31 Januari 2011

Sambung-menyambung

Bersama-sama kita menintakan kasih
membariskan aksara pada kertas putih
melestarikan jiwa bahasa ibunda
sambung-menyambung setiap masa.

Bersama-sama kita menyegarkan cinta
merimbunkan kata di medan sastera
menebarkan wangi bahasa rakyat
sambung-menyambung setiap saat.

Bersama-sama kita menjajarkan sayang
melenggokkan ayat di laman sesawang
menyerlahkan keramat bahasa pertiwi
sambung-menyambung setiap hari.

Bersama-sama kita membanjarkan syarah
mengungkapkan wacana di dewan kuliah
memancarkan bestari bahasa sendiri
sambung-menyambung tanpa henti.

Bersama-sama kita menggunungkan pustaka
melayarkan bahasa di mayapada
memperteguh maruah bahasa berdaulat
sambung-menyambung sepanjang hayat.

Kita tunjang-menunjang beramai-ramai
menjaga permata sedang dicanai
kurang tambah-menambah, senteng bilai-membilai
bagai kasih akan padi, kita cabut rumpai.

Mohd Isa Abd Razak
Dewan Sastera, Februari 2010

25 Januari 2011

Penjodoh Bilangan dan Ayat Pasif Semu

Sari “Soal Jawab Bahasa” (SJB), majalah Pelita Bahasa, Oktober 2010.

1. Penjodoh bilangan termasuk dalam aspek tatabahasa. Oleh itu frasa seperti “beberapa peniaga”, “menangkap 20 anjing liar” dan “karangan yang panjangnya 200 perkataan” tidak gramatis. Frasa yang gramatis ialah “beberapa orang peniaga”, “menangkap 20 ekor anjing liar” dan “karangan yang panjangnya 200 patah perkataan”.

2. Dalam bahasa Melayu terdapat ayat pasif semu. Ayat pasif semu bukan berasal daripada ayat aktif. Ayat pasif semu berdiri sendiri. Contohnya, “Kaca yang tajam terpijak oleh Aminah”.

3. Ada juga ayat aktif transitif yang tidak boleh dipasifkan. Contohnya, “Keindahan tempat itu menarik kehadiran pelancong”. Kita tidak boleh menukar bentuk ayat ini menjadi *“Kehadiran pelancong ditarik oleh keindahan tempat itu”.

Tambahan MIAR
Pihak media, khususnya media cetak, cenderung menggugurkan penjodoh bilangan. Pihak media seperti itu ibarat bapa ketam dan kita tidak wajar mengikut ajaran bapa ketam itu.

18 Januari 2011

Ayat Tujuh


Dalam bukunya, Himpunan Doa dan Wirid Istimewa (Jakarta: PT Dundia Pustaka Jaya, 1982), Dr. Muhammed Hussein menulis:

“Menurut pesan sebahagian ulama, bahawa Ayat Tujuh ini diamalkan sekali pagi, sesudah solat Subuh, dan sekali malam, sesudah Maghrib, insya-Allah memudahkan rezeki dan terpelihara daripada jin dan syaitan dan juga fitnah orang. Juga kasih akan sekalian hamba Allah dan mudah makbul barang apa yang dimaksudkan.

Kalau dibaca kepada yang sakit, insya-Allah segera sembuh. Dan barang siapa membaca ayat tujuh ini tujuh kali berturut-turut dalam sehari, pada waktu tengah hari atau tengah malam, insya-Allah melepaskan Allah akan hutangnya atau apa-apa hajatnya yang berat.”

15 Januari 2011

Pahang Kuat Kuasakan Fatwa 1995



Pada tahun 1995, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa merokok haram. Fatwa itu gagal dikuatkuasakan kerana belum diwartakan. Fatwa itu dikuatkuasakan di Pahang pada bulan Disember 2009. Sebelum Pahang menguatkuasakan fatwa itu, Selangor dan Kedah sudah menguatkuasakannya.