29 Mei 2012

Persoalan dan Penyelesaiannya Menimbulkan Persoalan Baharu


Isu bahasa yang diketengahkan oleh S. Nathesan dalam buku Beberapa Persoalan Penggunaan Bahasa Melayu dan Penyelesaiannya menarik. Hampir semua persoalan yang dikemukakan dalam buku edisi kedua terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun 2010 ini ada penyelesaiannya dan cadangan penyelesaian itu juga menarik.

Cetakan pertama edisi pertama buku ini adalah pada tahun 1994. Oleh hal yang demikian, persoalan yang dibincangkan tidak bersifat semasa. Penulis menyedari hal ini. Jadi, dalam edisi kedua ini beliau melakukan dua perubahan. Pertama, beliau menambah beberapa persoalan dan penyelesaiannya. Kedua, beberapa persoalan dalam edisi pertama yang kurang berkaitan dengan tajuk buku ini dikeluarkan.

Kandungan buku ini ialah himpunan makalah yang tersiar dalam majalah Pelita Bahasa, Dewan Bahasa dan Jurnal Bahasa terbitan DBP. Majalah DBP menerbitkan makalah yang bermutu sahaja. Oleh sebab itu, makalah dalam Pelita Bahasa dan Dewan Bahasa memang sentiasa menjadi rujukan pelajar dan guru bahasa Melayu. Apabila himpunan makalah itu diterbitkan dalam sebuah buku, mutunya lebih terpelihara kerana makalah-makalah itu sudah disunting kembali.

Buku setebal 171 ini terdiri daripada dua puluh empat bab. Bab pertama, “Penggunaan Bahasa Melayu dalam Kalangan Masyarakat Malaysia” dapat dianggap sebagai bab pendahuluan. Dalam bab ini penulis menjelaskan konsep bahasa rasmi dan bahasa tidak rasmi. Selain itu, disentuh juga perihal dialek dan bahasa pertuturan oleh penutur bahasa Melayu yang bukan penutur asli tetapi bermastautin di negara kita. Keragaman jenis bahasa dan penuturnya menyebabkan berlakunya kesilapan, kelewahan, penukaran kod, penyingkatan yang tidak teratur dan sebagainya. Perkara inilah yang dikatakan persoalan dan dibincangkan dalam bab-bab yang seterusnya.

Antara perkara yang dibincangkan termasuklah penggunaan perkataan atau ungkapan seperti “di mana”, “yang mana” dan “sofistikated”. Selain itu, dibincangkan juga perbezaan perkataan “itu dengan ini” dan “apabila dengan bila”. Aspek ayat yang dibincangkan termasuklah perihal ayat songsang, ayat tergantung dan pola ayat dalam cerpen terpilih. Kelewahan bahasa dibincangkan dalam dua bab, iaitu “Amalan Kelewahan dalam Bahasa Melayu” dan “Kelewahan Penggunaan Kata Sendi”. Bab-bab lain membincangkan tajuk yang pasti bermanfaat untuk pengguna bahasa Melayu, khususnya pelajar dan guru.

Beberapa pendapat atau contoh yang diberikan oleh S. Nathesan dalam buku ini berkemungkinan untuk menjadi bahan perbincangan di dalam bilik darjah, bilik kuliah, bengkel penataran bahasa, Facebook dan sebagainya. Misalnya, S. Nathesan menyatakan bahawa penggunaan perkataan “dikenali” dalam ayat “Taman ini dikenali sebagai Monkey Garden” salah. Menurutnya, perkataan yang tepat dalam ayat ini ialah “dikenal”. Apabila kita merujuki maksud perkataan mengenal dan mengenali dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, pasti kita berfikir beberapa kali sebelum menerima pandangan ini.

Satu contoh lagi, S. Nathesan berpendirian bahawa penjodoh bilangan digunakan sebelum kata nama am sahaja, iaitu benda, haiwan dan manusia. Beliau menegaskan, “Walaupun konsep seperti keberanian, kecantikan, dan perpaduan merupakan kata nama am, namun konsep ini tidak boleh menerima penjodoh bilangan. Oleh itu, *sebuah perpaduan tidak tepat dalam bahasa Melayu. Jelas bahawa penjodoh bilangan tidak perlu digunakan bagi kata nama abstrak seperti kecantikan, keberanian, dan kedamaian.” Pandangan ini berlawanan dengan hakikat penggunaan penjodoh bilangan “buah” yang meluas bagi kata nama abstrak dan mungkin juga mengundang perbincangan susulan.

Satu lagi pandangan S. Nathesan yang wajar mendapat perhatian kita ialah penjelasannya tentang konsep kelewahan. Beliau menulis, “Dalam konteks bahasa pula, amalan kelewahan dapat diertikan sebagai penggunaan kata, frasa ataupun ungkapan secara berlebihan dalam penulisan dan jika digunakan tidak pula menambah maksud, malah merosakkan kelancaran dan kepersisan sesuatu ayat. Selain itu, penggunaannya menyebabkan bahasa itu tidak indah dan proses komunikasi tidak lancar.” Kita maklum bahawa ungkapan *“demi untuk", *“hingga ke", *“selain dari” dan yang seumpamanya lewah. Namun, bagi S. Nathesan frasa “pada bulan Ogos” juga lewah. Menurutnya, frasa yang tepat ialah “pada Ogos”. Rasanya hal ini juga wajar dibincangkan lagi.

Maka jelaslah bahawa persoalan-persoalan yang terkandung dalam buku ini menarik. Cadangan untuk menyelesaikan persoalan-persoalan tertentu juga menarik. Ada antara cadangan itu menimbulkan persoalan baharu pula. Jadi, buku ini memang wajar menjadi rujukan pengguna bahasa Melayu, khususnya pelajar.

Tiada ulasan: