23 April 2012

Tuntunan Bahasa 1: Pendingin Hawa

video

Wacana yang di bawah ini ialah transkripsi suara Dr. Haji Awang Sariyan dalam klip video Tuntunan Bahasa Siri 1 yang disiarkan di Facebook Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa pada 20 April 2012.

Assalamualaikum warahmatullah. Salam sejahtera.

Penggunaan kata dalam berbahasa, baik secara lisan mahupun dalam tulisan, kadangkala memang menimbulkan masalah. Oleh sebab itu penggunaan bahasa yang tepat, atau pemilihan kata yang tepat, dalam berbahasa sangat penting.

Salah satu kata yang ingin saya bincangkan bersama-sama dengan saudara dan saudari ialah ungkapan yang biasa kita baca atau kita dengar dalam iklan, iaitu *penghawa dingin. Kalau kita perhatikan, kata dingin itu sebenarnya ialah kata yang menyebabkan hawa itu berubah sifatnya, barangkali daripada panas menjadi dingin. Maka itu yang didinginkan ialah hawa. Oleh sebab itu bentuk yang betul ialah pendingin hawa, bukan *penghawa dingin kerana hawa bermakna cuaca ataupun keadaan suhu. Oleh sebab itu bentuk yang selalu dikatakan *penghawa dingin itu ialah bentuk yang salah. Bentuk yang betul ialah pendingin hawa. Bentuk ini sama dengan ungkapan lain, iaitu penyaman udara, bukan *pengudara nyaman. Bentuk ini tidak pernah berlaku tetapi penyaman udara bentuk yang memang sering digunakan dan sama ertinya dengan pendingin hawa.

Apakah caranya untuk kita dapat memastikan bahawa kata yang kita gunakan itu betul? Saya menyarankan saudara dan saudari menggunakan kamus kerana dalam kamus itu terdapat kata-kata yang disertai makna yang tepat, bentuk yang tepat dan asal usul kata itu. Jadikanlah kamus sebagai teman setia anda.

NotaPandangan Khidmat Nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka (KBDBP)

Soalan: Seorang guru Bahasa Melayu menyatakan bahawa ungkapan “pendingin hawa” salah. Menurutnya, ungkapan yang betul ialah “penyaman udara”. Katanya, “pendingin hawa” istilah lama, “penyaman udara” istilah baharu. Apakah pendirian KNDBP?

Jawapan: Istilah yang betul ialah penyaman udara. Pendingin hawa ialah istilah lama. 2 Mei 2012.

Tiada ulasan: