25 November 2009

Benarkah Bahasa Melayu Teras Bahasa Kebangsaan?

Kamus Dewan Edisi Keempat memberikan tiga makna bagi perkataan “teras”. Yang pertama, teras ialah bahagian yang keras dalam batang kayu atau dikenali juga sebagai hati kayu. Yang kedua, teras ialah bahagian beras dan lain-lain yang sudah dibersihkan. Yang ketiga, teras ialah kiasan bagi sesuatu yang terpenting, isi yang terbaik, atau sesuatu yang menjadi asas atau dasar bagi sesuatu.

Makna yang ketiga luas penggunaannya. Hal ini dikatakan demikian kerana pengguna bahasa Melayu menggunakan kata "teras" secara kiasan dalam pelbagai konteks. Mereka mencipta berbagai-bagai ungkapan yang menggunakan perkataan “teras” secara kiasan.

Negara kita pernah menggunakan kata “teras” dalam tema Hari Kebangsaan, iaitu “Nasionalisme Teras Perpaduan” pada tahun 1985 dan “Perpaduan Teras Kejayaan” pada tahun 2008. Kata “teras” juga digunakan dalam tema Hari Guru, iaitu “Pendidikan Teras Perpaduan Negara” (1980), “Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan” (1983), “Pendidikan Teras Nasionalisme” (1986), “Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan” (1992), dan “Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia” (1996). Ungkapan popular yang menggunakan kata teras pula ialah ungkapan “UMNO ialah teras Barisan Nasional”.

Apabila kita teliti makna “teras” dalam ungkapan ini, kita dapati “teras” itu ialah bahagian terpenting, terbaik atau asas bagi sesuatu yang diperkatakan. Sebagai contoh, kita perhatikan ungkapan “Perpaduan Teras Kejayaan”. Ungkapan ini bermaksud perpaduan ialah unsur terpenting untuk mencapai kejayaan. Unsur lain seperti ekonomi dan dasar negara juga merupakan faktor kejayaan. Tegasnya, faktor kejayaan negara lebih daripada satu dan terasnya ialah perpaduan.

Demikian jugalah halnya dengan ungkapan “UMNO ialah teras Barisan Nasional”. Kita maklum, Barisan Nasional terdiri daripada pelbagai parti. Antaranya termasuklah Malaysian Chinese Association (MCA), Malaysia Indian Congress (MIC) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). Parti terbesar dan terpenting dalam Barisan Nasional ialah United Malay National Organisation (UMNO).

Ungkapan “bahasa Melayu yang menjadi teras bahasa kebangsaan” dapat dipendekkan menjadi “bahasa Melayu sebagai teras bahasa kebangsaan” atau “bahasa Melayu teras bahasa kebangsaan”. Inti maknanya, bahasa Melayu ialah teras bahasa kebangsaan. Dengan berdasarkan huraian tentang ungkapan “Perpaduan Teras Kejayaan” dan “Umno ialah teras Barisan Nasional”, ungkapan ini membawa maksud bahawa bahasa kebangsaan terdiri daripada berbagai-bagai bahasa, dan bahasa yang terpenting ialah bahasa Melayu.

Dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tercatat bahawa “bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu”. “Benarkah bahasa Melayu teras bahasa kebangsaan?” Kita mungkin terperangkap apabila mengatakan “benar” atau “ya”. Jawapan kita mungkin diputarbelitkan jikalau kita mengatakan “tidak”. Oleh itu, katakan sahaja: Satu-satunya bahasa kebangsaan di negara kita ialah bahasa Melayu.

Tiada ulasan: