08 Ogos 2012

Intonasi Membezakan Ayat dengan Klausa

Ayat mempunyai subjek dan predikat. Klausa juga mempunyai subjek dan predikat. Hakikat ini menyebabkan ada pelajar menganggap ayat ialah perkataan seerti bagi klausa. Anggapan itu silap.

Dalam buku Nahu Kemas Kini, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar menjelaskan bahawa intonasi membezakan ayat dengan klausa. Intonasi ayat lengkap tetapi intonasi klausa tidak lengkap. Intonasi yang lengkap bermula dengan kesenyapan dan berakhir dengan kesenyapan yang menunjukkan pengucapan ayat sempurna. Untuk lebih memahami hal ini, perhatikan ayat yang di bawah:

1. Gaya bahasanya sederhana dan penyampaiannya jelas.
(a) Gaya bahasanya sederhana.
(b) Penyampaiannya jelas.

Ayat (1) ialah ayat majmuk gabungan. Ayat ini terdiri daripada ayat (a) dan (b) dan mempunyai subjek dan predikat masing-masing. Persoalannya, ketika berada dalam ayat (1), tutur (a) dan (b) sebenar-benarnya ayat atau hanya klausa?

Rakaman yang terdapat dalam klip video ini menunjukkan bahawa pengucapan ayat 1 sempurna, iaitu bermula dengan kesenyapan dan berakhir dengan kesenyapan. Intonasi akhirnya menurun. Kita faham bahawa tutur itu sudah sempurna diucapkan. Tegasnya, intonasi yang kita dengar ialah intonasi ayat.

Sebaiknya, tutur (a) bermula dengan kesenyapan tetapi intonasi akhirnya mendatar. Dengan perkataan lain tutur (a) tidak berakhir dengan kesenyapan atau tergantung. Intonasi ini menunjukkan tutur itu klausa.

Tutur (b) pula hanya berakhir dengan kesenyapan tanpa bermula dengan kesenyapan. Nyata ada sesuatu sebelum pengucapan perkataan dan. Intonasi ini juga menunjukkan tutur itu klausa.

Ringkasan perkara ini adalah seperti yang berikut:
Ayat = Kesenyapan … tutur … kesenyapan.
Klausa 1 = Kesenyapan … tutur …
Klausa 2 = … tutur … kesenyapan.

Ringkasan ini menunjukkan bahawa intonasi ayat berbeza daripada intonasi klausa. Klip video itu pula menunjukkan bahawa dalam ayat 1 terdapat dua klausa. Ketika tutur (a) dan (b) berada dalam ayat 1, kedua-dua tutur itu bukanlah ayat tetapi klausa. Penjelasan ini diharap dapat membetulkan salah anggapan segelintir pelajar yang mengatakan klausa seerti dengan ayat.

Sebagai kesimpulannya, ketika berada dalam ayat (1), tutur (a) dan (b) ialah klausa.

Lampiran
klausa unit yang merupakan rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang menjadi konstituen atau bahagian kepada ayat. (Kamus Dewan Edisi Keempat)
klausa satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi satu subjek dan satu predikat dan mempunyai potensi untuk menjadi ayat. (Tabahasa Dewan Edisi Ketiga)

Tiada ulasan: