26 April 2009

Abjad Jawi 2008

Klik gambar untuk melihat citra yang lebih besar.

Masukan terdahulu

Masukan ini mengetengahkan jpeg “Abjad Jawi 2008”. Jpeg ini berasaskan Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua (DKBM, 2008). Jumlah dan nama huruf sama dengan DBKM Edisi Pertama (2001, 2005). Dalam jpeg ini disertakan juga transkripsi sebutan huruf tertentu seperti yang terdapat dalam DBKM Edisi Kedua itu. Susunan huruf diberi nombor dan ditandakan juga huruf ciptaan Melayu.

Tiada huruf ye dan nya dalam senarai huruf Jawi DKBM Edisi Kedua itu. Hal ini jelas satu kesilapan. Namun, huruf ye dan nya tetap tersenarai di bawah subtajuk “Bentuk Huruf dan Cara Penulisannya”.

Jpeg ini wajar menggantikan jpeg “Abjad Jawi Bentuk Tunggal Terkini” yang diterbitkan pada 29 Januari 2009.

Pedoman Bahasa (JPEG) 055. Jawi: Abjad 2008.

Nota pada 29 Jun 2012
1. Transkripsi sebutan/nama huruf ke-36 [ye] dalam carta di atas berdasarkan DKBM Edisi Kedua. Dalam DKBM Edisi Kedua itu simbol [e] digunakan untuk e pepet seperti dalam perkataan [e.mas]. Simbol [é] digunakan untuk e taling seperti dalam perkataan [é.kor]. Transkripsi [ye] dalam DKBM Edisi Kedua sama dengan [y«] dalam fonetik.


2. Kamus Dewan Edisi Keempat mengatakan "ye" ialah “huruf ke-35 abjad Jawi”.

3. Soalan: Bilakah huruf Jawi "ye" mula digunakan? Adakah "ye" diterima sebagai huruf vokal? (Jika ya, jumlah huruf vokal Jawi kini ialah empat.) Jawapan Khidmat Nasihat DBP (KNDBP) pada 3 Oktober 2006: "Ye" ialah e pepet akhir dalam sistem tulisan Jawi yang dilambangkan dengan huruf “ya” tidak bertitik. "Ye" hanya duduk di hujung perkataan iaitu untuk menangani ejaan perkataan pinjaman bahasa Inggeris yang berakhir dengan -isme seperti perkataan nasionalisme dan mekanisme. Vokal asas dalam sistem Jawi ialah "alif", "wau" dan "ya" titik dua ditambah dengan "ye" (ya) tidak bertitik. Sila rujuk Daftar Kata Bahasa Melayu (Rumi-Sebutan-Jawi). Ulasan: KNDBP tidak menyatakan tarikh “ye” dicipta.

4. Hamdan Abdul Rahman dalam bukunya Panduan Menulis dan Mengeja Jawi (1999: 5) mengatakan “ya tidak bertitik kita namakan ye”.

6 ulasan:

HBM Consultant berkata...

Salam,

Semalam, saya menyerahkan senaskah majalah Pendidik (terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) kepada anak sulung saya yang berusia 7 tahun.

Tiba-tiba dia berkata, "Mama, kenapa dia tulis (dalam rumi) Pendidik tapi dia eja (dalam jawi) Kendidik?"

Saya meneliti ejaan dalam tulisan jawi yang ditunjukkan. Benar. Ada kesilapan ejaan, Kendidik bukan Pendidik.

Jauh di sudut hati, saya bersyukur kerana sekurang-kuranya anak saya tidak menambah jumlah generasi hari ini yang tidak menguasai tulisan jawi dengan baik.

Sekalung penghargaan kepada tuan kerana telah mengajar saya memasukkan fon jawi dalam komputer saya sehingga saya dapat membantu anak saya belajar jawi dengan lebih berkesan.

Terima kasih!

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Saya membaca majalah Ehwal Pendidik – tiada Jawi. Saya akan cuba mencari majalah “Pendidik/Kendidik” JAKIM itu. Terima kasih.

Bijak anak yang berumur tujuh tahun. Cara puan mendidiknya membaca, menulis dan meminati tulisan Jawi baik dikongsi di blog puan. Saya berminat membacanya. Jikalau ada masalah, saya berminat memikirkan cara penyelesaiannya.

Wallahuaklam. Wassalam.

HBM Consultant berkata...

Alhamdulillah, Allah memberikan anak yang terang akal kepada saya.

Kebolehan anak saya menguasai Jawi bukanlah hasil usaha saya semata-mata, tetapi ia adalah hasil didikan guru-gurunya di sekolah.

Seawal usianya 4 tahun, saya telah menghantar anak saya ke 2 buah sekolah tadika. Di sebelah pagi, dia bersekolah di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI - tadika yang bernaung di bawah pengurusan PAS) dan di sebelah petangnya dia bersekolah di Smart Reader Kids.

Kelihatan seperti saya ini seorang ibu yang 'tamakkan' ilmu, hehee. Sebenarnya, saya berpegang kepada prinsip 'dalam mengejar ilmu, kita harus memegang dunia tanpa mencicirkan akhirat'.

Justeru di PASTI, anak saya belajar BM, BI, B. Arab, Sains, Matematik, Jawi, Al-Quran, Peribadi Muslim dan Pendidikan Sains Sosial dan Pembangunan Insan. Sukatan mata pelajaran di PASTI adalah yang terbaik berbanding tadika lain. Ilmu akhiratnya banyak! Cuma, penguasaan BI di situ agak lemah menyebabkan saya turut menghantar anak saya ke Smart Reader Kids sebagai usaha pengukuhan.

Justeru, apabila masuk ke Tahun 1 di sekolah kebangsaan, anak saya telah boleh membaca Jawi dan bahasa Arab dengan baik. Bukan usaha saya, tetapi guru-gurunya!

Saya hanya mencarikan bahan bacaan tambahan sebagai usaha mengukuhkan penguasaan ilmunya. Malangnya, tidak banyak bahan bacaan bertulisan Jawi yang sesuai untuk kanak-kanak. Kalaupun ada, istilah dan jalan ceritanya serba tidak kena. Mungkin saya yang cerewet! hehee..

Justeru, saya sangat gembira apabila tuan mengajar bagaimana untuk memasukkan fon jawi ke komputer. Sekarang, saya tidak perlu pening kepala mencari bahan bacaan untuk anak saya kerana saya boleh menulis sendiri cerita untk dibacanya. Hanya itu yang dapat saya bantu dengan harapan dia mencintai warisan sebenar bahasa Melayu.

TErima kasih sekali lagi atas bantuan tuan. Insya-Allah, saya tidak akan segan-segan bertanya jika ada kemusykilan.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam.

Terima kasih atas maklumat ini. Mudah-mudahan anak-anak itu terus melakar kejayaan.

Wassalam.

ummu berkata...

assalamualaikum ustaz
terima kasih atas perkonsian ustaz ini
saya mohon izin untuk saya gunakan dalam kelas pemulihan yang saya kendalikan utk pelajar saya.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Silakan, ustazah.

Manfaatkanlah bahan yang lain di sini.

Wassalam.