Memaparkan catatan dengan label Bahasa Kebangsaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahasa Kebangsaan. Papar semua catatan

14 Julai 2012

Tuntutan Dong Zong Melampau

Ada Rakyat Malaysia Memperlekeh Bahasa KebangsaanKebanyakan Pelajar Tingkatan Empat Keturunan Cina Tidak Mencintai Bahasa KebangsaanKisah di Pusat Dokumentasi Melayu: Mereka Memilih Laluan Sempit di Hadapan SayaPenyetaraan Bahasa Lain dengan Bahasa Kebangsaan Ditolak || Bahasa Melayu Asas Kontrak Sosial || Diberi Betis, Hendak Paha |PAGE Terus Mengungguli Gelaran Penyokong Tegar PPSMI |

Saya mengucapkan syabas kepada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Haji Awang Sariyan, kerana menegur sikap melampau Dong Zong. Teguran beliau termuat dalam akhbar dalam talian Malaysiakini pada 13 Julai 2012. Beliau menyifatkan tuntutan Dong Zong agar pelbagai bahasa pengantar diperkenalkan dalam sistem pendidikan bersifat chauvinistic dan menyalahi Perlembagaan.

28 April 2011

Gunakan Bahasa Melayu Baku - Datuk Seri Dr. Rais Yatim

Rancangan Televisyen, Radio Guna Bahasa Melayu dengan Betul
MStar Online, Rabu, 27 April 2011

JELEBU: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mahu supaya bahasa Melayu digunakan dengan betul dalam semua rancangan di radio dan televisyen. (MIAR: mahu = dikehendaki = keadaan kini “kurang betul.)

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata rakyat Malaysia tidak perlu khuatir untuk mengucapkan Bahasa Melayu dengan jelas dan betul kerana bahasa itu setanding dengan Bahasa Inggeris.

20 April 2011

Timbalan Perdana Menteri Selasa Menggunakan Istilah “Bahasa Melayu”


Pada hari ini, 20 April 2011 berlangsung majlis sambutan kunjungan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin ke Beijing Foreign Studies University (ke BFSU) dalam rangka kunjungan rasminya ke Republik Rakyat China. Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di BFSU, Profesor Dr. Haji Awang Sariyan memberikan gambaran sambutan itu dalam blognya. Antara lain beliau menulis:

Malah dalam hal istilah “bahasa Melayu” dan “bahasa Malaysia” yang masih menjadi polemik di Malaysia, beliau tampaknya secara agak tekal menggunakan istilah “bahasa Melayu”. Apabila sesekali beliau tersebut istilah “bahasa Malaysia”, dengan segera beliau membetulkannya dengan berkata, "... maksud saya bahasa Melayu."

Beliau juga menulis, “Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam majlis antarabangsa seperti itu patut dicontoh oleh para pemimpin dan para pentadbir semua sektor awam.”

Saya berharap, harapan ini dan yang seumpamanya didengar oleh para pemimpin dan para pentadbir. Saya yakin Profesor Dr. Haji Awang Sariyan pernah dan akan terus menyatakan harapan ini dan yang seumpamanya melalui ceramah, tulisan, memorandum dan sebagainya. Kita memerlukan lebih banyak rakan yang dapat menyampaikan hasrat murni kita melalui media di bawah urus tadbir mereka.

Saya mencadangkan agar pengunjung membaca tulisan Profesor Dr. Haji Awang Sariyan di blog Kembara Bahasa. Perbincangan di Facebook: Klik di sini. Masukan yang berkaitan: Klik di sini.

12 Mac 2010

Ada Rakyat Malaysia Memperlekeh Bahasa Kebangsaan

1. Selepas merdeka lebih 52 tahun, masih ada rakyat Malaysia tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan (BK) dengan baik.

2. Ada guru mempersoal penggunaan BK untuk laporan rasmi kerana laporan sudah dibuat dalam bahasa Mandarin. Mereka kata, pegawai pelajaran perlu memahami bahasa Mandarin. Mereka tidak menghormati BK. Patutkah Jabatan Pelajaran membenarkan mereka terus menggunakan bahasa Mandarin dalam laporan rasmi?

Lampiran

1. Ketika melalui pekan Tronoh, Perak, baru-baru ini, yang diamati ialah bahawa masih ada rakyat Malaysia yang tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu. Hal tersebut tentu sekali amat mengecewakan kerana bahasa Melayu bahasa kebangsaan. Maka timbul pertanyaan: Mengapakah hal tersebut berlaku? (Bingkisan Editor oleh Armin Azhari Saleh, “Dua Puluh Tahun Menyempurnakan Bahasa”, Pelita Bahasa, Mac 2009, halaman 3.)

2. Sebuah rancangan televisyen mendedahkan ketidakupayaan rakyat negara ini bertutur dalam bahasa kebangsaan di Pulau Ketam. Pada bulan Mac yang lalu, Pelita Bahasa mendedahkan hal yang sama yang berlaku di Tronoh. Maka timbul pertanyaan Penduduk kawasan manakah lagi yang tidak mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan?

Situasi tersebut menunjukkan bahawa seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Setelah melalui sistem pendidikan sekurang-kurangnya 11 tahun, tentu tidak munasabah jika masih ada rakyat negara ini yang tidak berupaya bertutur dalam bahasa kebangsaan. (Bingkisan Editor oleh Armin Azhari Saleh, “Mengubah Tanggapan Masyarakat tentang Bahasa Kebangsaan”, Pelita Bahasa , September 2009, halaman 3.)

3. Setelah 52 tahun merdeka, yang didapati ialah bahawa masih ada rakyat negara ini yang tidak mampu menggunakan bahasa kebangsaan yang betul, baik lisan mahupun tulisan. Yang lebih mendukacitakan ialah ada rakyat yang tidak dapat bertutur dalam bahasa kebangsaan. Keadaan di Tronoh dan Pulau Ketam membuktikan hal tersebut. Keadaan tersebut seolah-olah memberikan gambaran bahawa gerakan mendaulatkan bahasa kebangsaan tidak mendatangkan hasil seperti yang dikehendaki. (Bingkisan Editor oleh Armin Azhari Saleh, “Gerakan Mendaulatkan Bahasa Kebangsaan”, Pelita Bahasa, Oktober 2009, halaman 3.)

03 Mac 2010

Hari Ini dalam Sejarah: 43 Tahun Keranda 152

Pada hari ini genaplah 43 tahun peristiwa Keranda 152. Peristiwa itu berlaku pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Pada masa itu, para pejuang dan pencinta bahasa Melayu berkumpul di DBP dan kemudian mereka berarak ke Parlimen dengan mengusung keranda.

24 Februari 2010

Jangan Gunakan Kuasa Tikus bagi Membela Labu

Wacana Peradaban Bahasa Melayu bersempena dengan Hari Pejuang Bahasa 152 di Balai Budaya Tun Syed Nasir Ismail, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 15 Februari 2010 menampilkan empat orang panel.

21 Januari 2010

Radio dan Televisyen Dilarang Menggunakan Sebutan Baku

Petikan Akhbar 1
STESEN TV, RADIO DIARAH TIDAK GUNA BAHASA BAKU
Oleh Lawrence Quek (Utusan Malaysia, 21 Januari 2000)

PUTRAJAYA 20 Jan. - Semua stesen televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta diarah tidak menggunakan sebutan bahasa Melayu baku kerana ia tidak menggambarkan realiti berbahasa penduduk di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rais Yatim berkata, keputusan itu telah dicapai oleh Jemaah Menteri semasa mesyuarat mingguannya semalam. (Khamis, 20 Januari 2000)

Menurutnya, kerajaan bersetuju supaya hanya gaya sebutan bahasa Melayu di RTM saja diguna pakai memandangkan sebutan baku dianggap tidak menggambarkan realiti masyarakat Malaysia.

Beliau menegaskan, adalah tidak wajar bidang penyiaran di negara ini gunakan pelbagai sebutan sedangkan sistem sebutan dan ejaannya satu.

''Mulai sekarang RTM, TV3 dan media lain perlu menggunakan satu jenis sebutan dalam penyiaran mereka.

''Ini wajar sebab kita ada satu bahasa kebangsaan dan langkah ini membantu kerajaan menyatupadukan penduduk pelbagai kaum di negara ini,'' katanya.

….

Menurut Rais, penyelarasan itu bertujuan mengurangkan kekeliruan kepada pendengar dan pengguna bahasa kebangsaan.

Sebagai contoh, jelasnya, terdapat perkataan yang disebut dengan menekankan aspek kebakuan bahasa sehingga menimbulkan kejanggalan.

Beliau berkata, stesen televisyen dan radio juga perlu mengutamakan penggunaan perkataan atau istilah bahasa Melayu dalam penyampaian mereka.

''Tujuan kita melakukan semua ini bukan disebabkan soal penggunaan bahasa Melayu sekarang tidak elok atau sebagainya, tapi ingin mengemaskannya lagi.

''Saya sebagai pencinta turut mengalu-alukan keputusan kabinet ini,'' tambahnya.

Rais memberitahu, keputusan terperinci Jemaah Menteri itu akan diumumkan secara mendalam oleh menteri yang berkaitan dengan bidang penyiaran tidak lama lagi.

Sebutan baku bahasa Melayu diperkenalkan pada 1998 dengan penggunaannya dalam bidang penyiaran dipelopori oleh TV3. Pada tahun yang sama Kementerian Pendidikan turut memperkenalkan sebutan baku bahasa Malaysia di sekolah rendah dan menengah.

25 November 2009

Benarkah Bahasa Melayu Teras Bahasa Kebangsaan?

Kamus Dewan Edisi Keempat memberikan tiga makna bagi perkataan “teras”. Yang pertama, teras ialah bahagian yang keras dalam batang kayu atau dikenali juga sebagai hati kayu. Yang kedua, teras ialah bahagian beras dan lain-lain yang sudah dibersihkan. Yang ketiga, teras ialah kiasan bagi sesuatu yang terpenting, isi yang terbaik, atau sesuatu yang menjadi asas atau dasar bagi sesuatu.

Bahasa Melayu "Teras" Bahasa Kebangsaan

"Sebagai lambang identiti bangsa, maka bahasa Melayu yang menjadi teras kepada bahasa kebangsaan yang menyatukan semua kaum di negara ini menjadi ciri atau simbol yang membezakan Malaysia dengan negara-negara di dunia.”
Azman Ismail, “Titik Persamaan dalam Bahasa Kebangsaan”, Dewan Bahasa, Oktober 2009, halaman 21.

Pedoman Bahasa (JPEG) 071. Minda Penulis.

08 Februari 2009

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, Akta 32, Kemas Kini 2006

Tajuk ringkas, pemakaian dan permulaan kuat kuasa

1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan hendaklah, tertakluk kepada subseksyen (2), dipakai di seluruh Malaysia.

(2) Akta ini hendaklah mula berkuat kuasa di Negeri Sabah dan Sarawak pada tarikh yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri masing-masing, melalui enakmen Badan Perundang-undangan Negeri masing-masing dan tarikh yang berlainan boleh ditetapkan bagi permulaan kuat kuasa peruntukan yang berlainan dalam Akta ini di Negeri-Negeri itu.

Bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi

2. Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta ini dan tertakluk kepada perlindungan-perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152(1) Perlembagaan berhubung dengan mana-mana bahasa lain dan bahasa mana-mana kaum lain di Malaysia bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.

Penggunaan terjemahan

3. Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak Kerajaan mana-mana Negeri untuk menggunakan apa-apa terjemahan dokumen atau perutusan rasmi dalam mana-mana bahasa lain bagi apa-apa maksud yang difikirkan perlu demi kepentingan awam.

Penggunaan berterusan bahasa Inggeris boleh dibenarkan

4. Yang di-Pertuan Agong boleh membenarkan penggunaan berterusan bahasa Inggeris bagi apa-apa maksud rasmi sebagaimana yang difikirkan patut.

Penggunaan bahasa Inggeris boleh dibenarkan dalam Parlimen dan Dewan Undangan

5. Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua Dewan Undangan mana-mana Negeri, atau seseorang lain yang sedang menjalankan fungsi mana-mana jawatan itu, boleh membenarkan seseorang anggota mana-mana satu Majlis Parlimen atau seseorang anggota Dewan Undangan menggunakan bahasa Inggeris apabila memberikan ucapan kepada, ataupun apabila mengambil bahagian dalam kerja, Majlis Parlimen atau Dewan Undangan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan.

6. Teks—

(a) bagi segala Rang Undang-Undang yang akan dikemukakan atau pindaan kepadanya yang akan dicadangkan dalam Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan Negeri;

(b) bagi segala Akta Parlimen dan segala perundang-undangan subsidiari yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan;

(c) bagi segala Enakmen dan perundangan subsidiari yang dikeluarkan oleh mana-mana Kerajaan Negeri; dan

(d) bagi segala Ordinan yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong,

hendaklah dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa Inggeris, dan teks dalam bahasa kebangsaan itu adalah sahih melainkan jika Yang di-Pertuan Agong menetapkan sebaliknya sama ada secara am atau bagi mana-mana undang-undang atau jenis undang-undang yang tertentu.

Undang-undang bertulis yang diperbuat sebelum 1 September 1967

7. (1) Jika mana-mana undang-undang bertulis yang diperbuat sebelum satu hari bulan September 1967 telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan terjemahan undang-undang itu sebagai sahih.

(2) Tiada apa-apa jua dalam seksyen 6 boleh dipakai bagi pindaan mana-mana undang-undang bertulis yang diperbuat sebelum satu hari bulan September 1967, sehingga undang-undang bertulis itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan dan terjemahan itu telah ditetapkan sebagai sahih.

Bahasa Mahkamah

8. Segala prosiding (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi) dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah hendaklah dalam bahasa kebangsaan:

Dengan syarat bahawa Mahkamah boleh, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan mana-mana pihak dalam mana-mana prosiding dan selepas menimbangkan kepentingan keadilan dalam prosiding itu, memerintahkan supaya prosiding itu (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi) dijalankan sebahagiannya dalam bahasa kebangsaan dan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris.

Tulisan bagi bahasa kebangsaan

9. Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.

Bentuk angka

10. Bentuk angka dalam bahasa kebangsaan ialah bentuk angka Arab.

Borang

11. Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dengan nyata, apabila sesuatu borang dalam bahasa Inggeris ditetapkan oleh mana-mana undang-undang bertulis, terjemahan borang itu dalam bahasa kebangsaan oleh orang atau pihak berkuasa yang ditetapkan dari semasa ke semasa dengan perintah oleh Perdana Menteri boleh digunakan bagi segala maksud yang baginya borang itu boleh digunakan jika borang itu dalam bahasa Inggeris.

Akta asal di sini. Salinannya di sini. Perkara 152 Perlembagaan di sini. Jika ada versi terkini, sila catatkan dalam ruangan ulasan.

20 Januari 2009

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan

Pencinta bahasa Melayu wajar mengetahui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Pelajar Pengajian Melayu pula, termasuk di institut perguruan, perlu merujuki Perkara 152 dari semasa ke semasa. Penyiaran Perkara 152 di sini diharap dapat membantu mereka. Jika ada kesilapan, mohon catatkan pembetulan dalan ruangan ulasan.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan

1 Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.

Dengan syarat bahawa:

(a) tiada sesiapapun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud, lain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

(b) tiada apa-apa juga dalam Fasal ini boleh menyentuh hak kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri bagi memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan.

2 Walau apa-apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan dalam kedua-dua Majlis Parlimen, dalam Dewan Negeri tiap-tiap negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.

3 Walau apa-apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, naskhah yang sahih:

(a) bagi segara Rang Undang-undang yang hendak dikemukakan atau pindaan-pindaan mengenainya yang hendak dicadangkan dalam mana-mana Majlis Parlimen, dan

(b) bagi segala Akta Parlimen dan segala perundang-undangan kecil yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

4 Walau apa-apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, segala perbicaraan dalam Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dijalankan dalam bahasa Inggeris. Dengan syarat bahawa, jika mahkamah dan peguam kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak payah diterjemah atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

5 Walau apa-apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, segala perbicaraan dalam Mahkamah rendah, lain daripada mengambil keterangan, hendaklah dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Sila rujuk: Wilkipedia, Perlembagaan Malaysia/Am dan Pelbagai dan Wilkipedia, Perkembangan Bahasa Malaysia.