19 Jun 2012

Ulasan Buku Ilmu Mengarang Melayu (1): Za‘ba Pelopor Retorik Melayu

Za‘ba Pemikir Ulung: (1) Sari Ucap Utama MB dan Pidato Dr. Kamarudin Kachar(2) Sari Pandangan Prof. Dr. Asmah Haji Omar | (3) Sari Pembentangan Dr. Awang Sariyan | (4) Renungan MIAR

Kita sedia maklum bahawa karya teragung Za‘ba ialah buku Pelita Bahasa Melayu (PBM) (Penggal I, II dan III). Buku Ilmu Mengarang Melayu (IMM) ialah karya kedua terpenting selepas PBM. Profesor Emeritus Linguistik Melayu Universiti Malaya, Dato’ Dr. Asmah Haji Omar yang mengkaji IMM mengatakan, “Dalam PBM Za‘ba bertindak seolah-olah sebagai tukang yang membuat atau memasang basikal; dalam IMM beliau bertindak seolah-olah sebagai pengayuh basikal.” Pandangan beliau ini adalah sebahagian daripada kesimpulan esei pengenalan yang terdapat dalam buku itu.

IMM yang terbit pada tahun 1934 itu ialah edisi asal bertulisan Jawi. Dalam pendahuluan cetakan pertama edisi Jawi itu Za‘ba menyatakan, “Bahawa kitab ini dimaksudkan bagi kegunaan guru-guru di sekolah Melayu dan penuntut-penuntut di kolej. Asalnya ialah daripada kitab Ilmu Bahasa Melayu (Penggal II) dahulu; tetapi oleh sebab telah ditulis semula dengan mengubah, dan memotong hampir-hampir semua daripada isi yang lama itu kerana memadankan dengan kemahiran mengajar bahasa Melayu yang telah dijalankan beberapa tahun ini, layaklah dihitungkan dia suatu kitab yang baru. Maka diubah namanya dan dinamakan Ilmu Mengarang Melayu.

Edisi Jawi itu dicetak ulang sebanyak lima kali, iaitu pada tahun 1947, 1949, 1951, 1952 dan 1956; atau enam kali cetak apabila dikira cetakan yang pertama. Pada zaman kadar celik huruf rendah, jumlah sekolah sedikit dan jumlah perpustakaan tidak seberapa, apabila sesebuah buku ilmiah dapat dicetak sebanyak enam kali, tentulah hal itu merupakan kejayaan besar. Pada tahun 1962, iaitu sesudah hampir tiga puluh tahun edisi Jawi itu menjadi rujukan cendekiawan, Za‘ba melakukan pindaan dan penambahbaikan. IMM edisi yang sudah dipinda dan dimurnikan itu menggunakan tulisan Rumi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa an Pustaka (DBP).

Pada awal tahun 2002, iaitu sesudah lebih tiga puluh lima tahun pula IMM edisi Rumi lama diterbitkan, DBP bekerjasama dengan Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) bagi mengusahakan IMM Edisi Ejaan Rumi Baharu. Usaha itu bawah tadbiran Pengarah IPM merangkap Penyandang Kursus Peradaban Melayu Za‘ba yang pertama, iaitu Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar. DBP berjaya menerbitkan IMM Edisi Ejaan Rumi Baharu pada hujung tahun yang sama.

Dalam kata pengantarnya, Ketua Pengarah DBP pada masa itu, Dato’ Haji A. Aziz Deraman mengatakan, IMM amat besar maknanya dalam lipatan sejarah bahasa Melayu terutamanya dari segi kandungan ilmu bahasa Melayu dan mesej yang hendak disampaikan. Oleh hal yang demikian, penerbitan edisi ejaan Rumi baharu buku itu penting untuk memenuhi khazanah kepustakaan Melayu dan sebagai rujukan kepada generasi yang akan datang. Melalui buku itu generasi yang akan datang dapat mengetahui perkembangan bahasa Melayu pada zaman 40-an.

Dalam kata pengantar oleh pihak UPSI pula, Naib Canselor UPSI pada masa itu, Profesor Dato’ Ir. Dr. Mohammad Nor bin Haji Salleh mengatakan, IMM pada zahirnya mengajar untuk menghasilkan karangan yang baik dengan menggunakan bahasa yang baik. Menurut beliau, “Di sini kita dapat melihat bahawa fikiran dan bahasa tidak dapat dipisahkan, dan inilah yang menjadi teras buku ini, dan dengan itu juga falsafah yang dipegang oleh Za‘ba. Bagi Za‘ba, karangan yang mempunyai kandungan yang bernas tetapi bahasanya kurang baik, tidak dianggap sebagai karangan yang baik.” Beliau menegaskan, falsafah Za‘ba itu perlu menjadi pedoman kita.

Dalam edisi ejaan Rumi baharu itu terdapat esei pengenalan oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah. Beliau bukan sekadar memperkenalkan IMM bahkan turut memaparkan dapatan penelitiannya terhadap kandungan buku itu. Beliau memperkatakan enam aspek pemikiran Za‘ba dalam IMM, iaitu (1) “Bahasa dan Fikiran,” (2) “Pengetahuan Nahu dan Kemahiran Bahasa”, (3) “Karangan sebagai Sistem Wacana”, (4) “Kelainan Bahasa”, (5) “Ragam Bahasa” dan (6) “Medan Makna”. Sebagai kesimpulannya, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah mengatakan, “Buku IMM merupakan sebuah buku yang mempunyai dua fungsi sekali gus. Pertama, buku ini merupakan satu panduan hal karang-mengarang. Kedua, buku ini buku ini merupakan satu perbendaharaan data bagi berbagai-bagai aspek penggunaan bahasa serta kelainan dan ragam bahasa.” Kesimpulannya yang terakhir, IMM menggambarkan ketokohan Za‘ba sebagai ahli bahasa Melayu sepanjang zaman.

Dr. Hashim Awang
 Sebelum itu, iaitu pada bulan Ogos 1995, Dato’ Dr. Hashim Awang membentangkan kertas kerja “Retorika Melayu dari Tanggapan Za‘ba” dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia. Dalam kertas kerja itu beliau memberikan gelaran “tokoh dan pelopor retorik Melayu” kepada Za‘ba. Menurut Hashim Awang, buku IMM yang terbit pada tahun 1934 itu mendahului buku tokoh retorik Inggeris Cleanth Brooks dan Robert Penn Warren, iaitu Modern Rhetoric yang terbit enam tahun sesudah buku Za‘ba itu. Oleh hal yang demikian, selain PBM, pengkaji dan pencinta bahasa Melayu mesti menjadikan IMM sebagai rujukan utama mereka.

Tiada ulasan: