15 Januari 2011

Pahang Kuat Kuasakan Fatwa 1995



Pada tahun 1995, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa merokok haram. Fatwa itu gagal dikuatkuasakan kerana belum diwartakan. Fatwa itu dikuatkuasakan di Pahang pada bulan Disember 2009. Sebelum Pahang menguatkuasakan fatwa itu, Selangor dan Kedah sudah menguatkuasakannya.

Lampiran I
Uploaded by paskemaman on Jan 25, 2010

KUANTAN 25 Jan. Pihak berkuasa agama Islam Pahang memutuskan pengharaman merokok berkuat kuasa 30 Disember 2009 berikutan kesannya yang boleh memudaratkan kesihatan.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri pada akhir bulan lalu yang mengeluarkan fatwa pengharaman tabiat merokok di negeri ini.

Dalam mesyuarat tersebut, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri bersetuju mengharamkan tabiat merokok kerana ia memudaratkan kesihatan, katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan jawatankuasa tersebut hanya akan menjadi sebahagian daripada undang-undang apabila ia diwartakan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Mufti hanya mengeluarkan fatwa itu selepas dibincang bersama dalam jawatankuasa berkenaan.

Daripada segi hukum (merokok) haram tetapi pewartaan hendak menjadikannya undang-undang terserah kepada MUIP, katanya.

Menurut Abdul Rahman, walaupun tidak ada nas dalam al-Quran dan hadis mengenai tabiat merokok tetapi Islam secara jelas melarang umatnya melibatkan diri dalam aktiviti yang boleh membinasakan diri sendiri.

Kita perlu ingat bahawa diri ini hanya dipinjamkan dan amanah daripada Allah. Justeru, apa sahaja perbuatan yang boleh merosakkan diri, ia dikira sebagai satu dosa.

Saya tidak tahu pula jika ada perokok yang mengatakan merokok tidak memudaratkan kesihatan mereka sedangkan para doktor sepakat mengatakan begitu, katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati perokok menghentikan tabiat mereka dengan menjaga kesihatan yang diamanahkan oleh Allah.

Mereka juga seharusnya menerima pandangan ulama dan nasihat pihak berkuasa mengenai perkara tersebut, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, kekurangan anggota penguat kuasa menyebabkan larangan merokok oleh Kementerian Kesihatan di lebih 20 kawasan sebelum ini tidak dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.

Kebiasaannya, ada pegawai penguat kuasa menyerang kawasan larangan itu bagi memberi amaran dan mengenakan kompaun kepada mereka yang melanggar peraturan tersebut, katanya.

Beliau juga meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada pejabat kesihatan berhampiran sekiranya terdapat pelanggaran ke atas larangan tersebut bagi membolehkan tindakan susulan diambil.


Tiada ulasan: