28 Jun 2012

Ulasan Buku Ilmu Mengarang Melayu (3): Rangka dan Karangan Contoh


Bahagian I buku ini yang bertajuk “Pokok-pokok Besar dalam Latihan Mengarang” terdiri daripada lapan bab. Pada kesempatan ini saya mengulas bab pertama, kedua, ketiga dan keempat.

Perbincangan dalam bab pertama bertumpu pada sepuluh perkara, iaitu (1) persediaan, (2) penulisan rangka, (3) karangan daripada perumpamaan atau bidalan, (4) jenis rangka (ringkas dan lanjut), (5) tindakan ketika mengarang, (6) penggunaan pembatas karangan (penanda wacana), (7) penggunaan tanda berhenti (tanda baca), (8) pemerengganan, (9) pembuka dan penutup karangan, dan (10) panduan untuk menghasilkan karangan yang baik. Panduan dalam bab ini, walaupun ditujukan kepada pelajar, dapat dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja yang ingin menjadi pengarang.

Za‘ba mengemukakan empat tahap penulisan karangan, iaitu mencari isi, menyusun isi, menyukat (menggunakan) isi semasa mengarang dan menyusun cakap (mengarang). Beliau memberikan perincian bagi setiap tahap itu. Sebagai contoh, bagi Za‘ba penutup karangan “moleklah dikunci dengan sesuatu cakap yang padat (atau syair, pantun, perumpamaan dan sebagainya), atau sesuatu cakap yang mengulang balik dengan ringkas segala isi maksud yang telah disebutkan itu serta menunjukkan sebenarnyalah karangan itu sudah tamat.”

Dalam bab ini terdapat banyak pandangan Za‘ba tentang karangan yang bermutu dan teknik mengarang yang baik. Misalnya, dari segi penggunaan bahasa beliau berpesan, “… bahasa dan susuk ayat yang dipakai biar mudah dan berpatutan dengan isi karangan itu, serta ikhlas bunyinya hendak memberi orang faham, jangan seperti hendak menunjuk-nunjuk pandai atau mengada-ngada.” (halaman 11) Sebagai panduan untuk menghasilkan karangan yang baik pula beliau menyatakan, “Pendeknya membacalah banyak-banyak, perhatikan banyak-banyak, dan biasakan mengarang sendiri banyak-banyak dengan meneladan atau dengan mengikut fikiran sendiri. Demikian pula selalulah berfikir sendiri dan mencuba keluarkan fikiran-fikiran itu dengan perkataan yang beratur baik dengan cakap atau dengan karangan.” (halaman 24) Beliau merumuskan kegiatan membaca sebagai “guru belajar mengarang dan ialah sahaja yang seelok-elok guru”.

Dalam bab kedua Za‘ba memaparkan 103 tajuk karangan dan rangka lanjut bagi 30 tajuk. Walaupun rangka itu terkarang pada tahun 1930-an, namun isi yang dikemukakan oleh Za‘ba masih dapat menjadi panduan kita, khususnya pelajar. Rangka yang saya anggap malar segar ialah rangka dalam kumpulan “perumpamaan dan bidalan yang biasa”. Sebagai contoh, rangka karangan “Bahasa Menunjukkan Bangsa” amat berkaitan dengan kegawatan perlakuan manusia kini. Isi pertama yang diketengahkan oleh Za‘ba ialah maksud “bahasa menunjukkan bangsa”, iaitu “boleh dikenal seseorang itu bangsa rendah atau hina daripada bahasa dan adab tertibnya (dan) pepatah itu selalu dibuat menempelak seseorang yang biadab”. Isi kelima pula adalah seperti yang berikut:

“Orang-orang yang hina tutur katanya itu menunjukkan ia tiada menerima asuhan yang sempurna -- barangkali sebab bangsanya kurang -- barangkali sebab pelajarannya kurang -- tetapi kutu-kutu pekan dan kuli-kuli yang cemar bahasanya itu pun boleh jadi orang baik-baik kalau sempurna asuhan pelajarannya.” (halaman 40)

Dalam bab ketiga, terdapat enam karangan contoh. Lima karangan contoh berasaskan rangka karangan dalam bab pertama dan kedua. Hanya satu karangan “sengaja tiada dibuatkan rangkanya dahulu”. Isi kelima-lima karangan contoh itu bernas, lenggok bahasanya menarik dan penyampaiannya kemas. Saya ralit membacanya. Rupa-rupanya sebahagian daripada karangan yang pernah saya baca pada tahun enam puluhan dahulu bersumber daripada buku ini. Sebahagian petikan seperti yang di bawah, kembali segar dalam ingatan saya:

“Hai ya! Olang Malayu (Gulayu) ming-ngong! Kilija satu tau-wun, mau makan lua tau-wun!
….
Bersepit bukannya ketam,
Berekor bukannya kera;
Mencangkung bukannya anjing,
Apakah dia?” (halaman 44 - 45)

Karangan yang “sengaja tiada dibuatkan rangkanya dahulu” itu bertajuk “Orang Melayu dengan Hutang”. Karangan itu tersiar dalam akhbar Majlis pada 1 Februari 1932. Ketika membaca karangan itu saya berasa seakan-akan kembali ke zaman remaja. Karangan yang disampaikan dengan penuh semangat itu dibumbui dengan perkataan atau ungkapan yang pernah saya gunakan seperti “bergarit-garit”, “berselepet” dan “tercupil”. Ayat terakhir karangan itu sungguh mengesankan: “Tabiat boros dan suka berhutang itu mesti difikirkan seperti suatu penyakit berjangkit yang lebih dahsyat daripada penyakit cacar dan wajib atas kita menahan dia dan memadamkan akan dia.” (halaman 53)

Bab keempat membicarakan teknik mengarang yang dinamakan melanjutkan karangan, iaitu mengarang dengan menyambung atau menghuraikan perenggan yang diberikan. Guru sekolah rendah masih memanfaatkan teknik ini dalam pengajaran karangan.

Sebagai penutup siri ini, elok kita perhatikan pandangan Za‘ba tentang teknik ini: “Maka bolehlah guru-guru mencarikan karangan-karangan yang ringkas daripada hikayat-hikayat atau surat-surat khabar atau daripada kitab-kitab bacaan, dilatihkan kepada murid-murid melanjutkannya dengan tambahan-tambahan yang munasabah, supaya mereka biasa mencawang-cawangkan fikirannya dan mencari isi-isi baru yang berpatutan bagi meluaskan punca-punca yang sedikit dalam karangan ringkas itu.”

Tiada ulasan: