28 Jun 2012

Peradaban Malaysia Mesti Bertunjangkan Pendidikan, Bahasa dan Kesusasteraan Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 28 Jun 2012. “Peradaban Malaysia moden mestilah bertunjangkan pendidikan dan pembinaan bahasa serta kesusasteraan kebangsaan,” kata YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Seminar Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Pendidikan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pagi ini.

Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin berkata, tunjang itu penting kerana penggunaan bahasa dan kesusasteraan kebangsaan secara meluas dalam bidang pendidikan mampu membina pemikiran dan peradaban bangsa Malaysia yang utuh sebagai landasan memperteguh jati diri nasional. “Saya yakin, sistem pendidikan kita mempunyai peranan yang besar dalam memperkasa bahasa kebangsaan dan memupuk semangat perpaduan nasional,” katanya.

Sebelum itu, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin menyatakan bahawa rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk memperkasakan kedudukan, fungsi serta penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Beliau berharap agar setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum boleh bertutur bahasa kebangsaan dengan baik dan betul, serta menghormati penggunaannya di jabatan-jabatan kerajaan, sektor swasta dan di tempat-tempat awam. - Sambung-menyambung.

Lampiran I
Projek Rintis Audit Bahasa Melayu Usaha Kerajaan Perkasa Bahasa Kebangsaan
mStar Online, 28 Jun 2012

KUALA LUMPUR: Projek rintis Audit Bahasa Melayu yang akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dari Julai hingga Ogos ini, adalah antara langkah kerajaan untuk memperkasa dan memperluas penggunaan bahasa kebangsaan yang baik, betul dan santun dalam perkhidmatan awam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu juga akan dilakukan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai bulan Disember, dengan mengaudit kesemua tindakan dan aktiviti di JPA untuk melihat sejauh mana badan kerajaan itu mengguna pakai bahasa Melayu.

Katanya, kerajaan sentiasa tegas dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan akan memastikan ia menjadi bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa pentadbiran dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang kukuh dan bersatu padu.

Untuk tujuan ini, beliau berkata, pelbagai pekeliling telah dikeluarkan oleh JPA termasuk yang terbaharu Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 mengenai panduan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam.

"Pekeliling ini menetapkan bahawa bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan untuk setiap urusan rasmi dalam negara termasuk surat-menyurat, dokumen perjanjian dalam negara, mesyuarat dan majlis rasmi yang melibatkan kehadiran warganegara Malaysia, pengiklanan kekosongan jawatan dalam perkhidmatan negara, perkhidmatan kaunter dan maklum balas aduan di akhbar dan isu media massa," katanya ketika merasmikan seminar Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Pendidikan di Menara DBP di sini, Khamis.

Turut hadir Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Othman Muhammad dan Naib Pengerusi DBP, Prof. Datuk Dr. Md Salleh Yaapar.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata, pekeliling itu turut memberi tanggungjawab kepada pegawai awam dan anggota pentadbiran untuk menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul termasuk kawalan dan pengawasan penggunaannya di semua kementerian dan agensi kerajaan.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga akan mewujudkan sistem penarafan bintang bahasa kebangsaan bagi menghargai usaha pihak berkuasa tempatan memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, DBP, jabatan kerajaan tempatan dan kerajaan negeri akan bekerjasama membangunkan sistem penarafan bintang tersebut untuk dilaksanakan secara rintis pada tahun depan.

"Saya berharap agar setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum boleh bertutur bahasa kebangsaan dengan baik dan betul, serta menghormati penggunaannya di jabatan-jabatan kerajaan, sektor swasta dan di tempat-tempat awam," katanya.

Timbalan Perdana Menteri yakin bahawa sistem pendidikan di Malaysia mempunyai peranan yang besar dalam memperkasakan bahasa Kebangsaan dan memupuk semangat perpaduan nasional.

"Melalui penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan, rakyat di negara kita bukan sahaja dapat menguasai bahasa kebangsaan dengan lebih baik, tetapi juga menghayati nilai-nilai perpaduan dan jati diri nasional yang ingin diterapkan," tambah beliau.

Muhyiddin berkata, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang bertanggungjawab memastikan taraf dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus dipelihara serta berperanan memantau bahasa kebangsaan di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta.

"Jawatankuasa ini yang dipengerusikan oleh saya, telah berjaya melaksanakan beberapa inisiatif untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor awam dan swasta termasuk penerbitan garis panduan penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi massa, program ahli parlimen bersama masyarakat di 21 buah pihak berkuasa tempatan, program penggalakan penggunaan bahasa kebangsaan di enam buah Kampung Baru Cina dan Seminar Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Perdagangan dan Kepenggunaan," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin juga melancarkan majalah Sastera dan Warisan Gapena serta meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Gapena untuk membiayai aktiviti-aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan.

Seramai 32 wakil badan bukan kerajaan telah menyerahkan memorandum kepada Muhyiddin, bertujuan untuk mengekalkan bahasa Melayu sebagai aliran bahasa Kebangsaan. - BERNAMA

Tiada ulasan: