22 April 2012

Penggandaan Kata Nama Majmuk

Soalan
Saya mohon pencerahan daripada tuan tentang kata ganda bagi kata nama. Contoh: 1. guru-guru besar (banyak guru besar) (betul), guru besar-guru besar (salah). 2. guru besar-guru besar (banyak guru yang berbadan besar) (betul). 3. alat-alat tulis atau alat tulis-alat tulis?

Jawapan
Perkataan “guru besar” (contoh 1) dan “alat tulis” (contoh 3) ialah kata nama majmuk. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (halaman 139) menyatakan, terdapat dua cara untuk mengeja kata nama majmuk. Yang pertama, bagi kata nama majmuk yang dieja berpisah, hanya bahagian awal kata sahaja yang digandakan. Perkataan contoh yang diberikan ialah kertas kerja g kertas-kertas kerja, rumah sakit g rumah-rumah sakit, mata pelajaran g mata-mata pelajaran dan roda tenaga g roda-roda tenaga. Berdasarkan panduan ini, ejaan kata ganda yang betul ialah “guru-guru besar” dan “alat-alat tulis”.

Oleh sebab perkataan “guru besar” ialah kata majmuk, sebaik-baiknya elakkanlah penggunaan kata majmuk ini sebagai frasa. Sebagai frasa, gunakanlah ungkapan lain seperti “guru yang besar” atau “guru-guru yang berbadan besar”. Penyisipan kata seperti “yang” memang diizinkan bagi frasa. Jadi, kata ganda yang wajar kita gunakan pula ialah “guru-guru yang besar” atau “guru-guru yang berbadan besar”. Penulisan kata ganda ini selaras dengan frasa lain seperti “guru-guru yang berjiwa besar”, “guru-guru (yang) kacak” dan “guru-guru (yang) kecewa”.

Susunan perkataan “guru besar” (guru yang besar) sebagai frasa ialah kata nama + kata adjektif. Susunan ini sama dengan perkataan “anak comel” (anak yang comel), “gadis cantik” (gadis yang cantik) dan pemuda tampan (pemuda yang tampan) dan begitu banyak frasa yang lain. Apabila digandakan, perkataan-perkataan ini menjadi “anak-anak comel” (bukan *anak comel-anak comel), “gadis-gadis cantik” (bukan *gadis cantik-gadis cantik) dan “pemuda-pemuda tampan” (bukan *pemuda tampan-pemuda tampan). Demikianlah juga peraturan penggandaan beberapa banyak frasa yang lain, yang mempunyai susunan yang sama.

Sebagai tambahan, elok juga kita ulang kaji cara kedua untuk mengeja kata nama majmuk. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga juga, ada kata majmuk dieja bercantum akibat kelaziman penggunaan. Bagi kata majmuk dalam golongan ini, seluruh kata digandakan. Perkataan contoh yang diberikan ialah setiausaha g setiausaha-setiausaha, jawatankuasa g jawatankuasa-jawatankuasa, suruhanjaya g suruhanjaya-suruhanjaya dan tanggungjawab g tanggungjawab-tanggungjawab.

Selain itu, elok juga kita semak “Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu” (Pedoman Umum) yang termuat dalam Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi. Menurut Pedoman Umum itu, “kata ulang (atau kata ganda) dalam sistem ejaan Rumi bahasa Melayu sekarang ditulis sepenuhnya dengan menggunakan tanda sempang (-) yang dibubuh di bahagian kata yang diulang.” Semua kata ulang contoh yang terdapat dalam Pedoman Umum itu mematuhi bentuk yang diperihalkan dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga.

Jadi jelaslah bahawa cara penulisan kata ulang *“guru besar-guru besar” yang dikatakan betul itu tidak terdapat dalam Pedoman Umum dan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Cara penulisan ini janggal, iaitu melanggar peraturan ejaan (Pedoman Umum) dan tatabahasa (Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga) bahasa Melayu.

4 ulasan:

Unknown berkata...

asalam ustaz, terima kasih ya..info berguna

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullah.

Sama-sama, cikgu. Kita berkongsi maklumat dari semasa ke semasa.

SebatikCT68 berkata...

Terima kasih Tuan Mohd Isa Abd Razak atas perkongsian ilmu, khususnya tentang nahu bahasa Melayu.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Sama-sama, saudara Sebatikct-68.

Rujukan tambahan:
"Kata Nama Majmuk yang Dieja Berpisah" oleh Lee Lai Foon dan Raja Masittah Raja Ariffin dalam buku mereka, Petunjuk Bahasa, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, halaman 18 -20.