26 Jun 2012

Baru, Kata Bantu; Baharu, Kata Sifat

Catatan ini ialah sari perbincangan di laman Kembara Bahasa dari 30 Mei 2012 hingga 8 Jun 2012.

Nadia Haifaa: Menurut editor saya, sekarang kata “baru” juga dieja “baharu”. 30 Mei 2012.

Sambutan

1. Nur Aeis: Perkataan “baru” harus dibezakan dengan “baharu”. “Baru” ialah kata bantu aspek, hadir sebelum kata kerja, sementara “baharu” ialah kata adjektif (sifat). Contoh, Saya baru membeli kereta baharu. 30 Mei 2012.
2. Nada Haifaa: Menurut editor saya, sekarang ini semuanya dieja “baharu”, tidak kira kata sifat atau kata bantu. 30 Mei 2012.

3. Nur Aeis: Untuk kepastian, rujukan paling tepat ialah Tuan Profesor Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa sendiri. Silakan Profesor. 30 Mei 2012.

4. Nizam Abdul Jalil: Puan Nada Haifaa, saya sudah pastikan daripada editor DBP, Encik Zaidi Ismail, bahawa tidak ada surat perintah memaklumkan bahawa kata bantu “baru” mesti dieja “baharu”. 31 Mei 2012.

5. Nada Haifaa: Terima kasih, Cikgu Nizam Abdul Jalil. Saya masih menunggu jawapan daripada editor saya tentang dari mana beliau mendapat khabar angin tersebut. 31 Mei 2012.

6. Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa: Soal ilmu tidak boleh berdasarkan khabar angin, perlu dirujuk kepada sumber sahih. Ejaan "baharu" untuk adjektif dan "baru" untuk adverba atau kata keterangan dirumuskan oleh panel penyusun buku Tatabahasa Dewan yang diketuai oleh Profesor Emeritus Datuk Nik Safiah Karim. 31 Mei 2012.

7. Nada Haifaa: Profesor Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa, saya yakin tidak ada sebarang perubahan. Apakan daya, editor saya berpengalaman dan tidak mahu mendengar pendapat orang baharu seperti saya. 31 Mei 2012.

8. Gazali Suhaili: Kemukakanlah penjelasan Profesor Awang Sariyan kepada editor puan. 8 Jun 2012.

9. Cikgu Mohamad Musip: Catatan Tuan Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa patut menjadi pegangan kita. Jika kata "baharu" dan "baru" sudah jelas keterangannya dalam buku pegangan, Tatabahasa Dewan, saya kira tanggungjawab kita ialah mengimarahkannya sahaja. Saya berpegang pada prinsip yang mudah, iaitu banyak maklumat tatabahasa disebarkan melalui majalah Pelita Bahasa dan majalah Dewan Bahasa. Bagi guru-guru, dampingilah majalah-majalah ini, selain majalah-majalah lain yang berjudulkan Dewan. 8 Jun 2012.

Nota
Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa ialah nama pena Ketua Pengarah DBP, Dr. Haji Awang Sariyan.

Isu ini dibangkitkan semula di laman Kembara Bahasa pada hari ini. Klik.

Tiada ulasan: