Di tanah rata bertanam ubi,
Ubi keledek tanaman utama;
Orang kita suka ber-FB,
Atuk dan nenek ikut sama.
Di tanah rata bertanam ubi,
Ubi kayu gagangnya merah;
Orang kita suka ber-FB,
Pelajar “U” paling ghairah.
Di tanah rata bertanam ubi,
Hidup berumpun di mana-mana;
Orang kita suka ber-FB
Encik guru pun ada di sana.
Di tanah rata bertanam ubi,
Ada petola di hujung batasnya;
Orang kita semasa ber-FB,
Bersua pula rakan lamanya.
Di tanah rata bertanam ubi,
Ada kekacang melilit batangnya;
Orang kita semasa ber-FB,
Ulas bincang isu bahasanya.
Di tanah rata bertanam ubi,
Biar jarak barang sehasta;
Orang kita semasa ber-FB,
Usah borak bersulam dusta.
Di tanah rata bertanam ubi,
Buang rumput cabut lalang;
Orang kita semasa ber-FB,
Usah diikut nujum Pak Belalang.
Ke tanah rata mencabut ubi,
Ubi pulut untuk diparut;
Orang kita semasa ber-FB.
Usah ikut aplikasi karut.
Ke tanah rata mencabut ubi,
Buat pengat untuk taulan;
Orang kita semasa ber-FB,
Mesti ingat pencatat amalan.
Ke tanah rata mencabut ubi,
Ubi digalas pergi ke pekan;
Apabila kita suka ber-FB,
Tugas asas jangan lupakan.
Mohd Isa Abd Razak
Seremban
19 Mac 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan