15 Ogos 2011

Penggunaan Huruf dalam Perkataan “Guru Besar”


Tuan Che Ros, mantan guru besar dan pensyarah. Kini tuan masih bertugas sebagai pengetua?
Perkataan guru besar ialah nama am. Sebagai nama am, keseluruhan perkataan ini ditulis dengan huruf kecil. Namun, huruf “g” ditulis dengan huruf besar apabila perkataan ini berada di awal ayat. Hal ini diperlihatkan dalam ayat contoh yang di bawah.

1. Kami berdiri berbanjar di hadapan guru besar.
2. Ia datang untuk menginterviu guru besar.
3. Ia sekarang sedang bertugas sebagai seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan Tanjung Keling.
4. Pensiswazahan guru besar boleh meningkatkan tahap profesionalisme dan maruah diri pentadbir di sekolah rendah.
5. Guru besar akan mengambil tindakan terhadap pelajar yang melanggar disiplin.

Kelima-lima ayat ini dipetik daripada Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK). Setakat yang dapat saya kesan, dalam KDEK ada sepuluh ayat yang mengandungi perkataan guru besar. Kesemua ayat itu diberikan dalam lampiran A. Pembaca dapat mengesan ayat itu dalam KDEK, di bawah kata dasar bagi perkataan yang ditulis dengan huruf condong.

Dalam Kamus Inggeris-Melayu Dewan (KIMD) pula terdapat 39 ayat yang mengandungi perkataan guru besar. Penggunaan huruf bagi perkataan itu sama dengan KDEK kecuali dua perkataan. Huruf pertama dua perkataan itu ditulis dengan huruf besar. Saya menganggap hal itu sebagai kesilapan. Sepuluh ayat pilihan daripada KIMD diberikan dalam lampiran B.

KDEK dan KIMD ialah kamus umum terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). KDEK dianggap kamus ekabahasa yang paling berwibawa di negara kita. KIMD pula dianggap sebagai kamus dwibahasa yang paling berwibawa. Rumusannya, DBP cenderung mengatakan bahawa perkataan guru besar ialah nama am dan penggunaan huruf bagi menuliskan perkataan itu hendaklah mengikut peraturan yang sedia ada.

Sebuah kamus ekabahasa lagi terbitan DBP yang ditujukan kepada pelajar ialah Kamus Pelajar Edisi Kedua (KP). Dalam kamus ini terdapat 17 ayat contoh yang mengandungi perkataan guru besar. Kesemua ayat itu ada dalam lampiran C. Huruf pertama perkataan guru besar dalam ayat pertama hingga ayat kelima belas ditulis dengan huruf besar. Hal ini menunjukkan bahawa KP menganggap perkataan guru besar ialah nama khas. Huruf pertama perkataan guru dalam ayat keenam belas dan ketujuh belas ditulis dengan huruf kecil. Saya menganggap hal ini sebagai kesilapan penyuntingan dan tidak membatalkan anggapan KP bahawa perkataan guru besar ialah nama khas.

Dalam Ensiklopedia Bahasa Melayu, Profesor Emeritus Dr. Asmah Haji Omar menyatakan “Berhubung dengan nama khas orang, ada jawatan khas yang dipegang oleh orang tertentu, dan jawatan khas ini juga adalah kata nama khas. Contoh yang beliau berikan ialah Ketua Pengarang, Pengurus dan Pegawai Pemasaran. Jadi, kita tidak menolak kemungkinan bahawa dalam keadaan tertentu perkataan guru besar dapat berfungsi sebagai nama khas.

Sebagai penegasan bahawa perkataan guru besar ialah nama am, perhatikan ayat ciptaan saya, “Semua guru besar di daerah ini dijangka hadir dalam perhimpunan itu.” Dalam ayat ini perkataan guru besar jelas nama am. Hal ini dikatakan demikian kerana, dari segi makna (semantik), rujukan untuk perkataan itu tidak tentu dan lebih daripada seorang. Silaplah sekiranya kita menganggap perkataan itu sebagai nama khas lalu kita menggunakan huruf besar untuk huruf “g” dan “b”.

Perkataan guru besar menjadi nama khas apabila digabungkan dengan ungkapan lain. Contohnya, Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Telupid. Dari segi semantik, guru besar dalam ayat ini khusus (spesifik). Ungkapan “Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Telupid” ialah satu unit nama khas yang utuh. Nama khas itu terdiri daripada enam patah perkataan.

Telupid ialah nama tempat di Sabah yang terletak di antara Ranau dengan Sandakan. Perkataan Telupid tetap berdiri sebagai nama khas walaupun dipisahkan daripada lima patah perkataan yang lain. Sebaliknya, kelima-lima perkataan itu menjadi nama am apabila dipisahkan daripada nama khas Telupid. Di sini jelas pada kita bahawa asal perkataan guru besar itu ialah nama am tetapi berfungsi sebagai sebahagian nama khas apabila digabungkan dengan nama khas.

Tegasnya anggapan bahawa perkataan guru besar ialah nama khas silap. Hal yang sebenarnya, perkataan itu berfungsi sebagai nama khas dalam keadaan tertentu.

Mari kita perhatikan satu contoh lagi. Seorang pengacara berkata, “Majlis mempersilakan Guru Besar untuk menyampaikan ucapan”. Guru besar dalam ayat ini ialah Encik Bongkos. Beliau ialah Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Melaut. Ketika menuturkan ayat ini pengacara itu menggugurkan nama khas “Encik Bongkos bin Gunda” dan “Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Melaut”.

Ayat ini dapat dimaniskan dengan ungkapan “Tuan Guru Besar” atau dikhususkan dengan ungkapan “Tuan Guru Besar sekolah kita”. Pengacara yang mengutamakan kata sapaan biasanya menggunakan ungkapan “Yang Berusaha Tuan Guru Besar” atau “Yang Berusaha Tuan Guru Besar sekolah kita”.

Pengacara yang sudah mengikuti kursus protokol pula dijangka menonjolkan ungkapan “Yang Berusaha Tuan Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Melaut” atau ungkapan lengkapnya “Yang Berusaha Tuan Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Melaut, Encik Bongkos bin Gunda”. Ungkapan yang lengkap ini wajar digunakan dalam majlis yang tinggi tahap kerasmiannya seperti perasmian sesuatu acara di sekolah itu oleh tetamu kehormat seperti Ketua Menteri Sabah.

Dari segi semantik, ungkapan terkecil “Guru Besar” khusus rujukannya, iaitu Encik Bongkos sebagai Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Melaut. Dalam kes ini, perkataan itu masih berstatus nama khas. Dalam kes ini pandangan Profesor Emeritus Dr. Asmah Haji Omar diterima pakai.

Dalam bukunya Nahu Kemas Kini pula Profesor Emeritus Dr. Asmah Haji Omar menulis, “Bahkan cara menulis dengan huruf besar juga tidak disyaratkan oleh peraturan nahu. Dalam sistem-sistem tulisan *selain daripada tulisan Rumi, tidak ada sistem huruf besar dan huruf kecil. Lihat sahaja tulisan Jawi.”

Jelas di sini bahawa Profesor Emeritus Dr. Asmah mengakui bahawa sistem huruf besar dan huruf kecil memang sebahagian daripada sistem tulisan (ejaan) Rumi. Oleh sebab itu Tatabahasa Dewan ada memberikan penerangan tentang perkara ini. Cuma penerangan itu terlalu ringkas. Tanpa panduan khusus, pengguna bahasa kebangsaan kita tetap berhadapan dengan masalah dari segi penggunaan huruf apabila mengeja perkataan seperti guru besar, pengetua, pengarah dan sebagainya.

Kita mempunyai buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu (PUEBM) untuk dirujuki. Bab kedua buku ini membicarakan penulisan huruf. Walau bagaimanapun, perbincangan dalam buku itu juga masih memerlukan sokongan perbincangan khusus seperti nota ini.

Antara pihak yang mesti memberikan perhatian tentang penulisan huruf termasuklah penulis, penyunting, guru, khususnya guru bahasa Melayu, dan pelajar. Oleh sebab penulisan huruf termasuk dalam sistem ejaan, dalam peperiksaan markah pelajar akan ditolak sekiranya mereka melakukan kesilapan penggunaan huruf besar dan huruf kecil. Oleh hal yang demikian, nota yang seperti ini wajar mendapat perhatian pelajar dan guru bahasa Melayu.

Wallahuaklam.

Lampiran A
Penggunaan Perkataan “Guru Besar” dalam Kamus Dewan Edisi Keempat

1. Kami berdiri berbanjar di hadapan guru besar.
2. Ia datang untuk menginterviu guru besar.
3. Ia sekarang sedang bertugas sebagai seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan Tanjung Keling.
4. Pensiswazahan guru besar boleh meningkatkan tahap profesionalisme dan maruah diri pentadbir di sekolah rendah.
5. Guru besar akan mengambil tindakan terhadap pelajar yang melanggar disiplin.
6. Guru besar hanya menjalankan urusan-urusan sekolah sahaja sedangkan kerja-kerja pejabat dibuat oleh seorang kerani.
7. Guru-guru besar yang ada hati perut mahu naik pangkat.
8. Pergaulannya di sekolah disukai oleh guru besar.
9. *Mengapa cikgu kita tidak mahu mengganti guru besar dalam mesyuarat itu?
10. Dia *adalah mantan guru besar sekolah itu.

Lampiran B
Penggunaan Perkataan “Guru Besar” Kamus Inggeris-Melayu Dewan

1. Apakah pandangan guru besar tentang perkara itu?
2. Dia berasa satu bebanan menjadi guru besar.
3. Dia dimarahi cukup-cukup oleh guru besar.
4. Dia meminta untuk berjumpa dengan guru besar.
5. Dia menjadi guru besar sekolah itu sebelum saya.
6. Guru besar jarang menggunakan rotan.
7. Guru besar memperkenalkan guru-guru kanan kepada tetamu kehormat.
8. Jika ada kanak-kanak yang jatuh sakit, beritahulah guru besar.
9. Semua murid berdiri apabila guru besar masuk.
10. Surat itu harus ditandatangani oleh guru besar.

Lampiran C
Penggunaan Perkataan “Guru Besar” dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua

1. Apabila Guru Besar datang, kami semua senyap sunyi.
2. Beliau telah menerima tawaran sebagai Guru Besar di sekolah itu.
3. Dia kecut perut apabila dipanggil oleh Guru Besar.
4. Guru Besar bercakap tentang sindrom malas membaca *di kalangan para pelajar.
5. Guru Besar berwenang untuk menjalankan pentadbiran sesebuah sekolah.
6. Guru Besar dengan bantuan beberapa orang Guru Penolong sibuk menerima murid-murid baru untuk darjah satu.
7. Guru Besar itu digeruni oleh para pelajar.
8. Guru Besar telah melantik Abdullah sebagai ketua murid.
9. Mereka hendak berjumpa dengan Guru Besar.
10. Murid-murid yang menang dalam peraduan mengarang telah menerima hadiah daripada Guru Besar.
11. Pembuli itu telah diberi amaran oleh Guru Besar.
13. Penyampaian hadiah akan dilakukan oleh Guru Besar.
14. Saya ingin berjumpa dengan Guru Besar tetapi dia jarang ada di pejabat.
15. Semua murid diam apabila Guru Besar masuk ke dalam bilik darjah.
16. Beberapa orang murid yang membolos telah diberi amaran oleh guru besar.
17. Cukuplah dengan memberitahu saya saja, tidak perlu menemui guru besar.

Tiada ulasan: