27 Jun 2012

Tuntunan Bahasa 6: Para dan Para-para

Wacana yang di bawah ini ialah transkripsi suara Dr. Haji Awang Sariyan dalam klip video Tuntunan Bahasa Siri 6 yang disiarkan di Facebook Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa pada 25 Jun 2012.

Assalamualaikum warahmatullah. Salam sejahtera.

Penggunaan kata yang berkaitan dengan para-para sering kali mengganggu fikiran saya apabila saya mendengar ataupun membaca ungkapan seperti *para-para guru, *para-para perajurit, *para-para tentera, *para-para murid dan sebagainya. Hal ini demikian oleh sebab para-para menimbulkan makna yang lain daripada pengertian asal yang hendak dinyatakan oleh orang yang menulis atau bercakap demikian.

Para-para bererti rak ataupun tingkat-tingkat tempat kita meletakkan buku, meletakkan pinggan mangkuk ataupun sebagainya; sedangkan para boleh bererti dua, satu para yang sama dengan erti para-para, iaitu tingkat-tingkat ataupun rak itu tadi, ataupun para yang juga bererti kalian ataupun semua. Untuk kata yang berkaitan dengan bilangan, maka bentuk yang betul ialah para. Kita pun boleh mengatakan para guru, para perajurit, pada tentera dan sebagainya tetapi tidak boleh dan tidak sesuai sama kita mengatakan *para-para guru. Kalau kita katakan *para-para guru giat mengajar, maka yang sebenarnya mengajar bukanlah guru tetapi tingkat-tingkat atau rak atau para-para tempat meletakkan sepatu, buku, pinggan mangkuk dan sebagainya kepunyaan guru. Maka sampai bila pun murid tidak akan pandai kerana yang mengajar bukan guru tetapi rak kepunyaan guru.

Demikian juga kalau kita katakan *para-para perajurit pergi berjuang, maka yang pergi berjuang bukan perajurit tetapi tingkat-tingkat ataupun para-para ataupun rak kepunyaan perajurit. Maka saya katakan secara berjenaka, dengan senjata yang canggih sekalipun tidak mungkin perajurit menang dalam perjuangan kerana dia tidak pergi berjuang; kerana yang berjuang ialah para-para atau tingkat-tingkat kepunyaan perajurit.

Oleh sebab itu berhati-hatilah apabila kita menggunakan kata para dan para-para kerana para-para dapat menunjukkan makna yang sama sekali lain daripada para. Bentuk yang betul ialah para guru, para perajurit dan sebagainya.



Tiada ulasan: