Wacana yang di bawah ini ialah transkripsi suara Dr. Haji Awang Sariyan dalam klip video Tuntunan Bahasa Siri 3 yang disiarkan di Facebook Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa pada 7 Mei 2012.
Assalamualaikum warahmatullah. Salam sejahtera.
Biasa kita mendengar ataupun membaca frasa yang dalamnya terdapat perkataan seperti berbahaya dan *merbahaya. Sering ditanyakan kepada saya, manakah bentuk yang benar, berbahaya atau *merbahaya? Menurut kebiasaan berbahasa, kita dapati memang *merbahaya itu cukup luas digunakan. Namun sesudah penjelasan dibuat dalam buku tatabahasa dan dalam buku panduan bahasa, jelaslah bahawa bentuk yang benar ialah berbahaya.
Alasan kita mengatakan *mebahaya itu salah, pertamanya dari manakah datang awalan mer-? Kalau kita perhatikan kata-kata yang terdapat dalam bahasa Melayu, iaitu kata kerja, tidak ada penggunaan awalan mer-. Maka itu bagaimanakah timbulnya kata *merbahaya?
Penjelasan yang dapat kita berikan adalah bahawa kata bahaya itu ialah kata nama seperti dapat kita katakan di tempat itu ada bahaya, ataupun banyak bahayanya di tempat itu. Maka apabila satu kata nama hendak kita jadikan kata kerja, salah satu caranya kita tambahkan awalan ber-, untuk lebih jelas berbahaya dengan pengertian ada bahaya; dan bentuk ini dengan mudah dapat dengan mudah dapat kita lihat dalam contoh seperti jalan itu berbahaya barangkali kerana jalan itu berliku-liku ataupun kerana hujan lebat jalan itu menjadi licin maka dikatakan jalan itu berbahaya; ataupun barangkali dapat kita katakan tempat itu berbahaya mungkin kerana curam, mungkin kerana banyak onak dan duri ataupun banyak terdapat bahaya ataupun perkara-perkara yang dapat menimbulkan bencana ataupun musibah kepada kita. Maka itu dikatakan tempat itu berbahaya. Ada juga orang yang mengatakan rumah itu berbahaya, satu kepercayaan khurafat atau satu kepercayaan tahayul kerana katanya ada hantu, rumah itu berbahaya.
Bagaimanakah timbulnya *merbahaya? Menurut analisis yang pernah dikaji, bahawa mer- ini sebenarnya bentuk yang terbit dalam bahasa Melayu kuno, iaitu mar-, ya memang sama dengan mer- tetapi dalam bahasa Melayu klasik atau bahasa Melayu lama, dan apalagi dalam bahasa Melayu moden, mar- itu sudah tidak digunakan lagi. Maka itu tidak timbul awalan mer-. Yang benar ialah berbahaya dan yang demikian ada bahaya.
Bagaimanakah timbulnya kata *merbahaya? Selain salah faham tentang awalan mer- yang tidak wujud dalam bahasa Melayu klasik dan dalam bahasa Melayu moden, sebenarnya *merbahaya yang digunakan sekarang itu merupakan kesilapan transliterasi, iaitu pengalihan aksara Jawi ke Rumi. Dalam teks klasik ditulis mim-ra-ba-ha-ya-alif tetapi bukan *merbahaya melainkan marabahaya kerana dalam tulisan Melayu klasik asalnya diberi tanda baris atas, bawah dan hadapan; tetapi setelah tanda-tanda itu dihilangkan, maka mim-ra seolah-olah berbunyi mer- walhal mim-ra berbunyi mara dalam bahasa klasik. Ini perkara yang perlu diperhatikan oleh pengguna bahasa.
Biasakanlah menggunakan bentuk bahasa yang betul kerana itu menunjukkan ketepatan berbahasa kerana itu menunjukkan kebijaksanaan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan