15 Mac 2012

Menangislah Selagi Berair Mata

Cikgu, catatan cikgu menghidupkan sebahagian waktu silam saya. Saya teringat beberapa peristiwa yang pernah saya alami. Di sini saya nukilkan beberapa peristiwa itu. Peristiwa yang pertama berlaku pada pertengahan tahun enam puluhan. Pada masa itu saya belajar dalam tingkatan satu.

Pada suatu hari, seorang rakan setingkatan, tetapi berlainan kelas, mengajak saya ke kampungnya. Kami berbasikal ke sana. Kami melalui kebun buah-buahan milik orang Tionghua. Rakan itu mengajak saya “mengambil” jambu batu di kebun itu. Pada mulanya saya enggan. Rakan saya itu berkata, “Ambil hak orang bukan Islam tidak salah.” Akhirnya kami “mengambil” dan menikmati buah jambu batu itu.

Perbuatan kami sampai ke pengetahuan guru kelas saya. Beliau ialah Cikgu Ahmad Yatim. (Ya, kemudiannya beliau menjadi pelakon terkenal.) Beliau menyuruh saya berdiri di hadapan kelas. Beliau meminta saya mengesahkan sama ada benar atau tidak saya mencuri jambu batu orang. Saya mengaku.

Dia merenung muka saya dan berkata, “Isa, cikgu tidak sangka kamu sanggup mencuri.” Lalu dia meminta saya menadahkan tapak tangan kanan. Saya melakukannya dan dia merotan tapak tangan saya beberapa kali.

Saya menahan kesakitan. Rakan-rakan sekelas senyap. Beberapa orang pelajar perempuan menutup muka mereka dengan tapak tagan.

Selepas Cikgu Ahmad Yatim menyelesaikan tugasnya, saya mengucapkan terima kasih kepadanya. Saya malu tetapi sebagai anak jantan saya tidak menangis.

Cikgu, saya tidak pernah berasa kecil hati, apalagi berdendam, kerana saya tahu dia menyayangi saya. Sebelum saya dirotan, dia akrab dengan saya. Dia membimbing saya menulis catatan harian dalam bahasa Inggeris. Dia mencatat maklum balas yang sangat memberangsangkan dalam buku catatan itu. Dia mengutamakan saya dalam banyak hal. Antaranya, dia melantik saya menjadi ketua pengarang majalah sekolah. Dia membimbing saya bukan sekadar di sekolah bahkan sampai di rumahnya. Ya, dia pernah membawa saya ke rumahnya di bandar.

Saya juga menyayanginya. Saya tidak pernah membantah apa-apa suruhannya. Saya tidak melakukan apa-apa yang ditegahnya. Selepas peristiwa itu saya lebih menyayanginya. Dia memberikan peluang yang istimewa kepada saya. Antaranya, dia memilih saya sebagai pelakon utama drama sebabak dan menjadi ketua rumah sukan.

Cikgu, sebagai lelaki, atau anak jantan kata orang kampung, memang tidak elok kita menghamburkan air mata tanpa sebab yang kukuh. Apabila cikgu menangis sepuas-puasnya selepas peristiwa di dewan kuliah pada awal tahun sembilan puluhan itu, tentulah peristiwa itu benar-benar menghiris perasaan cikgu.

Saya pun pernah menangis. Antaranya, dua kali saya menangis di hadapan khalayak. Peristiwa pertama berlaku pada akhir tahun 1984. Saya menangis ketika saya berucap dalam majlis perpisahan bersempena dengan pertukaran saya dari Sandakan ke Seremban. Sebabnya, secara umum, hati saya sudah lekat pada rakan taulan di Sandakan, khususnya mereka yang mengundi saya sehingga saya menang dengan kelebihan satu undi dalam pertikaian demi mempertahankan bahasa Melayu tercinta. Sebelum undian dijalankan saya melakukan rujukan, berkempen dan membentangkan hujah. Saya juga sudah bertekad untuk meninggalkan bidang pendidikan guru sekiranya saya kalah dalam pertikaian itu.

Seterusnya ada beberapa peristiwa berlaku di Bukit Langsat. Ada tiga kali saya menangis dalam tempoh lebih kurang dua puluh tahun saya berkhidmat di situ. Kali terakhir saya menangis tanpa dapat ditahan ialah pada bulan Mei 2008 ketika saya berucap dalam majlis keraian bersempena dengan persaraan saya. Sebabnya, ada saya bayangkan dalam satu tulisan saya dan saya tidak mahu mengulanginya di sini.

Selain itu, peristiwa Mei 2008 itu, di Bukit Langsat juga ada dua kali saya menangis, sekali secara bersendirian dan sekali bersama-sama dengan seorang rakan.

Ketika saya bertugas di Bukit Langsatlah ayah saya meninggal. Beberapa tahun selepas pemergiannya, ibu saya pula menyahut seruan Ilahi. Saya memang bersedih tetapi saya tidak menangisi pemergian mereka. Jadi, di Bukit Langsat, saya menangis bukan atas sebab kematian ayah dan ibu atau sebab-sebab yang berkaitan dengan keluarga. Tangisan saya di sana semuanya atas sebab perkhidmatan.

Tangisan kali pertama sudah mengabur dalam ingatan saya dan biarlah menghilang begitu sahaja. Tangisan yang kedua saya kongsikan di sini.

Peristiwa itu berlaku sesudah satu majlis yang saya uruskan selesai. Sebelum majlis itu berlangsung saya menerima sindiran tetapi saya menahan perasaan. Sesudah majlis selesai saya dan seorang rakan yang membantu saya menguruskan majlis itu berkereta untuk pulang ke rumah. Saya memandu. Rakan itu berada di tempat duduk di sebelah saya.

Dalam perjalanan itu saya mengenang beberapa “permainan” rakan seinstitut, termasuk beberapa kali penyisihan dan sindiran. Apabila himpunan ingatan itu menyatu dengan sindiran yang baru saya terima, satu tenaga amarah tercetus. Amarah menerajang mutmainnah. Saya menjerit sekuat-kuatnya. Rakan saya terkejut.

Rakan itu menjangka saya memarahinya. Dia menjangka sindiran yang saya terima ada kaitan dengan dirinya selaku pembantu kanan saya yang menguruskan majlis itu. Dia memeluk saya. Saya memberhentikan kereta. Dia terus memeluk saya sambil menangis tersesak-esak dan berkata berulang-ulang, “Saya minta maaf, cikgu. Saya menyebabkan cikgu disindir.”

Saya tersedar. Saya sudah menyebabkan dia menangis. Saya memeluknya pula. Kami berpelukan di dalam kereta itu. Saya berkata pula berulang-ulang, “Tidak, ya akhi. Saya bukan marah pada anta. Saya berasa sedih kerana …. Maafkan saya.” Tanpa saya sedari saya sudah menangis teresak-esak.

Kami terus berpelukan dan menangis sepuas-puasnya sambil melafazkan kata-kata untuk menyejukkan hati. Dia berusaha menyejukkan hati saya dengan titisan embun kata-kata. Saya pula berusaha menderaikan salju kata-kata. Akhirnya hati kami menyerap embun yang sejuk dan salju yang dingin. Tangisan kami reda. Lebih kurang sepuluh minit kemudian, kami meneruskan perjalanan.

Maafkan saya, cikgu. Rupa-rupanya peristiwa itu bukan sahaja menyebabkan cikgu menangis bahkan menjadi beban hidup cikgu. Maafkan saya, cikgu. Saya mengakui bahawa saya “panas” pada masa itu. Mudah-mudah peristiwa itu menjadi pengalaman yang berharga untuk cikgu dan saya juga. Sama-samalah kita memandang ke hadapan dan tidak membenarkan peristiwa itu menghalang persahabatan kita di dunia yang fana ini.

Cikgu, peristiwa yang kita alami mematangkan kita. Kini saya sudah ada pendirian tentang perbuatan menangis. Menangislah apabila ada sebabnya. Menangislah apabila kita memikir-mikirkan timbangan amalan kita apabila tiba masanya nanti. Menangislah selagi kita berair mata. Orang yang menangis hatinya lembut. Menangislah!

Lampiran
Maafkan Cikgu!
Oleh Martinelli (pensyarah UIAM)
Disunting dan disebarkan oleh Mohd Isa Abd Razak untuk tujuan pendidikan.

Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakaiannya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat.

Pada mulanya saya hanya memberikan nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata kecuali anggukkan yang seolah-olah dipaksa. Kali kedua saya memberikan amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa melaksanakan janji saya untuk memukulnya kalau dia masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan. Air matanya saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.

Keesokan harinya dia masih juga lambat. Saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang ke sekolah dan masih tetap lambat.

Suatu hari, saya bercadang untuk mengintipnya di rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya.

Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.

Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki berlari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.

Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan air mata yang mula tergenang.

"Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?"

Dia terkejut dan wajahnya berubah.

"Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu," jawabnya

"Mengapakah kamu tidak beritahu cikgu? Mengapakah kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?"

"Emak berpesan, jangan meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu hendak pukul serahkan saja punggung kamu."

Sambil menahan air mata yang mula berguguran saya memeluk anak itu. "Maafkan cikgu ...."

Kejadian itu menyebabkan saya insaf. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Tamat.

Nota Penyunting

Kata seorang rakan saya, apabila hati kita mulai keras lembutkanlah hati kita dengan bersolat sunat, berpuasa sunat, berzikir, bersedekah, mengusap rambut anak yatim, mendengar cerita kesusahan orang lain dan membantu orang susah. Katanya lagi, kisah yang seperti ini juga dapat melembutkan hati.

Ada banyak kisah yang tersebar di Internet berkemungkinan dapat melembutkan hati. Saya pernah menyunting dan menyebarkan beberapa banyak kisah itu, termasuklah “Pencuri Biskut” dan “Ya Habiballah: Subuh”. Satu kisah lagi yang mendapat perhatian istimewa saya ialah “Pulangkan Tangan Saya”. Kisah itu sudah saya sunting tetapi belum saya sebarkan.

Tiada ulasan: