02 Disember 2012

Sabah Tempat Bermain: Pendahuluan

Sabah Tempat Bermain


Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah sarwa sekalian alam. Salam dan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam.

Himpunan catatan kenang-kenangan Sabah Tempat Bermain ini meliputi tempoh lebih kurang 10 tahun, iaitu dari bulan September tahun 1971 hingga bulan Disember 1984. Tempoh dari bulan Jun 1976 hingga bulan April 1979 tidak dikira. Pada masa itu saya belajar di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Peristiwa pilihan di USM saya serapkan dalam catatan tertentu yang latar belakangnya tetap Sabah.

Himpunan catatan ini disusun berdasarkan urutan masa dan berasaskan tempat saya bertugas. Walau bagaimanapun, kandungan beberapa catatan disorot ke belakang demi menjaga tumpuan dan liputan sesuatu tajuk. Sorotan ke belakang sama ada secara terus atau dengan teknik tertentu saya lakukan demi keutuhan urutan penceritaan.

Susunan setiap catatan ialah satu atau beberapa peristiwa dalam lingkungan tajuk. Saya berusaha menggambarkan peristiwa, tempat, suasana, perasaan dan sebagainya. Ada gambaran itu saya rincikan untuk menimbulkan kesan dan perutusan. Penentuan kesan dan perutusan itu saya serahkan kepada daya rasa dan budi daya pembaca.

Saya berusaha untuk membina urutan sebab-akibat atau plot bagi setiap catatan. Rasanya, usaha itu berjaya bagi beberapa catatan sehingga berkemungkinan dianggap sebagai cerpen. Bagi catatan tertentu, saya akui bahawa usaha itu kurang berjaya. Saya berharap pembaca dapat menerima kekurangan itu sesuai dengan penggunaan perkataan catatan atau nukilan yang lebih mirip kepada lakaran.

Saya mengehadkan panjang setiap catatan. Secara purata, panjang catatan dalam himpunan ini kira-kira 1,300 patah perkataan. Kepanjangan yang terkawal ini saya harap dapat membantu pembaca yang kebanyakannya sibuk agar dapat berhenti setelah membaca satu atau beberapa catatan dan menyambung pembacaan pada masa lapang yang lain.

Semua catatan dalam buku ini berasaskan peristiwa sebenar. Nama orang, tempat dan sebagainya semuanya benar. Namun, demi keberkesanan penyampaian, kebanyakan gambaran peristiwa saya kreatifkan. Hal ini bermakna ada tokok tambah, khususnya gambaran suasana dan dialog. Nama orang, tempat dan masa kejadian yang saya sudah lupa atau tidak pasti, saya perikan secara umum seperti “seorang anak Saroh”, “di suatu tempat” dan “pada hujung tahun”. Saya sengaja meninggalkan beberapa peristiwa atas beberapa sebab seperti untuk menjaga kelancaran catatan, mengelakkan timbulnya persoalan kewilayahan dan agar tidak melanggar peruntukan Akta Rahsia Rasmi.

Saya sudah berusaha untuk meninggalkan apa-apa yang dapat dianggap sebagai pendedahan aib. Juga, apabila dalam sesuatu peristiwa ada pertentangan pendirian antara saya dengan orang perseorangan atau kumpulan, saya berusaha untuk memberikan gambaran yang seimbang. Walau bagaimanapun, gambaran dalam catatan tertentu ada kemungkinan dapat menyinggung perasaan sesiapa. Jikalau hal itu berlaku, saya memohon kemaafan daripada mereka yang berkenaan.

Semua catatan dalam buku ini pernah disiarkan dalam blog saya. Pada peringkat awal, penyiarannya tidak berurutan. Catatan yang disiarkan itu saya anggap sebagai kelainan permulaan. Semua kelainan permulaan itu disemak berkali-kali dan dimurnikan. Dalam usaha penyemakan dan pemurnian, saya menerima pandangan rakan-rakan buku wajah. Kepada mereka yang sudi memberikan maklumat dan cadangan penambahbaikan, saya ucapkan terima kasih yang setinggi-tingginya.

Saya mengakui bahawa wacana catatan ini belum cukup utuh. Hal itu terjadi kerana sebahagian bahan seperti gambar, penerbitan maktab dan surat yang saya simpan di rumah ibu musnah dalam kebakaran pada 17 Jun 1988. Selain itu, kekangan tertentu, termasuk kewangan, menyebabkan saya tidak “turun ke gelanggang” untuk melakukan penentusahan. Insya-Allah, sekiranya buku ini mendapat sambutan dan ada cadangan untuk penerbitan edisi kedua, saya bersedia untuk melakukan penambahbaikan dan pemurnian.

Ketika menghasilkan buku ini, isteri dan anak bongsu saya terpaksa mengurus diri masing-masing. Kecuali bagi kes tertentu seperti untuk ke hospital pada tengah malam, mereka berusaha tidak mengganggu tumpuan perhatian saya. Saya menghargai keprihatinan mereka. Saya rakamkan ucapan terima kasih dan kasih sayang kepada mereka.

Sesungguhnya, tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah. Ampuni hamba atas kelalaian dan kemungkinan timbulnya sifat mazmumah berikutan penerbitan buku ini. Wallahuaklam. Wassalam.

Tiada ulasan: