30 Mei 2012

Tuntunan Bahasa 4: Hal-hal Lain, Program Tentatif dan Lain-lain

video

Wacana yang di bawah ini ialah transkripsi suara Dr. Haji Awang Sariyan dalam klip video Tuntunan Bahasa Siri 4 yang disiarkan di Facebook Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa pada 9 Mei 2012.



Assalamualaikum warahmatullah. Salam sejahtera.

Biasakah anda mendengar ataupun membaca ungkapan yang berbunyi *lain-lain hal? Biasanya dalam minit mesyuarat, ataupun dalam atur cara atau agenda mesyuarat, sering diungkapkan bentuk seperti itu, iaitu *lain-lain hal ataupun *lain-lain perkara. Bentuk itu ternyata menyalahi sistem bahasa Melayu, iaitu daripada sudut susunan kata kerana dalam bahasa Melayu susunan kata bergantung pada kata utama yang diletakkan di hadapan dan penerangnya di belakang. Maka itu bentuk yang betul ialah hal-hal lain ataupun perkara-perkara lain.

Contoh lain yang mudah kita perhatikan ialah bentuk seperti *Anita Klinik. Dalam bahasa Inggeris memang demikianlah bentuk yang benar kerana dalam bahasa Inggeris penerang ataupun “modifier” biasanya memang di hadapan sedangkan “head” ataupun kata inti atau kata utama di belakang; tetapi sifat bahasa Melayu meletakkan kata utama di hadapan. Maka bentuk yang betul ialah Klinik Anita. Secara berjenaka saya mengatakan kalau kita sakit, kita mencari klinik, bererti kliniklah kata utama. Ketika sakit, kita tidak perlu mencari Anita kerana mungkin akan bertambah sakit. Demikian juga apabila kita lapar, kita mencari Restoran Kasim, sebagai contoh. Kita mencari restoran dan Kasim itu pemiliknya. Kita tidak mencari Kasim ketika kita lapar, maka kita tidak mengatakan *Kasim Restoran. Itu jalan berfikir yang paling mudah menjadi panduan untuk pengguna bahasa.

Contoh-contoh yang lain yang dapat kita perhatikan dalam iklan, bahkan dalam dokumen rasmi, sekarang banyak dalam kertas cadangan selalu diungkapkan bentuk seperti *tentatif program walhal perkataan itu telah dieja dalam bahasa Melayu. Maka bentuk yang betul ialah program tentatif iaitu program ataupun atur cara sementara yang mungkin berubah.

Banyak lagi dapat kita perhatikan bentuk-bentuk yang menyalahi susunan kata seperti itu, seperti *Dunlop tayar yang sepatutnya tayar Dunlop; ataupun bentuk seperti *paladium tv warna sepatutnya tv warna paladium; atau ada juga saya perhatikan contoh yang telah ditulis dalam bahasa Melayu, *eksekutif koc seharusnya koc eksekutif yang telah ditulis dalam bahasa Melayu. Maka itu hendaklah sama-sama kita perhatikan penggunaan kata yang betul menurut sistem bahasa Melayu kita, iaitu yang mengutamakan kata yang penting di hadapan dan penerangnya di belakang.

Biasakanlah menggunakan bentuk yang betul kerana itu menunjukkan ketepatan bahasa dan menunjukkan keprihatinan kita kepada bentuk bahasa yang betul.

Tiada ulasan: