29 Disember 2012

Antara Suasana dalam Majlis Penyampaian HSPM 2010/2011


Penyanyi ini memperoleh peluang untuk mendendangkan lagu dalam majlis penyampaian HSPM 2010/2011. Dia pilihan terbaik untuk majlis ini?
 Citra ini adalah antara suasana dalam majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 28 Disember 2012. Isu yang ditimbulkan ialah penyanyi bertutur dalam bahasa Inggeris. Selain itu, suasana ini dapat juga dianalisis dari segi Islam, kecenderungan penganjur untuk mengamalkan Islam yang syumul, dasar kebudayaan kebangsaan dan sebagainya.

*******

Novel karya Pelita di Dalam Kaca ini memenangi HSPM 2010/2011.
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Al-Nur, 24: 31)

(1) Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman; (2) iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; (3) dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. (Al-Mukminun, 23: 1 -- 3)

28 Disember 2012

Semakan Pemansuhan Nama Bahasa Malaysia


Ketetapan utama Muzakarah Munsyi Dewan di Institut Aminudin Baki pada 28 November hingga 1 Disember 2012 ialah harapan agar nama bahasa Melayu digunakan dalam semua keadaan dan bukannya nama bahasa Malaysia. Ketetapan ini dan ketetapan lain dijangka akan disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri pada petang ini, Jumaat, 28 Disember 2012, selepas berlangsungnya penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Ketetapan yang hampir sama dibuat dalam Konvensyen Pendidikan Bahasa Melayu Kali Ke-19 pada 20 – 22 Mac 2012 di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur. Ketetapan itu berbunyi, “Penggunaan nama mata pelajaran Bahasa Malaysia mesti diubah kepada Bahasa Melayu seperti yang tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.” Jikalau ketetapan ini sudah disampaikan kepada pihak yang berkenaan, ketetapan Muzakarah Munsyi Dewan dapatlah dianggap sebagai menyokong ketetapan konvensyen itu sekali gus berupa peringatan kepada pihak yang berkenaan agar melaksanakan ketetapan itu.

Dalam pada itu, saya tertanya-tanya sama ada kedua-dua ketetapan itu memang perlu atau berupa usaha bertindih. Saya berkata demikian kerana saya pernah terbaca kenyataan bahawa Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu yang bermesyuarat pada 11 Mei 2011bersetuju menerima istilah bahasa Melayu supaya dikekalkan”. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri. Jikalau tidak silap, saya membaca kenyataan itu dalam Facebook Profesor Dr. Abdullah Hassan. Sayangnya saya sudah lupa tarikh penyiaran maklumat itu dan gagal pula untuk mencapainya semula.

Jikalau kenyataan yang saya baca itu benar, ketetapan konvensyen dan muzakarah sewajarnya dimulakan dengan kenyataan bahawa Timbalan Perdana Menteri sudah bersetuju agar nama bahasa Melayu dikekalkan. Ketetapan yang dikemukakan sewajarnya berupaya sokongan terhadap persetujuan itu. Seterusnya dinyatakan harapan agar kerajaan mengeluarkan arahan bagi memansuhkan arahan Kabinet pada bulan Jun 2007 tentang penukaran nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Baik juga dinyatakan harapan agar pemansuhan itu dihebohkan melalui media sebagaimana menghebohkan arahan Kabinet pada bulan Jun 2007 itu.

Keputusan Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu yang bermesyuarat pada 11 Mei 2011 itu mungkin pernah dihebohkan oleh media. Rasanya saya yang ketinggalan komuter. Apabila saya fikir-fikirkan peserta konvensyen dan muzakarah juga ketinggalan komuter. Alasannya sudah saya nyatakan dalam perenggan yang di atas. Kini saya tertanya-tanya pula, benarkah Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu yang bermesyuarat pada 11 Mei 2011 “bersetuju menerima istilah bahasa Melayu supaya dikekalkan”?

24 Disember 2012

Kebetulan atau Suratan?

Mohd Isa Abd Razak: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Perkataan “kebetulan” tidak sesuai digunakan oleh orang Islam kerana apa-apa yang berlaku adalah suratan. Saya mohon ustaz berikan hujah/nas yang menyokong pandangan ini. Saya ucapkan terima kasih atas sambutan ustaz. (23 Disember 2012)

19 Disember 2012

Kembalikan Huruf ĕ

Citra yang di atas dapatan tinjauan mudah yang saya lakukan melalui blog ini pada tahun 2011. Keputusannya, 80% pengguna bahasa Melayu mengatakan bahawa pengembalian huruf ĕ kepada sistem ejaan Rumi kini adalah wajar.

18 Disember 2012

Jom dan Usrah

Langit petang mendung. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Air laut pasang penuh. Tuk Ngah dan Abdul Fattah duduk di bangku konkrit yang menghadap ke laut. Mereka menikmati pisang goreng yang dibeli di warung di tepi jalan.

Abdul Fattah bertanya, “Bolehkah kita sambung perbincangan di dalam kereta tadi, atuk?”

Tuk Ngah menjawab, “Tunggu sebentar, Abdul Fattah. Kita habiskan dahulu pisang goreng ini sambil menikmati elusan bayu, deburan ombak dan keindahan alam di tepi pantai.”

Sesudah selesai menikmati pisang goreng, minum teh bungkus dan mengucapkan alhamdulillah, Tuk Ngah bersuara, “Sekarang kita sambung perbincangan tentang perkataan jom. Fattah ulang perkara terakhir yang kita bincangkan semasa di dalam kereta tadi.”

14 Disember 2012

Ukhuwah dan Air Mata

Awal pagi itu Rusa merahku melompat-lompat di atas jalan batu kelikir. Jalan itu menjadi laluan utama lori balak. Aku memaksa Rusaku melalui jalan itu sebagai jalan pintas untuk ke Kampung Minawo. Jarak kampung itu dari rumah sewaku cuma sepuluh kilometer. Jikalau aku melalui jalan yang bertar, jaraknya hampir dua kali ganda.

Rusaku menamatkan larian di jalan yang berlopak-lopak. Kini aku dan dua orang anakku sudah berada di simpang ke Kampung Minawo Dari simpang itu hingga ke Pusat Latihan Dakwah, jalannya bertar. Jalan itu memudahkan orang Tionghua pergi ke kuil di atas bukit. Jalan itu juga memudahkan perjalanan orang yang berkemampuan untuk bersantai di persantaian yang terletak di lereng bukit tidak jauh dari kuil.

10 Disember 2012

Penjodoh Bilangan untuk Rebung

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Pelajar Edisi Kedua, rebung ialah anak buluh yang masih lembut. Ada peribahasa “melentur buluh biarlah waktu rebung” yang bermaksud mengajar anak biarlah ketika dia masih kecil. Berdasarkan takrif kamus dan sifat rebung yang dapat dilentur seperti yang digunakan dalam peribahasa, ketinggian rebung dapatlah dianggarkan dari sekaki hingga melebihi tinggi manusia. Walau bagaimanapun, ketinggian rebung yang dibuat sayur lazimnya antara enam inci hingga dua kaki.

Rebung yang dibuat sayur, juga yang sudah tidak sesuai disayur, ada batang, ada pucuk tirus dan ada daun kecil yang tirus juga di hujung kelopak. Kelopak ada miang dan membaluti batang. Sebahagian batang lembut yang berkelopak itulah yang dijadikan sayur sesudah dibuang kelopak dan bahagian yang keras.

06 Disember 2012

Diftong dan Vokal Berganding

Diftong ialah gabungan dua bunyi vokal yang disebut dalam satu suku kata akibat perubahan kedudukan lidah. Takrif ini diberikan oleh Kamus Linguistik terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Contoh yang diberikan ialah [ai] dalam pandai dan [au] dalam pulau.

03 Disember 2012

Kawan Mereka Penguasa

Penguasa negara rakan kenalan mereka
penguasa negeri handai taulan mereka
penguasa tempatan karib ikrab mereka
penguasa perbadanan teman rapat mereka
penguasa syarikat sahabat setia mereka
penguasa persatuan ialah mereka.

Berkawan dengan penguasa keperluan mereka
kerana penguasa pembuka peluang perintis jalan
kerana penguasa nama terjulang mewah makan
kerana penguasa pemberi bintang bergemerlapan.

Kawan mereka penguasa bertunjang wibawa
sumber ilham tema karya pembakar cita
rendah hati tinggi budi sungguh cendekia
juara rakyat johan gagasan alim agama
gunung berlian bukan tandingan jasa.

Mereka berdoa sepenuh hati
“ya Allah yang Rabbi
lindungan penguasa kami daripada pemfitnah
yang lakunya sudah dibuktikan sumpah laknat
nafsunya bergelojak mahu merampas amanah
daripada penguasa kami yang ikhlas berkhidmat
mengutamakan pencapaian mendahulukan rakyat
memikul amanat menatang minyak penuh di dulang
membela nasib bangsa kecemerlangan dijulang
syiar-Mu bergemerlapan dalam pelbagai acara
sambung-menyambung dari kampung ke antarabangsa.”

Mereka menafikan bahawa mereka bersiasah
dengan ungkapan, “kami hanya menyatakan kebenaran
demi masa depan demi agama penguasa kini kita kekalkan
hasrat murni jangan sesekali kaupersendakan
wahai suku-sakat anak buah bapa syaitan!”

Mereka menafikan bicara siasah dalam buku wajah
mereka berkata, “kecuali siasah
perharian diri bergerak dan berlari ke sana ke mari
risau rimas lemas suka ceria sepanjang hari
cetusan minda renungan kendiri
wawasan bahasa: baku, santun, berjati diri
dan pelbagai lagi ada di sini.”

Kata mereka, “kecuali siasah
luahkan perasaan lahirkan fikiran
ceriterakan kasih keluarga berlimpahan
nukilkan perihal kegigihan meneruskan perkhidmatan
serlahkan bakti kepada negeri dan watan
titipkan doa kepada Allah al-Rahman
di buku wajah beribu rakan.”

Kata mereka, “buku wajah bukan wadah siasah
BERSIH itu penyepah sampah
unjuk rasa demi bahasa bukan budaya ummah
membesarkan kisah pengharam jadah dikutuki Allah.”

Mereka pendukung gagasan rakyat didahulukan
penyerlah kebaikan pelan induk pendidikan
promoter kepatuhan kepada penguasa berterusan
kata mereka, “buku wajahku bukan laman bicara siasah
bukan!”

Port Dickson
4 Disember 2012

02 Disember 2012

Sabah Tempat Bermain: Pendahuluan

Sabah Tempat Bermain


Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah sarwa sekalian alam. Salam dan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam.

Himpunan catatan kenang-kenangan Sabah Tempat Bermain ini meliputi tempoh lebih kurang 10 tahun, iaitu dari bulan September tahun 1971 hingga bulan Disember 1984. Tempoh dari bulan Jun 1976 hingga bulan April 1979 tidak dikira. Pada masa itu saya belajar di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Peristiwa pilihan di USM saya serapkan dalam catatan tertentu yang latar belakangnya tetap Sabah.

Himpunan catatan ini disusun berdasarkan urutan masa dan berasaskan tempat saya bertugas. Walau bagaimanapun, kandungan beberapa catatan disorot ke belakang demi menjaga tumpuan dan liputan sesuatu tajuk. Sorotan ke belakang sama ada secara terus atau dengan teknik tertentu saya lakukan demi keutuhan urutan penceritaan.

Susunan setiap catatan ialah satu atau beberapa peristiwa dalam lingkungan tajuk. Saya berusaha menggambarkan peristiwa, tempat, suasana, perasaan dan sebagainya. Ada gambaran itu saya rincikan untuk menimbulkan kesan dan perutusan. Penentuan kesan dan perutusan itu saya serahkan kepada daya rasa dan budi daya pembaca.

Saya berusaha untuk membina urutan sebab-akibat atau plot bagi setiap catatan. Rasanya, usaha itu berjaya bagi beberapa catatan sehingga berkemungkinan dianggap sebagai cerpen. Bagi catatan tertentu, saya akui bahawa usaha itu kurang berjaya. Saya berharap pembaca dapat menerima kekurangan itu sesuai dengan penggunaan perkataan catatan atau nukilan yang lebih mirip kepada lakaran.

Saya mengehadkan panjang setiap catatan. Secara purata, panjang catatan dalam himpunan ini kira-kira 1,300 patah perkataan. Kepanjangan yang terkawal ini saya harap dapat membantu pembaca yang kebanyakannya sibuk agar dapat berhenti setelah membaca satu atau beberapa catatan dan menyambung pembacaan pada masa lapang yang lain.

Semua catatan dalam buku ini berasaskan peristiwa sebenar. Nama orang, tempat dan sebagainya semuanya benar. Namun, demi keberkesanan penyampaian, kebanyakan gambaran peristiwa saya kreatifkan. Hal ini bermakna ada tokok tambah, khususnya gambaran suasana dan dialog. Nama orang, tempat dan masa kejadian yang saya sudah lupa atau tidak pasti, saya perikan secara umum seperti “seorang anak Saroh”, “di suatu tempat” dan “pada hujung tahun”. Saya sengaja meninggalkan beberapa peristiwa atas beberapa sebab seperti untuk menjaga kelancaran catatan, mengelakkan timbulnya persoalan kewilayahan dan agar tidak melanggar peruntukan Akta Rahsia Rasmi.

Saya sudah berusaha untuk meninggalkan apa-apa yang dapat dianggap sebagai pendedahan aib. Juga, apabila dalam sesuatu peristiwa ada pertentangan pendirian antara saya dengan orang perseorangan atau kumpulan, saya berusaha untuk memberikan gambaran yang seimbang. Walau bagaimanapun, gambaran dalam catatan tertentu ada kemungkinan dapat menyinggung perasaan sesiapa. Jikalau hal itu berlaku, saya memohon kemaafan daripada mereka yang berkenaan.

Semua catatan dalam buku ini pernah disiarkan dalam blog saya. Pada peringkat awal, penyiarannya tidak berurutan. Catatan yang disiarkan itu saya anggap sebagai kelainan permulaan. Semua kelainan permulaan itu disemak berkali-kali dan dimurnikan. Dalam usaha penyemakan dan pemurnian, saya menerima pandangan rakan-rakan buku wajah. Kepada mereka yang sudi memberikan maklumat dan cadangan penambahbaikan, saya ucapkan terima kasih yang setinggi-tingginya.

Saya mengakui bahawa wacana catatan ini belum cukup utuh. Hal itu terjadi kerana sebahagian bahan seperti gambar, penerbitan maktab dan surat yang saya simpan di rumah ibu musnah dalam kebakaran pada 17 Jun 1988. Selain itu, kekangan tertentu, termasuk kewangan, menyebabkan saya tidak “turun ke gelanggang” untuk melakukan penentusahan. Insya-Allah, sekiranya buku ini mendapat sambutan dan ada cadangan untuk penerbitan edisi kedua, saya bersedia untuk melakukan penambahbaikan dan pemurnian.

Ketika menghasilkan buku ini, isteri dan anak bongsu saya terpaksa mengurus diri masing-masing. Kecuali bagi kes tertentu seperti untuk ke hospital pada tengah malam, mereka berusaha tidak mengganggu tumpuan perhatian saya. Saya menghargai keprihatinan mereka. Saya rakamkan ucapan terima kasih dan kasih sayang kepada mereka.

Sesungguhnya, tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah. Ampuni hamba atas kelalaian dan kemungkinan timbulnya sifat mazmumah berikutan penerbitan buku ini. Wallahuaklam. Wassalam.

Tentang Penulis

Masukan ini ialah lampiran 2 himpunan catatan kenang-kenangan “Sabah Tempat Bermain”.


Mohd Isa bin Abd Razak pernah dikenali dengan nama pena Rasmi Safar, Isa Razak, Cikgu Isa dan beberapa nama pena lain secara bermusim, khususnya dalam komunikasi maya. Dia lahir pada tahun 1952 di Kampung Permatang Pasir, Linggi, Negeri Sembilan. Dia menghabiskan usia mudanya di luar Negeri Sembilan, iaitu dua tahun di Kedah, tiga tahun di Pulau Pinang dan hampir 30 tahun di Sabah.

Citra Pilihan

Masukan ini ialah lampiran 1 himpunan catatan kenang-kenangan "Sabah Tempat Bermain".
Gambar 1: Pasport antarabangsa penulis yang pertama. Pasport ini dibuat semasa penulis belajar di Institut Kemahiran MARA, Alor Setar. Rujuk bab 1.

Muzakarah Munsyi Dewan 2012


Prof. Dr. Haji Awang Sariyan
Muzakarah Munsyi Dewan diadakan di Institut Aminudin Baki, Genting Highland dari 28 November hingga 1 Disember 2009. Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Tuan Profesor Dr. Haji Awang bin Sariyan merasmikan muzakarah itu. Selepas menyampaikan ucap utama, beliau menerima Anugerah Wira Cendekia Bahasa. Wakil Munsyi Dewan mengalungkan selempang Wira Cendekia Bahasa kepada beliau dan menyampaikan cenderamata senaskhah mashaf al-Quran beserta terjemahan dan catatan tajwid dan sepersalinan pakaian kebangsaan yang lengkap dengan kain songket.