22 April 2012

Lakuan Bahasa (Speech Act)


Tahniah!
Kamus Linguistik terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1997) mentakrifkan lakuan bahasa (speech act) sebagai “penghasilan bunyi bahasa dengan cara yang tersusun untuk melahirkan ujaran yang bermakna”. Istilah ini ada kaitan dengan istilah peristiwa bahasa (speech event), iaitu unit asas dalam analisis interaksi pertuturan, yang merangkumi penggunaan lakuan bahasa dalam struktur wacana yang lebih besar. Unit asas contoh pujian, nasihat dan aduan. Selain itu, istilah ini ada kaitan dengan istilah fungsi, iaitu penggunaan bahasa untuk tujuan tertentu seperti fungsi komunikatif dan fungsi pengungkapan. Fungsi komunikatif ialah fungsi bahasa untuk tujuan menyampaikan maklumat antara penutur atau penulis dengan pendengar atau pembaca. Fungsi pengungkapan pula ialah fungsi bahasa untuk tujuan mengungkapkan perasaan seseorang. Selain itu, istilah ini ada kaitan juga dengan istilah pola ayat, iaitu susunan unsur-unsur ayat berdasarkan struktur dan/atau makna.

Lampiran
Konsep Lakuan Bahasa
Oleh Jj Janzbizzare

Umumnya lakuan bahasa (speech acts) ialah ujaran yang mempunyai peranan tertentu dalam komunikasi. Sebagai contoh: “Maafilah saya kerana terlupa hari jadi kamu hari ini.’’ Dalam ujaran ini perkataan “maafilah” merupakan lakuan bahasa yang berfungsi menyatakan rasa kekesalan terhadap perihal lupa akan hari lahir seseorang.

Austin (1955) mengelaskan dua jenis lakuan bahasa, iaitu lakuan bahasa berasaskan tindakan dan lakuan bahasa berasaskan penegasan.

(a) Lakuan Bahasa Berasaskan Tindakan
"Saya berjanji akan mengembalikan buku kamu esok.’’ Dalam ujaran ini penutur akan berusaha sedaya upayanya untuk mengotakan janjinya untuk memulangkan buku yang dipinjam kepada orang yang memberinya pinjam pada keesokan hari. Hal ini bermakna, lakuan bahasa ini disertai dengan tindakan tentang perkara yang diujarkan.

(b) Lakuan Bahasa Berasakan Penegasan
"Sayalah yang bersalah dalam hal ini.’’ Ini ialah ujaran yang dibuat untuk menegaskan perasaan bersalah penutur akan sesuatu tindakannya pada masa lalu.

Ketika mengujarkan sesuatu, penutur lazimnya melakukan tiga lakuan bahasa secara serentak. Lakuan bahasa yang pertama ialah kata rangkum, iaitu perbuatan mengujarkan sesuatu dengan intonasi tertentu dengan menggunakan satu kata atau sekelompok kata yang mengandungi makna tertentu terhadap seseorang. Sebagai contoh ungkapan "Tahniah!’’ kepada seseorang yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Lakuan bahasa yang kedua ialah tindakan ujaran, iaitu tindakan yang dibuat selepas sesuatu perkataan diujarkan. Sebagai contoh ‘’Tahniah Aiman!’’ yang diucapkan oleh bapanya terhadap Aiman apabila dia berjaya mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Ucapan tersebut disertai dengan tindakan seperti berjabat tangan atau memeluk anaknya itu sebagai tanda tahniah.

Lakuan bahasa yang ketiga ialah kesan tindakan, iaitu kesan daripada ujaran yang disertai oleh tindakan terhadap orang yang ditujukan ujaran itu sama ada dari segi (tindakan, fikiran atau keyakinannya). Sebagai contoh, apabila ucapan tahniah dibuat oleh bapa Aiman, ucapan itu disertai dengan tindakan memeluk anaknya sebagai tanda tahniah kerana mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Kesan daripada hal ini menyebabkan Aiman berasa gembira dan lebih bermotivasi untuk terus gigih berusaha.

Maklumat ini disesuaikan daripada nota kuliah saya. Nota itu bersumberkan buku Pragmatics and Discourse: A Resourceful Book for Students oleh Joan Cutting, 2002.

Tiada ulasan: