21 Mac 2011

Latar Belakang Pendidikan Pemulihan

Pendidikan pemulihan di negara kita bermula sejak tahun enam puluhan. Titik tolaknya ialah tinjauan keperluan pengajaran pemulihan yang diadakan pada tahun 1967. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengadakan tinjauan itu di sembilan buah sekolah. Tinjauan itu berterusan hingga tahun 1970.

Pada bulan Ogos 1975, KPM menganjurkan seminar pengajaran pemulihan untuk pengurus dan guru sekolah rendah. Pada tahun 1975 juga, KPM menghantar empat orang pegawai pendidikan mengikuti kursus dalam bidang pengajaran pemulihan di luar negara. Pada tahun 1976, Maktab Perguruan Ilmu Khas melatih 55 orang guru sekolah rendah untuk menjadi guru khas pemulihan. Pada tahun yang sama, MPIK mengadakan seminar pengajaran pemulihan untuk 50 orang pensyarah maktab perguruan.

Selain itu, pada tahun 1972 hingga 1981, KPM melaksanakan Projek Pendidikan Imbuhan untuk 12 buah sekolah rendah. Projek itu bertujuan mengenal pasti masalah pengajaran dan pembelajaran pemulihan murid-murid tahun satu hingga tahun tiga.

Pada tahun 1979, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran memperakukan supaya sekolah mengadakan ujian rujukan kriteria. Dengan berdasarkan dapatan ujian itu, pihak sekolah perlu melakukan tindakan penambahbaikan. Tindakan itu termasuklah penggunaan kaedah dan sumber pengajaran yang sesuai dalam kelas yang lebih kecil. KPM pula perlu menyediakan guru yang mampu mengendalikan pengajaran pemulihan.

Mulai tahun 1980, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) melaksanakan perakuan yang berkenaan. KBSR mengetengahkan konsep 5P, iaitu penggabungjalinan, penyerapan, penilaian berterusan, pemulihan dan pengayaan. Hal ini jelas memperlihatkan pemulihan merupakan satu daripada unsur istimewa KBSR.

Mulai tahun 1986, KPM mengarahkan semua sekolah rendah di negeri yang mempunyai guru khas pemulihan agar melaksanakan program pemulihan di sekolah masing-masing. Arahan itu membayangkan bahawa pelaksanaan program sebelumnya adalah pada tahap yang tidak memuaskan. Antara sebabnya ialah kerajaan tidak berupaya menyediakan guru khas pemulihan yang mencukupi untuk semua sekolah rendah.

Pada tahun 1987, hanya terdapat 4,331 orang guru khas pemulihan berbanding dengan 6,700 buah sekolah rendah yang memerlukannya. Daripada jumlah itu, kerajaan hanya mampu mewujudkan 2,233 jawatan guru khas pemulihan.

Pada tahun 1997, KPM mengeluarkan dapatan tinjauan kadar celik huruf selepas enam bulan murid berada dalam tahun satu. Tinjauan itu menunjukkan hampir 75,000 orang murid belum celik huruf. Jumlah ini bersamaan dengan 22 peratus daripada keseluruhan murid. Satu sumber lain (KPM, 1999) menyatakan, antara sepuluh hingga lima belas peratus murid sekolah masih menghadapi masalah atau kesulitan pembelajaran. Mereka gagal menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis, mengira).

Mulai tahun 1998, program pemulihan menjadi agenda penting KPM. Antara tindakan KPM ialah melatih guru Bahasa Melayu untuk melaksanakan pemulihan ringan dalam bilik darjah. Tindakan lain ialah menambah guru pemulihan khas (GPK) yang mampu mengendalikan pemulihan berat.

Selain itu, pada bulan November 1998, KPM memulakan usaha untuk menghasilkan buku panduan bagi melaksanakan program pemulihan khas. Buku itu terbit pada tahun 1999. Buku itu menjadi sumber penting  GPK dan guru Bahasa Melayu.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ada mencatatkan bahawa pada tahun 2005 sebanyak 4.4 peratus murid sekolah rendah dan 0.8 peratus pelajar sekolah menengah masih belum menguasai 3M. Peratusan ini termasuk juga pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran. Jadi, mulai tahun 2006 KPM menambah baik program yang sedia ada dan melaksanakan program baharu bagi mengurangkan peratusan murid yang tidak menguasai 3M.

Program terpenting ialah Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M). Program ini bertujuan untuk membantu murid tahun satu menguasai kemahiran membaca dan menulis. Program ini dilaksanakan oleh guru Bahasa Melayu.

Usaha lain ialah menambah guru pemulihan khas melalui program Kursus Perguruan Lepas Ijazah, Kursus Dalam Perkhidmatan untuk guru sekolah kurang murid dan beberapa kursus jangka pendek yang lain.

Pada 12 September 2009, akhbar Berita Harian Online menyiarkan berita bahawa 85,000 orang pelajar tahun satu di negara kita belum menguasai kemahiran membaca dan menulis (2M). Data yang di bawah pula menunjukkan pencapaian KIA2M tidaklah membanggakan.*

Jadi, bermula pada tahun 2010 Program Literacy and Numeracy Screening (LINUS) menggantikan Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M). LINUS berkaitan pula dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Minister Key Performance Indicators (MPKI) Kementerian Pelajaran Malaysia menyasarkan bahawa semua murid normal berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah menjelang 2012.

Bibliografi Terpilih
Kementerian Pelajaran Malaysia, 1982. Buku Panduan Khas Program Pemulihan KBSR (Edisi Percubaan). Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.
Kementerian Pendidikan Malaysia, 1999. Buku Panduan Pelaksanaan Program Pendidikan Pemulihan Khas (Masalah Penguasaan 3M). Kuala Lumpur: Jabatan Pendidikan Khas.
Koh Boh Boon, 1981a. Pendidikan Imbuhan, Suatu Pengenalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Koh Boh Boon, 1981b. Pengajaran Pemulihan dalam Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan.
Robiah Kulop Hamzah, 1992. Guru Khas Pemulihan: Fungsi dan Masalah, Satu Kajian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tiada ulasan: