Memaparkan catatan dengan label Bulan Bahasa Kebangsaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bulan Bahasa Kebangsaan. Papar semua catatan

12 Februari 2011

Bahasa Jiwa Bangsa


“Bahasa Jiwa Bangsa” bermaksud bahasa sebagai milik mutlak sesuatu bangsa yang menjadi identiti kebangsaan. Sesungguhnya bahasa itu menunjukkan jati diri sesuatu bangsa. Bahasa melambangkan bagaimana sesuatu bangsa itu menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi, perpaduan untuk saling memahami dan bahasa itu digunakan sebagai bahasa ilmu sesuatu bangs. Kekuatan bahasa itu juga menunjukkan kuatnya sesuatu bangsa.

Slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” dicipta pada tahun 1952, di Kuala Kangsar, Perak oleh empat orang Ahli Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS) iaitu Encik Khalid Abas, Penolong Setiausaha LEPAS, Encik Omar Nordin Setiausaha Penerbitan LEPAS, Encik Fadhil Khalik dan Encik Zulkifli Muhammad. (Sumber rujukan: majalah Dewan Bahasa, Jun 2006)

Kedua-dua perenggan yang di atas dipetik daripada nota Facebook Bulan Bahasa Kebangsaan bertarikh 31 Januari 2011.


08 Oktober 2009

Gerakan Bahasa Kebangsaan Memerlukan Transformasi

Sari makalah “Transformasi Gerakan Bahasa”, oleh Ismail Dahaman dalam majalah Dewan Bahasa, Oktober 2009, halaman 12 – 15.

Penguasaan bahasa kebangsaan menjadi syarat utama untuk melayakkan orang bukan Melayu menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Namun, tahap penguasaan yang diperlukan adalah minimum. Jadi, kebayakan mereka yang melepasi syarat itu belum mampu berkomunikasi secara berkesan dalam bahasa kebangsaan.

Oleh itu kerajaan berusaha untuk memperluas penggunaan bahasa kebangsaan, terutamanya dalam kalangan orang bukan Melayu. Bagi meningkatkan peranan bahasa kebangsaan dalam sektor awam dan pendidikan, pada tahun 1960 kerajaan mengadakan Minggu Bahasa Kebangsaan (MBK).

Kerajaan meneruskan MBK dengan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) pada tahun yang sama hingga tahun 1967. Apabila Malaysia terbentuk pada tahun 1963, tiga kaum utama di Semenanjung bersama-sama dengan penduduk Sabah dan Sarawak menyemarakkan aktiviti BBK. Dalam tempoh lebih kurang sedekad, BBK berjaya meningkatkan kesedaran rakyat tentang pentingnya komunikasi dalam bahasa kebangsaan demi perpaduan nasional.

Namun, dua dekad seterusnya (1968 – 1987), bahasa kebangsaan berhadapan dengan cabaran. Cabaran itu berupa persaingan fungsi antara bahasa kebangsaan dengan bahasa-bahasa vernakular dan bahasa Inggeris. Mulai tahun 1970, Rukun Negara menjadi landasan hidup rakyat. Serentak dengan itu, kerajaan memperkenalkan istilah bahasa Malaysia bagi merakyatkan bahasa kebangsaan kita.

Pada 11 Disember 1987, kerajaan melancarkan Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK). Gerakan ini bertujuan menyuburkan semangat penerimaan warga Malaysia terhadap bahasa kebangsaan. GCBK berusaha menimbulkan kesedaran dan menanamkan kepercayaan bahasa unsur “kemegahan bahasa” dan “kecintaan terhadap bahasa kebangsaan” hendaklah dibuktikan dengan amalan menggunakannya.

Dasawarsa 1990-an merupakan era baharu dalam pendekatan gerakan bahasa. Pada dasawarsa ini kerajaan memfokuskan program dan aktiviti untuk mencapai matlamat pemerkasaan bahasa kebangsaan. Pada tahun 1996, kerajaan melaksanakan Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS). Gerakan ini berakhir pada tahun 1998. Dari tahun 1999 hingga tahun 2008, kerajaan memilih bulan September setiap tahun sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).

Dalam tempoh 52 tahun merdeka, kita sudah mengadakan berbagai-bagai gerakan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Namun, matlamat gerakan itu belum tercapai sepenuhnya, baik dari segi penggunaan mahupun kualitinya. Bahasa kebangsaan kita masih mengalami kepincangan fungsi.

Kepincangan fungsi itu berpunca daripada persaingannya dengan bahasa Inggeris. Faktor sikap rakyat, krisis jati diri, latar belakang pendidikan dwialiran dan matlamat komuniti bahasa yang berbeza-beza turut menyumbang kepada kendala memperkasa bahasa kebangsaan.

Di bawah gagasan Satu Malaysia, pelaksanaan gerakan bahasa kebangsaan memerlukan transformasi dengan strategi alternatif. Gerakan baharu itu penting untuk memperteguh atau memperkasakan perpaduan nasional, iaitu “perpaduan dalam kepelbagaian”, dalam negara bangsa Malaysia.

Transformasi itu pasti melibatkan perancangan semula pembangunan bahasa kebangsaan dalam semua aspek. “Apa-apa kempen atau gerakan bahasa kebangsaan hendaklah dirancang dan dilaksanakan dalam rangka transformasi proses pemerkasaan bahasa Melayu dalam konteks perpaduan nasional menuju gagasan Satu Malaysia itu.”

Masukan yang berkaitan: (1) Perpaduan dalam Satu Malaysia (2) Pembudayaan Bahasa Kebangsaan (3) Bahasa Melayu Asas Kontrak Sosial

27 September 2009

Lagu Bahasa Jiwa Bangsa Kod Tangan

Video ini disunting daripada video yang terdapat di Youtube. Terima kasih kita ucapkan kepada pihak/individu yang mencipta dan memuat naik video itu. Video lain terdapat dalam bar sisi blog ini.

24 September 2009

Logo Bulan Bahasa Kebangsaan


Keseluruhan konsep logo menggambarkan peranan rakyat pelbagai bangsa di dalam negara bagi membentuk perpaduan dalam konsep Satu Malaysia. “BBK” menjadikan tunggak kecemerlangan negara berasaskan pembangunan yang berteraskan bahasa sebagai wadah.

HURUF “B”
Huruf “B” yang direka secara grafik dan dinamik sekilas pandang berbentuk “B” bererti “Bulan” dan “Bahasa Kebangsaan” di hujung pena menjadi tunjang pada huruf “B”. Huruf ini sinonim dengan DBP sebagai sumber ilmu dan juga dataran untuk menyampaikan dan memacukan visi dan misi DBP yang merupakan matlamat bahasa dan sastera yang akan direalisasikan oleh “B”.

BENTUK DUNIA BERPUSING DAN BENDERA MALAYSIA
“Bendera Malaysia” secara grafik terdiri daripada pelbagai warna membentuk dunia berpusing tanpa had menggambarkan arah tuju untuk mencapai matlamat masa depan “B” yang cemerlang.

Dunia berpusing menjadi latar belakang logo melambangkan tema perpaduan serta menitikberatkan cinta bahasa dan negara. Dunia berpusing juga menunjukkan semua kaum sentiasa dipupuk dan dipastikan perpaduan, keharmonian kaum terpelihara untuk menjamin masa depan yang lebih gemilang. Dunia berpusing memberi penyatuan kepada tiga bangsa utama di Malaysia, hidup penuh muafakat, bekerjasama demi memajukan negara.

Lingkaran tiga jalur merah putih pada bendera Malaysia merupakan kegiatan-kegiatan “BBK” yang meliputi pelbagai bidang ilmu dan bahasa.

DAUN RESAM DBP
Daun resam DBP yang terdapat pada logo korporat menterjemahkan bahasa menjadi bumbung logo. Duan resam juga menjadi sumber memperkembang bahasa dalam era globalisasi terpusat di atas logo ini sebagai nadi utama “BBK”.

PENA DARI HURUF “B”
Pena yang terletak di penghujung huruf “B” menggambarkan matlamat yang dituju dalam “BBK”. Di samping itu pena ini juga mencerminkan kegiatan bahasa dan sastera.

WARNA

MERAH DAN PUTIH
Merah dan putih menggambarkan semangat rakyat Malaysia untuk mencapai kegemilangan dan juga menjadi simbol wawasan Satu Malaysia yang suci dan ikhlas.

KUNING
Kuning mengekalkan sistem raja berpelembagaan dan menjunjung luhur kedaulatan Negara serta menjadi simbol kegiatan “BBK” ke arah kegemilangan.

BIRU
Biru bermaksud kestabilan, bersatu hati dan hidup sejahtera untuk mencapai matlamat “BBK” bersama pelbagai kaum dalam negara.

HIJAU
Hijau melambangkan keterampilan dan kegiatan berwibawa dalam mengembangkan bahasa yang sentiasa subur ke persada dunia.

Pereka: Naim bin Hj. Ahmat

20 September 2009

Lagu Bahasa Jiwa Bahasa



Gunakanlah bahasa kebangsaan kita
marilah amalkan ramai-ramai
bahasalah menyatukan kita semua
yakinlah bahasa jiwa bangsa.

Marilah, mari rakyat semua
buktikan taat setia
dengan satu bahasa.

Maju bangsa dan maju negara
*megahkan bahasa kita
bahasa jiwa bangsa.

Lagu/lirik: Dol Ramli

Mulai awal tahun 2005, semua pelajar pengkhususan Pengajian Melayu yang mengikuti kuliah saya mesti menyanyikan lagu ini sebelum sesi kuliah bermula. Adakalanya selepas menyanyikan lagu ini mereka menyanyikan pula lagu lain seperti “Nyalakan Tekad”, “Budi Bahasa Amalan Kita” dan “Jalur Gemilang”. Kini sudah hampir dua tahun peristiwa itu menjadi kenangan-kenangan.

Bulan Bahasa Kebangsaan 2009

Tempoh: 1 – 31 Oktober 2009
Tema: Bahasa Jiwa Bangsa

Amanat Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pelajaran Malaysia
“Saya mencadangkan program yang diatur oleh DBP setiap tahun iaitu Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dapat dilaksanakan dengan lebih meriah lagi dengan pelbagai program di semua peringkat dengan maklumat yang lebih meluas disalurkan supaya rakyat dapat memahami betapa pentingnya bahasa Melayu ….” YAB Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, 4 Mei 2009, semasa lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia ke DBP.

Latar Belakang
Bermula dengan panggilan Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an, kempen ini sudah melalui perubahan pelbagai nama seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK) (1987 – 1996), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) 1996 – 2005 dan Minggu Sastera (1987 – 1998). Akhirnya pada tahun 1999 gerakan kini dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).

Program BBSN yang pertama dilancarkan pada tahun 1999 oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Pada tahun 2009, bersesuaian dengan matlamat pelaksanaannya, BBSN mengalami proses penjenamaan semula dan ini dikenali dengan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK).

Tujuan Utama BBK

  • Memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.
  • Menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.
  • Mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui perpaduan.
  • Menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.

Tumpuan BBK 2009

  • Penyertaan yang lebih menyeluruh daripada semua peringkat masyarakat berbilang bangsa dan keturunan.
  • Penglibatan menyeluruh jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan bukan kerajaan (NGO).

19 September 2009

Maklumat tentang Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) di Facebook

Saya mengucapkan tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana memanfaatkan Facebook untuk gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Saya baru perasan akan hal ini pada petang ini apabila saya mengunjungi laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM).

Di sini terdapat nota editor majalah Dewan Bahasa (DB) keluaran Oktober 2009 yang bertajuk “Kembalinya BBK”. Saya lampirkan nota itu untuk tatapan pembaca blog ini. Penulis nota itu ialah Encik Zaidi Ismail, iaitu editor DB mulai keluaran Oktober 2009. Beliau menggantikan tempat Puan Ritah Yahaya yang sudah bertukar ke bahagian lain.

Kita wajar berasa beruntung kerana dapat membaca nota editor di bawah ini sebelum majalah yang berkenaan terdapat di pasaran. Melalui nota ini kita mengetahui bahawa dalam majalah itu ada artikel Encik Ismail Dahaman tentang sejarah dan perkembangan kempen dan gerakan bahasa kebangsaan. Saya memang berasa ghairah untuk mengetahui kandungan tulisan itu.

Insya-Allah, sari tulisan Encik Ismail itu akan saya paparkan di blog ini. Hal itu hanya dapat saya lakukan selepas 10 Oktober. Hal ini terjadi demikian kerana, biasanya, majalah DB dan beberapa lagi majalah terbitan DBP yang saya langgan hanya masuk ke dalam peti surat saya selepas 5 hari bulan setiap bulan.

Lampiran
Kembalinya BBK

Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dilancarkan di Sarawak pada awal Oktober ini. BBK merupakan kesinambungan kepada gerakan bahasa yang diadakan sebelum ini, iaitu Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN, 1999 - 2008).

Dari segi sejarahnya, BBK bukanlah suatu nama yang baharu dan asing bagi rakyat Malaysia, terutamanya yang pernah berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu pada tahun 1960-an. Pengembalian semula nama ini, boleh juga dianggap sebagai pengembalian semangat bahasa kebangsaan yang begitu kuat pada masa tersebut. BBK yang pertama kali diadakan pada tahun 1960 telah berlanjutan selama tujuh tahun. Selepas itu, muncul pula pelbagai kempen dan gerakan bahasa, sehinggalah lahirnya BBSN pada tahun 1999 hingga 2008. Sejarah dan perkembangan kempen dan gerakan bahasa kebangsaan boleh "ditelusuri" dalam artikel Ismail Dahaman keluaran ini.

Dari segi matlamatnya pula, BBK memfokuskan kepada bahasa kebangsaan, iaitu untuk mengukuhkan dan memperkasakan bahasa kebangsaan selaras dengan fungsinya sebagai bahasa rasmi negara Malaysia. Dengan yang demikian, bahasa inilah yang sepatutnya digunakan dalam semua urusan rasmi yang melibatkan pihak kerajaan dan swasta.

Slogan "Bahasa Jiwa Bangsa" sebagai tema kempen ini membangkitkan semangat cinta akan bahasa kebangsaan. Apabila bahasa kebangsaan dianggap sebagai "jiwa" atau "roh" bangsa (bangsa Malaysia) bermakna kedudukan bahasa itu sangat penting kerana bangsa tanpa jiwa atau roh bolehlah dianggap sebagai bangsa yang sudah mati. Itulah hakikat yang perlu diterima sebagaimana jiwa atau roh manusia. Manusia tanpa jiwa ialah manusia yang telah mati.

Keseriusan kerajaan sebenarnya telah pun "dipancarkan" melalui penghapusan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris) secara berperingkat mulai 2012. Untuk itu, kita seharusnyalah mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana begitu memahami kehendak rakyat selaras dengan konsep yang dibawakan oleh kepimpinan kerajaan terkini, iaitu "1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan."

"Bersepakatlah" kita dalam menjayakan kempen BBK melalui penghayatan "Bahasa Jiwa Bangsa" yang dapat digambarkan oleh amalan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan indah.

Sepakat membawa berkat

Zaidi Ismail