27 April 2009

Sari Rencana: "Oleh Sebab” Baku

Anak panah menunjukkan ungkap yang baku.
1. oleh kerana → oleh sebab
2. demi untuk → demi (atau untuk)
3. selain daripada → selain
4. selain dari → selain
5. justeru itu → justeru

Oleh Kerana*

Jikalau sesuatu kata itu dapat disertai oleh kata ganti nama tunjuk dan kata bilangan, maka kata itu ialah kata nama. Frasa “sebab itu” dan “satu sebab” wujud dan baku. “Itu” ialah kata ganti nama tunjuk. “Satu” ialah kata bilangan. Hal ini membuktikan bahawa perkataan “sebab” ialah kata nama.

Perkataan “oleh” ialah kata sendi. Kata sendi mesti diikuti oleh kata nama atau frasa nama. Frasa “oleh sebab” betul kerana sudah dibuktikan bahawa perkataan “sebab” itu ialah kata nama. Frasa “oleh kerana” tidak baku walaupun kerap digunakan. “Kerana” ialah kata hubung, bukannya kata nama.

Frasa yang berwarna merah tidak baku dan perlu digantikan dengan frasa yang berwarna hijau yang tercatat dalam kurungan di hujung ayat.

Oleh kerana latihannya mencukupi, pasukan itu menang dalam pertandingan tersebut. (Oleh sebab)
Dia lewat sampai oleh kerana hujan lebat hari ini. (oleh sebab)
Dia lewat sampai sebab hujan lebat hari ini. (oleh sebab)

Sari artikel Muhammed Salehudin Aman, “Oleh Kerana*, Demi Untuk*, Selain Daripada*, Justeru Itu*”, Dewan Siswa, Januari 2009, halaman 20 – 21. Lihat juga, Utusan Malaysia, 13 April 2006.

2 ulasan:

CIKGU TAN C L berkata...

Mengikut Kamus Dewan, "justeru' bermaksud:
1. kebetulan, tepat, kena benar: kenapa ~ sekarang ini engkau harus pergi?
2. malahan, bahkan: sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, ~ saya puji dia.

Oleh sebab itu, secara rasionalnya, saya berpendapat bahawa "justeru" tidak wajar menggantikan penanda wacana "Oleh itu" sebagaimana yang ditulis oleh pengguna bahasa dalam wacana.

Apakah pendapat Ckgu Isa?

Mohd Isa bin Abd Razak berkata...

Cikgu Tan C L,

Terima kasih kerana sudi berinteraksi dengan saya.

Di bawah kata masukan “oleh”, Kamus Dewan Edisi Keempat menyatakan bahawa ungkapan “oleh itu” semaksud dengan ungkapan “oleh sebab itu”, “oleh hal demikian" dan “lantaran itu”. Tegasnya, “oleh itu” menandakan tokokan terhadap ayat sebelumnya. Tokokan itu menekankan sebab atau akibat. Perkataan “justeru” pula semaksud dengan “malahan” dan “bahkah”. “Justeru” menandakan tokokan untuk menguatkan hujah dan tidak semestinya menekankan sebab atau akibat. Jadi, jikalau ayat itu menekankan sebab atau akibat yang terdapat dalam ayat sebelumnya, ungkapan “justeru” tidak sesuai digunakan. Ungkapan yang sesuai digunakan ialah “oleh itu”, “oleh sebab itu” atau “lantaran itu”.

Adakah cikgu sendiri bersetuju dengan pandangan bahawa perkataan “justeru” tidak boleh berada pada pangkal ayat?

Terima kasih.