Oleh Maladus Malaja
Jalan raya bukan sekadar berfungsi sebagai tempat untuk laluan kenderaan seperti lori, bas, kereta dan motosikal. Adakalanya jalan raya mempunyai dwifungsi. Apabila dwifungsi itu berlaku, kenderaan perlu memberikan laluan kepada barisan manusia. Buat seketika, barisan manusia itu keluar daripada tempat ibadat yang sebenar. Mereka berarak di jalan raya dan menganggap perarakan itu sebagai tuntutan agama.
United Malay National Organization (UMNO) menjadi juara perarakan keagamaan di jalan raya. Sayangnya, Lim Guan Eng yang menerajui Pulau Pinang tidak memahami hal ini. Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menerajui Kelantan juga tidak memahami hal ini. Malah Tuan Guru sendiri mengakui bahawa selama 20 tahun memerintah Kelantan, tiada perarakan keagamaan di negeri itu. (Lihat lampiran 1.)
Sesungguhnya, UMNO sebagai tonggak kerajaan dan juara rakyat mempunyai banyak ulama. Ulama itu amat peka dengan dasar kerajaan, kehendak pemimpin dan kemahuan rakyat. Sayang, ada ulama yang tidak memahami perjuangan UMNO menegakkan syiar Islam. Ada ulama menafikan dwifungsi jalan raya dan memberikan tujuh alasan untuk menolak penggunaan jalan raya sebagai wadah untuk menegakkan syiar Islam. (Lihat lampiran 2.)
Lampiran 1
Mengapa Sibuk...
Sumber: Blog Guru Inspirasiku.
Sambutan Maulidur Rasul menjadi isu, malah sekali gus menjadi bahan perang pemimpin politik setelah Lim Guan Eeng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang dilapor akan membatalkan upacara perarakan pada sambutan berkenaan.
Sehubungan itu Nik Aziz membidas segelintir masyarakat termasuk Umno yang sibuk mempertikaikan isu sambutan Maulidur Rasul yang disifatkannya sebagai isu remeh.
“Kenapa nak sibuk sangat dengan isu remeh ini. Lebih 20 tahun saya pegang Kelantan, tidak pernah berarak pun.
“Kita kena ingat, maulid ini disambut hanya selepas 300 tahun baginda wafat. Inilah masalah kita orang Melayu, kalau terima Islam bukan dengan cara belajar dan menelah, tetapi terima dengan tradisi. Yang belajar pun, kadang-kadang belajar lain, buat lain,” katanya.
Beliau mengaku bahawa pendekatan kerajaan negeri yang hanya mengambil kesempatan sempena bulan Maulidur Rasul dengan mengadakan ceramah dan kuliah-kuliah Islam khusus mengenai topik berkaitan memang berbeza dengan negeri-negeri lain.
Kata beliau, hakikat afdalnya sambutan atau mengingati Maulidur Rasul bukan sekali setahun bahkan sebaliknya, setiap hari dan sepanjang masa.
“Kita sambut maulid ini kerana hendak mengingati hari kelahiran Nabi. Hakikat ingat kepada Nabi ini tak boleh sekali setahun begitu, sepanjang masa kita mesti ingat. Ini sebenar-benar pelaksanaan Maulud Nabi."
Lampiran 2
Jalanraya Bukan untuk Upacara Agama
Disalin daripada Blog Minda Tajdid dengan sedikit suntingan.
Rentetan daripada isu perarakan Maulidur Rasul yang timbul baru-baru ini, maka saya dengan ini mencadangkan agar semua agama tidak benarkan menggunakan jalan raya untuk sebarang upacara keagamaan sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain. Semua agama bererti bukan sahaja orang Islam, tetapi juga Hindu, Buddha, Kristian dan lain-lain.
Yang berikut ialah alasan cadangan ini:
1. Jalan raya diwujudkan bukan untuk upacara keagamaan, sebaliknya untuk kemudahan penggunanya yang ingin menuju ke destinasi masing-masing. Juga di Malaysia rakyat membayar cukai jalan untuk tujuan itu, bukan untuk upacara keagamaan.
2. Tiada teks mana-mana agama yang menyatakan disuruh menggunakan jalan raya untuk melakukan upacara agama. Upacara agama yang hanya membabitkan pengikut agama masing-masing sepatutnya dibuat di tempat ibadah agama masing-masing, atau tempat yang dimiliki atau disewa untuk upacara tersebut.
3. Menggunakan jalan raya untuk upacara keagamaan boleh menyebabkan kesesakan, atau ditutup laluan. Ini mengganggu, bahkan merampas hak pengguna lain yang tidak terlibat dengan upacara tersebut.
4. Kesesakan jalan raya yang disengajakan seperti ini boleh menyebabkan pembaziran minyak, waktu, menghalang rawatan orang sakit, menghalang urusan penting orang lain dan berbagai-bagai lagi. Islam tidak membenarkan penganutnya berbuat demikian. Juga semua agama yang menghormati masyarakat awam tidak mungkin boleh membenarkan hal seperti ini.
5. Gangguan kepada pengguna jalan raya yang lain boleh menimbulkan perasaan tidak senang, atau kebencian terpendam antara penganut agama. Seorang muslim mungkin akan tidak puas hati apabila perjalanannya terhenti disebabkan upacara agama lain yang dibuat atas jalan raya. Demikian juga perasaan penganut agama-agama lain.
6. Sesetengah upacara keagamaan mengotor atau mencemari kebersihan jalan raya yang mengganggu pemandangan orang awam. Juga menyusahkan pihak majlis perbandaran untuk membersihkan kekotoran yang berpunca daripada upacara agama yang tidak kongsi oleh semua masyarakat itu.
7. Tenaga pihak polis, perbandaran, RELA dan berbagai-bagai lagi terpaksa digunakan untuk menjaga upacara keagamaan seperti ini, sedangkan kita tahu bahawa bukan semua anggota yang bertugas itu seakidah, atau seagama dengan upacara tersebut. Hal ini boleh mengganggu perasaan dan rasa kurang senang dari masa ke masa.
Dengan alasan-alasan ini, juga beberapa rasional yang lain, saya berpendapat amat tidak wajar jalan raya dijadikan tempat perarakan keagamaan mana-mana agama. Jika perhatian ini cuba diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya melihat Kerajaan Selangor patut memberikan perhatian yang sama terutama di Kawasan Batu Caves. Ini bukan kenyataan yang berat sebelah, tetapi terpakai untuk semua agama.
Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin.
Bukit Mertajam, S. Perai,
Pulau Pinang.
17 Februari 2010
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan