Memaparkan catatan dengan label Klip Video. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Klip Video. Papar semua catatan

08 Ogos 2012

Intonasi Membezakan Ayat dengan Klausa

Ayat mempunyai subjek dan predikat. Klausa juga mempunyai subjek dan predikat. Hakikat ini menyebabkan ada pelajar menganggap ayat ialah perkataan seerti bagi klausa. Anggapan itu silap.

Dalam buku Nahu Kemas Kini, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar menjelaskan bahawa intonasi membezakan ayat dengan klausa. Intonasi ayat lengkap tetapi intonasi klausa tidak lengkap. Intonasi yang lengkap bermula dengan kesenyapan dan berakhir dengan kesenyapan yang menunjukkan pengucapan ayat sempurna. Untuk lebih memahami hal ini, perhatikan ayat yang di bawah:

1. Gaya bahasanya sederhana dan penyampaiannya jelas.
(a) Gaya bahasanya sederhana.
(b) Penyampaiannya jelas.

Ayat (1) ialah ayat majmuk gabungan. Ayat ini terdiri daripada ayat (a) dan (b) dan mempunyai subjek dan predikat masing-masing. Persoalannya, ketika berada dalam ayat (1), tutur (a) dan (b) sebenar-benarnya ayat atau hanya klausa?

Rakaman yang terdapat dalam klip video ini menunjukkan bahawa pengucapan ayat 1 sempurna, iaitu bermula dengan kesenyapan dan berakhir dengan kesenyapan. Intonasi akhirnya menurun. Kita faham bahawa tutur itu sudah sempurna diucapkan. Tegasnya, intonasi yang kita dengar ialah intonasi ayat.

Sebaiknya, tutur (a) bermula dengan kesenyapan tetapi intonasi akhirnya mendatar. Dengan perkataan lain tutur (a) tidak berakhir dengan kesenyapan atau tergantung. Intonasi ini menunjukkan tutur itu klausa.

Tutur (b) pula hanya berakhir dengan kesenyapan tanpa bermula dengan kesenyapan. Nyata ada sesuatu sebelum pengucapan perkataan dan. Intonasi ini juga menunjukkan tutur itu klausa.

Ringkasan perkara ini adalah seperti yang berikut:
Ayat = Kesenyapan … tutur … kesenyapan.
Klausa 1 = Kesenyapan … tutur …
Klausa 2 = … tutur … kesenyapan.

Ringkasan ini menunjukkan bahawa intonasi ayat berbeza daripada intonasi klausa. Klip video itu pula menunjukkan bahawa dalam ayat 1 terdapat dua klausa. Ketika tutur (a) dan (b) berada dalam ayat 1, kedua-dua tutur itu bukanlah ayat tetapi klausa. Penjelasan ini diharap dapat membetulkan salah anggapan segelintir pelajar yang mengatakan klausa seerti dengan ayat.

Sebagai kesimpulannya, ketika berada dalam ayat (1), tutur (a) dan (b) ialah klausa.

Lampiran
klausa unit yang merupakan rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang menjadi konstituen atau bahagian kepada ayat. (Kamus Dewan Edisi Keempat)
klausa satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi satu subjek dan satu predikat dan mempunyai potensi untuk menjadi ayat. (Tabahasa Dewan Edisi Ketiga)

04 Julai 2012

Sebutan Baku di Singapura


Sebutan Baku di Singapura 2012
Oleh Nur Isyana Isaman

Singapura, 4 Julai 2012. Setelah dua dekad melaksanakan sistem sebutan bahasa Melayu baku di Singapura, persoalannya kini adakah para penutur Bahasa Melayu baku sudah dapat menguasai sistem tersebut sepenuhnya?

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar Masagos Zulkifli Masagos Mohamed berkata, sekiranya sebutan baku di sini masih di tahap sedang beralih kepada bentuk sebutan baku sempurna, bilakah kita akan dapat menguasai sistem itu sepenuhnya dan apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk memastikan ia benar-benar tercapai?

Encik Masagos yang juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura berkata demikian di majlis perasmian Simposium Pemantapan Sebutan Baku di NIE petang tadi.

27 Jun 2012

Tuntunan Bahasa 6: Para dan Para-para

Wacana yang di bawah ini ialah transkripsi suara Dr. Haji Awang Sariyan dalam klip video Tuntunan Bahasa Siri 6 yang disiarkan di Facebook Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa pada 25 Jun 2012.

30 Mei 2012

Semua Bahasa Ada Aspek Sebutan Baku

Berita Televisyen Suria, Singapura, 29 Mei 2012.

Tuntunan Bahasa 5: Setengah-setengah, Sesetengah

Wacana yang di bawah ini ialah transkripsi suara Dr. Haji Awang Sariyan dalam klip video Tuntunan Bahasa Siri 5 yang disiarkan di Facebook Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa pada 18 Mei 2012.

Tuntunan Bahasa 4: Hal-hal Lain, Program Tentatif dan Lain-lain


Wacana yang di bawah ini ialah transkripsi suara Dr. Haji Awang Sariyan dalam klip video Tuntunan Bahasa Siri 4 yang disiarkan di Facebook Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa pada 9 Mei 2012.


Tuntunan Bahasa 3: Berbahaya

Wacana yang di bawah ini ialah transkripsi suara Dr. Haji Awang Sariyan dalam klip video Tuntunan Bahasa Siri 3 yang disiarkan di Facebook Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa pada 7 Mei 2012.

25 April 2012

Tuntunan Bahasa 2: Kata Alu-aluan


Wacana yang di bawah ini ialah transkripsi suara Dr. Haji Awang Sariyan dalam klip video Tuntunan Bahasa Siri 2 yang disiarkan di Facebook Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa pada 23 April 2012.

Assalamualaikum warahmatullah. Salam sejahtera.

Kata kali ini yang ingin saya bincangkan bersama-sama dengan saudara dan saudari ialah kata alu-aluan ataupun *kata-kata aluan. Ungkapan ini biasa kita temukan dalam buku cenderamata ataupun dalam atur cara majlis – majlis perasmian, majlis-majlis yang lain. Soalnya manakah bentuk yang benar, adakah kata alu-aluan ataupun *kata-kata aluan?

Untuk melihat yang manakah yang betul, maka kita harus melihat apakah kata dasar kata itu, adakah alu ataupun alu-alu? Dalam kamus jelas ditunjukkan bahawa alu bermakna antan. Maka kalau kita *mengalukan orang datang, maka bengkaklah kepala orang yang berkunjung ke rumah kita. Jelas bahawa kata dasar bagi kata alu-aluan itu ialah alu-alu. Alu-alu diberi imbuhan, mengalu-alukan bererti menyambut, menyambut kedatangan tamu. Maka itu bentuk yang benar ialah kata alu-aluan, bukan *kata-kata aluan.

Sekali lagi saya mengajak saudara dan saudari memastikan ketepatan penggunaan kata itu dengan merujuk kepada kamus kerana kamus menunjukkan kata dasar dan bentuk terbitan kata itu dengan makna yang betul.

23 April 2012

Tuntunan Bahasa 1: Pendingin Hawa


Wacana yang di bawah ini ialah transkripsi suara Dr. Haji Awang Sariyan dalam klip video Tuntunan Bahasa Siri 1 yang disiarkan di Facebook Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa pada 20 April 2012.

09 Julai 2011

Puisi: Peludah Warna oleh A Samad Said

Peludah Bahasa

Kuasa gusar kini menggelegak murka
warna kuning diisytihar racun terbisa.

Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.

Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam kalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.

Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

A Samad Said
1 Julai 2011

Muzik: Az Samad

Seloka Cak Kun

Disulami syair termasyhur
usahlah berdengkur
kita jua yang bertafakur
yang mana silap tegur-menegur.

Kulitnya bersih hati pun bersih
budi yang baik hatinya pengasih
kulitnya bersih hati pun bersih
memikul belati tiada memilih.

Jadikan bersih hati pun putih
berkata benar bermulut fasih
jadikan bersih hati pun putih
dialah khazanah pintu terpilih.

Awak yang payah membelah ruyung
orang bertandang yang menggolek untung
akhir kita tak akan dihitung.

15 Mei 2011

Selamat Hari Guru 2011

“Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”.

“Semakin terpencil duduknya di ceruk desa, semakin bererti tugasnya tugasnya kepada negara.” Sasterawan Negara Usman Awang, "Guru Oh Guru", 1979.

Bunga melati di sempadan,
Tumbuh sejajar dengan kekwa;
Guru sejati suri teladan,
Menunjuk ajar sepenuh jiwa.

Video “Ceruk” Selamat Hari Guru 2011

14 Mei 2011

Jasa Guru oleh Aeman

Dodoi Buai Anak


Pejamkan mata anakku sayang
Dalam buaian ibu dodoikan
Ibu berdoa kepada Tuhan
Minta jauhkan gangguan syaitan.

Harum mewangi si bunga melur
Putih berkembang di hujung laman
Anakku manis lekaslah tidur
Ibumu ini banyak tugasan.

Baiklah laku bekal dunia
Eloknya budi bekalnya mati
Cantiknya rupa mainan mata
Indah bahasa penambat hati.

Cepatlah besar anakku ini
Boleh kuhantar tempat belajar
Menghadap guru lebai dan haji
Dunia akhirat biar sejajar.

Pergi ke hulu membeli buyung
Buyung dibawa pulang bertiga
Jadikan ilmu sebagai payung
Payung hidupmu di hari muka.

Menanam temu di Kampung Sena
Tanam bersama dengan halia
Kalau hidupmu sudah sempurna
Ibu dan bapa tumpang bahagia.
.
Asalnya kain jadi pakaian
Ditiup angin jatuh ke lumpur
Biar menangis dalam buaian
Jangan menangis di dalam kubur.


Video “Dodoi Buai Anak” Selamat Hari Guru 2011

30 April 2011

Terima Kasih Ustaz Shamsul Firdaus

Alhamdulillah. Saya mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Ustaz Shamsul Firdaus kerana memberikan tazkirah sebelum bermulanya “lafaz bersejarah” dalam masjid itu. Alhamdulillah, nasihat ustaz bukan sahaja bermanfaat untuk orang yang berkenaan tetapi bermanfaat juga untuk hadirin di masjid itu dan mereka yang menonton rakaman video yang mengandungi nasihat ustaz itu.

18 April 2011

Bahasa Menunjukkan Bangsa



Kamus Dewan: bangsa 1. jenis manusia daripada satu asal keturunan; 2. kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan; 3. macam, jenis; 4. jantina, jenis kelamin; 5. darjat tinggi, keturunan mulia.

Jadi, perkataan "bangsa" dalam ungkapan "bahasa menunjukkan bangsa" mungkin membawa makna yang pertama, kedua atau ketiga. Sebagai ungkapan umum/asal, rujukannya lebih kepada makna yang kelima. Pada saya, dalam animasi ini, makna yang kedua cuba ditonjolkan, di samping berkonotasi dengan makna yang pertama.

16 April 2011

Guru Pedalaman: Liku-liku ke Saliku


Video “Liku-liku ke SK Saliku” oleh Cikgu Rodzaidi, suntingan Tuan Mohd Firdaus, 2011.





Video “Guru di Pedalaman”, Bahagian Teknologi Pendidikan, 2008.