Memaparkan catatan dengan label Pelbagai. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pelbagai. Papar semua catatan

28 Ogos 2012

Di Atas dan di Bawah dari Segi Nahu Praktis

Sari Makalah: Imran Ho Abdullah, “Frasa Sendi Nama di Atas dan di Bawah” dalam Zaharani Ahmad (penyunting), 2008. Aspek Nahu Praktis Bahasa Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 328 halaman 299 - 316.

1. Huraian dalam makalah ini menggunakan data korpus UKM-DBP dan berasaskan linguistik kognitif. Pengkaji menggunakan juta kata. Dapatan analisis adalah seperti yang di bawah:

03 Mei 2012

Jangan Berhujah dengan Si Tolol

Pedoman Bahasa (JPEG) 093. Prof. Abdullah, 30 Mei 2012.
Kiriman asal.

“Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.” Al-Furqan: 63.

Faslin Syarina Salim: Imam Syafie juga tidak berdebat dengan orang bodoh. Daripada biografi beliau, saya kongsikan kata-katanya, “Jikalau orang bodoh berbicara, jangan kaujawab. Jawapan terbaik adalah diam. Jikalau kauajak dia berbicara, bererti engkau melapangkan laluannya, Tetapi, jikalau kaubiarkan, dia binasa; maka dia akan mati (akal).”

12 Mei 2011

Jangan Sambut April Fool


Petikan masukan terdahulu: April Fool tidak boleh disambut oleh orang Islam kerana perayaan itu mempunyai unsur tipu helah, ketidakjujuran dan boleh merosakkan silaturahim.

Presiden Persatuan Ulama Dunia, Dr. Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi menyebut: Menipu ialah satu sifat yang buruk. Manusia yang berakhlak dan beriman tidak layak mengamalkan perbuatan itu. Bahkan perbuatan itu ialah petanda kemunafikan. Rasulullah SAW bersabda, "Orang munafik mempunyai tiga ciri: dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah." (Bukhari dan Muslim)

11 Mei 2011

Sejarah April Fool Tidak Sahih


1 April sememangnya sinonim dengan perayaan April Fool di Barat. Sejarah dan asal usul April Fool dikatakan bermula daripada tragedi kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol pada tahun 1487 bersamaan dengan 892H akibat diserang oleh tentera Kristian setelah berkurun-kurun lamanya Islam bertapak di Granada. Persoalannya, adakah sejarah tersebut sahih?

30 April 2011

Sedutan/Ringkasan Tazkirah oleh Ustaz Shamsul Firdaus

Pada 29 April 2011, Ustaz Shamsul Firdaus menyampaikan tazkirah di Masjid Amru Ibni Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. Beliau menyampaikan tazkirah itu kepada Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Datuk Shuib Lazim. Hadirin di masjid itu turut mendengar tazkirah beliau.

Transkripsi Tazkirah oleh Ustaz Shamsul Firdaus


Pada 29 April 2011, Ustaz Shamsul Firdaus menyampaikan tazkirah di Masjid Amru Ibni Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. Beliau menyampaikan tazkirah itu kepada Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Datuk Shuib Lazim. Hadirin di masjid itu turut mendengar tazkirah beliau.

Video tazkirah itu di sini. Edisi sedutan/ringkas tazkirah beliau di sini.

19 Mac 2010

Pautan tentang Isu Penggunaan Kalimah Allah

4 Januari 2010. Kes Herald - Di Manakah Silap dan Betulnya Hakim Lau Bee Lan? Mohamed Hanipa Maidin . Sebagai seorang peguam dan pemimpin PAS saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan pandangan saya tentang keputusan Yang Arif Datuk Lau Bee Lan dalam kes penggunaan kalimah Allah dalam akhbar Herald yang diterbitkan oleh Kristian Katolik. Bagaimanapun ulasan saya di sini dari perspektif undang-undang semata-mata.

4 Januari 2010. Isu Nama Allah: Garis Panduan Penggunaan Nama Allah. Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin. Di sini saya mencadangkan beberapa perkara untuk diteliti dalam isu penggunaan nama Allah oleh mereka yang bukan Islam.

4 Januari 2010. Saya Tidak Bersetuju Kalimah Allah Dikongsikan. Shamsudin al-Johori. Saya tidak bersetuju kalimah Allah dikongsikan atau dipolitikkan. Ini pendirian saya. Sejak Jumaat, dengan berita kemenangan akhbar mingguan Kristian, berita ini mula menjadi jihad kepada penganut agama Islam. Di mana-mana atau di dada akhbar mahupun majalah, jihad ini terlontar dengan idea-idea yang ikut sedap rasa atau ikut sedap mulut oleh individu mahupun pertubuhan tertentu yang melobikan diri mereka pejuang Islam.

4 Januari 2010. Isu Nama Allah: Ada Puak yang Menggelabah. Wak. Beberapa NGO termasuk tokoh Pemuda UMNO cuba menjadi hero dengan mengecam hebat keputusan tersebut sehingga menyindir parti-parti politik berasaskan agama yang mengambil langkah berdiam diri ketika ini.

4 Januari 2010. Allah (Lagi). Faisal Tehrani. Umat Islam dari apa jua parti dan jalur mesti bersatu untuk mendepani "kekeliruan" yang boleh tercetus akibat dari "insiden/tuntutan aneh" ini. Sila berhenti menyalahkan satu sama lain dan sila berhenti menunjukkan yang kumpulan atau parti anda lebih (kononnya) terkehadapan dalam memperjuangkan isu ini. Ulama dan tokoh politik Islam yang menyokong penggunaan kalimah Allah buat orang Kristian eloklah bertaubat.3 Januari 2010: Isu Nama Allah: Kenyataan Pertama Dr. Mohd Asri. "Jika keputusan mahkamah mengenai penggunaan nama Allah itu hendak dipakai, garisan panduan dan peraturan hendaklah dibuat."

4 Januari 2010. MAPIM Lancar Tanda Tangan Sejuta Umat. Majlis Perundingan Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini melancarkan kempen kumpul tandatangan sejuta umat Islam untuk membantah penggunaan kalimah Allah oleh Herald-Catholic Weekly yang dilulus oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

4 Januari 2010. Penggunaan Kalimah Allah: Kerugian untuk Bukan Islam. Fadzli Yusof. Tiada tegahan dalam Perlembagaan kepada guru untuk bercerita tentang Islam kepada nonmuslim. Sebelum ini kita menjaga sensitiviti; tetapi oleh sebab gereja tidak mahu lagi terma tersebut, kita kena tunjuk yang kita bersedia untuk membelinya!

4 Januari 2010. Isu Nama Allah Jangan Main-main. Ismaily Bungsu. Kalau kita bertindak buat demo dengan kekerasan nampak Islam itu ganas dan tak berbincang secara baik dan ini ada kesan kepada penganut-penganut agama Islam seolah-olah bersikap kasar, sedang Islam ajaran Nabi selalu bertindak secara halus kecuali diperangi, itu pun Islam hanya bersikap mempertahankan bukan memerangi. Kita kena bijak bertindak.

4 Januari 2010. Tak Salah Apa Pun - Saja Nak Buat Heboh Kasi Satu Malaysia Lupa Harga Gula Naik. Hishamuddin Rais.

3 Januari 2010. Zahid: Kalimah Allah Dikhuatiri Diguna Pendakyah Agama Bagi Tujuan Tersirat. Bernama. Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan telah menetapkan dengan jelas bahawa perkataan "Allah" adalah khusus untuk orang Islam kerana ia merupakan perkataan khas sementara "Tuhan" merupakan nama am.
3 Januari 2010. Awas Perangkap UMNO dalam Isu Penggunaan Nama Allah. Tulang Besi. Ini semua perangkap UMNO. Hati-hati supaya kita jangan terpengaruh dan terjerat dengan perangkap ini. Sejak bila pula UMNO ini berjuang Islam? Mereka ialah parti nasionalis sekular Melayu. Mereka bertanggungjawab menindas serta menghalang pelaksanaan syariah Islam sejak merdeka.

2 Januari 2010. Oh My God atau Ya Allah? Marniyati Mohd Noor. Sedar atau tidak, kita semakin jauh meninggalkan kalimah "Ya Allah" di mulut dan di hati. Kita lebih berasa gah apabila dapat melafazkan kalimah "Oh My God". Di laman sosial seperti di Facebook pun sudah ada kecenderungan menulis OMG sebagai singkatan kepada "Oh My God". Kata seorang kawan, kalimah "Oh My God" nampak lebih tinggi kelasnya. Masya-Allah, Nauzubillah.

08 Mac 2010

Cek Kosong, Bukan Cek Tendang

Susunan Abu Subuh

Menurut Facebook (FB) Dewan Bahasa, ada macam-macam salam. Pada musim raya, ada salam Aidiladha atau Aidilfitri. Apabila kita menulis surat, ada salam hormat. Mereka yang berkasih sayang, mengungkapkan salam kasih dan salam sayang. Untuk ucapan atau sapaan, ada pula salam sejahtera. Namun, kata FB Dewan Bahasa, "Untuk yang ini, saya kurang faham: Salam Satu Malaysia."

27 Februari 2010

Rencana Menarik: Adakalanya Jalan Raya Mempunyai Dwifungsi

Oleh Maladus Malaja

Jalan raya bukan sekadar berfungsi sebagai tempat untuk laluan kenderaan seperti lori, bas, kereta dan motosikal. Adakalanya jalan raya mempunyai dwifungsi. Apabila dwifungsi itu berlaku, kenderaan perlu memberikan laluan kepada barisan manusia. Buat seketika, barisan manusia itu keluar daripada tempat ibadat yang sebenar. Mereka berarak di jalan raya dan menganggap perarakan itu sebagai tuntutan agama.

07 Januari 2010

Sastera.com: Maksimumkan Penggunaan Istilah Bahasa Melayu

Berita Harian, 5 Januari 2010

LAMAN blog http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com membincangkan kepentingan memaksimumkan penggunaan istilah bahasa Melayu kerana majoriti istilahnya indah, sedap disebut dan diguna pakai, sekali gus dapat membantu perkembangan bahasa kebangsaan di bumi sendiri.

27 November 2009

Negara Kita Mengutip RM2.37 Bilion daripada Syarikat Judi


Pada tahun 2008, negara kita mengutip RM2.37 bilion daripada syarikat judi. Jadual di atas memaparkan butirannya. YB Dato’ Dr. Awang Adek Hussin mendedahkan perkara ini di Dewan Rakyat pada 18 November 2009.

18 September 2009

Pengarang Novel Kukui Menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara

Pengarang novel Kukui, Azmah Nordin, terpilih sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Awards) yang ke-31. Menurut Bernama, termasuk Kukui, Azmah sudah menghasilkan 48 buah novel dan karyanya juga termuat dalam 22 antologi cerpen. Beliau juga sudah memenangi 22 hadiah dalam pelbagai peraduan.

Saya terlambat mengikuti perkembangan diri beliau. Dalam kesibukan sebagai penjawat awam, saya hanya sempat membaca satu tulisan beliau tentang proses kreatifnya. Apabila saya bersara, barulah saya berkesempatan membaca novelnya.

Walau bagaimanapun, setakat ini hanya novel Kukui yang sudah saya baca. Kini saya masih dalam proses mebaca novel Dukanya Abadi. Insya-Allah saya akan membaca tiga buah novelnya lagi yang sudah berada di rak buku saya. Ketiga-tiga buah novel itu saya beli minggu lalu.

Saya masih meneliti novel Kukui. Dua perkara yang menjadi tumpuan saya ialah pemerian adat resam kaum Murut dan aspek bahasa. Melalui Kukui, saya mendapati Azmah mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang adat resam suku kaum Murut di Sabah.

Tahniah saya ucapkan kepada Azmah. Oleh sebab usia beliau masih muda, saya percaya beliau mampu menghasilkan karya lebih banyak dan tinggi mutunya.

Lampiran

Azmah Dipilih Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2009
Oleh Ramjit, BERNAMA, 18 September, 2009 15:18 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Azmah Nordin, 41, dipilih sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2009 bagi negara Malaysia, menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Pencalonan anak kelahiran Kulim, Kedah untuk anugerah itu dicadangkan oleh DBP selaku Sekretariat Tetap anugerah, melalui Jawatankuasa Pemilihan SEA Write Awards, yang turut mendapat pengesahan daripada Sekretariat SEA Write Awards di Bangkok, Thailand pada 9 September lepas.

"Azmah merupakan penerima anugerah itu yang ke-31, sejak ia diwujudkan pada 1979. Dengan kemenangan itu beliau menerima wang tunai sebanyak Baht 70,000 (RM6,796.77) dan beberapa hadiah sampingan yang lain," menurut kenyataan itu.

Azmah akan menghadiri Minggu Anugerah Penulis Asia Tenggara 2009 yang akan berlangsung pada dari 4 hingga 10 Oktober ini di Hotel Oriental, Bangkok, Thailand *di mana anugerah akan disampaikan *di acara kemuncak iaitu Malam Gala dan Majlis Penganugerahan Anugerah pada 9 Oktober di tempat yang sama.

Anugerah akan disampaikan oleh Putera Mahkota Thailand Maha Vajiralongkron dan Puteri Srirasm.

Azmah yang dilahirkan pada 10 Jan 1958 dan kini menetap di Sabah sejak 1973, mula melibatkan diri dalam dunia penulisan dengan menghasilkan karya-karya dalam genre cerpen dan novel termasuk novel kanak-kanak sejak 1985.

Antara 48 novel hasil tulisan beliau ialah Noor Ainku Sayang, Pejuang Bawah Bayu, Biar Kasihmu Terukir, Awang Kirana Mudir Besar, Titian Gelora, Merentas Selat, Ribut di Gua Gomantong, Mega Nissa, Bantogen, Halusinasi, Dari Dalam Cermin, Menongkah Lumrah, Singgahmata dan Puteri Delima.

Beliau turut menghasilkan tiga kumpulan cerpen iaitu Singkowonton, Wizurai dan Kasih Seputih Kemboja, 22 antologi cerpen dan 27 cerpen yang diterbitkan dalam majalah.

Hasil dedikasi beliau dalam dunia penulisan, beliau memenangi 22 anugerah dalam pelbagai peraduan dan sayembara, antaranya Hadiah Khas Novel ESSO/GAPENA, Hadiah Sastera Sabah DBP 1998/1999 melalui novel Syumul, Hadiah Malayan Banking Berhad-DBP 1991, Hadiah Novel Remaja Berunsur Islam 1992, Hadiah Menulis Novel Kanak-kanak dan Hadiah Puisi dan Cerpen DBKL-DBP 1990.

Anugerah lain yang diterimanya ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 2000/2001 melalui kumpulan cerpen Kasih Seputih Kemboja, Hadiah Sastera Kerajaan Negeri Sabah dan DBP Cawangan Sabah pada tahun 2002/2003, Hadiah Karya Sulung sempena Perayaan 25 tahun DBP Cawangan Sabah dan Hadiah Sastera Sabah 2004/2005 melalui Rahsia.

08 September 2009

Penawar Terbaik, Kuasa Literasi

Hari ini, 8 September, ialah Hari Literasi Antarabangsa. Seperti tahun lalu, kita menjangka UNICEF Malaysia mempelopori sambutannya pada tahun ini. Berita tentangnya mungkin dapat kita baca mulai esok.

Tema Hari Literasi Antarabangsa pada tahun lalu ialah “Literasi Penawar Terbaik”. Temanya pada tahun ini ialah “Kuasa Literasi”.

UNESCO mengisytiharkan 8 September sebagai Hari Literasi Antarabangsa pada 17 November 1965. Sambutan pertamanya bermula pada tahun 1966. Menurut laman Manila Bulletin Publishing Corporation, sambutan itu menyorot kepentingan literasi untuk individu, komuniti dan negara.

Menurut laman literasi UNESCO, daripada empat bilion penduduk dunia, terdapat 776 juta orang dewasa tidak celik huruf. Hal ini bermakna daripada setiap lima orang dewasa, ada seorang yang tidak celik huruf. Sebanyak 75 juta kanak-kanak pula tidak bersekolah atau keciciran.

Sambutan Hari Literasi Antarabangsa mendapat perhatian beberapa blog. Antaranya termasuklah Blog Celik Huruf dan Kaki Sakat.

03 September 2009

Amil Jaya dalam Kenangan

Sasterawan Sabah, Amil Jaya menghembuskan nafasnya yang terakhir petang kelmarin. Wartawan/pemblog Abd Naddin melaporkan perkara ini dalam blognya. Rakyat Sabah, kehilangan seorang lagi individu unggul dalam bidang bahasa dan kesusasteraan.

Saya ikut berasa kehilangan dan sedih. Beliau ialah pensyarah yang mengajarkan pedagogi asas bahasa kepada saya semasa saya menuntut di Maktab (Institut) Perguruan Gaya pada tahun 1973/974. Pada masa itu rakan-rakan saya belum kenal dengan nama Amil Jaya. Mereka mengenali beliau dengan nama Cikgu Ismail Abas.

Saya agak akrab dengan beliau. Hal itu berlaku atas dua sebab. Pertama, beliau ialah rakan karib abang tiri sepupu saya yang bertugas sebagai pensyarah di maktab itu. Jika tidak silap, rumahnya di maktab itu sederet dengan rumah abang tiri sepupu saya. Kedua, pada masa itu saya aktif menulis dan beberapa kali bersama-sama beliau dalam acara diskusi.

Saya menghormati Amil Jaya sebagai guru dan penulis. Oleh itu saya meluangkan masa untuk mengunjungi beliau di pejabatnya pada tahun 70-an dan awal tahun 80-an. Hubungan intim itu memudahkan saya meneruskan hubungan baik dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah hingga saya bersara.

Saya baru membaca dua buah karya beliau, iaitu novel Bagaton dan Cerah. Saya sudah membeli novel Periuk Kera Raksasa karya beliau dan, insya-Allah, akan mula membacanya tidak lama lagi. Kepergian beliau menguatkan azam saya untuk memiliki dan membaca karyanya sebanyak yang mungkin.

Saya akan mengingat Cikgu Ismail Abas sebagai guru yang baik hati, lembut dan ikhlas mendidik para pelajarnya. Saya mengucapkan takziah kepada keluarganya, khususnya seorang anak beliau yang pernah menjadi pelajar saya. Ya Allah, cucurkan rahmat ke atas rohnya dan tempatkanlah beliau dalam golongan orang yang soleh. Amin.

31 Ogos 2009

Teks Titah: Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu

Teks titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 6 Ogos 2009.

BETA bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan rahmat dari-Nya juga, beta dapat berangkat untuk menzahirkan titah sempena Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas seterusnya menyempurnakan pelancaran karya-karya terpilih tulisan Allahyarham yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan dicetak buat kali ketiga.

Tiga karya tersebut ialah pemerhatian dan kupasan Allahyarham yang bertajuk Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun dan Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi.

Seminar ini berlangsung dalam dua persekitaran yang sangat signifikan

Persekitaran pertama: Persekitaran masa bahawa seminar ini diadakan dalam suasana negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52. “Kemerdekaan” itu mempunyai pelbagai erti dan terdedah kepada pelbagai fahaman.

Zurinah Hassan dalam puisi beliau berjudul “Kemerdekaan” mengingatkan bahawa kemerdekaan bukan sekadar gegak gempita menurunkan Union Jack atau setiap 31 Ogos dengan perbarisan raksasa dan kibaran bendera pada tiang tertinggi di dunia.

Kemerdekaan itu sewajarnya mengingatkan warga kepada nama-nama Dol Said, Maharaja Lela, Pandak Endut, Dato’ Sagor, Ngah Jabur, Bahaman, Tuk Gajah, Mat Kilau, Tuk Janggut, Tunku Kudin dan ratusan patriot tak bernama, bermandi darah bergadai nyawa untuk membayar harga yang termahal, harga kemerdekaan negara.

Kemerdekaan itu sangat besar pengertiannya dalam pemikiran, pendirian dan amalan harian Syed Hussein Alatas kerana Syed Hussein itu sendiri adalah nama atas batang tubuh yang berumahkan jiwa merdeka.

Jiwa merdeka yang memiliki minda yang teguh berpegang kepada prinsip kebebasan berfikir. Prinsip kebebasan berfikir yang dijadikan kompas penting memandu arah kehidupan beliau di samping berusaha untuk menjadi nakhoda membantu pemikiran bangsanya dalam melayari lautan hidup yang penuh gelora.

Gelombang perjuangan kemerdekaan senantiasa berombak di dadanya, demi memastikan terbinanya warga merdeka – bangsa merdeka di atas bumi yang telah diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka.

Jiwa merdeka dan minda merdekanya berlabuh dengan identiti bangsa – bersauh dengan syariat agama, terus menuntut kepada keadilan sosial, supaya kemerdekaan itu dapat diterjemahkan kepada kemakmuran serta kebahagiaan agar bangsanya tidak tertindas lagi dalam bentuk perhambaan baru.

Dalam persekitaran menyambut ulang tahun kemerdekaan negara bangsa, sewajarnyalah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpadam daripada sejarah.

Sesungguhnya tarikh 5 Ogos yang berlalu semalam, tarikh berlangsungnya seminar ini adalah tarikh keramat, tarikh yang amat penting dalam sejarah kemerdekaan negara bangsa di tanah dan air yang bernama Tanah Melayu.

PESURUHJAYA Tinggi British, Sir Donald Mac Gillivray dan Raja-Raja Persekutuan Tanah Melayu menandatangani perjanjian kemerdekaan di King's House (kini dikenali sebagai Carcosa Seri Negara) di Kuala Lumpur pada 5 Ogos 1957.

Hubaya-hubaya bangsa, bahawa pada tarikh 5 Ogos 1957, Duli-Duli Yang Maha Mulia sembilan Raja Melayu sebagai Raja Pemerintah dari empat Negeri Melayu Bersekutu dan lima Negeri Melayu Tidak Bersekutu telah memberikan perkenan menurunkan tanda tangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dengan memahat Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang berbunyi:

Wasiat Raja-Raja Melayu tersebut disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu adalah seperti berikut:

"Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman dan damai dan selamat sejahtera."

Tujuh perkara itu ialah:

Pertama: Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).

Kedua: Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

Ketiga: Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

Keempat: Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-raja Melayu memerintah negara ini.

Kelima: Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.

Keenam: Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

Ketujuh: Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara yang terletak pada Raja-raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat (consensus) melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu.

Fasal-fasal tersebut adalah perkara 3 (1), (2), (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12, Perkara 38 (5); Perkara 152, Perkara 153 dan Perkara 181 (1). Fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.

Persekitaran kedua: Persekitaran tempat bahawa Dewan Bahasa ini adalah antara gelanggang awal pemikiran Syed Hussein mengatur tapak seorang pendekar – memencak langkah seorang kesateria.

Bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka memiliki sejarah penting melaksanakan amanah memenuhi salah satu daripada tujuh wasiat Raja-Raja Melayu iaitu peranan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dewan Bahasa pernah merakamkan sejarah Peristiwa Keranda 152.

Di tapak bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka ini pada 3 Mac 1967, lebih 2,000 orang mewakili 120 pertubuhan Melayu berhimpun.

Perhimpunan tersebut diingati sebagai peristiwa ‘api dan air mata’, peristiwa yang merakamkan kemarahan dan kesedihan bangsa terhadap kurang ketegasan pimpinan politik negara untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dewan Bahasa dan Pustaka adalah institusi bangsa untuk menjamin kedaulatan bahasa. Semua Raja Melayu berangkat di Majlis Perasmian bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka melambangkan sokongan padu Duli- Duli Yang Maha Mulia itu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka agar melaksanakan secara tegas salah satu daripada tujuh wasiat Baginda Raja-Raja Melayu.

Betapa kebetulannya acara untuk memperingati seorang tokoh yang telah mencipta sejarah ini berlangsung dalam dua persekitaran yang amat bersejarah, persekitaran masa dan persekitaran tempat. Demikian resam orang berjasa – kematiannya meninggalkan nama untuk terus dimuliakan.

Syed Hussein Alatas telah menghembuskan nafas terakhir untuk menyahut panggilan Ilahi pada hari Selasa, 23 Januari 2007 Masihi, bersamaan 5 Muharam 1428 Hijrah. Berlakulah satu perjalanan penghidupan dari satu perhentian yang meninggalkan dunia yang fana ini untuk berhijrah ke satu perhentian baru di alam baqa sementara menanti hari kebangkitan yang telah dijanjikan.

Padamlah satu kandil gemerlap – pelita jendela di malam gelap. Telah tertutuplah mata yang senantiasa memerhatikan kenyataan dan telah kelulah lidah yang sering mengucapkan kebenaran.

Sepanjang hayat, Syed Hussein Alatas telah menyinarkan suria kepada bumi negaranya sepanjang kehidupan, ia telah memancarkan cahaya penyuluh pemikiran bangsanya.

Telah dua tahun lapan bulan jasad Syed Hussein diistirahatkan di liang lahad, namun pemikirannya tidak dikuburkan bersama jasadnya.

Malah pemikirannya terus hidup dan memberikan nafas kehidupan, pemikirannya terus menjadi bahan kajian, bahan renungan, bahan rujukan dan bahan sandaran. Kerana itu para sarjana menyambut seruan untuk hadir ke seminar ini.

Syed Hussein meninggalkan bangsanya – meninggalkan dunia ini, sedikit awal untuk membolehkannya menyaksikan krisis ekonomi dunia yang telah menderitakan kehidupan jutaan insan, dia telah menghembuskan nafas terakhir sedikit awal untuk menyaksikan harga politik yang perlu dibayar oleh bangsanya setelah berlangsungnya pilihan raya umum kedua belas.

Krisis ekonomi dunia berpunca daripada salah pengurusan kewangan dan senario politik domestik selepas pilihan raya umum kedua belas, adalah harga yang perlu dibayar oleh negara, beban yang perlu ditanggung oleh bangsa kerana terus melakukan perkara-perkara yang telah lama diberikan peringatan oleh Syed Hussein dan kumpulan yang memiliki keselarian fikiran dengan Allahyarham.

Sepanjang hayat hidupnya, Syed Hussein terus menyuarakan betapa pentingnya diiktiraf pandangan kumpulan intelektual yang memiliki daya lihat dalam perspektif yang lebih luas lagi menyeluruh yang harus dibezakan dengan kumpulan inteligensia, beliau menganggap masalah umum yang keterbelakangan berpunca daripada masalah pengagihan pendapatan dan pembangunan ekonomi.

Beliau menghuraikan kejijikan rasuah, kurang kemurnian mencantumkan perniagaan dan politik dan masalah yang dihadapi oleh kerajaan di Dunia Ketiga yang terlalu asyik mengamalkan rasuah hingga menghambat kemajuan.

Ramai yang bercakap tentang rasuah, malah seruan untuk memerangi rasuah ada kalanya digemakan lebih nyaring daripada kalangan orang-orang yang tidak bebas daripada melakukannya lalu tenggelamlah kesungguhan usaha untuk memerangi rasuah dalam retorik kepura-puraan.

Akibatnya takhta runtuh, pemimpin jatuh, negara lebur, rakyat melarat. Rasuah terus merebak baik di negara sedang membangun, di negara membangun dan tidak ketinggalan di negara maju.

Rasuah berlaku di dalam istana, di dalam sektor awam, di dalam sektor swasta, di dalam organisasi politik, dalam kalangan organisasi beruniform malah tidak terkecuali di dalam badan-badan agama.

Rasuah adalah candu yang amat mengasyikkan, lebih mengkhayalkan, kerana yang menanggung derita bukan dalam kalangan pengamal dan penerima rasuah. Rasuah menghidupkan semula budaya perhambaan, dilindungi kosmetik yang memberikan kecantikan dan keriangan palsu kepada pengamal.

Sebenarnya rasuah merendahkan martabat seseorang insan ke taraf abdi, menjadikan insan hamba kepada harta, kepada kekayaan, kepada kebendaan dan kepada jawatan yang diperoleh secara haram.

Rasuah adalah instrumen yang membunuh jiwa merdeka, pemikiran merdeka, sifat merdeka dan watak merdeka dalam diri seseorang insan yang terjebak dengannya.

Demikianlah kotor dan jijiknya rasuah, ironinya semakin ramai yang berlumba untuk mendapatkan kuasa supaya berpeluang melakukannya. Malah melakukannya dengan penuh tipu muslihat untuk terlepas daripada undang-undang dan hukum dunia.

Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan seminar “Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas” serta terus mengulangi penerbitan karya-karya Allahyarham adalah usaha yang layak diberikan penghargaan.

Dewan Bahasa dan Pustaka perlu meneruskan tanggungjawab dan memenuhi amanah untuk menyediakan santapan yang secukupnya untuk memastikan minda bangsa mendapat cukup bekalan bahan pemakanan intelek.

Dalam memastikan bangsa tidak terputus dengan akar sejarah, beta suka menyarankan untuk Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan semula tulisan-tulisan yang telah dihasilkan di era pra dan pasca kemerdekaan yang telah berjaya menyuntik semangat kebangkitan bangsa.

Beta mendengar bahawa Ishak Haji Mohamad (Allahyarham) telah menghasilkan buku Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila, tetapi sehingga hari ini, beta sendiri tidak berpeluang mendapatkan naskhah buku-buku tersebut.

Bahan-bahan bacaan seperti itu amat penting bukan sahaja diterbitkan semula tetapi dijadikan bahan ilmiah wajib di pusat-pusat pengajian supaya generasi muda tidak akan lupa sejarah dan salasilah bangsanya. Beta percaya negara memiliki himpunan khazanah sejarah yang hari ini tertimbus dan terkubur ditelan waktu.

Dalam hasrat membina modul Satu Malaysia, usaha cari gali khazanah sejarah yang telah berperanan membina semangat kemerdekaan dan semangat penyatuan sama ada dalam bentuk buku, penulisan, memoir, catatan, ucapan, puisi dan prosa wajib dilakukan.

Hari ini, generasi selepas beta, hanya mengenal nama-nama seperti Za‘ba, Aminuddin Baki, Burhanuddin Al Helmy, Abu Bakar Al Baqir, Zulkifli Mohamad, Mohd. Asri Haji Muda, Dr. Ismail Abdul Rahman, Panglima Bukit Gantang Wahab, Abdul Rahman Yaacob, Ahmad Boestamam, Syed Jaafar Albar, Syed Nasir Ismail, Harun Idris dan ramai lagi nama nasionalis bangsa. Tetapi generasi beta sendiri majoritinya tidak berpeluang untuk mengikuti, mendalami dan memahami asas pemikiran mereka kerana bahan-bahan bertulis dan cetak yang ada, begitu terbatas, hanya dapat diakses oleh para penyelidik yang melakukan kajian di peringkat pascaijazah.

Maklumat tokoh-tokoh bangsa dan sumbangan pemikiran mereka hendaklah dijadikan bahan yang boleh sampai kepada massa yang lebih ramai.

Jika usaha-usaha tidak segera dirintis, akan terkuburlah khazanah bangsa yang sahih dan akan berlakulah pengubahsuaian terhadap fakta sejarah di kemudian hari menurut kesesuaian dan kehendak kumpulan politik yang memiliki kuasa ketika itu.

Kepada keluarga Syed Hussein Alatas, negara dan bangsa amat terhutang budi atas peranan sampingan mereka yang memberikan kekuatan kepada Syed Hussein untuk berjaya meninggalkan satu legasi.

Semoga segala jasa dan pengorbanan Syed Hussein diterima sebagai amal makruf, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat ditempatkan dalam kalangan para solihin. Sama-samalah kita bacakan surah al-Fatihah dan sebarang ganjaran dari bacaan tersebut, semoga diterima Ilahi lalu disampaikan kepada roh Allahyarham Syed Hussein Alatas.

12 Ogos 2009

Filem Dokumentari "10 Tahun Sebelum Merdeka"

20 Oktober 1947 merupakan hari bersejarah dalam perjuangan berperlembagaan rakyat Malaya menuntut kemerdekaan daripada penjajah British. Filem dokumentari pendek ini menceritakan pengalaman yang dilalui oleh 5 orang individu yang turut serta dalam perjuangan politik kiri untuk membentuk gerakan kemerdekaan rakyat di Malaya, sepuluh tahun sebelum merdeka. Filem dokumentari "10 Tahun Sebelum Merdeka" ini dihasilkan oleh Fahmi Reza.



Pautan pilihan:
Minda Kini
Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka

02 Julai 2009

Benarkah Awang Memandai-mandai?

“Atuk, papan tanda tandas masjid kita ini sudah patut ditukar,” kata Awang memulakan perbualan.

Tuk Lamin yang bertenggong di atas anak tangga kelima masih diam. Dia memerhatikan papan tanda tandas lelaki yang masih elok sambil membetulkan kedudukan kakinya pada anak tangga keempat. Awang yang duduk pada anak tangga ketiga mendongak. Dilihatnya kerut pada wajah Tuk Lamin bertambah. Atuk sedang berfikir, kata hatinya. Dia menunggu sambutan Tuk Lamin terhadap pandangannya.

“Sebab apa perlu ditukar? Sebab papan tanda itu dalam tulisan Jawi?” tanya Tuk Lamin. Suaranya agak keras.

“Bukan ...,” Awang tidak dapat menghabiskan kata-katanya kerana Tuk Lamin mencelah.

“Budak-budak sekarang tidak berapa pandai membaca tulisan Jawi,” gerutu Tuk Lamin.

Awang diam. Dia mendongak. Dilihatnya muka Tuk Lamin menghala ke arah tanah perkuburan yang terletak bersebelahan dengan masjid, di sebelah kanan mereka. Mungkin atuk bergurau. Sebab itu dia memandang ke arah lain, katanya dalam hati.

Angin semilir petang mengelus tubuh mereka. Suasana sepi. Wajah Tuk Lamin masih menghala ke tanah perkuburan. Matanya bergerak dari satu batu nesan kepada satu batu nesan yang lain. Pandangan Awang pun bertukar-tukar antara batu nesan di tanah perkuburan dengan papan tanda tandas. Otaknya ligat merencanakan sambutan terbaik terhadap rungutan Tuk Lamin.

Kemudian, dengan suara yang jelas dan teratur Awang berkata, “Bukan begitu, atuk. Tulisan Jawi memang sesuai untuk papan tanda di masjid. Kami, murid-murid sekolah memang menyokong penggunaan tulisan Jawi. Cuma kami harap tulisan Jawi itu biarlah ....”

Kalimat Awang dipotong oleh Tuk Lamin, “Kamu mahu dimasukkan juga tulisan Rumi?”

“Bukan begitu, atuk. Ejaan Jawi itu silap.”

“Kamu jangan memandai-mandai, Awang. Sejak atuk kecil lagi ejaan itulah yang digunakan. Sudah dua kali papan tanda itu ditukar, ejaannya tetap sama.”

Maklumat lanjut terdapat dalam majalah Pelita Bahasa, Julai 2009.

30 Jun 2009

Seminar Tulisan Jawi 1984

Seminar Kecil Tulisan Jawi PBM MPSS: Sambutan Pelatih dan Pensyarah Dingin
Oleh Pemerhati, Harian Ekspres, Isnin 28 Mei 1984

Pada 13 Mei 1984 lalu Persatuan Bahasa Malaysia Maktab Perguruan Sandakan (PBM MPSS) berjaya menganjurkan seminar kecil tulisan Jawi. Seminar kecil itu mengemukakan kertas kerja “Tulisan Jawi sebagai Jiwa Bahasa Melayu” oleh Encik Mohd Isa Abd Razak, pensyarah maktab itu.

16 Mei 2009

Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru diucapkan kepada semua pengunjung yang bergelar guru.

Ucapan Selamat Hari Guru istimewa ditujukan kepada para pendidik di Bukit Langsat dan di ceruk rantau Negeri di Bawah Bayu.

Bunga melati juga selasih,
Buah bidara dari sempadan;
Guru sejati serta pengasih,
Dirinya juara suri teladan.


"Sebaik-baik murid, yang mudah dilentur; sebaik-baik guru, yang mudah ditegur." Wannor, KMSM, 14 Februari 2000.

22 Januari 2009

Mencari Kamus Dewan Terbitan Tahun 1970

Saya ingin memiliki Kamus Dewan terbitan tahun 1970. Jika tuan memiliki kamus itu dan sudi memberikannya kepada saya, sila nyatakan kesudian tuan itu melalui e-mel mohdisa_abdrazak@yahoo.com.

Jika tuan memberikan kamus itu kepada saya secara percuma, alhamdulillah dan terima kasih. Jika tuan perlukan sedikit sagu hati, insya-Allah akan saya usahakan. Jumlah sagu hati yang mampu saya berikan tidak banyak. Dengan sagu hati itu, tuan hanya dapat membeli dua buah Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) atau dua buah buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008). Belanja pos saya tanggung.

Saya pernah memiliki dua buah Kamus Dewan terbitan tahun 1970. Apabila Kamus Dewan Edisi Baru terbit pada tahun 1984, kamus lama itu saya keluarkan daripada rak buku. Sebuah kamus itu saya berikan kepada rakan dan sebuah lagi saya jual dengan harga RM5.00.

Sejak beberapa tahun lalu saya menyesali perbuatan saya itu. Rupa-rupa kamus lama masih ada gunanya. Antaranya, dari semasa ke semasa saya membandingkan masukan tertentu antara kamus edisi lama dengan kamus edisi seterusnya.

Saya berpesan pada diri sendiri: “Jangan tergesa-gesa membuang yang lama kerana mendapat yang baharu. Hargailah yang lama kerana yang lama itu masih ada gunanya.”

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Insya-Allah, tanduk tetap berguna sampai bila-bila.