3M. Peratusan ini termasuk juga pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran. Pada awal tahun 2007, seorang pengetua sekolah menengah di Sabah memberitahu penulis bahawa lebih 50 orang murid tingkatan satu di sekolahnya belum celik huruf.

Sehubungan dengan hal ini, ada dua perkara penting yang jarang kita bincangkan secara bersungguh-sungguh. Yang pertama ialah pemilihan kaedah bacaan asas untuk program celik huruf. Berdasarkan pemerhatian, banyak guru belum berani mencuba kaedah bacaan asas selain kaedah abjad.

Antara kaedah yang berpotensi meningkatkan kadar celik huruf ialah kaedah gabungan bunyi kata (KGBK) dan Kaedah Fonik Versi Nik Eliani dan Othman Ahamad. Selain itu, pengguna kaedah abjad masih terikat dengan gaya lama, iaitu kurang selari dengan berbagai-bagai perkembangan pada alaf 21 ini. Sama ada perkara ini benar atau tidak, perkara eloklah menjadi bahan kajian pelbagai pihak di KPM, khususnya BPK dan BPG. Perhatian yang bersungguh-sungguh tentang aspek perkaedahan ini mungkin dapat meningkatkan prestasi celik huruf pada tahun-tahun yang akan datang.

Yang kedua ialah latar belakang guru yang mengajarkan program celik huruf. Pelbagai pihak dalam kalangan warga pendidikan, termasuk pengurus sekolah, perlu memberikan perhatian tentang perkara ini. Secara sepakat dan kolektif, usahakanlah agar guru yang mengendalikan program celik huruf itu ialah guru yang mengkhusus dalam bidang Prasekolah, Pemulihan Khas atau Bahasa Melayu/Pengajian Melayu. Guru itu juga perlu mendapat latihan susulan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dari semasa ke semasa. Perbuatan tangkap muat hendaklah dielakkan.

KPM pernah menjaga PPSMI sebagai program emas. KPM mencurahkan berbilion ringgit untuk PPSMI. Sebagai contoh, bahan sumber seperti komputer riba dan buku rujukan menelan belanja berbilion ringgit. Ada skim latihan khas untuk guru dan ada juga insentif untuk mereka. Sanggupkah KPM membelanjakan hanya RM1 bilion untuk program celik huruf? Sanggupkah KPM memberikan insentif kepada guru yang mengendalikan program celik huruf pula?

Akhirulkalam, sekiranya angka 85,000 terbenam mulai hari ini, tidak salah rasanya kita menyimpulkan bahawa media dan masyarakat kurang prihatin tentang isu kemahiran 2M. Jikalau pihak media bersedia menggembleng puluhan pemberita untuk menggembar-gemburkan sesuatu isu politik, mengapakah mereka tidak dapat melakukan hal yang sama untuk isu pendidikan? Penulis berharap pihak media akan menjawab soalan ini dengan menyiarkan berpuluh-puluh berita susulan, termasuklah berita yang menjawab soalan-soalan dalam tulisan ini.

Lampiran
35,000 (?) Murid Tak Tahu Baca, Menulis
mdroji@bharian.com.my

PARIT RAJA: Kementerian Pelajaran mengenal pasti kira-kira 85,000 murid tahun satu masih belum mampu membaca dan menulis, kata Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan mensasarkan 85 peratus kanak-kanak mengikuti kelas prasekolah pada 2012 berbanding hanya 65 peratus sekarang.

"Kementerian Pelajaran sedang berusaha mencapai sasaran 85 peratus itu dulu dan apabila ia menjadi kenyataan, kita akan meletakkan sasaran baru iaitu memastikan setiap kanak-kanak tidak kira di mana di seluruh negara, mendapat pendidikan prasekolah.
"Kami akan bekerjasama dengan pihak lain khususnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk menyediakan akses pendidikan yang berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Pameran Patriotisme dan Kenegaraan 1 Malaysia anjuran Fakulti Sains, Sastera dan Warisan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, petang kelmarin.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan dua buku terbitan UTHM bertajuk Darjat Tidak Datang Bergolek: Langit Mana Patut Dijunjung dan Modul Kenegaraan dan Pembangunan Malaysia.

Mohd Puad berkata, pihak kementerian kini sedang mengkaji pendekatan sesuai untuk memastikan lebih ramai kanak-kanak di kawasan pedalaman mendapat pendidikan prasekolah.

Katanya, walaupun kerajaan belum menetapkan sasaran 100 peratus kanak-kanak seawal usia lima tahun mengikuti pendidikan prasekolah, langkah awal harus diambil untuk memastikan masyarakat pedalaman juga mendapat pendidikan yang sempurna.

Berita Harian Online, 12 September 2009.